Showing posts with label The Star. Show all posts
Showing posts with label The Star. Show all posts

Friday, 3 October 2014

Panduan tentang anjing pemandu di Malaysia

Rencana "A Malaysian Guide to guide dogs" oleh Tan Yi Liang bertarikh 1 October 2014 terbit di thestar




PETALING JAYA: Pendidikan adalah jalan utama anjing pemandu boleh diterima secara sosial sebagai satu cara membantu OKU penglihatan Malaysia, kata ahli Jawatankuasa Hak Asasi Manusia Majlis Peguam Mohammad Faizal Che Yusof.
"Orang ramai masih sensitif terhadap anjing dan perlu ada pendidikan dan kesedaran untuk menuju kepada perubahan. Kita jarang melihat anjing pemandu dengan sesiapa di sini, "kata Mohammad Faizal.
Mohammad Faizal, yang diminta mengulas mengenai insiden yang dimuatkan dalam video Facebook tentang anjing pemandu untuk orang buta, LaShawn dan pengendalinya yang buta, Stevens Chan, berkata mana-mana sekatan ke atas orang buta menggunakan anjing pemandu perlu mengambil kira hak-hak mereka berhubung kebebasan pergerakan di bawah Perlembagaan Persekutuan.
"Sebagai warganegara Malaysia, anda mempunyai hak untuk bergerak di mana sahaja yang anda mahu selagi anda tidak melanggar mana-mana undang-undang dan peraturan-peraturan," kata Mohammad Faizal, yang juga seorang buta.
Dalam video berjudul "Are you blind? The embarrassing truth about Malaysians" Chan yang berusia 52 tahun dan LaShawn ditunjukkan tidak dibenarkan menaiki teksi dan bas, dan akhirnya diberitahu supaya meninggalkan sebuah kompleks membeli-belah di Kuala Lumpur.
Walau bagaimanapun, Mohammad Faizal mengingatkan bahawa peraturan tempatan memang wujud, dan rakyat Malaysia yang buta yang menggunakan anjing pemandu dan rakyat Malaysia yang boleh melihat harus menyeimbangkan penggunaannya.
"Keseimbangan perlu diambil antara hak mereka untuk pergerakan sebagai orang kurang upaya dan sensitiviti orang lain," katanya.
Ketika ditanya apa yang boleh dilakukan untuk membolehkan rakyat Malaysia yang buta akses yang sama kepada kemudahan awam dan pengangkutan awam, Mohammad Faizal berkata haiwan itu adalah satu pengalaman yang sangat baru bagi ramai rakyat Malaysia. "Rakyat Malaysia dari semua kaum agak terkejut apabila melihat orang buta dibantu oleh anjing pemandu. Jika orang tahu bagaimana berkesannya anjing ini, mereka akan terkejut, "kata Mohammad Faizal.
Dalam perbualan telefon dengan The Star Online, Mohammad Faisal berkata anjing pemandu yang betul-betul terlatih menjaga kebajikan tuannya dengan cara yang "profesional".
"Mereka profesional, tahu apa yang perlu dilakukan untuk pemilik mereka dan bagaimana melindungi orang itu daripada bahaya," katanya.
Mohammad Faizal memberi contoh Mahomed-Abraar Khatri yang dibenarkan melalui fatwa yang dikeluarkan pada tahun 2008 oleh Majlis Syariah Undang-undang Islam UK untuk membawa dan bergantung kepada anjing pemandu Vargö apabila dia menggunakan masjid Bilal Jamia di Leicester.
"Pihak masjid membina sebuah bilik khas untuk anjing ini untuk berehat semasa waktu solat. Inilah sebabnya mengapa media mesti membantu menyebarkan kesedaran tentang bagaimana anjing pemandu berfungsi, bagaimana mereka membantu orang buta, "kata Mohammad Faizal. Ketika dihubungi, Senator Dewan Negara Bathmavathi Krishnan berkata kepada orang yang buta, anjing pemandu yang terlatih merupakan alat bantuan membantu orang berkenaan menjalani kehidupan yang bebas.
"Sudah tentu, ia boleh menjejaskan beberapa sensitiviti, tetapi anjing itu di situ untuk membantu orang itu," kata Bathmavathi. Beliau memetik kenyataan pada 2013 oleh mufti Perlis Dr Juanda Jaya, yang berkata pada Januari 2013 bahawa menggunakan khidmat anjing pemandu yang terlatih adalah dibenarkan dalam Islam
"Jika suatu dekri boleh dikeluarkan dari Majilis Fatwa, ia boleh membantu sebagai panduan kepada umat Islam," kata Bathmavathi, yang merupakan Presiden Persatuan Wanita Kurang Upaya Malaysia.
Ketika diminta mengulas mengenai video Chan dan LaShawn, Bathmavathi berkata mereka yang bergantung kepada anjing pemandu mempunyai hak asasi untuk bergantung kepada anjing itu dan tidak didiskriminasi. "Saya tidak fikir mereka perlu dihalang daripada kompleks membeli-belah atau dinafikan menggunakan bas atau kereta api, jika dilihat dari perspektif hak asasi manusia. Seseorang yang kurang upaya mempunyai hak untuk menggunakan beberapa jenis bantuan seperti anjing pemandu, "katanya.
Bathmavathi bagaimanapun mengingatkan, bahawa perlu ada satu badan yang mengawal dan memperakui latihan ini supaya tingkah laku anjing itu memenuhi standard antarabangsa tertentu yang boleh diterima . "Pengendali juga perlu dikaji supaya bertanggungjawab terhadap kelakuan anjing pemandu," kata Bathmavathi.
Pada masa ini, Chan, yang merupakan pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Glaukoma Malaysia sedang meningkatkan kesedaran penggunaan anjing pemandu melalui Dogs For Sight (DFS) kempen oleh Save One's Sight Mission (SOSM)
Chan telah dilaporkan oleh The Star berkata DFS merancang untuk mengetengahkan anjing pemandu supaya dibenarkan dalam kemudahan awam seperti kereta api dan hotel dan dengan itu lebih banyak anjing pemandu boleh dibawa masuk ke Malaysia.

Monday, 22 September 2014

Penghibur veteran masih memikirkan tentang masa hadapan

Rencana "Veteran performer still dreams of the future" bertarikh 20 September 2014 terbit di thestar




Pemuzik Alfred Ho berumur 64 tahun, cacat penglihatan dan terus berusaha mencari nafkah.

