Monday, 22 September 2014

Penghibur veteran masih memikirkan tentang masa hadapan

Rencana "Veteran performer still dreams of the future" bertarikh 20 September 2014 terbit di thestar




Pemuzik Alfred Ho berumur 64 tahun, cacat penglihatan dan terus berusaha mencari nafkah.

Peserta separuh akhir pertandingan Bakat TV 1971, yang bermain di pub-pub dan majlis-majlis keraian selama lebih daripada 30 tahun, tinggal di flat tiga bilik, bersama isterinya, Rufina, di Jalan Kelang Lama.

Beliau menghabiskan hari-harinya mendengar berita dari Internet, dengan bantuan perisian teks-ke-ucapan khas yang membaca berita itu kepadanya.

Dia juga mempunyai blog, yang diberi nama alfredhomusic.blogspot.com, dikemas kini oleh isterinya, yang mempunyai separa penglihatan.

Permintaan untuk membuat persembahan sukar diperolehi, berbanding dengan zaman kegemilangannya apabila dia pernah membuat beberapa persembahan sebulan.

Beliau telah menemui banyak pusat membeli-belah untuk bekerja tetapi jarang berjaya.

"Hakikat yang menyedihkan ialah mereka tidak rasa saya boleh melakukannya tetapi saya boleh menyanyi tanpa henti selama dua jam. Saya seorang pejuang.

"Saya hanya akan berasa murung jika saya tidak boleh menyanyi dan bermain lagi, dan saya berazam untuk membuktikan yang mereka salah," kata anak kelahiran Klian Intan, Perak, dalam satu temu bual di Yamaha Muzik di Kuala Lumpur.

Cerita lelaki ini berkait rapat dengan ketekunan tanpa henti. Ho buta setelah mendapat demam campak pada usia tiga tahun.

"Saya masih seorang kanak-kanak gembira ketika itu," katanya.

Kemudian, dia begitu berazam hendak bermain muzik sehinggakan dia mengikat rubber band ke tin biskut untuk menjadikannya gitar.

Dia kemudian mendapat tempat ke peringkat separuh akhir program pertandingan Bakat TV dan dalam rancangan radio Rediffusion, Take 5, pada tahun-tahun 1970-an.

"Sekurang-kurangnya sebahagian daripada impian saya telah menjadi kenyataan. Orang mengenali saya sejak itu," kata pemuzik berrmuka keanak-anakan ini.

Selepas Bakat TV, dia mengeluarkan lagu sendiri Train To Tennessee dan Wendy's Love yang menerima sambutan.

Beliau juga merakamkan tiga album yang merangkumi lagu-lagu oleh Roy Orbison, Buddy Holly, Billy Ray Cyrus dan Elvis Presley.

Album-album itu ialah Special Gems pada tahun 1993, Love Songs In Gold 1995, serta Nostalgic Country dan Evergreen Favourites pada tahun 1998.

Walaupun melalui masa yang sukar, dia masih berani bermimpi untuk memiliki sebuah kafe satu hari nanti, di mana dia akan menyanyikan lagu-lagu lama.

Ho paling gembira apabila dia membuat persembahan.

Dalam temu bual itu, dia telah mengambil salah satu gitar yang ditayangkan di sekolah muzik tadi dan bermain hampir sedozen lagu atas permintaan. Lagu-lagu itu adalah oleh Elvis Presley, Kenny Rogers, Bee Gees, The Beatles dan Cliff Richard.

Dia kemudian menyanyikan lagu-lagu dalam bahasa Thai, Vietnam, Kantonis, Hokkien dan Melayu, dengan gaya profesional.

Senyuman lebar tidak lama kemudian memenuhi mukanya. Pejalan kaki berhenti untuk menonton, kakitangan di Yamaha Music bertepuk tangan bersama-sama, manakala salah seorang daripada penonton melangkah ke hadapan untuk menyokongnya dengan bermain drum.

"Bermain muzik mengujakan saya. Saya pergi ke dalam dunia yang berbeza. Apabila saya mendengar orang bertepuk tangan dan merasakan muzik, ia membuat saya gembira.

"Tiada hadiah yang lebih besar. Saya menganggap diri saya diberkati," katanya.

Sunday, 21 September 2014

Bagaimana orang buta pun boleh menikmati pemandangan apabila bercuti

Rencana "How even the blind can see the sights on holiday" bertarikh 3 September 2014 terbit di yorkshirepost




Ia telah mengambil masa 10 tahun perjalanan ke lebih 60 buah negara, tetapi Amar Latif akhirnya menemui destinasi percutian yang sempurna.

Apabila usahawan Leeds itu menubuhkan syarikat pelancongan Traveleyes satu dekad yang lalu untuk membolehkan orang buta dan cacat penglihatan menikmati perjalanan bebas, dia tidak tahu ke manakah usaha tersebut akan membawanya.

Encik Latif, yang kehilangan penglihatannya akibat keadaan genetik 20 tahun yang lalu, mula mewujudkan cuti yang menarik dengan melawat setiap destinasi sendiri, dengan bantuan daripada pembantu yang boleh melihat.

