Showing posts with label Internet. Show all posts
Showing posts with label Internet. Show all posts

Monday, 29 September 2014

Penerangan audio memberikan OKU penglihatan pengalaman filem yang baru

Rencana "Audio description gives visually impaired a new movie experience" oleh Gus McCubbing bertarikh 10 September 2014 terbit di canberratimes




Pergi ke pawagam adalah bagi kebanyakan orang satu bentuk mudah hiburan. Bagi masyarakat OKU penglihatan walau bagaimanapun, ia telah lama menjadi lebih menyusahkan daripada menyenangkan.

Namun dengan "penerangan audio", yang bermula sebagai inisiatif kerajaan beberapa tahun yang lalu dan sejak itu digunakan oleh sekitar 230 pawagam di seluruh Australia, pengalaman mereka berubah sama sekali.

Penerangan audio melibatkan pengguna mendengar penerangan yang telah dirakam tentang visual sesuatu filem. Rakaman ini, didengar melalui satu set fon kepala, di antara dialog filem itu, dan tidak menyebabkan gangguan kepada penonton lain.

Pada hari Rabu peminat filem di panggung wayang Hoyts di Woden menonton filem baru Lasse Hallstrom, The Hundred-Foot Journey dengan keupayaan penerangan audio.

Menurut Bob James, dari Kambah, peranti itu dengan mudah membenarkan beliau menikmati satu bentuk seni yang sebelum ini tidak boleh diakses.

"Ia memberi satu pengalaman, kerana tanpanya, saya tidak akan dapat melihat apa-apa, dan tidak akan tahu perkara pertama mengenai apa yang berlaku di skrin."

Biasanya dia akan berusaha untuk melihat sebuah filem dengan skrip atau plot yang telah diketahui, tetapi ini sentiasa melibatkan isterinya "berbisik sepanjang masa tentang apa yang sedang berlaku."

"Saya sentiasa mencari filem-filem yang mempunyai penerangan audio. Ia dilakukan dengan begitu cekap sehinggakan penerangan audio itu tidak mengganggu dialog pelakon. Ia tidak mengganggu langsung."

Seorang lagi penonton, Anna Saxon berkata dia tidak beria-ia hendak menonton filem sebelum ini, kerana takut mengganggu penonton lain apabila rakannya berbisik kepada dia.

Dia memuji peralatan penerangan audio kerana membolehkannya melihat segala-galanya berlaku di dalam fikirannya. Walaupun terdapat beberapa kali dia tidak tahu siapa sebenarnya yang bercakap, pengalaman keseluruhan adalah "baik".

Orang yang bekerja merakam penerangan audio, yang dikenali sebagai 'describers', sering hanya mempunyai beberapa saat di antara dialog untuk menggambarkan adegan yang terjadi di skrin. Mengambilkira perkara ini, penyelaras National Audio Description Vision Australia, Michael Ward, berkata bahawa untuk kekal ringkas dan objektif, 'describers' telah melalui proses latihan yang ketat.

"Kuasa pemerhatian adalah penting, dan jelas sekali anda tidak mahu mentafsir apa yang berlaku - anda hanya satu saluran maklumat"

Untuk pengguna, dia berkata, kali pertama "mungkin sedikit membebankan deria", tetapi orang biasanya "menerima dengan cepat".

Saturday, 27 September 2014

WeChat menganjurkan rakaman 1 minit untuk membuat buku audio

Rencana "WeChat seeks 1-minute recordings to create audiobooks" bertarikh 9 September 2014 terbit di digital.asiaone




Pengguna WeChat diminta meluangkan masa satu minit untuk membantu merakamkan buku audio untuk orang buta di bawah kempen amal inovatif yang dilancarkan di platform media sosial itu.

Jian Mei, penganjur inisiatif penderma suara, berkata terdapat 12.63 juta orang cacat penglihatan di China, tetapi terdapat kekurangan buku-buku dan penerbitan lain untuk mereka.

Sukarelawan merakam satu bahagian singkat sebuah buku yang mengambil masa tidak lebih daripada satu minit untuk dibaca, dan coretan-coretan ini kemudiannya disunting bersama-sama untuk membuat satu buku audio yang lengkap dan dimuatkan dalam talian.

Inisiatif ini telah berjaya menarik sokongan daripada selebriti seperti penyampai TV dan penyokong kempen amal Yang Lan, yang telah merakamkan satu petikan.

"Gabungan bahagian-bahagian selama satu minit yang dibaca oleh penderma suara membolehkan mereka yang cacat penglihatan tidak berasa bosan dan mendengar suara orang lain dan dunia luar," kata Yang.

Penderma Suara beroperasi sebagai akaun awam di WeChat dengan saluran yang membolehkan pengikut mendengar bacaan dan mengemukakan rakaman.

Mereka dihantar satu petikan pendek dari sebuah buku yang kemudian dirakam dan dimuat naik. Rakaman disusun dan diletakkan dalam susunan yang betul untuk menjadi sebuah buku.

"Buku yang lengkap kemudiannya dimuatkan dalam talian supaya orang yang buta dan lain-lain boleh mendengarnya," kata Mei.