Peserta separuh akhir pertandingan Bakat TV 1971, yang bermain di pub-pub dan majlis-majlis keraian selama lebih daripada 30 tahun, tinggal di flat tiga bilik, bersama isterinya, Rufina, di Jalan Kelang Lama.

Beliau menghabiskan hari-harinya mendengar berita dari Internet, dengan bantuan perisian teks-ke-ucapan khas yang membaca berita itu kepadanya.

Dia juga mempunyai blog, yang diberi nama alfredhomusic.blogspot.com, dikemas kini oleh isterinya, yang mempunyai separa penglihatan.

Permintaan untuk membuat persembahan sukar diperolehi, berbanding dengan zaman kegemilangannya apabila dia pernah membuat beberapa persembahan sebulan.

Beliau telah menemui banyak pusat membeli-belah untuk bekerja tetapi jarang berjaya.

"Hakikat yang menyedihkan ialah mereka tidak rasa saya boleh melakukannya tetapi saya boleh menyanyi tanpa henti selama dua jam. Saya seorang pejuang.

"Saya hanya akan berasa murung jika saya tidak boleh menyanyi dan bermain lagi, dan saya berazam untuk membuktikan yang mereka salah," kata anak kelahiran Klian Intan, Perak, dalam satu temu bual di Yamaha Muzik di Kuala Lumpur.

Cerita lelaki ini berkait rapat dengan ketekunan tanpa henti. Ho buta setelah mendapat demam campak pada usia tiga tahun.

"Saya masih seorang kanak-kanak gembira ketika itu," katanya.

Kemudian, dia begitu berazam hendak bermain muzik sehinggakan dia mengikat rubber band ke tin biskut untuk menjadikannya gitar.

Dia kemudian mendapat tempat ke peringkat separuh akhir program pertandingan Bakat TV dan dalam rancangan radio Rediffusion, Take 5, pada tahun-tahun 1970-an.

"Sekurang-kurangnya sebahagian daripada impian saya telah menjadi kenyataan. Orang mengenali saya sejak itu," kata pemuzik berrmuka keanak-anakan ini.

Selepas Bakat TV, dia mengeluarkan lagu sendiri Train To Tennessee dan Wendy's Love yang menerima sambutan.

Beliau juga merakamkan tiga album yang merangkumi lagu-lagu oleh Roy Orbison, Buddy Holly, Billy Ray Cyrus dan Elvis Presley.

Album-album itu ialah Special Gems pada tahun 1993, Love Songs In Gold 1995, serta Nostalgic Country dan Evergreen Favourites pada tahun 1998.

Walaupun melalui masa yang sukar, dia masih berani bermimpi untuk memiliki sebuah kafe satu hari nanti, di mana dia akan menyanyikan lagu-lagu lama.

Ho paling gembira apabila dia membuat persembahan.

Dalam temu bual itu, dia telah mengambil salah satu gitar yang ditayangkan di sekolah muzik tadi dan bermain hampir sedozen lagu atas permintaan. Lagu-lagu itu adalah oleh Elvis Presley, Kenny Rogers, Bee Gees, The Beatles dan Cliff Richard.

Dia kemudian menyanyikan lagu-lagu dalam bahasa Thai, Vietnam, Kantonis, Hokkien dan Melayu, dengan gaya profesional.

Senyuman lebar tidak lama kemudian memenuhi mukanya. Pejalan kaki berhenti untuk menonton, kakitangan di Yamaha Music bertepuk tangan bersama-sama, manakala salah seorang daripada penonton melangkah ke hadapan untuk menyokongnya dengan bermain drum.

"Bermain muzik mengujakan saya. Saya pergi ke dalam dunia yang berbeza. Apabila saya mendengar orang bertepuk tangan dan merasakan muzik, ia membuat saya gembira.

"Tiada hadiah yang lebih besar. Saya menganggap diri saya diberkati," katanya.

Wednesday, 3 September 2014

Syarikat baru di India melancarkan kasut yang menunjukkan arah jalan

Rencana "Indian start-up launches shoes that show you the way" bertarikh 31 Ogos 2014 terbit di thestar




New Delhi: Heroin "Wizard of Oz" Dorothy hanya perlu menghentak kedua-dua belah kasut beliau yang berwarna delima ​​merah bersama-sama dan kasut itu akan membawanya pulang ke rumahnya di Kansas.

Sekarang, sebuah syarikat permulaan India berteknologi tinggi berjanji untuk melakukan perkara yang sama dalam kehidupan sebenar dengan sepasang kasut sukan pintar yang mempunyai GPS dan bergetar memberi arahan kepada pemakainya.

Kasut berwarna merah menyala, yang juga akan mengira berapa langkah yang telah diambil, jarak perjalanan dan kalori yang dibakar, akan mula dijual pada bulan September di bawah nama LeChal, yang bermaksud "bawa saya bersama-sama" dalam bahasa Hindi.

Kasut itu disertakan bersama penerima Bluetooth yang boleh ditanggalkan dan dihubungkan ke aplikasi telefon pintar untuk mengarahkan pemakainya yang menggunakan peta Google, menghantar isyarat getaran menunjukkan arah ke kiri atau kanan.

Kasut itu adalah idea Krispian Lawrence berusia 30 tahun dan Anirudh Sharma, 28, dua graduan kejuruteraan yang mengasaskan syarikat teknologi mereka Ducere di sebuah apartmen kecil pada tahun 2011 dengan sokongan daripada pelabur dan kini mempunyai 50 orang pekerja.

"Kami mendapat idea ini dan sedar ia benar-benar akan membantu OKU penglihatan, berfungsi tanpa sebarang gangguan audio atau fizikal," kata Lawrence dalam temu bual dengan AFP.

"Tetapi kami sendiri mencubanya dahulu dan tiba-tiba terfikir, 'tunggu sekejap, sayapun mahu kasut ini,' kerana terasa begitu bebas tidak perlu tunduk ke bawah melihat telefon atau terikat dengan apa-apa."

"Kasut ini berfungsi secara intuitif. Bayangkan jika seseorang menepuk bahu kanan anda, badan anda secara semula jadi bertindak balas mengarah ke kanan, dan itulah cara LeChal berfungsi. "

Sektor yang sedang berkembang

Kasut pintar untuk pasaran demografi tertentu - seperti penghidap demensia dan kanak-kanak dengan ibu bapa yang mahu menjejaki pergerakan mereka - sudah boleh didapati secara komersial.