Kunci kepada pengalaman perjalanan yang menarik adalah komentar berterusan yang disediakan oleh pelancong yang boleh melihat, katanya.

Meraikan ulang tahun ke-10nya, syarikat itu kini menawarkan di antara lain percutian berlayar di Greece, berjalan di gunung Rila Bulgaria, dan berski di Perancis.

Dia bergurau bahawa "membawa bersama-sama satu set mata" dalam bentuk pelancong yang boleh melihat adalah bermanfaat kepada kedua-duanya kerana pelanggan yang boleh melihat mendapat diskaun.

"Apabila kita memilih sesuatu destinasi, kita tidak memilihnya kerana ia boleh diakses, tetapi lebih kerana sama ada menarik untuk kedua-dua orang buta dan yang boleh melihat.

"Kemudian kami pergi ke sana untuk melihat bagaimana membuatnya boleh diakses.

"Destinasi itu perlu menarik bagi orang buta dan yang boleh melihat kerana separuh daripada pelanggan kami adalah yang boleh melihat."

'Ujian perjalanan' kebanyakannya dibuat oleh Amar dan dia juga bertindak sebagai 'pengurus pelancongan' bagi memastikan pelanggan mendapat yang terbaik daripada percutian tersebut.

Dia telah lupa berapa banyak negara yang dilawati tetapi mungkin "di antara 60 dan 100" dan jumlah sebenar perjalanan adalah kira-kira 400.

Encik Latif telah memperbaharui pasportnya sebanyak tiga kali apabila muka surat di dalamnya penuh dengan kertas dan setem visa.

Baru-baru ini satu perjalanan pencarian maklumat membawanya ke pulau Lefkas Greece untuk satu pengalaman pelayaran dan pada bulan depan 26 orang pelanggan akan menemui apa yang ditawarkan.

Beliau berkata: "pelayaran itu luar biasa. Berlayar dari pulau ke pulau, dengan laut yang tenang indah, kami berhenti di pulau-pulau yang mempunyai bilangan penduduk yang kecil.

"Saya dapat merasakan dari mana angin itu datang dan bahang matahari di belakang badan saya, memang indah."

Pekerjaannya telah membawa dia ke Zambia, Itali, Zimbabwe, Afrika Selatan, Australia, India, Amerika Syarikat dan Mexico.

Tetapi, selepas banyak berfikir, dia percaya Cuba adalah destinasi percutian yang sempurna.

"Muzik salsa, cahaya matahari, perjalanan menggunakan kereta 1950-a, rum, kilang-kilang cerut - dan suasana yang santai.

"Ini adalah tempat visual tetapi pelancong kami yang boleh melihat mengisi ruang maklumat dalam pemandangan - ia adalah satu perkongsian"

Lebih hampir di sini, perjalanan ke Bronte Parsonage Museum di Haworth dan Keighley and Worth Valley Railway telah terbukti popular dengan pelanggan dari Itali, Australia dan Kanada. Selepas sedekad perjalanan, lelaki berusia 39 tahun ini berminat melawat lebih banyak tempat dan telah menambah Cornwall dan Bath ke senarai hasrat beliau.

Sebagai pengembara buta, bukan semua perjalanan berjalan dengan baik. Semasa perbualan, dia kadang-kadang diabaikan orang dan mereka hanya bercakap dengan pembantunya tetapi Encik Latif menggunakan humor untuk meredakan keadaan janggal.

Beliau berkata: "Saya suka mengubah pandangan orang ramai terhadap kebutaan. Apabila orang bertemu dengan OKU penglihatan untuk pertama kalinya, mungkin mereka tidak tahu bagaimana hendak menghadapinya. Saya lebih suka menjelaskan, daripada mengeluh. Dan jenaka boleh menenangkan keadaan."

Membantu OKU penglihatan dalam perbankan santai

Rencana "Helping visually-impaired in leisurely banking" bertarikh 3 September 2014 terbit di thehindu




Ahmedabad, India - Sekumpulan 27 orang pelajar dari Pusat Perancangan Alam Sekitar dan Teknologi di sini telah mereka bentuk projek "kehidupan sebenar", yang akan membantu transaksi perbankan rutin OKU penglihatan secara lebih bebas.

"Pavilion eksperimen" - berbentuk ikan yang dikenali sebagai pod telah dirasmikan di GCP Business Centre di bandar ini. Menggunakan semaksimum mungkin deria sentuhan, pod dengan dua bahagian itu dibahagikan kepada kawasan perbankan dan kafeteria untuk OKU penglihatan.

"Kami, sebagai pereka, menyedari bahawa banyak yang direka hari ini tidak memenuhi apa yang dirasai oleh [deria sentuh untuk melihat alam sekitar]. Terdapat begitu banyak maklumat visual di sekeliling kita dan kita tidak menjumpai ruang awam yang mesra OKU penglihatan. Oleh itu, kami mengambil keputusan untuk mereka bentuk ruang dalam atrium awam yang mempunyai fungsi bersepadu perbankan dan masa lapang yang mengambil kira mereka sebagai pengguna," kata nota paparan daripada pelajar-pelajar tahun kedua Fakulti Rekabentuk.