Penglibatan selebriti-selebriti telah menarik ribuan sukarelawan. Lebih daripada 14,000 rakaman diterima setiap hari, dengan setiap pengguna menyumbangkan purata lima rakaman.

Koleksi karya oleh penyair terkenal kontemporari Gu Cheng kini dipaparkan di akaun itu, dan 656 sukarelawan menyumbangkan rakaman pada hari Rabu.

Mereka yang cacat penglihatan di China mempunyai akses yang terhad kepada bahan bacaan. China Braille Press, satu-satunya penerbit yang menghasilkan buku-buku untuk orang buta di tanah besar itu, mempunyai terbitan tahunan sebanyak 100,000 buku, Xinhua News Agency melaporkan.

Buku audio adalah lebih sukar diperolehi, dan boleh didapati hanya dalam beberapa perpustakaan di bandar-bandar besar seperti Beijing dan Shanghai.

"Saya amat gembira melihat satu inisiatif buku audio yang menarik begitu banyak perhatian, kerana saya memahami kekecewaan tidak mempunyai buku untuk didengar," kata Li Qi, 30, editor audio dari Beijing yang terjejas penglihatannya.

"Saya ingin mengambil bahagian dalam kempen Penderma Suara, bukan sebagai pendengar tetapi sebagai juruteknik, menyusun dan memotong rakaman untuk memenuhi permintaan bagi buku-buku daripada orang seperti saya."

Zheng Xiaojie, setiausaha agung Beijing Hongdandan Education and Culture Exchange Center, berkata, "Kempen ini telah menjana minat yang besar di kalangan orang ramai, menunjukkan bahawa masyarakat meletakkan penekanan yang lebih memenuhi keperluan orang yang kurang upaya penglihatan.

Pusat itu, yang berdedikasi meningkatkan kualiti hidup mereka yang cacat penglihatan, menghasilkan buku audio yang lengkap dan dibaca oleh sukarelawan tunggal.

"Tetapi terdapat beberapa orang sukarelawan sahaja dan kami hanya boleh menghasilkan 100 buah buku setiap tahun," katanya. "Sebahagian daripada sebabnya adalah kerana kekurangan publisiti dan promosi.

"Kami telah memberikan Suara Penderma beberapa cadangan dan berharap kita boleh mendapat manfaat daripada kempen ini."

Platform media sosial seperti blog mikro dan WeChat memainkan peranan yang semakin penting dalam masyarakat, dan kumpulan kebajikan menggunakan mereka untuk menarik lebih banyak sokongan dan publisiti.

"Rangkaian media sosial telah mendorong kempen amal yang besar dalam tahun-tahun kebelakangan ini," kata Bei Xiaochao, ketua badan amal di Sina Weibo.

Sina Weibo telah menganjurkan lebih daripada 13,000 kempen amal untuk individu dan organisasi dalam tempoh dua tahun yang lalu, dan berjaya mengumpul 230 juta yuan ($37.5 juta).

Friday, 26 September 2014

Segala yang mungkin: Lelaki buta mahu menongkah arus

Rencana "Seeing the possibilities: Blind man aims to beat the odds" oleh Mara Klecker bertarikh 7 September 2014 terbit di journalstar






Dia berdiri di luar pejabat pelancongan, hujung logam tongkat putihnya mengetuk-ngetuk jubin lantai tanda gelisah. Apabila jam mencecah 4 petang, Jon Sailors melangkah ke ruang hadapan dan berdehem melegakan kerongkongnya.

"Untuk pengetahuan saya sendiri, berapa ramai orang yang akan menyertai saya dalam lawatan di sekitar Capitol ini?" dia bertanya.

Pemuda berusia 18 tahun itu menarik-narik kolar pada baju hitamnya dan menunggu jawapan. Hari di bulan Julai ini terasa panas, dan ini pula merupakan hanya lawatan solonya yang ketiga. Rasa gementar datang dalam gelombang-gelombang kecil, mengancam kawalan suaranya.

Tiga pengunjung yang menunggu untuk menyertai lawatan itu saling berpandangan. Mereka memerhatikan tongkatnya, matanya yang sedikit juling - yang di sebelah kiri hanya beberapa milimeter daripada tertutup sepenuhnya.

"Kami bertiga," seorang lelaki dari Kansas City menjawab dengan suara yang terlalu kuat.

"OK, bagus tu," kata Jon. Bibirnya kering. "Selamat datang ke Bangunan Capitol Nebraska."

Suaranya semakin yakin, tetapi dia mengalihkan berat badan di antara setiap ayat, ke depan dan ke belakang sambil menyenaraikan fakta-fakta yang baru dihafal: nama arkitek bangunan Capitol ini, tahun ia dibina, berat tiang-tiang marmar dan jumlah batu kapur Indiana yang digunakan .

Para pelawat mengangguk-ngangguk, memberi jawapan sepatah-sepatah pada masa-masa yang sesuai. Mereka mengikuti Jon yang mengetuk-ngetuk lantai dalam perjalanan ke Rotunda atau ruang berbentuk bulat, dan bertukar-tukar pandangan lagi - kali ini dengan ibu-ibu yang menarik kanak-kanak daripada laluan Jon, menyuruh mereka diam sebelum sempat bertanya tentang tongkat putih yang kelihatan.