Tetapi Lawrence dan Sharma percaya rekaan mereka akan menjadi yang pertama seumpamanya mensasarkan pengguna pasaran massa, dan telah memberi tumpuan mewujudkan rekaan yang bergaya dan bukannya kasut yang berfungsi semata-mata.

Selain sneaker berwarna merah itu, syarikat tersebut memasarkan insole yang membolehkan pengguna memasukkan teknologi tadi ke dalam kasut mereka sendiri.

"Sebelum ini, teknologi boleh pakai sentiasa dilihat lebih seperti mesin, kaca mata atau jam tangan yang tidak menarik, tetapi sekarang telah berubah," kata Lawrence.

Mereka mengatakan bahawa sudah ada 25,000 pesanan awal untuk kasut itu yang akan dijual pada harga antara $100 dan $150.

Permintaan setakat ini kebanyakannya dari mulut ke mulut dan melalui laman web lechal.com. Tetapi syarikat itu sedang berunding dengan peruncit untuk menyediakan stok kasut menjelang musim cuti di India dan Amerika Syarikat.

Ia meramalkan akan menjual lebih daripada 100,000 pasang kasut, yang dibuat di China, pada April depan.

Teknologi boleh pakai adalah sektor global yang semakin berkembang. Pemerhati pasaran IDC meramalkan pada bulan April bahawa jualan akan meningkat tiga kali ganda tahun ini kepada 19 juta unit di seluruh dunia, dan terus meningkat kepada 111.9 juta pada 2018.

Pertumbuhan pesat industri ini telah menimbulkan kebimbangan berkaitan privasi, walaupun Ducere berkata ia tidak akan merekodkan apa-apa data pengguna dan mengekalkan keselamatan yang teguh.

Syarikat itu masih berharap produknya akan berguna bagi OKU penglihatan, dan pakar-pakar di LV Prasad Eye Institute di bandar selatan Hyderabad sedang menguji kesesuaiannya.

"Ia adalah item yang boleh digunakan secara intuitif yang sempurna. Anda mungkin terlupa memakai tali pinggang atau topi keledar, tetapi anda tidak boleh meninggalkan rumah tanpa kasut, "kata Anthony Vipin Das, seorang doktor di institut itu.

"LeChal menyelesaikan masalah orientasi dan hala tuju, ia adalah pembantu yang baik untuk tongkat."

Masalah yang mungkin timbul termasuklah kegagalan bateri atau kehilangan sambungan Bluetooth, dan Das mengatakan boleh diperbaiki dengan menyediakan maklumat secara langsung tentang kedudukan pengguna kepada rakan atau saudara, dengan persetujuan mereka terlebih dahulu.

Syarikat itu berkata ia boleh menggunakan sebahagian daripada apa-apa keuntungan masa depan untuk memberi subsidi kasut kepada pengguna kurang upaya.

Di antara semua ciri-ciri kasut 'berteknologi tinggi itu, perkara yang paling digemari Lawrence adalah hakikat bahawa dia tidak lagi kehilangan telefon beliau - jika pemakainya bergerak terlalu jauh dari telefon beliau, kasut itu akan bergetar untuk memberi amaran kepada mereka.

"Saya seorang yang pelupa dan apa yang amat baik ialah kasut itu tidak akan membiarkan anda terlupa telefon anda," katanya.

Monday, 18 August 2014

Mewujudkan laluan untuk orang kurang upaya

Rencana "Enabling pathways for the disabled" oleh Priya Kulasagaran bertarikh 17 Ogos 2014 terbit di thestar




Orang kurang upaya boleh menjadi produktif jika mereka menerima sokongan yang diperlukan dari masyarakat

Rancak berkomunikasi dengan penonton dalam bahasa isyarat, pejuang hak OKU pendengaran Anthony Chong ada beberapa perkara penting yang hendak dinyatakan tentang komunitinya.

"Kami tidak menggelar diri sendiri kurang upaya ... kami menghadapi kekangan kerana masyarakat, kerana mereka tidak melibatkan kami dalam masyarakat," katanya.

Chong berkata demikian kepada peserta "Pendidikan Inklusif untuk Ekonomi Pengetahuan Global di Asean: Satu fokus di Malaysia" yang diadakan di Kuala Lumpur minggu lepas.

Dianjurkan oleh Institut Berhubungan Hilang Upaya dan Dasar Awam (Institute on Disability and Public Policy - IDPP) dan Universiti Malaya (UM), perbincangan meja bulat itu telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Mary Yap Kain Ching.

Pengarah Eksekutif IDPP Dr Derrick Cogburn menjelaskan bahawa institut itu adalah satu rangkaian 21 universiti, termasuk di sembilan negara Asean, dan telah dimulakan oleh Yayasan Nippon.

Beliau menambah bahawa IDPP, melalui sokongan Yayasan Nippon, telah mewujudkan program fellowship untuk pelajar-pelajar yang berminat untuk mengikuti kerjaya dalam kecacatan dan dasar awam.

Kumpulan pertama lima felo dijangka memulakan Sarjana Dasar Awam di Institut Antarabangsa Dasar Awam dan Pengurusan UM bulan depan.

Sementara itu, di persidangan meja bulat itu sendiri, perbincangan tertumpu kepada cabaran yang dihadapi oleh golongan ini supaya diterima dalam pendidikan.

Sehingga April tahun ini, terdapat 58,253 pelajar keperluan khas yang mendaftar di sekolah-sekolah Malaysia, dengan hanya 7,797 pelajar dalam program pendidikan inklusif.

Peningkatan jumlah pelajar kurang upaya di sekolah-sekolah arus perdana mungkin disebabkan oleh Peraturan-Peraturan Pendidikan (Pendidikan Khas) 2013, yang menggantikan peraturan-peraturan 1997 sebelumnya.

Peraturan-peraturan yang baru sekarang meliputi kanak-kanak kurang upaya pertuturan, kurang upaya fizikal dan pelbagai upaya, berbanding dengan hanya mereka yang kurang upaya penglihatan, pendengaran, dan pembelajaran sebelumnya.