Apabila OKU penglihatan masuk ke dalam bank, dia akan disambut dengan peta utama dengan pelbagai tekstur permukaan - permukaan yang berjalur atau bergerutu. Setiap satu daripada tekstur ini sepadan dengan kawasan perbankan atau masa lapang yang ditandakan pada peta dalam Braille. Pelanggan kemudiannya menyentuh kawasan sekitar pod tersebut menurut tekstur. Seorang pengurus hubungan juga diambil kira untuk memenuhi permintaan perkhidmatan pelanggan.

"Sentuhan Yang Lebih Manusiawi"

Struktur, yang cuba mewujudkan rasa sebuah akuarium bagi OKU penglihatan, juga memecah tanggapan konvensional sebuah pejabat sebagai ruang yang tertutup dan membayangkan kawasan yang lebih terbuka di mana interaksi adalah lebih "manusiawi dan peribadi."

Konsep reka bentuk, yang dibangunkan dengan kerjasama Axis Bank, bermula sebagai satu projek studio, tetapi telah diperluaskan kepada projek kehidupan sebenar.

Saturday, 20 September 2014

Untuk penumpang bas buta, aplikasi baru meningkatkan keupayaan berdikari

Rencana "For blind bus riders, a new app boosts independence" oleh Madeline Kennedy bertarikh 2 September 2014 terbit di news.yahoo




New York (Reuters Health) - Satu aplikasi telefon pintar baru membantu orang buta mengemudi transit awam di kawasan Seattle.

Aplikasi yang dinamakan StopInfo, disepadukan ke dalam aplikasi sedia ada yang popular dipanggil OneBusAway yang memberikan maklumat masa sebenar berkenaan lokasi bas bandar. StopInfo menambah maklumat yang membantu penumpang buta mencari perhentian bas.

"Apabila pengguna mahu maklumat terperinci tentang perhentian transit, dia menyentuh butang dan sistem itu akan memaparkan maklumat, seperti kedudukan perhentian berbanding dengan persimpangan jalan, sama ada terdapat sebuah bangku dan tong sampah, apa bentuk tiang papan tanda. . . Maklumat ini boleh dibaca dengan kuat untuk pengguna telefon yang buta, menggunakan mod VoiceOver," jelas Alan Borning dalam e-mel kepada Reuters Health.

Borning ialah seorang profesor di University of Washington. Pelajar siswazah beliau mencipta aplikasi baru tadi.

Walaupun StopInfo memperoleh kebanyakan maklumatnya dari pangkalan data King County Metro, ia juga bergantung kepada maklumat daripada pengguna komuniti, yang buta dan sebaliknya. Untuk memastikan maklumat yang ditambah oleh pengguna adalah betul, app itu menggunakan sistem pengundian, di mana setiap penyertaan dikira sebagai satu undi. Untuk disahkan, setiap penghantaran mesti mendapat sekurang-kurangnya tiga undi dan 75% permohonan lain mesti menyokongnya.

StopInfo boleh didapati secara percuma dan menggunakan platform IOS (iPhone), Android, dan Windows Phone, dan juga melalui SMS, maklum balas suara interaktif, dan Web.

Ia telah digunakan secara meluas, menurut Caitlin Bonnar, salah seorang pencipta app tersebut.

Beliau memberitahu Reuters Health melalui e-mel yang StopInfo "diakses, secara purata, kira-kira seribu kali sehari semenjak kami melancarkannya pada lewat bulan Februari, yang menunjukkan bahawa ia juga digunakan oleh penduduk awam. Kami telah menerima kira-kira 1,300 permohonan maklumat untuk 845 perhentian bas yang unik sekitar Seattle sejak itu. "

Oleh kerana StopInfo semakin popular, penciptanya mengambil enam pengguna pertengahan umur untuk kajian kecil tentang bagaimana ia memberi kesan kepada cara perjalanan orang buta. Tiga peserta buta sepenuhnya; sementara yang lain bebeza-beza tahap penglihatan yang boleh digunakan. Empat tinggal di pinggir bandar Seattle, manakala dua tinggal di pusat-pusat bandar.

Keputusan, yang akan dibentangkan di persidangan tahunan Association for Computing Machinery pada bulan Oktober dan dilaporkan dalam penerbitan Association’s Assets '14, menunjukkan bahawa StopInfo secara umum membantu pengguna buta dan boleh menggalakkan perjalanan spontan dan yang belum diterokai.

Kajian ini berlangsung kira-kira lima minggu, di mana para peserta telah diminta untuk mengisi borang web dengan butiran 10 hingga 20 perjalanan yang mereka ambil dalam tempoh itu.

