Rencana “Against all odds: Being
blind is not an obstacle to success” oleh Naveena Nathene James
bertarikh 29 Jun 2014 terbit di thestar
Wong Shin Yee mungkin buta tetapi itu
tidak menghalang dia daripada mencapai cita-citanya.
Kemiskinan, penderaan, ketaksuban,
peperangan dan bencana - ini adalah krisis sosio-ekonomi yang biasa
berlaku di seluruh dunia. Kelihatan mustahil bagi seseorang dari
latar belakang yang mencabar itu untuk melihat impian mereka
tercapai.
Oleh itu, memang suatu kejutan yang
sentiasa menyenangkan apabila melihat bakat yang muncul walaupun
dalam keadaan sedemikian.
Kita mendapat inspirasi dan bermotivasi
apabila membaca tentang orang yang telah mencapai kejayaan yang besar
walaupun mereka perlu melalui pelbagai perjuangan.
Sebagai contoh, Perdana Menteri India
yang baru dilantik, Narendra Modi, membesar sebagai seorang remaja
yang mengendalikan sebuah gerai teh dengan adiknya. Tidak lupa juga
Subhas Chandra Bose yang terkenal, pemimpin radikal yang berjuang
untuk kemerdekaan di India, yang telah dipenjarakan beberapa kali dan
dipukul dengan kejam. Mereka mampu melawan arus dan menjadikan yang
mustahil sesuatu yang mungkin.
Walau bagaimanapun, cerita-cerita yang
kita baca atau tonton di televisyen ini, sering berakhir sebagai
tidak lebih daripada perbualan makan malam atau topik untuk
perbincangan akademik.
Cerita-cerita ini tidak menyentuh kita
secara peribadi kerana tidak melibatkan sesiapa yang diketahui.
Tetapi bagaimana jika ada seseorang berhampiran anda, seseorang yang
tinggal di seberang jalan atau belajar di sekolah yang sama seperti
yang anda, yang telah mencapai kejayaan cemerlang yang memberi
inspirasi kepada anda untuk mengejar impian anda sendiri?
Saya bernasib baik bertemu orang
seperti itu. Ini mengubah cara saya berfikir tentang perkara-perkara
tertentu dan terima kasih kepada beliau kerana telah memberi kesan
kepada hidup saya.
Seorang gadis pintar yang bersahaja,
yang saya dengan bangganya boleh katakan sebagai rakan saya sekarang,
cerita Wong Shin Yee saya percaya perlu diketahui dunia.
Beliau buta dan yang pasti, membesar
tidaklah mudah walaupun ahli keluarganya sentiasa berada di
sampingnya memberi sokongan, terutama sekali ibunya. Semasa
kanak-kanak, Shin Yee cepat mempelajari sesuatu kerana dia memahami
perkataan dengan mudah. Ibunya mengajar beliau menggunakan muzik dan
puisi kanak-kanak, jadi kebanyakan pembelajaran beliau adalah melalui
pendengaran.
Beliau menamatkan pengajian sekolah
rendah di SK Sg Kantan dan kemudian lulus dari SMK Kajang Utama
selepas Tingkatan Lima. Sebahagian besar masa pengajiannya, Shin Yee
telah menggunakan Braille dan komputernya dengan bantuan perisian
komputer yang menuturkan maklumat yang terpapar di skrin.
Di sekolah, dia belajar di kelas biasa
dengan bantuan seorang guru yang menterjemahkan bahan-bahan
pembelajaran ke dalam Braille untuknya. Dia juga mempunyai sekumpulan
rakan-rakan yang membantunya dalam kelas dengan membaca apa yang
telah ditulis di atas papan hitam.
Saya amat terkejut apabila diberitahu
bahawa dia belajar bahasa Inggeris sendiri dengan bantuan komputer
kerana dia bukanlah daripada latar belakang berbahasa Inggeris.
Menurut ibunya, Shin Yee boleh bertutur dalam Bahasa Inggeris dengan
baik hanya ketika berada di tahun terakhir beliau di sekolah rendah.
Video dan audio Bahasa Inggeris membantu beliau meningkatkan
perbendaharaan kata dan sekarang, dia bercakap dengan lancar.