Perubahan terbesar dalam undang-undang bagaimanapun, adalah penghapusan istilah "boleh dididik atau educable" - satu takrif yang mencetuskan rasa kurang senang bagi ramai ibu bapa dan kumpulan hak asasi orang kurang upaya kerana ia membayangkan bahawa sesetengah kanak-kanak tidak boleh dididik.

Pegawai kementerian yang hadir berkongsi bahawa mereka mempunyai matlamat untuk melengkapkan semua guru mempunyai kemahiran untuk mengajar pelajar kurang upaya, dan semua sekolah dijadualkan mempunyai kemudahan mesra orang kurang upaya pada tahun 2020.

Ketua Unit Perancangan Mikro Bahagian Pendidikan Khas kementerian Susilah Ahmad berkata semua sekolah perlu mempunyai empat kemudahan asas yang mesra orang kurang upaya, iaitu tanjakan (ramp) untuk kerusi roda, selusur (railing) untuk mereka yang kurang upaya penglihatan, dan juga tempat letak kereta dan tandas mesra OKU.

"Sehingga 2012, 146 buah sekolah telah dibekalkan dengan kemudahan ini, dan tahun lepas kami menyediakannya untuk lima buah sekolah lain.

"Tahun ini kami merancang mempunyai (kemudahan itu) untuk 15 buah sekolah," katanya.

Dengan lebih 10,000 buah sekolah di negara ini, ini merupakan satu matlamat yang hebat untuk dipenuhi dalam masa yang singkat.

Melakukannya sendiri

Mohd Farhan Kamarzaman dari Persatuan OKU Pendengaran dan Teknologi Media bercakap tentang usaha kumpulannya menyiarkan berita dan maklumat yang boleh diakses oleh komuniti OKU pendengaran.

"Kebanyakan OKU pendengaran di Malaysia tidak begitu mahir membaca kerana kekurangan pendidikan (yang betul) yang diterima di sekolah.

"Oleh itu, mereka cenderung terkebelakang berhubung berita atau maklumat yang disebarkan oleh kerajaan, seperti belanjawan negara misalnya," katanya melalui jurubahasa bahasa isyarat.

Beliau berkata persatuan itu juga bekerjasama dengan pelajar-pelajar OKU pendengaran yang sering memerlukan bantuan dengan kemasukan universiti dan pekerjaan.

"Saya berharap lebih ramai orang akan memikirkan akses untuk OKU pendengaran apabila memuat naik kandungan mereka dalam talian, sama ada berita atau hiburan.

"Sebagai contoh, video di YouTube boleh memasukkan keterangan jika boleh," katanya.

Sementara itu, Pengurus Kanan ICT Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) Silatul Rahim Dahman berkongsi usaha MAB dalam membantu OKU penglihatan.

"Kami banyak terlibat dalam menghasilkan buku teks (dalam Braille dan cetakan besar) bagi Kementerian Pelajaran dan sekolah-sekolah, dan kami berusaha untuk membangunkan perisian teks-ke-ucapan untuk Bahasa Malaysia.

"Kami juga sedang berusaha dengan Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) untuk menilai web accessibility 10 portal kerajaan, termasuk dari Kementerian Pendidikan dan Lembaga Hasil Dalam Negeri.

"(Web-accessability) adalah masalah utama; pelajar buta tidak boleh mengakses portal kemasukan universiti sendiri, orang lain perlu mengisi borang bagi pihak mereka.

"Kami tidak boleh membayar cukai dalam talian kerana pembaca skrin tidak boleh membaca kandungan laman web," katanya.

Silatul Rahim menjelaskan bahawa teknologi yang dibangunkan untuk orang kurang upaya boleh mempunyai manfaat yang lebih luas.

"Ia akan menelan kos sebanyak RM500,000 ke RM1 juta untuk membangunkan perisian teks-ke-ucapan untuk Bahasa Malaysia.

"Setakat ini memang sukar untuk mendapatkan geran tersebut, kerana orang cenderung berfikir bahawa perisian itu hanya akan memberi manfaat kepada sebahagian kecil masyarakat.

"Tetapi jika anda berfikir tentang hal itu, perisian ini boleh mempunyai kegunaan lain, seperti ciri-ciri automasi suara untuk lif dan mesin tiket letak kereta," katanya dalam satu temu bual telefon.

Satu lagi isu yang disuarakan oleh ramai peserta adalah dari segi pekerjaan.

"Perkara yang menyedihkan pada hari ini adalah ramai belia kurang upaya di Malaysia menganggur atau tenaganya tidak digunakan sepenuhnya," kata pengarah bahagian belia MDeC Sumitra Nair.

"(Tetapi) kami telah menyaksikan ada orang yang berbakat dari masyarakat orang kurang upaya menjadi profesional, bukan sahaja di pusat-pusat panggilan atau perkhidmatan pelanggan, tetapi juga dalam bidang seperti komunikasi dan kejuruteraan.

"Salah satu daripada rakan-rakan kami, sebuah syarikat animasi tempatan, sedang melatih OKU pendengaran dengan kemahiran dalam pemodelan dan reka bentuk grafik; dan mereka adalah sangat berbakat kerana begitu fokus dan sangat peka dengan persekitaran mereka.

"Syarikat ini kini berkembang untuk menubuhkan sebuah akademi melatih belia orang kurang upaya lain untuk menyediakan mereka bagi sektor multimedia kreatif," katanya.

Walau bagaimanapun, sesetengah peserta memberi amaran terhadap pendekatan senarai semak yang mudah dalam menangani keperluan masyarakat kurang upaya.

Dr Wong Meng Ee dari Institut Pendidikan Nasional di Universiti Teknologi Nanyang, Singapura menggambarkan ini dengan berkongsi cerita pengalaman satu institusi memasang sebuah lif kerusi elektrik.

"Kos lif kerusi itu ialah S $ 100,000 (RM253,334), yang merupakan wang yang cukup untuk menyediakan dua makmal komputer di Singapura, dan ia memerlukan kos penyelenggaraan sekurang-kurangnya S $ 3,000 (RM7,596) setahun.

"Selama 10 tahun, tidak ada seorang pun yang menggunakan lif kerusi itu kecuali juruteknik apabila mereka memperbaikinya ... akhirnya ia diambil semula.

"Tidak ada rundingan diadakan dengan orang yang akan menggunakan lif kerusi tadi, ia hanya ada di sana demi mengikut peraturan," katanya.