Para peserta ini sudah mahir dalam perjalanan secara bebas dan menggunakan telefon pintar, dan oleh itu penyelidik mengambil perhatian bahawa mereka mungkin tidak menggambarkan penduduk umum.

Borning berkata peserta, "mendapati sistem itu boleh digunakan dan maklumatnya membantu. . . Semua peserta berkata, mereka akan terus menggunakan StopInfo selepas kajian. "

Dia dan murid-muridnya paling berminat dalam tiga unsur: kebolehgunaan, kebebasan dan keselamatan. Kebebasan adalah yang paling penting, kerana ini adalah satu halangan yang berterusan untuk orang buta dan telah dinilai sebagai sangat penting oleh peserta.

Keputusan menunjukkan bahawa app itu menyokong kebebasan. Peserta berkata pada 29 (38%) borang web bahawa mereka biasanya tidak akan mencuba sesuatu perjalanan yang diambil dan merujuk kepada StopInfo pada 26 (89%) daripada perjalanan-perjalanan itu.

StopInfo tidak memberi kesan ketara terhadap perasaan selamat, bagaimanapun - dan penyelidik takut pengguna mungkin merasa terdedah kepada peragut semasa menggunakan telefon pintar mereka di khalayak ramai.

Dalam pengauditan berjalan kaki, penyelidik mendapati bahawa maklumat app adalah 100% tepat dalam hampir semua kategori. Jeff Switzer, dari Jabatan Pengangkutan King County, memberitahu Reuters Health melalui e-mel bahawa jabatannya telah bekerjasama dengan pencipta "untuk meletakkan langkah-langkah tertentu yang boleh memantau sistem dan mendedahkan vandalisme data kepada perhatian mereka untuk susulan dan pembetulan. "

Walaupun app dalam kelompok yang sama, OneBusAway, beroperasi di beberapa bandar di seluruh negara, StopInfo terhad kepada kawasan Seattle. Borning, yang juga terlibat dalam mewujudkan OneBusAway, merasakan bahawa buat masa ini, StopInfo paling baik dibiarkan beroperasi sebagai program perintis. Ia perlu dinilai dalam tempoh masa yang lebih panjang, beliau berkata, "untuk melihat bagaimana bergunanya untuk jumlah orang yang lebih besar, untuk melihat sama ada kita boleh mengekalkan penyertaan dalam memasukkan dan mengesahkan maklumat, dan untuk melihat bagaimana ia sesuai dengan operasi agensi transit."

Marion Hersh dari Universiti Glasgow di Scotland, yang mempelajari teknologi bantuan dan hilang upaya tetapi tidak terlibat dalam penyelidikan baharu ini, bersetuju. Beliau menekankan kepentingan menyeragamkan app di seluruh sistem transit bandar yang berbeza supaya orang buta boleh bergerak di antara bandar-bandar itu dengan mudah. Sebaik-baiknya, sistem itu akan "berfungsi di semua perhentian bas kalau boleh di seluruh dunia," Hersh memberitahu Reuters Health melalui e-mel.

Borning optimis tentang alat-alat seperti ini. "Kita berada dalam zaman yang menarik untuk menyokong kebebasan orang buta dan yang rendah penglihatan - dan orang kurang upaya secara lebih umum - menggunakan teknologi yang sudah terbina seperti telefon pintar," katanya.

Friday, 19 September 2014

Gadis buta semenjak bayi menang reben biru

Rencana "Girl blind since infancy wins blue ribbon" oleh Chris Hottensen bertarikh 31 Ogos 2014 terbit di thesouthern




Du Quoin, Illinois, AS - Taengkwa Sturgell mahir benar dengan persekitaran di arena persembahan.

Buta sejak lahir, gadis berusia 12 tahun dari Harmony Baru, Indiana, dengan anggun dan cekap membawa anak lembu baka limousin di sekitar arena persembahan pada hari Sabtu itu di Pesta Negeri Du Quoin.

"Ia memang mudah dan seronok," kata Sturgell.

Mempamerkan anak lembu baka limousin, dia sering bersaing dengan kakaknya, Parker yang berusia 17 tahun.

Ia satu persaingan dalam keluarga yang bersahaja, kadang-kadang Parker yang menang dan ada kala Taengkwa pula membawa pulang reben biru pada ketika lain.

Pada hari Sabtu, Taengkwa dan anak lembunya, Sunnie, mengalahkan kakaknya, dengan memenangi pertandingan Semua Baka Lain dalam pertandingan Ternakan Junior yang ditaja oleh buyafarm.com.

"Saya sangat gembira dia menang," kata Parker Sturgell.

Hakim Charles Lemenager sangat memuji kedua-dua Taengkwa dan anak lembunya.

"Ini sudah pasti apa yang dikehendaki" kata Lemenager semasa penilaian. "Kita ada seekor lembu betina merah yang benar-benar baik tanpa ragu-ragu. Saya rasa, dalam fikiran saya, wanita muda ini melakukan sesuatu yang baik mempamerkan dia. "

Bapanya, Dave Sturgell, meminjamkan mata dan suaranya untuk Taengkwa semasa di gelanggang.