Jon menunjukkan dengan tongkatnya mosaik ubin dewa-dewa Greek, menceritakan tentang simbolisme yang diketahuinya hanya setelah membacanya dalam nota Braille bertitik timbul beliau.

Dengan tangan yang didepangkan, Jon mengarahkan perhatian pelancong ke kandil atau chandelier Rotunda dan fresco di atasnya. Para pelawat mendongak ke atas dan menuding ke arah siling, butiran-butiran, warna yang bertenaga.

"Wow.Itu memang luar biasa," kata seorang wanita, mulutnya ternganga sambil mendongak lagi.

"Ya kan?"

Jon sendiri memandang ke depan.

*****

Jon menceritakan fakta hidupnya sendiri dalam nada yang sama digunakan ketika dia menjadi jurucakap sesuatu lawatan. Dia banyak menekankan fakta ngka serta sejarah diagnosis dan pembedahannya; dia mengambil masa mengira bulan dan tahun berapa dia pergi ke hospital, berjumpa doktor. Ketika perbualan tidak sebegitu rancak, dia menyelitkan beberapa kisah dan kata-kata yang lucu sambil meneguk air Mountain Dew.

Dia merupakan anak keempat Ben dan Rose Sailor: bayi yang sihat, dan sentiasa tersenyum sehinggalah ketika kulitnya melepuh buat pertama kali seminggu kemudian.

Diagnosis awal adalah jerawat bayi - sesuatu yang akan hilang dengan menyapu sedikit krim. Tetapi lepuh-lepuh itu terus merebak. Kulitnya penuh dengan lepuh - kesan-kesan menyakitkan yang biasanya dilihat pada mangsa luka terbakar peringkat kedua.

Ibunya memastikan air mandian tidak kering pada kulit bayinya. Memastikan sentiasa ada kulit kambing yang tebal di antara badannya sendiri dan bayi tadi apabila dia memegangnya.

Dan dia mendakapnya lebih kerap - lebih lembut - apabila doktor memberikan diagnosis: epidermolysis bullosa . Lapisan kulitnya tidak bercantum bersama-sama. Mereka memberitahunya bahawa Jon bernasib baik jika dia dapat hidup untuk meraikan hari jadi pertamanya.

Rose mula mengambil notis semua perkara-perkara kecil, cuba menerapkan ciri-ciri bayinya ke dalam memori. Matanya yang tersenyum. Bulu matanya yang panjang.

Kemudian lepuh itu memberi kesan kepada penglihatannya. Kelopak matanya melengkung ke dalam, mencalar kornea. Doktor cuba melakukan pemindahan kornea, tetapi gagal.

Semakin mendalam kasih sayang ibu bapa itu terhadap anak mereka, semakin takut pula rasa mereka. Dan semakin takut, semkin mendalam kasih sayang itu.

Jon hidup lebih lama daripada jangkaan diagnosis doktor. Dia menyambut hari lahir yang pertama, kemudian kedua. Kemudian lepuh tadi tidak muncul lagi.

Tetapi Ben tidak boleh melupakan kata-kata doktor. Untuk sekian lama, dia bersedia kehilangan anaknya. Ben masih berasa takut sehinggalah dia melihat Jon berjalan di hari pertama ke tadika - budak berusia 5 tahun yang kurus dengan suara halus dan perasaan ingin tahu yang meluap-luap.

Kebimbangan baru mengambil alih: Bagaimana dia dan Rose boleh membantu anak mereka berhadapan dengan dunia tanpa penglihatan? Apalah yang dimimpikannya, diidamkannya?

Ben berdoa dunia akan melihat potensi anak lelakinya.

Kemudian pada satu pagi, ketika Jon sedang bermain di atas lantai di ruang tamu dan Ben membaca majalah di sofa, Jon menjerit dengan suara yang tidak seperti suaranya.

"Hei budak, awak tak boleh buat begitu.Awak buta."

Ben menghampiri anaknya dan bertanya, dalam loghat Midwestern, di mana dia mendengar kata-kata itu. Jon melihatnya dengan mata yang tidak berfokus dan berkata sesuatu tentang kawan-kawannya di sekolah.

Jon tidak dapat melihat air mata bapanya.
*****
Jon tahu benar soalan-soalannya. Macam mana rasanya menjadi buta? Adakah kamu bermimpi dalam warna?
Jawapannya telah disediakan. Macam inilah pada saya, dia akan berkata, menjelaskan bahawa dunianya tidak hitam sepenuhnya.

Mata kirinya lebih baik daripada yang kanan, tetapi ia masih seperti melihat melalui tingkap kecil yang diliputi kertas lilin tebal.

Jon tidak suka bercakap tentang cabaran. Dia tidak boleh menulis lebih daripada namanya sendiri dalam huruf besar yang goyah. Tidak boleh mengajak seorang gadis untuk berjalan-jalan melainkan jika dia bersedia untuk mengambil bas bandar. Tidak boleh menendang bola sepak dengan ayahnya.

"Kehidupan saya berbeza daripada orang yang boleh meilihat, tetapi itu sahaja yang pernah saya kenali," kata Jon. "Jadi, saya hanya memberi tumpuan kepada masa depan saya."