Bathmavathi Krishnan mengiakan sentimen itu; dia mengangkat sumpah sebagai senator di Dewan Negara pada tahun lepas sebagai perwakilan bagi masyarakat kurang upaya.

Bathmavathi berkata halangan utama dengan dasar untuk orang kurang upaya adalah kekurangan penyelarasan di antara kementerian.

"Ada kerja yang baik dijalankan oleh pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi-agensi kerajaan, tetapi tiada siapa yang benar-benar mengawasi gambaran yang lebih besar.

"Atau kita mempunyai dasar yang kelihatan baik di atas kertas, tetapi tidak mempunyai mekanisme untuk memastikan ia dilaksanakan dengan betul.

"Dari segi ICT, saya rasa NGO adalah jauh lebih maju dalam pengetahuan mereka tentang teknologi bantuan, tetapi sukar bagi mereka untuk mendekati Kerajaan.

Sementara itu, Prof Madya Dr Yutaka Osugi dari Tsukuba University of Technology, Jepun menekankan bahawa permintaan untuk keterangkuman perlu diseimbangkan dengan keperluan individu.

"Ia penting bagi pelajar untuk melihat bahawa mereka mempunyai perasaan ini sendiri, identiti diri dan identiti sosial," beliau berkongsi, dengan bantuan seorang intrepreter pekak.

"Mereka perlu memahami siapa mereka dan bagaimana kaitannya dengan dunia.

"Saya mungkin mempunyai masalah dengan telinga saya, tetapi itu tidak menjejaskan keupayaan saya untuk mengambil bahagian dalam masyarakat," katanya.

Empat gambar disertakan dengan rencana tadi.

Gambar pertama menunjukkan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaya Prof Dr Mohd Hamdi Abd Shukor, Dr Cogburn, dan Yap pada majlis ceramah meja bulat dengan kapsyen: Pendidikan Inklusif Satu Kemestian.

Gambar kedua menunjukkan seorang OKU penglihatan menggunakan komputer dengan kapsyen: Melihat gambaran besar: Laman web yang serasi dengan perisian membaca skrin membolehkan OKU penglihatan menggunakan e-perkhidmatan yang tersedia bagi orang lain.

Gambar ketiga menunjukkan Bathmavathi Krishnan di hadapan Dewan Negara dengan kapsyen: Pejuang orang kurang upaya: Bathmavathi berkata perlu ada penyelarasan yang lebih antara kementerian untuk memastikan dasar-dasar untuk orang kurang upaya dilaksanakan dengan betul.

Gambar keempat menunjukkan seorang lelaki menggunakan kerusi roda beliau di atas tanjakan (ramp) di sebuah bangunan dengan kapsyen: Mobiliti Mudah: kemudahan asas mesra orang kurang upaya seperti tanjakan (ramp) kerusi roda amat penting bagi memastikan semua pelajar dapat meneruskan pendidikan.

Saturday, 9 August 2014

Semakin mesra dengan anjing yang terlatih

Rencana "'Warming up to trained canines " oleh Sheila Sri Priya bertarikh 8 Ogos 2014 terbit di thestar




Keadaan adalah lebih mudah sedikit untuk mereka yang cacat penglihatan bergerak dengan anjing pemandu mereka kerana beberapa pusat membeli-belah membenarkan haiwan pekerja di premis itu.



Memulakan langkah

Beberapa pusat membeli-belah membenarkan anjing pemandu membantu orang kurang upaya

Anjing pemandu adalah pemandangan biasa di negara-negara Barat. Kehadiran mereka memang membantu meningkatkan aksesibiliti dan mobiliti untuk orang kurang upaya, terutamanya yang buta.

Di Malaysia, penerimaan anjing pemandu dengan lebih meluas dikekang oleh pantang larang budaya dan agama.

Walau bagaimanapun, ada beberapa pusat membeli-belah yang membenarkan haiwan peliharaan dan anjing pemandu, termasuk Sunway Pyramid, di Bandar Sunway, untuk membantu orang kurang upaya di dalam bangunan.

Ketua Pegawai Operasi Sunway Pyramid, Kevin Tan berkata pelanggan di kalangan orang kurang upaya boleh membawa anjing pemandu mereka bersama-sama ketika membeli-belah.

Walau bagaimanapun, mereka akan diiringi sepanjang masa oleh seorang pekerja pusat membeli-belah dan anggota keselamatan.

"Biasanya, anjing pemandu dilatih untuk bergerak dalam ruang yang biasa dilawati tetapi oleh kerana mungkin tidak tahu susun atur pusat membeli-belah, concierge akan berada di sana untuk membantu mereka," katanya.

Jaya One merupakan satu lagi pusat membeli-belah yang membolehkan anjing pemandu dan haiwan peliharaan untuk membantu orang kurang upaya.

Pemaju Jaya One, Pengarah Eksekutif Tetap Tiara Sdn Bhd Charles Wong berkata pusat membeli-belah itu mesra orang kurang upaya.

"Kami membenarkan haiwan peliharaan ke dalam pusat membeli-belah dan semua tempat kecuali kawasan makanan dan minuman.

"Kami juga mempunyai sebuah pusat menarik, Dialogue in the Dark, untuk menerokai dan mengalami pengalaman seperti mereka yang kurang upaya penglihatan. Oleh kerana kami menyokong komuniti orang kurang upaya, kami juga membenarkan mereka membawa anjing pemandu.

"Kami mahu menunjukkan contoh yang baik kepada generasi muda. Kami mahu orang ramai menerima mereka yang menghadapi pelbagai jenis cabaran dan lebih mesra haiwan," katanya.

Pusat membeli-belah itu tidak menerima sebarang aduan daripada pelanggan tentang kehadiran anjing pemandu yang mengiringi mereka yang cacat penglihatan.

"Pengasas Dialogue in the Dark berada di sini hampir setiap hari dengan anjing pemandu beliau.

"Mereka bebas untuk ke mana-mana di dalam pusat membeli-belah," kata Wong.

Di Pavilion Kuala Lumpur, anjing pemandu pelanggan yang kurang upaya akan dijaga oleh pihak pengurusan pusat membeli-belah manakala orang kurang upaya tadi akan dibantu oleh seorang pekerja untuk pergi ke sekitar kedai-kedai.

Seorang jurucakap berkata mereka akan membawa anjing pemandu tersebut daripada pemilik di pintu masuk pusat membeli-belah.