"Saya ada orang yang bersama-sama saya di gelanggang dan memberitahu saya bila hendak pergi ke kiri atau kanan dan bila hendak berhenti dan mengusap lembu," kata Taengkwa.

Dilahirkan di Thailand, Taengkwa, yang bermaksud "timun" dalam bahasa Thai, telah diambil sebagai anak angkat oleh keluarga Sturgell pada tahun 2007 ketika berusia lima tahun.

Beliau senang membesar di ladang bersama-sama ibu bapa serta dua adik-beradik perempuan dan seorang lelaki.

"Keluarga ini hebat," kata Taengkwa. "Saya dapat menternak haiwan dan menaiki traktor."

Taengkwa dilahirkan dengan retinopati pra-matang, satu keadaan yang boleh dirawat, tetapi ia tidak dilakukan untuk mata Taengkwa semasa dia bayi.

"Berat badan dia kira-kira 2 paun ketika lahir. Apa yang saya fahami, mata lewat berkembang jadi apabila anda dilahirkan, mata tadi cuba berkembang dengan cepat dan sering kali menyebabkan banyak saluran darah terbentuk yang akan dibekalkan kepada mata, tetapi berakhir menyebabkan parut di tisu, dan menanggalkan retina," kata bapanya.

Tetapi Taengkwa atau lebih mesra dipanggil "Tanks" oleh keluarganya, tidak membiarkan keadaan matanya menghalangnya daripada melakukan kerja-kerja di ladang atau ke sekolah.

Dia memelihara anak-anak lembunya sendiri, memberi mereka makan dan membawa mereka berjalan. Dia malahan berbasikal di ladang.

"Pada musim bunga ini dia berkata, 'Mari kita cuba tanpa roda latihan, dan jadi kami tanggalkan roda latihan dan dalam tempoh lima minit, dia menunggang basikal tadi," kata bapanya.

Beliau menghadiri kelas arus perdana di Haubstadt Community School dan seminggu sebulan menerima latihan penjagaan diri dan pergerakan di Indiana School for the Blind.

"Dia boleh melakukan apa yang orang lain boleh," ibunya Jeanette Sturgell berkata. "Dia hanya perlu melakukannya secara berbeza."

Taengkwa mengekalkan hubungan istimewa dengan haiwan yang dipeliharanya. Selepas menerima reben biru, dia tidak berenggang langsung daripada anak lembunya, terus-menerus membelai dan menepuk-nepuk Sunnie.

"Anak-anak lembu peliharaannya memang mudah dibela," kata bapanya. "Kadang-kadang anda melihat mereka di gelanggang dan seolah-olah ada pertalian di sana."

Chris Harbison, penyelaras acara, masih ingat senyuman pada wajah Taengkwa apabila dia memenangi hadiah riben biru pertamanya di pameran itu.

"Memerhatikan perkembangannya dalam tempoh empat tahun dia berada di sini, adalah luar biasa betapa lebih selesa dia sekarang," kata Harbison. "Memang meruntun perasaan."

Melihat Taengkwa bersaing menyerlahkan semangat Pesta Negeri Du Quoin, kata Harbison.

"Inilah yang menjadikan Du Quoin, Du Quoin. Ia begitu unik sehinggakan sesiapa sahaja, tanpa mengira apa yang telah diberi dalam hidup, anda akan berpeluang hadir di sini. Anda boleh turut serta sama seperti orang lain."

Thursday, 18 September 2014

Haiwan liar yang melompat dari halaman buku

Rencana "Wild animals that jump from the page" oleh Supoj Wancharoen bertarikh 30 Ogos 2014 terbit di bangkokpost




Sejenis buku Braille baru untuk Thailand membuat kejutan kepada dunia pendidikan OKU penglihatan

Apabila jari Sitthikorn Munglai mengesan keluk rupa bentuk patung di dalam buku di hadapannya, dia berseri-seri dengan kegembiraan. Ia adalah sesuatu yang tidak pernah dialami sebelumnya dalam hidupnya.

"Saya rasa berbeza," kata pelajar yang cacat penglihatan dari The Bangkok School for the Blind. Dia belajar tentang bentuk haiwan yang tidak pernah dilihatnya di dalam buku Dueng Dueng Dueng itu.

"Rupa bentuk gambar itu muncul dari lembaran kertas yang rata. Ia berbeza daripada Braille yang biasa saya gunakan untuk belajar. Hati saya berdebar-debar," katanya sementara enggan berhenti menikmati pengalaman baru ini.

Diilhamkan oleh guru yang kini menjadi penulis Cheewan Wisasa, Dueng Dueng Dueng Dueng (dueng meniru bunyi lucu yang dibuat oleh haiwan apabila mereka melompat) telah diubahsuai oleh Thongyoi Chiengthong, seorang guru di Bangkok School for the Blind. Dia menukar cerita tadi ke dalam bentuk buku ukiran timbul, membolehkan pelajar cacat penglihatan "melihat" haiwan.

