Friday, 18 July 2014

Perkauman Makanan: Masih berbau!

Rencana “Food racism: It still stinks!” oleh Hafiz Noor Shams bertarikh 17 Julai 2014 terbit di themalaymail




Saya rasa ramai daripada kita rakyat Malaysia telah terlibat dalam perbahasan yang tidak berkesudahan tentang perkauman sebelum ini. Masalah dengan perbahasan ini ialah ia dirangka dalam konteks rakyat Malaysia dan lebih kerap tidak mengendahkan nilai sejagat kesaksamaan seluruh umat manusia.

Ini menimbulkan sifat hipokrit di kalangan orang yang percayakan kesaksamaan di kalangan rakyat Malaysia. Mereka tidak bersetuju dengan perkauman terhadap rakyat Malaysia, tetapi tidak mempunyai masalah mengamalkannya terhadap warga asing.

Saya menulis rencana ini sebagai reaksi terhadap cadangan di Pulau Pinang untuk mengharamkan orang asing daripada menjadi tukang masak di negeri itu. Saya dapati rasional di sebalik cadangan itu sangat rapuh: kerajaan negeri mahu mengekalkan keaslian makanan. Ia adalah tentang melindungi warisan Pulau Pinang.

Cadangan ini menganggap gaya masakan dan resipi tidak boleh dipelajari, oleh kerana memasak adalah keupayaan khas semula jadi. Ia menganggap ada sesuatu yang istimewa tentang anak negeri Pulau Pinang yang memasak masakan Pulau Pinang.

Tetapi hujah itu perlu dipecahkan sehingga ke penghujung yang logik, sehingga ke asas pembentukannya. Jika kita bimbang tentang warisan makanan, maka mungkin ada rakyat Malaysia yang harus dilarang daripada memasak beberapa makanan Malaysia.

Tukang masak Cina tidak harus dibenarkan memasak makanan Melayu. Tukang masak Melayu tidak harus dibenarkan menyediakan makanan India. Gunakan logik keupayaan memasak semula jadi untuk setiap kumpulan etnik dan lihat jika anda menyukai keputusannya.

Perbezaan yang dibuat di antara tukang masak Malaysia dan asing hanyalah untuk mengabui sikap prejudis. Seseorang mungkin berhujah terdapat perbezaan di antara perkauman dan sentimen anti-pendatang: kita tidak mengamalkan diskriminasi terhadap sesuatu kaum tetapi terhadap pendatang amnya.

Tetapi jauh di lubuk hati tanpa pengkelasan tiruan, benarkah wujud perbezaan antara perkauman dan xenofobia? Kedua-dua definisi mempunyai lebih daripada tanda-tanda prasangka di dalamnya. Xenofobia sama sepertti perkauman cuma dengan nama yang berbeza, masih busuk.

Selain itu, larangan yang dicadangkan mungkin akan memberi kesan kepada pekerja asing dari negara-negara miskin. Bagaimana jika tukang masak itu berasal dari Eropah? Adakah kita akan menyembah mereka sebagai tuhan bukan? Garis yang memisahkan perkauman daripada xenofobia adalah nipis dan kabur, jika adalah garis pada asalnya.

Selain itu, di internet, persoalan kebersihan ditimbulkan yang mengandaikan pekerja asing adalah orang yang kotor dan tidak sihat, menyokong larangan yang dicadangkan dan yang lebih penting, mendedahkan bentuk perkauman yang lebih teruk.

Hujah bertentangan tentang kebersihan adalah apabila anda telah pergi ke mana-mana gerai di Pulau Pinang yang dikendalikan oleh penduduk tempatan, anda akan membuat satu kesimpulan bahawa kebersihan bukanlah satu keutamaan bagi mereka. Saya memang membuat kesimpulan itu apabila makan mi dan cendol di Jalan Macalister George Town baru-baru ini.

Saya bukanlah tukang masak yang baik tetapi telah cuba memasak ketika bergelar seorang pelajar di luar negara. Apa yang saya perhatikan ialah kita boleh belajar memasak dan apa yang membuatkan ia bagus adalah latihan.

Saya tidak memasak selalu tetapi agak yakin jika kita belajar dan berlatih berbuat sesuatu, kita akan mahir melakukannya. Jika anda bercadang hendak bekerja sebagai tukang masak, maka anda perlu bekerja lebih keras untuk menjadi mahir.