"Anjing pemandu akan dijaga di lokasi yang berasingan di dalam pusat membel-belah.

"Kami akan memastikan anjing itu di tempat yang selesa dan disediakan penjagaan yang diperlukan," kata jurucakap itu.


'Anjing pekerja' membantu pemilik bergerak secara bebas

Stevens Chan, 52, dan anjing pemandunya LaShawn, adalah pemandangan biasa di Jaya One, Petaling Jaya.

Isteri Chan menurunkan beliau di tempat letak kereta dan dia dipandu ke pejabat oleh LaShawn, anjing Labrador jantan berkulit kuning air.

"Anjing saya membimbing saya di tempat kerja, kami pergi ke kedai-kedai kopi, senaman dan juga membuang sampah bersama-sama," kata Chan.

LaShawn telah dilatih di China dan telah menjadi sebahagian daripada kehidupan Chan sejak awal tahun ini.

Chan menjadi buta pada usia 45 tahun kerana glaukoma. Sebelum itu, beliau adalah seorang perunding perniagaan.

Beliau kemudiannya menjadi pengasas Persatuan Glaukoma Malaysia dan Dialogue in the Dark, satu inisiatif yang membolehkan orang celik merasai pengalaman mereka yang kurang upaya penglihatan. Ia terletak di Jaya One.

Anjing itu telah memberikan Chan mobiliti, kebebasan, persahabatan dan kehidupan sosial yang lebih baik.

"Ada beberapa pemilik kedai kopi membenarkan saya membawa LaShawn di premis tersebut kerana mereka tahu anjing pemandu saya berkelakuan baik.

"Saya berdepan dengan kesukaran keluar rumah dan menggunakan pengangkutan awam kerana kebanyakan tempat tidak membenarkan haiwan peliharaan dan tidak bersedia untuk anjing pemandu.

"Saya harap keadaan ini akan berubah perlahan-lahan," katanya.

Selain membantu untuk meningkatkan mobiliti, Chan berkata anjing itu telah mengajarnya menjadi lebih bertanggungjawab dan merupakan sahabat yang hebat.

Orang yang tidak dikenali juga lebih berinteraksi dengan Chan apabila mereka melihat dia dengan LaShawn.

"Apabila kamu buta, orang cenderung tidak mengendahkan anda. Walau bagaimanapun, apabila bersama-sama dengan anjing saya, orang lebih lagi berinteraksi dengan saya," katanya.

Beliau inginkan lebih kesedaran di kalangan orang ramai tentang apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan apabila mereka melihat anjing pemandu.

Beliau menegaskan bahawa anjing pemandu bekerja dan tidak harus dianggap hanya sebagai haiwan kesayangan.

"Mereka tidak boleh diberi makan oleh orang yang tidak dikenali. Walau bagaimanapun, mereka juga berkelakuan baik dan tidak akan menggigit orang, '' katanya.

Chan berkata kedua-dua sektor awam dan swasta mesti berusaha lebih untuk membantu orang buta mengintegrasikan diri ke dalam masyarakat.

"Kemudahan dan tempat-tempat awam mesti mudah diakses dan selamat untuk orang buta," katanya.


Maklum balas akan membantu menentukan garis panduan yang lebih jelas tentang penggunaan anjing pemandu

Tiada garis panduan yang jelas tentang penggunaan anjing pemandu di tempat-tempat awam.

Walau bagaimanapun, Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr Mohamad Azmie Zakaria mengalu-alukan perkongsian pendapat berhubung perkara itu.

"Apabila kita mula berkongsi pandangan, barulah kita boleh berusaha ke arah melaksanakan beberapa garis panduan.

"Ini tidak boleh terjadi dalam sekelip mata tetapi perbincangan sentiasa digalakkan seperti yang seharusnya membawa kepada pelaksanaan dasar-dasar yang lebih baik tentang isu-isu yang berbeza," katanya.

"Garis panduan kami pada masa ini yang berkaitan dengan haiwan, secara amnya, masih tidak jelas.

"Walau bagaimanapun kita mesti meneroka dan melihat isu anjing pemandu secara serius. Barulah kita akan dapat mencapai penyelesaian," katanya.

"Sebagai doktor haiwan, saya tahu tujuan anjing pekerja adalah untuk membantu orang yang buta dan ini adalah satu perkara yang baik.

"Ini akan memberi kuasa kepada orang kurang upaya menjadi lebih bebas menjalankan tugas-tugas harian mereka. Mereka boleh menjadi lebih produktif.

"Saya bukan pakar agama, tetapi berdasarkan pemahaman saya tentang Islam, anjing pemandu tidak menjadi masalah.

"Bagaimanapun, mungkin ada perbezaan pandangan daripada ulama yang berbeza," katanya.

Dr Mohamad Azmie berkata masyarakat bertamadun moden diadili berdasarkan bagaimana mereka memperlakukan haiwan dan pelbagai kumpulan seperti orang kurang upaya.

Semua maklum balas yang relevan mesti dikumpulkan jika isu itu hendak ditangani bagi memberi manfaat kepada masyarakat orang kurang upaya, katanya.

"Ini termasuklah mendapatkan pandangan daripada masyarakat orang kurang upaya, ulama-ulama dan wakil-wakil lain dari segmen masyarakat yang berkaitan.

"Mereka juga mesti mengambil kira aspek-aspek budaya," katanya.

Jabatan Perkhidmatan Haiwan sedang meniliti meminda Akta Kebajikan Haiwan 2012.

"Apabila pindaan ini menjadi undang-undang, ia akan membantu menyelesaikan banyak isu yang saling berkaitan," katanya.

Dr Mohamad Azmie berkata penerimaan orang ramai terhadap peraturan adalah penting untuk hasil yang lebih baik.

"Mungkin terdapat peraturan yang memerlukan pemilik anjing memekap haiwan kesayangan mereka atau menggunakan jaket khas untuk memberi petunjuk yang jelas bahawa mereka adalah anjing pemandu,'' kata beliau.

Friday, 1 August 2014

Mata saya berada di tangan saya: sentuhan ajaib si tukang buta George Wurtzel

Rencana "'My eyes are in my hands: Blind craftsman George Wurtzel's magic touch" oleh Kristin Tillotson bertarikh 25 Julai 2014 terbit di thestar



Tukang kayu buta George Wurtzel mengatakan bahawa seseorang boleh belajar melihat dengan tangan mereka.