Cik Thongyoi menjelaskan haiwan yang dipilih untuk buku tersebut mestilah yang boleh melompat supaya menepati tajuk buku ini.

"Kanak-kanak sukakan buku ini kerana mereka boleh merasa bentuk binatang sebenar yang melengkung keluar dari kertas," katanya sambil menambah pelajar-pelajar cuba meniru lompatan haiwan di dalam kelas.

Disertakan dengan teks Braille, buku 10 muka surat itu mempunyai pelbagai jenis haiwan dengan ciri-ciri dan bentuk fizikal yang unik. Sebagai contoh, seekor arnab mempunyai telinga panjang dan ekor pendek yang berbentuk bulat, manakala katak mempunyai badan bulat dan dua mata besar tetapi tiada ekor. Ia sesuai untuk dipelajari kanak-kanak, kata Cik Thongyoi.

Buku untuk orang buta ini, yang dilancarkan tahun lepas, merupakan kerjasama antara Yayasan SCG yang komited meningkatkan kesedaran berhubung aktiviti membaca untuk ahli keluarga dan menggalakkan kanak-kanak menjalin tabiat membaca, dengan Foundation for the Blind di Thailand di bawah Naungan Diraja Baginda Queen Sirikit.

Dilancarkan pada tahun lepas, Cik Thongyoi mendakwa buku ini adalah yang pertama seumpamanya mempunyai ukiran timbul untuk pembaca yang cacat penglihatan. Terdapat 350 salinan untuk edisi pertama, diedarkan kepada 20 buah sekolah untuk orang buta di seluruh negara.

Buku ini boleh menjadi alat yang baik untuk orang yang cacat penglihatan. Ia boleh mencetuskan imaginasi mereka apabila belajar menggunakan deria untuk meneroka rupa bentuk yang timbul di atas kertas. Oleh itu, mereka kini boleh bayangkan bagaimana rupa seekor haiwan," kata Cik Thongyoi, yang telah menjadi guru pelajar-pelajar OKU penglihatan selama 20 tahun dan mempunyai pengalaman bertahun-tahun menyediakan bahan-bahan pengajaran untuk mereka.

Dia berkata Dueng Dueng Dueng Dueng adalah alat yang sempurna untuk meningkatkan imaginasi kanak-kanak yang mungkin tidak memahami sepenuhnya bahan Braille.

Sebelum projek unik ini, bahan-bahan pengajaran beliau untuk OKU penglihatan sentiasa meliputi bentuk-bentuk geometri. Walau bagaimanapun, Dueng Dueng Dueng Dueng hadir dengan butir-butir bentuk ukiran timbul yang unik.

"Saya mahu membuat suatu perubahan. Dan saya mahu pelajar mempunyai pengalaman pembelajaran yang baru," kata guru itu. Buku ini telah dicipta menggunakan kertas Brailon yang kuat dan tahan lama tetapi sangat mahal.

Walaupun harganya tinggi, dia berkata, kertas yang berkualiti tinggi itu adalah sempurna untuk penciptaan rupa bentuk haiwan dan bermakna buku ini boleh bertahan selama lebih daripada 10 tahun.

"Kita perlu melabur untuk mewujudkan bahan yang baik untuk orang buta. Itulah sebabnya buku seperti ini jarang ditemui dan digunakan untuk kumpulan tertentu," katanya.

Cik Thongyoi berkata sesetengah guru memutuskan untuk menggunakan teknik perbandingan apabila mengajar pelajar cacat penglihatan mereka tentang perbezaan dengan menjelaskan bahawa harimau kelihatan seperti kucing, tetapi lebih besar.

Tetapi guru yang berinovasi ini berkata kelebihan Dueng Dueng Dueng Dueng untuk orang buta adalah ia membolehkan pelajar cacat penglihatan menumpukan perhatian, menghasilkan peningkatan pembelajaran kemahiran. Ia juga menjadikan pengajaran dan pembelajaran lebih seronok. Selain itu, ia memberi peluang kepada kanak-kanak berlatih bertanya soalan.

"Setelah mereka merasa rupa bentuk yang timbul, mereka boleh berkongsi bagaimana bentuk itu kelihatan bersama rakan-rakan. Ramai mula mempersoalkan jika apa yang mereka rasa adalah sama dengan apa yang orang lain rasa," kata Cik Thongyoi.

Satu lagi faedah penting yang telah diperhatikan adalah bahawa buku itu meningkatkan tahap interaksi di antara guru dan pelajar semasa sesi soal jawab, di samping menggalakkan penyertaan di dalam kelas.

"Kita tidak tahu jika pelajar suka atau tidak sesuatu mata pelajaran apabila mereka belajar dengan menggunakan bahan-bahan pembelajaran Braille," katanya.