Cintanya terhadap bahasa itu semakin
bertambah apabila dia menjadi kagum dengan cara guru muzik beliau
bercakap dalam bahasa tersebut dengan gaya yang menarik. Dari saat
itu dan seterusnya, minatnya terhadap Bahasa Inggeris meningkat dan
dia telah menulis banyak cerpen dalam talian. Dia merancang
menamatkan kursus ijazah dalam Bahasa Inggeris dan Sastera, dan
bercita-cita untuk menjadi seorang pensyarah atau penulis.
Beliau suka membaca novel dan yang
paling digemarinya ialah Touching Spirit Bear oleh Ben Michaelson.
Ketika belajar di Tingkatan Empat, beliau mewakili Malaysia dalam
satu forum kanak-kanak antarabangsa yang diadakan di Singapura.
Shin Yee juga bermain piano dan apabila
ditanya bagaimana dia belajar untuk bermain tanpa bantuan
penglihatan, dia berkata: "Saya bergantung kepada pendengaran
saya dan walaupun ia mengambil masa lebih sedikit, dengan latihan dan
bantuan pengajar, saya berjaya melengkapkan skor.'' Walaupun muzik
beralun dengan deria pendengaran kita, kebanyakan kita bergantung
kepada lembaran skor muzik dan cenderung melihat kunci piano untuk
memainkan sebuah lagu. Hakikat bahawa Shin Yee mampu lulus
peperiksaan muzik berprestij dan bermain piano dengan baik
memperlihatkan satu sifat yang menakjubkan di dalam dirinya.
Mengimbau kembali pertemuan kami, saya
bernasib baik dapat bertemu Shin Yee dalam satu majlis anugerah. Saya
berjaya mencapai keputusan yang baik di dalam peperiksaan SPM. Tidak
lama selepas saya meninggalkan pentas, jurucakap majlis memanggil
nama dia dan saya teruja menyaksikan gadis ini yang telah berjaya
melepasi pelbagai cabaran dan berjaya memperoleh 6A, empat
daripadanya A +, menikmati kejayaan beliau di pentas yang sama
selepas saya.
Pembawaan dirinya amat baik dan dia
juga mempunyai kemahiran komunikasi yang baik. Saya amat kagum dan
menjadi lebih teruja apabila saya tahu bahawa dia tinggal 10 minit
dari rumah saya.
Saya berkunjung ke rumahnya dan berbual
dengan dia, tanda permulaan persahabatan baharu yang indah.
Satu perkara yang dikatakannya
benar-benar menyentuh hati saya: dia mengaku bahawa dia berasa tidak
ada keperluan yang mendesak untuk mempunyai penglihatan kerana beliau
gembira seadanya. Dalam perbualan saya dengan beliau, tidak pernah
sekalipun dia melihat kehidupannya sebagai sesuatu yang sukar.
"4K hidup: Keghairahan, Kesabaran,
Ketabahan dan Kegigihan adalah penting untuk mencapai impian anda,''
kata Shin Yee apabila saya meminta beliau memberi pandangan tentang
kejayaan. Beliau percaya bahawa hidup boleh menyebabkan kita rasa
murung dan juga gembira, tetapi kita mesti sentiasa kekal positif dan
tidak sekali-kali berputus asa. Setiap masalah ada penyelesaian. Jadi
mesti ada cara untuk menyelesaikannya.
Secara peribadi, saya percaya Shin Yee
akan menyedarkan dunia supaya melihat sesuatu dengan pandangan yang
berbeza, bukan sahaja disebabkan oleh bagaimana dia telah mengatasi
cabaran yang dihadapi tetapi sikapnya yang tidak pernah menganggap
kebutaannya menjadi penghalang kepada matlamatnya mencapai kejayaan.
Cara berfikir beliau perlu dicontohi oleh semua orang, terutamanya
generasi muda.
"Tiada ada sesiapa yang mempunyai
kuasa untuk menghancurkan impian anda, melainkan anda memberikannya
kepada mereka," kata pengarang Amerika, Maeve Greyson.
Kadang-kadang, hidup menyeret kita ke
tahap paling rendah sehingga kelihatan seolah-olah lebih baik mengaku
kalah. Walau bagaimanapun, apabila kita memilih untuk bekerja keras
dan membuktikan kepada orang lain bahawa mereka salah, itulah
ketikanya apabila kita benar-benar melawan arus dan menjadi orang
yang kita dambakan. Sama seperti Shin Yee.