George Wurtzel bersiul lagu Camptown Races sementara pelarik berkuasa tinggi berputar suku inci dari ibu jari dan jari telunjuk beliau. Arus habuk kayu senipis benang bertaburan seperti bunga api meletup daripada seketul kecil kayu pain yang sedang dibentuknya menjadi penyumbat botol wain berbentuk sombrero, sesetengahnya jatuh ke janggut penuh beliau. "Apabila kita memutar sebatang kayu, bunyinya berubah secara mendadak menurut bentuknya," kata George. "Anda boleh tahu apa yang berlaku daripada bunyi dan rasa getaran."

Tiba-tiba, penyumbat yang sudah separuh terbentuk itu terkeluar daripada genggaman ragum dan berguling ke bawah bangku kerja di studio selatan Minneapolis beliau. "Whoops," katanya, mematikan mesin dan membongkok meraba-raba di atas lantai mencari apa yang sedang dikerjakannya. Dia meraba-raba dengan satu tangan tetapi tidak menjenguk di bawah meja kerja. Itu tidak akan membantu, kerana George buta. Beliau secara beransur-ansur kehilangan penglihatannya sewaktu remaja akibat retinitis pigmentosa, penyakit mata degeneratif yang disebabkan oleh gen bermutasi.

"Ia amat jarang berlaku, tetapi kedua-dua ibu bapa saya juga mendapatnya," katanya. "Saya rasa mungkin nasib akan lebih menyebelahi saya pada masa akan datang."

Bersikap lucu, senang ketawa dan berpandangan luas adalah sebahagian daripada aura menawan George. Begitu juga cara dia yang lemah lembut berdepan dengan ketidakpercayaan kenalan baru yang kagum dengan keupayaannya bukan sahaja menghasilkan perabot dan seni objek indah bersendirian dalam gelap-gelita, tetapi melakukannya dengan gergaji gergasi yang sedang berputar dan lain-lain alat kuasa berbahaya. "Tangan yang melakukan kerja, bukan mata," katanya. "Dalam kerja kayu, visual sebenarnya adalah sebahagian kecil daripada keseluruhan usaha itu. Semuanya berkisar tentang ketangkasan manual. "

Melihatkan dia, kerja itu juga berkaitan dengan minda seni yang peka tentang bentuk wanita abstrak pada jalur kayu walnut hitam yang telah diricih, atau bagaimana tanda yang ditinggalkan oleh kulat di atas sekeping kayu birch boleh menjadi perhiasan yang sempurna untuk sebuah kotak barang kemas. Jurugambar terkenal Bandar Berkembar Alec Soth baru-baru ini telah memilihnya untuk bekerjasama dalam pameran di Museum of Contemporary Art Detroit. Pameran "People's Biennial" untuk tahun kedua ini mengiktiraf kerja oleh karyawan di luar dunia seni yang lazim dan melibatkan hasil kerja yang tidak begitu dikenali tetapi patut diberi perhatian.

George berpindah ke Minneapolis dari Michigan empat tahun lalu untuk mengajar kerja kayu kepada pelajar-pelajar di National Federation of the Blind, tetapi dipecat dua tahun kemudian berikutan perselisihan dengan majikannya dan mengambil keputusan menyambung semula kerjaya solonya.

Bengkel beliau terletak di belakang sebuah kedai yang cantik di kejiranan Whittier yang membolehkan beliau memaparkan ciptaan yang dihasilkan, dari penyumbat wain aneh berbentuk seperti topi dan mangkuk dengan gaya yang tersendiri sehinggalah meja kopi yang mudah selain rak dan kabinet yang muat ke dalam satu sama lain tanpa pengikat. "Datuk saya pernah membuat teka-teki kayu seperti ini," katanya. "Anda boleh merungkai atau menyusun semula perabot saya dalam beberapa minit, dan tidak ada selak yang jatuh dan hilang."

George pernah memikirkan sama ada beliau akan melakukan perkara yang berbeza jika dia dapat melihat. "Saya ingin membaca pelan induk dan membuat lakaran awal - Semua itu dilakukan dalam kepala saya," katanya. "Tetapi saya tidak fikir saya akan menjadi tukang yang lebih baik." Dan di sisi positifnya, "Saya tidak dibebankan oleh reka bentuk orang lain dalam kepala saya."

Malah, katanya berjenaka, sebahagian daripada sebab beliau mengambil keputusan untuk membela janggut adalah kerana saya dilabel sebagai 'lelaki yang buta itu' walaupun saya lebih suka disebut sebagai 'tukang kayu yang berjanggut'. Saya mahu dinilai oleh apa yang saya lakukan sebagai tukang, bukan diberitahu saya luar biasa kerana saya tidak dapat melihat. "

Jari hantu tangan kiri George adalah lebih pendek daripada yang di sebelah kanannya sebanyak kira-kira setengah inci, akibat kejadian tidak diingini yang berlaku lewat satu malam di bengkel tadi apabila dia bekerja membuat kira-kira 300 potongan berulang-ulang. "Ia tiada kaitan dengan tidak dapat melihat," katanya. "Saya teringat benar bahawa saya hanya tertidur. Memang ramai tukang kayu di luar sana dengan jari yang hilang. "

Kayu kegemaran George ialah kayu "jenis percuma", yang biasanya bermaksud menggeledah timbunan kayu api kawan-kawan seperti Lee Tourtelotte, yang juga seorang tukang kayu dengan timbunan di belakang rumahnya seolah-olah lombong emas untuk seorang lelaki seperti George. "Anda menghakimi kekayaan seseorang dengan saiz longgokan kayu itu," katanya ketika ke tempat Lee yang terletak berhampiran Tasik Nokomis. "Lee, anda seorang lelaki yang kaya."

Sambil kedua-dua mereka bercakap tentang ira pelbagai kepingan kayu, George menyentuh atas, bawah dan sekeliling kayu tersebut. Walaupun dia sering meminta pandangan kawan yang celik tentang perbezaan warna pada sesuatu kepingan kayu, dia telah belajar membezakan kayu tadi dengan memanaskan permukaannya dengan kain basah yang panas atau dalam ketuhar gelombang mikro, dan buat sementara waktu menimbulkan ira kayu, serta membolehkan dia merasa corak yang ada di situ. Beliau juga boleh mengenal pasti jenis kayu yang berbeza daripada baunya.