Impian Jon penuh dengan warna, semangat dan cita-cita. Dia ingin menjadi salah seorang daripada kurang 25 peratus orang dewasa buta yang berjaya menamatkan pengajian kolej. Dalam nada yakin, beliau akan menyatakan rancangannya untuk mendapatkan ijazah sarjana muda dari UNL. Kemudian ke sekolah undang-undang dan kerjaya menegakkan hak undang-undang mereka yang cacat penglihatan.

Tetapi dia berhadapan dengan halangan yang besar. Tiga puluh satu peratus daripada orang buta yang berumur 21-64 tahun yang hidup di Amerika Syarikat adalah di bawah garis kemiskinan. Kadar pengangguran di kalangan orang buta adalah sekitar 70 peratus, lebih daripada 10 kali ganda kadar pengangguran negara. Pendapatan tahunan median seseorang yang mempunyai kecacatan penglihatan adalah di sekitar $33,200. Hampir satu dalam lima menerima faedah Keselamatan Sosial.

Jon mahu mengubah statistik itu.

"Maksud saya, saya bukannya mencari keunggulan pun. Saya berjuang untuk kesaksamaan," Jon menjelaskan, sambil menggoncang jam tangannya ke pergelangan tangan.

"Jika saya perlu membawa kerjaya saya sehingga ke Pejabat Oval untuk membuat perbezaan, saya akan lakukan," katanya dari kerusi swivel rendah dalam bilik sempit Capitol Tour. Jon berhenti untuk menyusun kata-katanya sebelum meneruskan, menggilap setiap ayat sebelum mengutarakannya,

Ibu bapanya berkata ini akan menjadikan dia peguam hebat yang diyakininya boleh tercapai.

“Saya rasa saya memang sentiasa tahu bahawa saya akan bekerja lebih daripada jangkaan ramai tentang saya,” kata Jon.

Tetapi Ben dan Rose masih didatangi orang di celah-celah barang di kedai runcit di Shubert, bandar mereka dengan penduduk seramai 150 orang di tebing Sungai Missouri di Richardson County. Semua orang kenal Jon; mereka bertanya khabarnya. Dengan bisikan bersimpati, masih ramai daripada mereka yang memberi nasihat tentang pilihan institusi dan bergantung pada faedah Keselamatan Sosial.

*****
Program Work and Gain Experience in the Summer (WAGES) adalah satu usaha oleh Nebraska Commission for the Blind and Visually Impaired untuk menurunkan peratusan orang buta yang bergantung pada faedah Keselamatan Sosial dan memberikan penduduk Nebraska yang buta jalan ke arah kebebasan.

Jon adalah salah seorang daripada sembilan remaja dalam program ini, sesi 6-minggu yang mengumpulkan pelajar sekolah tinggi yang cacat penglihatan bersama-sama untuk seminar, latihan individu dan perjalanan sekali-sekala ke gimnasium mendaki dinding batu atau kandang kuda sebagai satu ruang pengetahuan. Selepas tamat pengajian, 90 peratus daripada pelajar WAGES mendapat kerja atau pergi ke kolej.

WAGES memberi Jon satu bentuk kebebasan daripada ibu bapanya dan peluang bersama dalam kumpulan sosial dengan pelajar-pelajar lain. Mereka juga mempunyai cerita seperti dia.

"WAGES adalah benar-benar -" John berhenti seketika, mengatur ayatnya. Bibit-bibit senyuman kelihatan di sudut mulutnya. "Maaf kerana bermain dengan kata-kata, tetapi ia adalah pengalaman membuka mata yang paling besar pernah saya alami."

John telah lama dahulu belajar untuk "melihat" tanpa matanya - untuk mengemudi, untuk bergaya, untuk menyediakan makanan. Di WAGES, walau bagaimanapun, dia belajar bahawa dia tidak bersendirian. Dia menemui satu kumpulan sosial yang tidak pernah dirasainya sebelum ini. Dan lebih daripada sebelum ini, dia melihat potensi sendiri untuk hidup secara bebas, untuk mengejar impiannya.

Tahun lepas, Jon bekerja sambil belajar dengan American Civil Liberties Union, menyemarakkan semangatnya tentang isu hak seseorang. Latihan sebagai pemandu pelancong pada tahun ini memberi dia peluang untuk berjalan di kamar yang diharap suatu hari nanti akan menyaksikan dia membentangkan kes-kes.

Walaupun latihan Jon bersama WAGES dan sebagai pemandu pelancong telah tamat, Jon merancang untuk terus bersama Nebraska Commission for the Blind and Visually Impaired dalam latihan selama enam hingga sembilan bulan di bawah model penemuan berstruktur, di mana orang buta secara literal memimpin orang buta. Pengajar buta yang berkelayakan mengajar perjalanan menggunakan tongkat, Braille dan penyesuaian komputer dan teknologi.

Pelajar dikehendaki memakai penutup mata untuk mensimulasikan buta sepenuhnya. Secara beransur-ansur, pelajar-pelajar mencari jalan mereka sendiri untuk perjalanan di bandar, memasak, dan membasuh.