Lagipun, kita mempunyai tukang masak Malaysia berbangsa Cina membuat roti canai yang agak baik di Goulburn Street Sydney. Adakah itu menjadikan ia kurang tulen? Saya makan sahaja roti canai itu dan memesan sekeping lagi.

Saya pasti terdapat lebih banyak contoh seperti itu di Malaysia dan di seluruh dunia. Jika kita benar-benar menitikberatkan kesahihan makanan dan warisan, maka rakyat Malaysia ini patut dikutuk kerana memasak sesuatu yang bukan milik warisan etnik mereka. Tetapi kita tidak.

Malah, ramai yang berbangga dengan mereka kerana menyebarkan budaya Malaysia di luar negara. Dan bagi kita yang mengembara, kadang-kadang kita rindukan makanan dari rumah dan bersyukur boleh mencari makanan Pulau Pinang di Chicago, misalnya.

Sesetengah daripada kita tidak boleh makan apa-apa selain makanan Malaysia walaupun selepas bertahun-tahun tinggal di luar negara, bergaul hanya di Kampung Malaysia di London dan di tempat-tempat lain, keadaan yang agak membimbangkan tetapi kita tidak akan memperkatakannya buat masa ini.

Oleh itu, mengapa rakyat Malaysia dibenarkan memasak makanan Malaysia tetapi tidak orang asing? Mudah. Kita menyokong kesaksamaan di kalangan rakyat Malaysia, tetapi pergi jahanam dengan orang lain. Dalam perkiraan saya prejudis itu rapat sekali dengan perkauman.

Apa-apapun, penentunya adalah pelanggan. Jika mereka sukakan masakan anda, mereka akan mengunjungi gerai-gerai atau restoran anda, membayar untuk makanan yang enak. Jika anda seorang tukang masak yang tidak mahir, walau siapapun anda, rakyat Malaysia ataupun tidak, mereka yang kelaparan dan mengambil foto tidak akan terlalu kerap berkunjung ke tempat anda. Kita tidak perlukan kerajaan untuk memberitahu bahawa kita tidak boleh membeli makanan daripada pihak-pihak tertentu. Kita boleh membuat keputusan itu sendiri.

Cadangan negeri Pulau Pinang bukanlah satu-satunya contoh perkauman seperti itu. Apabila Menteri Wilayah Persekutuan hendak mengharamkan gelandangan dan soup kitchen dari pusat bandar Kuala Lumpur, masyarakat awam menentangnya dan semua jentera-jentera kerajaan di bawah kawalannya. Dalam mempertahankan cadangan tersebut, antara lain, menteri itu berkata kebanyakan gelandangan dan pengemis adalah warga asing (tidak benar kerana berdasarkan laporan berita, Dewan Bandaraya "memindahkan" 965 orang gelandangan pada tahun 2013, dengan kira-kira 13 peratus daripada mereka warga asing).

Pada pandangan beliau, ini membuatkan cadangan tersebut lebih diterima. Oleh kerana gelandangan adalah warga asing, dia ingatkan bolehlah melakukan apa sahaja yang dia mahu, lupa bahawa warga asing adalah manusia juga.

Dan ini tidak berhenti di situ sahaja. Sesetengah daripada kita berfikir pendatang adalah makhluk yang rendah martabatnya. Oleh sebab itulah kita menyalahgunakan mereka. Berapa kali kita mendengar tentang pembantu rumah asing didera di Malaysia? Sesetengah daripada kita mahu mereka keluar, menyalahkan pendatang tentang pelbagai perkara, tidak kira sama ada ia benar atau tidak. Gaji yang rendah? Pendatang! Tiada kerja? Pendatang! Kenaikan kadar jenayah? Pendatang! Kadar penyertaan buruh wanita yang rendah? Pendatang!

Sudah tentu, benar sekali, mereka tidak maksudkan semua pendatang dan pasti bukan yang di bawah program Malaysia Rumah Kedua. Oh tidak, bukan yang dikenali sebagai pekerja berkemahiran tinggi. Hanya pendatang dari negara-negara miskin yang tertentu.

Kewarganegaraan memberi kita hak-hak tertentu, tetapi itu tidak bermakna yang bukan warganegara kurang sifat manusianya. Mereka berdarah merah juga, seperti rakyat Malaysia.

Tuesday, 15 July 2014

Mengagungkan Hitler tidak akan membantu Gaza!