"Saya teruja menghadiri kelas yang boleh belajar daripada Dueng Dueng Dueng Dueng," kata pelajar cacat penglihatan Thitikorn Nuengkhum di Bangkok School for the Blind. "Saya dapati buku itu amat menyeronokkan dan menghiburkan. Ia menjadikan kelas lebih menarik. Amatlah baik jika terdapat lebih banyak buku seperti ini. "

Cik Thongyoi berkata guru dan ibu bapa yang berminat belajar membuat sebuah buku yang dihiasi dengan rupa bentuk yang melengkung keluar daripada kertas boleh menghubungi Bangkok School for the Blind di mana mereka boleh memperoleh pengetahuan dan teknik-teknik secara percuma.

"Saya bersedia untuk memberi pengetahuan yang boleh menjadi berguna bagi orang. Saya suka mengajar," kata guru itu.

Permulaan yang kecil

Bangkok School for the Blind telah ditubuhkan pada tahun 1939 oleh seorang guru cacat penglihatan Amerika bernama Genevieve Caulfield. Dia menyewa sebuah rumah kecil di daerah Sala Daeng yang berkhidmat sebagai sebuah sekolah untuk orang buta.

Sepuluh tahun kemudian, Field Marshal Plaek Piboonsongkram meluluskan penempatan semula sekolah itu ke lokasi baru di kawasan seluas lapan rai yang dimiliki oleh Biro Harta DiRaja di daerah Ratchathewi. Sekolah ini telah didaftarkan di bawah Kementerian Pelajaran pada tahun 1960.

Bangkok School for the Blind adalah sebuah sekolah rendah yang menyediakan pendidikan untuk pelajar-pelajar di Tadika sehingga Gred 6. Terdapat kira-kira 150 pelajar yang mempunyai masalah penglihatan.

Wednesday, 17 September 2014

Muda, berbakat ... dan pekak-buta - baca kisah benar Molly Watt ini

Rencana "Young, gifted... and deaf-blind - read Molly Watt's true story" oleh Sarah Whiteley bertarikh 29 Ogos 2014 terbit di reveal




Molly Watt, 19, dari Berkshire adalah sama seperti mana-mana remaja lain. Kecuali dia tidak dapat melihat atau mendengar ...

"Orang sering berfikir saya bergurau apabila mereka diberitahu tentang keadaan saya. Atau mereka tidak percaya saya. "Tetapi anda kelihatan begitu biasa," mereka akan berkata, keliru. Sudah tentu saya normal. Tetapi saya juga pekak dan buta.

Saya menghadiri kolej, pergi clubbing dan mempunyai teman lelaki. Saya suka mengembara, filem, muzik dan Starbucks. Walau bagaimanapun, saya juga mempunyai anjing pemandu dan memakai alat bantuan pendengaran.

Saya dilahirkan pekak tetapi secara jujur, itu tidaklah menjadi hal yang begitu besar. Ya, ia memang mencabar tetapi saya tidak tahu membezakannya. Saya membesar dengan terapi pertuturan dan temu janji audiologi, dan setelah saya dipasangkan dengan alat pendengaran, saya belajar bagaimana hendak bercakap. Rakan-rakan saya di sekolah rendah dengan cepat belajar bagaimana hendak berkomunikasi dengan saya, menguit saya untuk mendapatkan perhatian saya dan memastikan kami dekat apabila mereka bercakap.

Ketika berumur 11 tahun, penglihatan saya mula merosot. Apabila berumur 12 tahun, saya menghadapi kesukaran melihat papan hitam di sekolah dan menghidap migrain. Ujian mata mengesahkan saya menghidapi retinitis pigmentosa (RP), satu keadaan yang menyebabkan buta malam dan silau, dan juga penglihatan terowong. Tetapi hanya apabila saya berumur 14 tahun, baharulah ibu bapa saya memberitahu setakat mana keadaan sebenar saya. Saya mempunyai sindrom Usher - satu keadaan genetik yang menyebabkan kehilangan kedua-dua pendengaran dan penglihatan.

Ia boleh menyebabkan tetapi tidak semestinya bermakna buta sepenuhnya. Sesetengah pesakit mengekalkan sedikit penglihatan pusat. Saya tidak bernasib baik. Saya benar-benar akan kehilangan penglihatan saya. Saya tidak menangis, tidak menjerit, tidak merasa apa-apa. Kejutan itu membuat saya terpaku.

Emak bertekad saya melihat dunia sebanyak yang mungkin semasa saya masih boleh. Kami pergi ke Florida, New York dan Chicago supaya saya dapat menimba kenangan sebanyak yang mungkin.

Pada satu perjalanan kami, seorang kanak-kanak kecil sedang meragam di lapangan terbang. Saya cuba mengikutnya ketika dia melarikan diri daripada ibu bapanya tetapi penglihatan saya tidak dapat mengekorinya. 'Mak, jika saya mempunyai anak, mak fikir adakah saya akan dapat melihat mereka?' Saya bertanya. Tetapi dia tidak dapat menjawab.

RP - sisi visual sindrom Usher - adalah suatu keadaan yang progresif dan penglihatan saya merosot dengan begitu cepat. Kehidupan berubah sama sekali - saya mula jatuh terlanggar barang dan orang. Ketika dunia luar bertambah gelap, begitu juga perasaan saya.