Tidak terdapat banyak penyesuaian, walaupun di dalam bengkel pertukangan kayu. Tali bergelimpangan di lantai yang penuh dengan habuk papan. Alat yang tajam dan pisau tidak mempunyai pelindung tambahan.

"Dunia tidak akan menyesuaikan diri dengan saya yang buta, jadi saya perlu belajar bagaimana untuk menyesuaikan diri," kata Jon."Sama ada anda boleh melihat atau tidak, anda tidak boleh takut, anda perlu terbuka. Anda perlu meneroka. "

*****
Lawatan yang dikendalikan Jon hampir tamat dan keraguan yang ada sedikit-sedikit dalam suaranya telah hilang. Suaranya mendalam dan yakin ketika dia menerangkan ciri jubin akustik Dewan Mahkamah Agung Nebraska kepada pengunjung. Dia berdiri tegak sambil menggerakkan tangannya. Dia menyandarkan tongkatnya ke pagar kayu walnut di situ dan berjalan dalam lingkaran yang besar sambil bercakap.

Kata-kata Heraclitus dalam huruf besar di atasnya berbunyi: "MATA DAN TELINGA ADALAH SAKSI MISKIN APABILA JIWA KEJAM."

Ketiga-tiga pelancong duduk di bangku awam, dan satu keluarga lain telah masuk ke ruang itu.

Ini bukan Jon yang gusar ketika memulakan lawatan. Ini Jon yang mengawal keadaan.

Jon memimpin pelawat-pelawat keluar dari bilik, mengarah mereka ke lif. Dia bergerak pantas - tongkat tadi membantunya.

Seorang budak lelaki - mungkin 7 atau 8 tahun - berlari di hadapan Jon, merangkul tongkat tadi dengan kedua-dua tangan dan tidak melepaskannya. Jon terpaksa berhenti tiba-tiba dan cuba mengimbangkan kembali badannya.

"Kenapa awak ada tongkat itu?"kanak-kanak itu bertanya mendongak melihat Jon.

Mulut Jon terbuka, matanya mengarah ke aas ke rotunda. Dia merancang jawapan tepat seperti seorang peguam.

Sebelum Jon boleh menjawab, ibu kanak-kanak itu mencengkam bajunya, menariknya dari situ, dan melepaskan genggaman tangannya dari tongkat tersebut.

"Kamu tidak boleh berbuat begitu," katanya mendengus di telinganya.

"Mengapa?"

"Dia buta," kata ibu tadi, suaranya meninggi penuh desakan.

"Tidaklah."

"Yalah," beliau berhujah."Dia buta. Kamu tidak boleh maragut sahaja tongkat dia seperti itu. "

Tanpa kata, Jon bergerak ke arah pejabatnya, dengan langkah-langkah yang berat, meninggalkan ibu dan anak lelaki serta tiga pelawat dari Kansas City. Rahangnya diketap, jarinya memegang ketat pemegang tongkat itu.

Tetapi sebelum dia berpaling ke arah pejabatnya, Jon berhenti. Melihat kembali. Memaksa senyuman. Dia berusaha menggilap kata-katanya.

Dengan tenang, tanpa merendah-rendahkan orang lain, Jon menerangkan. "Ya, saya buta. Inilah yang pernah saya lihat apabila saya berjalan. " Dia mengangkat tongkat supaya budak itu boleh melihat dengan lebih baik.

Kanak-kanak itu mengundur beberapa langkah, menutup matanya dengan tangannya dan mengambil beberapa langkah besar dalam dunia kegelapan sementaranya sendiri sebelum loceng lif berbunyi dan pintu terbuka.

"Saya fikir anda dapat pergi melihat bahagian atas Capitol," kata Jon, menukar subjek sebelum kanak-kanak lelaki dan ibu bapanya memulakan perjalanan mereka ke Dewan Memorial di tingkat 14.

Apabila pintu ditutup, Jon mengambil nafas dan berjalan kembali ke pejabatnya. Bosnya sedang menunggu. Beliau bertanya tentang hasil lawatan tadi.

"Oh, ia berjalan dengan sangat baik," katanya. Dia mula memberitahu berkenaan budak lelaki itu tetapi meninggalkan sebahagian besar daripada butiran yang berlaku. Sambil ketawa sedikit dia berkata " Ia adalah waktu pengajaran yang baik," dan terus sibuk mengunci pintu pejabat.

Apabila dia melangkah ke luar, dia boleh melihat kecerahan sinaran matahari bulan Julai; merasa kehangatan pada tangannya.

Dia berjalan lapan blok ke asrama, mendengar hentakan tongkatnya, trafik dan hilai ketawa para pelajar berjalan pulang dari kelas musim panas.

Dia merancang jawapan beliau apabila kawan-kawan bertanya tentang harinya. Menggilap kata-kata untuk menggambarkan jejak langkah beliau di lantai jubin dewan itu, dan cara suaranya yang mendalam bergema di bilik mahkamah.

Wednesday, 24 September 2014

Kemenangan R300 000 busker buta

Rencana "Blind busker’s R300 000 victory" oleh Anel Lewis dan Nontando Mposo bertarikh 5 September 2014 terbit di iol




Cape Town - Seorang busker buta Lunga Goodman Nono, yang telah dihalau secara paksa dari tempatnya bermain muzik di St George's Mall tahun lalu oleh pegawai-pegawai penguatkuasa undang-undang Bandaraya Cape Town, telah mendapat R300 000 sebagai ganti rugi.