Rencana "Glorifying Hitler will not help Gaza!" oleh Rana Saadullah Khan bertarikh 14 Julai 2014 terbit di The Express Tribune



Angka kematian operasi terbaru tentera Israel di Gaza Palestin telah meningkat kepada 121 rakyat Palestin. Rakyat Palestin ini bukanlah 'pengganas' yang menjadi sasaran Israel; salah satu serangan udara Israel terkena sebuah kumpulan NGO yang bekerja untuk rakyat Palestin yang cacat, membunuh tiga pesakit kurang upaya dan seorang jururawat.

Walaupun, sudah tentu, Israel akan menghalalkan jenayah terbaru ini dengan mendakwa ia hanya 'bertindak balas' terhadap 680 roket yang dikatakan telah ditembak dari Gaza. Malah, kelihatan pula satu tahap baru politik yang diputarbelit, apabila Perdana Menteri Britain, David Cameron, dan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, telah membuat kenyataan sokongan tidak berbelah bahagi menyokong operasi Israel, dengan hanya Venezuela dan Scotland dua negara di Barat yang telah secara terbuka mengutuk tindakan Israel.

Organisasi antarabangsa yang begitu menonjol seperti Liga Arab dan PBB telah benar-benar diabaikan dalam rayuan mereka untuk menghentikan keganasan oleh Israel dan Barat, walaupun sekiranya PBB yang sama menerbitkan satu laporan tentang pencabulan hak asasi manusia di Iran Amerika Syarikat akan tiba-tiba mula mendesak republik Islam itu mematuhi permintaan organisasi yang pada hakiktanya amat lemah ini.

Sudah tentu, semua negara-negara ini lupa bahawa krisis di Gaza telah mencetuskan gelombang emosi di kalangan seluruh masyarakat Islam di peringkat global, dan 'tindakan balas' umat Islam bukan sahaja akan menjadi lebih luas dan besar daripada roket letupan yang ditembak ke sempadan bandar-bandar Israel, tetapi juga menjadi lebih berbahaya untuk kita semua.

Dalam satu tindakan bersatu, beberapa negara Islam yang mempunyai akses ke Gaza telah berikrar memberi bantuan dalam pelbagai cara. Malaysia menghantar 40 doktor sebagai bantuan perubatan yang amat diperlukan bagi 920 yang tercedera, Emiriah Arab Bersatu telah menjanjikan 100 juta Dirham untuk Gaza dan Mesir kini sedang membantu rakyat Palestin yang terdesak untuk melarikan diri ke dalam wilayah Mesir.

Sementara itu di Facebook, ramai rakyat Pakistan sibuk memuliakan Hitler, satu-satunya orang Eropah yang memuaskan hati Pakistan. Pelik sekali, bukan kerana Hitler entah bagaimana mencipta khalifah Islam yang ideal. Sanjungan itu kerana Hitler telah membunuh orang Yahudi, "dan akan membunuh mereka semua" jika dia memenangi Perang Dunia Kedua.

Sudah tentu, kita semua boleh mudah lupa bahawa Holocaust di tangan Hitler adalah sebab utama orang Yahudi melarikan diri jauh dari Eropah dan terpaksa mencari ketenangan di tanah air mereka yang tidak pernah didiami selama beratus-ratus tahun. Kita boleh juga dengan mudah lupa bahawa Hitler membunuh 11 juta orang, termasuklah enam juta orang Yahudi. Ideologi Nazi tidak bangkit untuk melindungi kepentingan Islam atau Palestin pada tahun 1940-an, seperti yang ingin dipercayai oleh sebahagian daripada kita; ideologi beliau mahukan bangsa Aryan menjadi satu-satunya bangsa yang masih hidup di dunia dan mewujudkan ketulenan kaum.

Itu bermakna membunuh semua yang bukan Aryan - Aryan yang sempurna. Orang Rusia, pekerja China dan Afrika, orang kurang upaya dan mental, Turki dan Mongol, homoseksual dan komunis semua adalah di antara mereka yang diserang dengan gas beracun di kem-kem tahanan Nazi. Walaupun ya, kita orang Asia Selatan dan saudara-saudara kita orang Parsi bernasib baik diklasifikasikan sebagai 'Aryan', masyarakat Arab dan Melayu kita, kumpulan kaum Muslim yang terbesar, adalah sebahagian daripada 'sampah' Hitler.