Sekolah saya, yang selama ini sentiasa sangat bertolak ansur, tidak lagi dapat menyokong saya jadi saya berpindah ke sekolah murid pekak. Tetapi pekak dan pekak-buta adalah berbeza dan saya rasa lebih keseorangan berbanding sebelum ini.

Saya menjadi pemarah dan pada satu pagi, kemarahan saya meletus seperti ribut yang bergelora. Saya melemparkan DVD dan cadar di dalam bilik saya merata-rata, melolong tentang ketidakadilan yang berlaku. Walaupun ketika adik saya, Lily, yang sekarang berumur 14 tahun, berjengket-jengket masuk untuk melihat jika saya tidak apa-apa, saya menghalaunya keluar. Dia boleh berjalan kaki ke sekolah, keluar bersama kawan-kawan dan bersukan. Saya pula telah dipenjarakan dalam deria sendiri yang semakin gagal.

Apabila rakan-rakan mengeluh di Facebook tentang teman lelaki dan ibu bapa, saya merasa hendak menjerit bahawa mereka tidak tahu betapa bertuahnya mereka. Saya lenyapkan ramai orang daripada hidup saya - dari dunia maya dan yang sebenar.

Dalam saat-saat yang paling gelap, saya tertanya-tanya jika keadaan akan menjadi lebih baik jika saya tidak hidup langsung. Hanya kasih sayang dan sokongan daripada keluarga saya menghalang pemikiran seperti itu bertapak kukuh

Saya telah didaftarkan buta ketika berumur 14 tahun dan apabila mencapai umur 16 tahun, saya diberi anjing pemandu, Unis, yang saya sayangi serta-merta. Tetapi saya tidak sampai hati menggunakan dia dengan betul, kerana itu bermakna mengakui saya buta. Keadaan saya seolah-olah menguasai hidup saya, saya berhenti berusaha mencapai perkara yang selalu difikirkan akan dilakukan.

Saya tidak pernah dapat memandu dan mendapat pekerjaan sambilan seolah-olah mustahil, pelbagai syarikat memberitahu saya yang mereka tidak mengambil pekerja pada minggu yang sama mereka mengambil rakan-rakan saya.

Namun, kekecewaan inilah yang betul-betul membuatkan saya lebih berazam. Saya mempunyai dua pilihan - menyerah atau bertindak. Saya memilih yang kedua.

Mendaftar di Strode's College Surrey mengubah hidup saya sepenuhnya. Walaupun ia adalah sebuah sekolah arus perdana, ia membuat beberapa perubahan kecil untuk membantu saya. Langsir bilik darjah telah ditutup pada hari yang cerah supaya saya tidak mendapat migrain yang teruk dan saya diberi nota bercetak huruf besar untuk mengelakkan mata dibeban ketegangan.

Saya mendapat rakan-rakan yang hebat dan, setelah tiga tahun, saya suka berjalan-jalan keluar. Menjadi pekak-buta tidak menghalang saya daripada kelihatan menarik. Saya menggunakan alat solek pada satu mata dahulu, dan kemudian akan menggunakan zoom di telefon saya bagi memastikan ia betul.

Tetapi itu tidak menghalang kejadian yang tidak diingini terjadi sekali-sekala, seperti masa saya memakai baju baru dengan pelekat yang masih melekat padanya. "Awak tidak perlu menunjuk-nunjuk yang awak pakai baju saiz kecil," gurau seorang rakan.

Saya pernah risau keadaan saya akan menghalang peluang mempunyai seorang teman lelaki. Tetapi pada musim panas lalu, saya bertemu Dan, 21 tahun, di sebuah kelab. Kami tidak dapat dipisahkan semenjak itu dan keyakinan saya telah melonjak. Dia sangat menyokong dan berbangga dengan siapa saya. Dia juga menyakinkan saya untuk mula menggunakan Unis dengan cara yang betul. Sekarang saya akan memegang abah-abah atau harness Unis dengan sebelah tangan dan memegang Dan dengan sebelah tangan lagi.

Saya teruja meningkatkan kesedaran tentang sindrom Usher. Saya telah bercakap di hadapan ahli-ahli politik serta pakar-pakar dan pada tahun 2010, saya telah terpilih sebagai Young Deaf-Blind Person of the Year untuk pertubuhan amal, Sense. Sejak bulan Januari saya telah menjadi duta Sense kerana kerja-kerja saya. Malahan saya menjadi penceramah jemputan di Sekolah Perubatan Harvard di Boston, Amerika Syarikat, bulan lepas.

Saya telah ditawarkan tempat untuk mengikuti kursus ijazah perguruan dan walaupun saya akan menghadapi lebih banyak halangan berbanding orang lain, saya berazam untuk berjaya. Saya hanya seorang gadis biasa yang juga pekak dan buta. Dan itu tidak cukup untuk menghalang saya. "