Majistret Mas-Udah Pangarker Mahkamah Wilayah Cape Town berkata para pegawai telah gagal menegakkan undang-undang dan telah melanggar hak perlembagaan Nono.

Terdapat juga penggunaan kekerasan yang "berlebihan" , dan juga penderaan lisan dan fizikal.

Nono yang kelihatan gembira berkata pada hari Khamis bahawa makan malam "di suatu tempat mewah" adalah perkara pertama yang akan dilakukan meraikan keluarganya selepas memenangi kes mahkamah 13 bulan terhadap pihak bandaraya. Dia juga akan membelanjakan wang menambahbaik pondok satu biliknya di Delft.

Karusha Iyer dari firma Kirsten Attorneys berkata hakim memberi jumlah ganti rugi maksimum, dan mengarahkan pihak bandaraya untuk membayar semua kos undang-undang.

Penghakiman ini adalah kemenangan yang penting bagi Nono, oleh kerana mahkamah jarang-jarang memberikan jumlah maksimum dalam tuntutan ganti rugi am.

"Hakim bersetuju bahawa Nono telah mengalami penderitaan dan memang pasti hak perlembagaannya telah dicabul. Dia memang pasti difitnah. "

Nono, yang dilahirkan buta, telah dikasari dalam pergelutan dengan pegawai-pegawai penguatkuasa undang-undang pada bulan Julai tahun lepas. Gitar busker itu pecah dalam kekecohan itu.

Dia telah bermain di sudut St George Mall dan Shortmarket Street berhampiran Dataran Greenmarket sejak tahun 2008. Tetapi berikutan aduan bunyi bising daripada sebuah perniagaan yang berhampiran, beliau secara paksa dikeluarkan daripada tempat itu oleh pegawai-pegawai bandar raya.

Video dan rakaman fotografi menunjukkan bagaimana Nono diseret di atas tanah manakala isterinya, Abigail, dan anak perempuannya yang berusia 10 tahun, Portia, menyaksikannya ketakutan.

Pihak Bandaraya menegaskan bahawa Nono telah melanggar suatu undang-undang kecil, tetapi kemudian diketahui bahawa majlis perbandaran tidak mempunyai rang undang-undang kecil yang jelas tentang persembahan jalanan. Pindaan telah pun dibuat setelah itu kepada undang-undang kecil Informal Trading and Street Performances .

Nono mulanya menghadapi denda R1 500 kerana mengingkari arahan dari pegawai penguatkuasaan undang-undang bandaraya, tetapi caj ini kemudiannya digugurkan.

Sementara itu, tiga pegawai penguatkuasa undang-undang yang terbabit dalam kejadian itu telah diberi amaran akhir yang sah selama enam bulan dan dihantar untuk latihan kepekaan tentang cara menangani orang kurang upaya.

JP Smith, ahli jawatankuasa datuk bandar untuk keselamatan, berkata semalam: "Pihak Bandaraya akan mengkaji keputusan mahkamah dan mempertimbangkan pilihan kami. Pada peringkat ini kita tidak boleh mengulas lanjut tanpa menjejaskan apa-apa prosiding yang mungkin timbul pada masa depan." Pihak Bandaraya tidak pernah muncul di mahkamah untuk mempertahankan tuntutan itu, kata Iyer.

Tetapi dalam ketetapan itu, hakim dilaporkan menyatakan sebagai rekod kekecewaannya bahawa tiga pegawai penguatkuasa undang-undang yang terlibat dalam kejadian itu hanya digantung selama enam bulan.

"Ini hanya satu tamparan pada pergelangan tangan," kata Iyer.

Ia telah dicadangkan bahawa pegawai-pegawai itu sepatutnya memohon maaf kepada Nono di atas cara dia dizalimi.

Walau bagaimanapun, hakim tidak menyokong dakwaan Nono ditangkap menyalahi undang-undang, kerana hakim berkata Nono tidak pernah dipenjarakan dalam sel induk.

Oleh kerana perkara itu melibatkan tuntutan ganti rugi am, majistret meminta Nono dan isterinya memberi keterangan di mahkamah dan pasangan itu telah berbuat demikian pada 25 Ogos.

Muncul pula dalam keterangan, dan juga dicatat dalam dokumen mahkamah yang dikemukakan oleh Nono, bahawa dia kini mengalami gangguan tekanan selepas trauma. Dia mengalami mimpi ngeri dan kini perlu menjalani rawatan psikologi yang tetap.

Iyer berkata pelanggan beliau terlalu takut hendak bermain pada masa ini lebih daripada beberapa kali seminggu kerana bimbang dipukul lagi.

"Dia hilang sifat cerianya dahulu. Pegawai-pegawai itu telah melunturkan semangatnya."

Tetapi ketika bercakap kepada Cape Argus dari sudut tempat persembahan jalanannya pada hari Khamis, Nono dan Abigail tidak dapat berhenti tersenyum selepas menerima berita baik daripada peguam mereka sekitar waktu tengah hari.