Malahan sebahagian besar Pakistan moden akan dihapuskan, kerana hanya etnik Tajik telah diberi rahmat Aryan oleh Nazi manakala rakyat utara selebihnya, termasuk Pakhtuns, akan mati hari ini.

Kita semua merasa jijik melihat senarai korban di Gaza dengan nama dan usia mereka didedahkan oleh Al Jazeera. Adakah kita begitu tidak berperikemanusiaan sehinggakan kita tidak dapat merasakan yang sama untuk mangsa Hitler? Sehinggakan kita harus menyanjung pembunuh menjadikannya orang yang mati syahid? Bagaimana pula dengan dua wanita Bosnia yang membantu orang Yahudi melarikan diri dari Eropah dan cengkaman Hitler kerana pertalian darah mereka? Bagaimana pula dengan diplomat Turki di Rhodes yang cuba menyelamatkan 5000 bukan Aryan dari dilenyapkan, tetapi terpaksa melihat isterinya sendiri yang sedang hamil, Mihrinissa, mati akibat tindakan balas dendam Nazi?

Amatlah memalukan manakala dunia Islam membandingkan tindakan Israel terhadap rakyat Palestin dengan Hitler terhadap orang Yahudi, kita semua, sebagai rakyat model negara Islam yang pertama, seolah-olah hanya memuliakan tindakan yang sama dengan lebih teruk lagi dan memalukan nurani Islam di hadapan dunia.

Amatlah memalukan bahawa kita memuji orang yang hari ini memberi inspirasi kepada serangan neo-Nazi terhadap umat Islam di seluruh Eropah. Jika benar-benar tindakan Hitler yang dipuji dalam perspektif Pakistan, maka kita perlu memakai label media yang menyatakan kita sebagai pengganas antarabangsa dengan bangga.

Dan ingat rakan-rakan senegara saya - menyukai status Nazi tidak akan meringankan penderitaan Palestin. Sebanyak manapun kita merungut tentang negara-negara Teluk Arab yang kaya serta Malaysia dan Turki yang terlalu liberal, jangan lupa bahawa mereka telah melakukan lebih untuk Gaza daripada yang pernah dilakukan oleh gambar profil anda.

Cintakan Hitler dan membenci orang Yahudi

Rencana “Loving Hitler and hating Jews” oleh Zurairi AR bertarikh 13 Julai 2014 terbit di themalaymailonline




Bagi sesetengah rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa, tweet Wakil Rakyat Barisan Nasional Bung Mokhtar Radin memberi hormat kepada diktator Nazi Adolf Hitler selepas Jerman memenangi perlawanan separuh akhir Piala Dunia merupakan pendedahan pertama tentang sanjungan pelik terhadap Hitler yang menular di dalam masyarakat Melayu.

Walaupun Bung telah meminta maaf selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyatakan bahawa Bung bukanlah mewakili suara Malaysia, hakikat sebenar jauh berbeza.

Penghormatan bagi Hitler bukan hanya telah lama wujud, tetapi seolah-olah meningkat berikutan serangan yang tidak seimbang oleh Angkatan Pertahanan Israel di Semenanjung Gaza.

Pada hari Jumaat, penyanyi popular Melayu Shila Amzah menulis tweet bahawa dia "ingin sekali Hitler masih hidup", sebelum menarik balik dan menghapuskan tweet beliau berikutan kemarahan orang ramai. Dia mengalah, tetapi tidak sebelum mendakwa bahawa mereka yang mencercanya kerana menyokong seorang pembunuh besar-besaran adalah "fanatik" semata-mata.

Pada hari yang sama, bekas Menteri Penerangan dan bekas ketua editor harian berbahasa Melayu Utusan Malaysia Zainuddin Maidin juga memuji Bung dengan "Bravo" kerana menyanjung Hitler, dan berkata ia adalah sesuai memandangkan serangan baru-baru ini.

Satu sebab utama di sebalik sanjungan yang tidak masuk akal terhadap Hitler berpunca daripada hakikat bahawa dia dianggap sebagai pembasmi orang Yahudi paling “hebat”, membasmi berjuta-juta kaum tersebut di kem-kem tahanan semasa Holocaust.

Malahan terdapat satu ungkapan yang terkenal menjadi buah mulut orang beragama Islam untuk membuktikan bagaimana “betul”nya Hitler:

"Saya boleh membunuh semua orang Yahudi di dunia, tetapi saya biarkan sebahagian daripada mereka hidup supaya anda akan tahu mengapa saya membunuh mereka."