"Saya mencari barangan yang berkerinting, ira kayu yang bengkok, atau simpulan yang menambah watak," katanya. "Saya agak yakin bahawa apabila saya meletakkan tangan pada kayu itu, imej yang saya dapat dalam kepala saya adalah hampir sama dengan apa yang Lee lihat dengan matanya."

George baru-baru ini menjual hasil karyanya yang bernilai hampir AS $ 10,000 (RM31, 677) melalui paparan di depan sebuah kedai kosong di pusat bandar, sebahagian daripada projek "Made Here" yang menonjolkan kerja artis-artis tempatan. Tetapi walaupun dia bercita-cita untuk hidup sepenuhnya bergantung pada hasil seninya, kerja seni bina beliaulah yang kini membayar bil. Beliau pakar dalam memulihkan atau menghasilkan semula pintu, tiang dan perapi yang mempunyai gaya tersendiri yang diketengahkan di dalam banyak rumah-rumah lama zaman Victoria.

Pemilik rumah Tamar Bagley di kejiranan Whittier mendapat tahu tentang George melalui persatuan kejiranan beliau dan memintanya untuk mengemukakan tawaran kerja membuat semula beberapa tiang oktagon untuk anjung dan tempat letak kereta di rumah miliknya yang dibina pada tahun 1906. "Kos boleh melambung naik jika anda mahu kerja dilakukan betul-betul seperti yang dikehendaki, tetapi anggaran beliau amat munasabah," kata beliau. "Dia datang ke sini, menyentuh permukaan kayu dengan tangannya dan membuat semula apa yang diminta dengan sempurna."

Selain pencapaian seni beliau, George yang berusia 60 tahun telah melalui kehidupan yang kaya dengan pelbagai pengembaraan.

Beliau dibesarkan di Traverse City, Michigan, di mana beliau membuka perniagaan kerja kayunya yang pertama sebaik menamatkan pengajian dari sekolah tinggi. Beliau telah menghadiri Michigan School for the Blind pada masa yang sama dengan penyanyi Stevie Wonder, dan membuatkannya replika kayu piano konsert Steinway berskala satu pertiga.

Beliau kemudiannya berpindah ke North Carolina, di mana perniagaannya membuat kes kayu segi tiga untuk bendera pengebumian tentera Amerika Syarikat amat berjaya sehinggakan dia menjualnya dan mampu mengembara selama beberapa tahun hasil jualan itu. Beliau pernah mengendalikan sebuah kem belia musim panas. ("Remaja seperti wayar," katanya. "Anda letak dua bersama-sama dan pasti ia menjadi kusut.")

Beliau pernah melatih kuda Arab, dan menunggang sejauh 80km dengan kuda kepercayaannya. Dia juga pemain ski merentas desa yang mahir dan menjadi ahli pasukan Paralimpik AS di tahun-tahun 1970-an, beliau telah berski di seluruh Lapland dan juga dari Fargo ke Tasik Superior pada tahun 1980. Pengarang buku yang terlaris, John Camp (lebih dikenali sebagai John Sandford) adalah sebahagian daripada kumpulan yang melakukan perjalanan beberapa hari dari Fargo.

"George adalah seorang lelaki yang kuat dan sukakan olahraga, dan dia kadang-kadang memeranjatkan saya di laluan-laluan yang sukar," kata John, yang ketika itu seorang wartawan untuk St Paul Pioneer Press. "Saya berada di belakang beliau memekik memberi panduan seperti 'belok kanan di hadapan' tetapi dia punya deria rasa alami tentang sesuatu laluan, dan selalu bersendirian di laluan tadi, malah menuruni bukit yang curam. Pada satu ketika kami berski menuruni bukit yang agak berbahaya apabila saya tiba-tiba melihat sebatang kayu melintang di laluan hadapan. Saya hanya sempat menjerit 'Hati-hati!' apabila salah satu skinya tergelincir di bawah kayu, sementara dia jatuh di atas, menyentap ski yang dipakainya. Nasib baik bukan kakinya. George jatuh beberapa kali, tetapi tidaklah lebih daripada kami yang lain."

George adalah pengunjung yang dikenali di banyak lokasi beriadah berdekatan, termasuk Black Forest and Eat Street Sosial, yang mempunyai kes berbentuk helix yang dibuat olehnya untuk memaparkan minuman buatan kedai itu. Seorang pengedar wain dari Perancis yang menemui dia di sana membeli kesemua stok penyumbat wain beliau. "George sangat berkarisma dan bercakap terus terang," kata Nick Kosevich, rakan kongsi di Eat Street. "Kami senang dengan kehadirannya. Dia ada sahaja sesuatu yang menarik untuk diperkatakan."

George bergerak sekitar kejiranan tempat tinggalnya menggunakan tongkat putih berlipat yang dimasukkan ke dalam salah satu poket kargo pakaian seragam hariannya, sepasang overall pudar jenama Liberty. Dia mengatakan anjing pemandu tidak sesuai untuknya: "Anda perlu menjaga anjing itu, dan terlalu banyak kerja yang perlu dilakukan."

Satu projek yang amat dekat di hati beliau adalah kapal layar pain kecil untuk seorang wanita muda yang sakit tenat yang ditemuinya tahun lepas bernama Maire Kent. Diilhamkan oleh buku yang diminatinya di zaman kanak-kanak beliau, Maire mahu abu beliau membuat perjalanan di atas bot kecil itu melalui Great Lakes dan kemudian ke laut. Beliau meninggal dunia akibat sarcoma jantung September lalu sebelum dia dapat melihat bot yang telah siap, tetapi George dan seorang rakan pembikin filem dokumentari - yang melakukan ujian percubaan di Tasik Calhoun - merancang memenuhi keinginan Maire dengan melancarkan bot tadi dalam perjalanan akhirnya dari Tasik Michigan di pertengahan bulan Julai.

Selain itu ada projek yang akan datang dengan Alec Soth untuk pameran di Detroit, yang dibuka pada 12 September. Beliau merancang membina satu siri kotak yang masing-masing akan mempamerkan aspek-aspek yang berbeza dalam hidupnya. "Apabila anda melihat di dalam kotak itu, masing-masing akan memberikan imbasan perkara-perkara yang membentuk saya menjadi siapa saya hari ini," katanya. Beliau tentu sekali perlu bermula sekarang. Dia akan memerlukan banyak kotak.