"Kami telah keluar masuk mahkamah selama beberapa bulan. Saya amat gembira kami akhirnya menang," kata Nono.

Selain makan malam keluarga, Nono merancang untuk membelanjakan wang mengubah suai pondok satu bilik beliau di Delft, pendidikan Portia dan juga merakam satu "album panas".

Abigail berkata suaminya bukanlah yang sama selepas kejadian itu dan terdapat hari-hari apabila dia tidak mahu bangun untuk bekerja kerana masih trauma dengan apa yang berlaku.

Sementara itu ACDP menyatakan bahawa ia akan meminta kes tatatertib terhadap pegawai-pegawai tadi dibuka semula supaya hukuman yang lebih berat boleh dipertimbangkan. Ia juga akan memberi motivasi bagi pegawai-pegawai itu memohon maaf kepada Nono, kata wakil parti Grant Haskin.

Tuesday, 23 September 2014

Buta tidak memperlahankan mangsa 9/11 yang masih hidup

Rencana "Blindness doesn’t slow 9/11 survivor" oleh Marlen Garcia bertarikh 4 September 2014 terbit di suntimes




Michael Blizzard Hingson dilahirkan di Chicago semasa kejadian ribut salji. Itulah asalnya idea nama tengah beliau datang kepada ibu bapanya.

Ibu bapanya telah memberinya kehidupan yang biasa di Chicago dan kemudian di California. Dia bermain di luar dengan sepupu-sepupunya dan juga abangnya, menghadiri sekolah awam dan menunggang basikal dengan gembira di persekitaran kawasan rumahnya.

Perkara yang biasa. Namun, kepada orang luar dia dilihat sebagai seorang lelaki yang luar biasa kerana dia buta.

Ketika berumur 64 tahun, dia adalah seorang peguam bela dan jurucakap tidak rasmi bagi orang buta. Dia memberi syarahan di seluruh dunia. Dia boleh bercakap tentang kadar pengangguran orang buta yang begitu tinggi di Amerika Syarikat (lebih 70 peratus) dan cara-cara mudah pengeluar barang-barang boleh membantu orang buta (memasang fungsi bersuara pada ketuhar gelombang mikro dan peti televisyen kabel boleh membantu).

Kebanyakan jemputan untuk dia berucap, bagaimanapun, adalah tentang menyesuaikan diri dengan perubahan. Keadaan menjadikan beliau seorang pakar berkenaan perkara ini, dan penonton telah berminat semenjak 11 September 2001.

Tidak lama selepas dia sampai untuk bekerja pada hari itu sebagai seorang pengurus jualan di tingkat ke-78 Menara Utara Pusat Dagangan Dunia dengan anjing pemandunya yang setia Roselle, pengganas menghempas kapal terbang komersial ke dalam tingkat atas menara berkembar itu.

Hingson dan Roselle, bersama-sama beratus-ratus orang lain dengan tenang menggunakan tangga yang penuh dengan asap berbahaya keluar dari banguan itu, tidak menyedari bahawa beratus-ratus telah terkorban dan yang lain terperangkap di atas mereka, Hingson menulis dalam buku terlaris New York Times "Thunder Dog."

Buku ini adalah sebahagian memoir, sebahagian penghormatan kepada anjing Labrador Retriever kuning yang menunjukkan kasih sayang kepadanya dan membawanya turun 1,463 langkah dengan selamat. Roselle meninggal dunia pada tahun 2011.

Hingson akan meluangkan masa pada hari ulang tahun 9/11 di kawasan Chicago dengan anjing pemandu terbarunya, Afrika, untuk bercakap tentang pengalaman beliau. Di antara tempat yang akan menyaksikan dia berucap, pada hari Khamis ialah di The Garlands Barrington yang dianjurkan oleh Creative, Remarkable and Extraordinary Women, sekumpulan doktor pergigian.

Seterusnya pada hari Jumaat, dia akan berucap di Winnetka Community House.

Hasil ucapan akan disalurkan ke yayasan kebajikan Hingson dan The Hadley School for the Blind di Winnetka.

Dalam temu bual telefon, Hingson teringat perjalanannya menuruni tangga, mengimbas kembali bahawa dia tidak berasa takut.

Anjing pemandu dan pemiliknya memahami isyarat antara satu sama lain, katanya. "Roselle tidak memperlihatkan apa-apa tanda dia takut. Itu membolehkan saya memberi tumpuan. "

Itulah cara hubungan di antara keduanya sepatutnya berlaku, tetapi ia tidak semestinya sentiasa begitu. "Orang yang menggunakan anjing pemandu atau mempunyai haiwan peliharaan boleh membuat mereka neurotik," katanya.

Dia mula menggunakan anjing pemandu ketika berumur 14 tahun, oleh itu dia mempunyai berdekad-dekad pengalaman dalam membina kepercayaan dengan haiwan-haiwan berdisiplin yang menakjubkan ini.

Hasil kerja beliau dengan anjing-anjing itu adalah sebahagian sebabnya mengapa dia menjadi tumpuan. Sebab lain adalah kesediaannya menyesuaikan diri dengan masyarakat yang boleh melihat yang tidak merangkumi mereka yang cacat penglihatan.