Seolah-olah Hitler bersifat "baik" apabila dia membiarkan beberapa orang Yahudi hidup selepas membunuh berjuta-juta yang lain sewenang-wenangnya.

Ungkapan ini telah beredar dalam talian sejak permulaan Internet, dan malah pernah dipaparkan di muka depan Utusan pada satu ketika.

Petikan ini juga palsu. Tidak ada bukti yang menunjukkan bahawa Hitler pernah mengatakannya. Tetapi sudah tentu ini tidak akan menghentikan orang Islam daripada mengongsinya, kerana ia mengesahkan keyakinan mereka menentang orang Yahudi.

Sesetengah umat Islam juga percaya bahawa Hitler sangat mengagumi Islam dan penganutnya.

Pada tahun 2010, terdapat surat rantaian bertajuk "penghormatan saya kepada seorang lelaki yang hebat, Hitler" yang mengatakan bahawa Hitler sering bertemu ulama Islam untuk belajar tentang iman, dan bagaimana dia melayan tentera Islamnya dengan baik.

Surat itu juga mendakwa Hitler telah terdorong membunuh orang Yahudi selepas dia diilhamkan oleh al-Quran, dan memasukkan ikrar kepada Allah untuk tenteranya.

Ini juga tidaklah benar walau sedikitpun. Saya masih tertanya-tanya bagaimana contoh sejarah yang dioleh semula sebegitu rupa dan tidak masuk akal secara terang-terangan boleh dipercayai oleh ramai orang Melayu dan umat Islam.

Perasaan cintakan Hitler ini hampir seiring dengan berapa ramai orang Melayu yang tanpa ragu-ragu membenci orang Yahudi sebagai satu bangsa.

Pada bulan Mei, satu kajian oleh NGO Yahudi Anti-Defamation League mendapati hampir dua dalam tiga rakyat Malaysia cenderung mempunyai sifat anti-Semitik, jauh melebihi purata global sebanyak 24 peratus serta 22 peratus di seluruh negara lain di Asia. Malaysia juga adalah yang ke-19 dalam senarai 102 negara, di belakang negara-negara yang paling anti-Semitik dari Timur Tengah dan Afrika Utara. Ia juga adalah negara Asia yang paling prejudis terhadap orang Yahudi.

Sebahagian daripada kebencian ini datang daripada sokongan umat Islam bagi saudara-saudara Palestin mereka dalam konflik yang tidak berkesudahan dengan Israel.

Tetapi walau sekeras mana mereka mungkin cuba menafikan, faktor penyumbang yang besar perasaan anti-Semitisme adalah kerana hampir semua orang Melayu di negara ini telah dididik dengan orang Yahudi sebagai momok mereka, musuh orang Islam.

Rujukan tentang orang Yahudi di dalam kitab suci Al-Quran kebanyakannya negatif, dan adalah suatu perkara biasa mendengar penghinaan terhadap Yahudi semasa khutbah Jumaat.

Orang Yahudi begitu mudah dijadikan kambing hitam, dipersalahkan untuk hampir segala-galanya daripada keruntuhan moral masyarakat menerusi apa yang dikatakan penjajahan budaya mereka, sehinggalah membiayai pembangkang di negara ini untuk menggulingkan pentadbiran pemerintah.

Apabila bersangkutan dengan orang Yahudi, orang Melayu seolah-olah dengan senang membuang otak mereka keluar tingkap. Hanya kebencian mendorong mereka.

Tidak ada sesiapa yang boleh menafikan kekejaman yang dilakukan oleh tentera Israel terhadap rakyat Palestin, tetapi saya tidak selesa sedikitpun apabila mengetahui bahawa jawapan rakan-rakan Melayu saya 'kepada kemusnahan rakyat Palestin ialah dengan kemusnahan orang Israel pula.

Tidak ramai yang berminat dalam penyelesaian dua negara. Hanya penghapusan Israel sepenuhnya akan memberi kepuasan kepada mereka.

Ini juga dapat dilihat dalam banyak jawapan yang saya temui berikutan serangan ke atas Semenanjung Gaza. Banyak kenyataan adalah berbentuk "Yahudi laknatullah" (orang Yahudi yang terkutuk oleh Allah) dan berdoa semoga Tuhan "memusnahkan" orang Yahudi.