"Dia menawarkan pengetahuan kepada orang ramai berhubung keupayaan orang buta," kata Chuck Young, presiden The Hadley School. "Kebanyakan orang berkata, 'Apa orang buta buat di Pusat Dagangan Dunia?' Dia adalah seorang [pengurus] dengan sebuah syarikat "

Mesej yang wujud dalam ceramah beliau adalah tentang perubahan.

"Perubahan berada di sekeliling kita," katanya. "Ada perkara-perkara yang berlaku yang di luar kawalan kita. Kita mempunyai kuasa ke atas cara kita menangani perubahan."

Sunday, 21 September 2014

Bagaimana orang buta pun boleh menikmati pemandangan apabila bercuti

Rencana "How even the blind can see the sights on holiday" bertarikh 3 September 2014 terbit di yorkshirepost




Ia telah mengambil masa 10 tahun perjalanan ke lebih 60 buah negara, tetapi Amar Latif akhirnya menemui destinasi percutian yang sempurna.

Apabila usahawan Leeds itu menubuhkan syarikat pelancongan Traveleyes satu dekad yang lalu untuk membolehkan orang buta dan cacat penglihatan menikmati perjalanan bebas, dia tidak tahu ke manakah usaha tersebut akan membawanya.

Encik Latif, yang kehilangan penglihatannya akibat keadaan genetik 20 tahun yang lalu, mula mewujudkan cuti yang menarik dengan melawat setiap destinasi sendiri, dengan bantuan daripada pembantu yang boleh melihat.

Kunci kepada pengalaman perjalanan yang menarik adalah komentar berterusan yang disediakan oleh pelancong yang boleh melihat, katanya.

Meraikan ulang tahun ke-10nya, syarikat itu kini menawarkan di antara lain percutian berlayar di Greece, berjalan di gunung Rila Bulgaria, dan berski di Perancis.

Dia bergurau bahawa "membawa bersama-sama satu set mata" dalam bentuk pelancong yang boleh melihat adalah bermanfaat kepada kedua-duanya kerana pelanggan yang boleh melihat mendapat diskaun.

"Apabila kita memilih sesuatu destinasi, kita tidak memilihnya kerana ia boleh diakses, tetapi lebih kerana sama ada menarik untuk kedua-dua orang buta dan yang boleh melihat.

"Kemudian kami pergi ke sana untuk melihat bagaimana membuatnya boleh diakses.

"Destinasi itu perlu menarik bagi orang buta dan yang boleh melihat kerana separuh daripada pelanggan kami adalah yang boleh melihat."

'Ujian perjalanan' kebanyakannya dibuat oleh Amar dan dia juga bertindak sebagai 'pengurus pelancongan' bagi memastikan pelanggan mendapat yang terbaik daripada percutian tersebut.

Dia telah lupa berapa banyak negara yang dilawati tetapi mungkin "di antara 60 dan 100" dan jumlah sebenar perjalanan adalah kira-kira 400.

Encik Latif telah memperbaharui pasportnya sebanyak tiga kali apabila muka surat di dalamnya penuh dengan kertas dan setem visa.

Baru-baru ini satu perjalanan pencarian maklumat membawanya ke pulau Lefkas Greece untuk satu pengalaman pelayaran dan pada bulan depan 26 orang pelanggan akan menemui apa yang ditawarkan.

Beliau berkata: "pelayaran itu luar biasa. Berlayar dari pulau ke pulau, dengan laut yang tenang indah, kami berhenti di pulau-pulau yang mempunyai bilangan penduduk yang kecil.

"Saya dapat merasakan dari mana angin itu datang dan bahang matahari di belakang badan saya, memang indah."

Pekerjaannya telah membawa dia ke Zambia, Itali, Zimbabwe, Afrika Selatan, Australia, India, Amerika Syarikat dan Mexico.

Tetapi, selepas banyak berfikir, dia percaya Cuba adalah destinasi percutian yang sempurna.

"Muzik salsa, cahaya matahari, perjalanan menggunakan kereta 1950-a, rum, kilang-kilang cerut - dan suasana yang santai.

"Ini adalah tempat visual tetapi pelancong kami yang boleh melihat mengisi ruang maklumat dalam pemandangan - ia adalah satu perkongsian"

Lebih hampir di sini, perjalanan ke Bronte Parsonage Museum di Haworth dan Keighley and Worth Valley Railway telah terbukti popular dengan pelanggan dari Itali, Australia dan Kanada. Selepas sedekad perjalanan, lelaki berusia 39 tahun ini berminat melawat lebih banyak tempat dan telah menambah Cornwall dan Bath ke senarai hasrat beliau.

Sebagai pengembara buta, bukan semua perjalanan berjalan dengan baik. Semasa perbualan, dia kadang-kadang diabaikan orang dan mereka hanya bercakap dengan pembantunya tetapi Encik Latif menggunakan humor untuk meredakan keadaan janggal.

Beliau berkata: "Saya suka mengubah pandangan orang ramai terhadap kebutaan. Apabila orang bertemu dengan OKU penglihatan untuk pertama kalinya, mungkin mereka tidak tahu bagaimana hendak menghadapinya. Saya lebih suka menjelaskan, daripada mengeluh. Dan jenaka boleh menenangkan keadaan."