Nampaknya tidak banyak perbezaan antara orang Yahudi, Israel, dan Zionis. Mereka semua dengan mudah digabungkan ke dalam satu kelompok bersama-sama sebagai musuh yang perlu dihancurkan, tidak kiralah bahawa terdapat ramai orang Yahudi yang menentang kekejaman itu sendiri.

Logik menetapkan bahawa jika seseorang tidak menyokong pembersihan etnik umat Islam Palestin, maka seseorang itu perlu juga bersuara menentang penindasan terhadap orang Yahudi. Anda tidak boleh membenarkan pembunuhan seseorang dengan menyokong pembunuhan yang lain.

Tetapi sebab yang munasabah tidak mempunyai tempat manakala kebencian yang telah lama dipegang kukuh dalam sanubari. Tidaklah menghairankan bagaimana ini membawa kepada sekumpulan yang menyokong Hitler dan inginkan dia menghapuskan orang Yahudi dari muka Bumi, walaupun Hitler akan melakukan perkara yang sama terhadap umat Islam jika dia masih hidup.

Sunday, 13 July 2014

Lihat mereka beraksi

Rencana "See them in action" oleh Stuart Danker bertarikh 12 Julai 2014 terbit di nst




Dengan semua tumpuan pada perlawanan akhir Piala Dunia, Stuart Danker mengalihkan pandangan beliau pada sukan yang kurang dikenali tetapi sedang membangun - futsal orang buta

Orang ramai senyap menjangkakan sesuatu. Seorang pembantu berjalan ke sebelah tiang gol dan menjerit, "Kiri!" sebelum mengetuknya dengan sebatang logam. Dia berlari ke arah yang bertentangan, melakukan perkara yang sama, sambil menjerit, "Kanan!" Kemudian dia berjalan ke tengah dan bertepuk tangan. Dengan menggunakan petunjuk bunyi, Mohd Azwan Azhar membentuk imej mental tentang sasaran beliau. Ia adalah tendangan penalti penentu dalam permainan. Menggosok peluh daripada penutup mata beliau, Azwan melangkah dan membuat sepakan.

Bola melayang melepasi penjaga gol, menepati sasaran menyentuh jaring gol. Permainan telah dimenangi dan Azwan berlari ke arah rakan sepasukan untuk meraikannya. Masuklah ke alam futsal orang buta, di mana pemain mengatasi kekurangan penglihatan mereka untuk meneruskan minat dalam sukan. Jika anda tidak pernah mendengar tentang sukan ini, ia mungkin kerana futsal orang buta agak baru menurut piawaian antarabangsa, dengan pertandingan peringkat dunia yang pertama berlangsung pada tahun 1998. Ketua jurulatih Sunny Salesh berkata pasukan kebangsaan mempunyai peluang menjadi juara dunia jika ia terus meningkat pada tahap yang ditunjukkan ini.

"Kami mula bertanding pada tahun 2009. Kami tidak menang tetapi ia merupakan satu pengalaman yang baik untuk kami. Kami sedar bahawa kami mempunyai peluang dalam sukan ini dan sejak kekalahan itu, kami telah berlatih dengan lebih keras, "katanya.

Kaedah latihan untuk futsal orang buta memerlukan lebih daripada kecergasan fizikal. Pemain perlu mengasah deria pendengaran mereka, dan cukup yakin untuk bertindak balas dengan sewajarnya. Sunny melatih pemainnya dengan latihan mendengar sebanyak yang ditumpukan dalam mempertingkatkan ketahanan mereka.

"Kami melakukan banyak latihan mendengar. Permainan ini amat bergantung pada pendengaran sehingga ia biasanya dimainkan dalam keadaan yang senyap. Sehingga penonton pun dikehendaki tidak membuat bising. Mereka hanya boleh bersorak apabila bola di luar permainan atau selepas gol dijaringkan. Ini adalah untuk menghalang mereka daripada mengganggu pemain," tambah beliau.

Aapabila semakin banyak permainan dipertontonkan sepanjang hari, adalah jelas bahawa suasana yang senyap menjadikan persekitaran lebih kondusif. Walaupun stadium sarat dengan bunyi, kebanyakannya datang daripada jurulatih, pembantu atau penjaga gol. Kepada mereka yang belum mengenalinya, ia mungkin seperti jaringan bunyi biasa dalam pertandingan futsal tetapi bagi para peserta, setiap bunyi memberikan mereka satu set khusus isyarat-isyarat.

Pembantu membantu peserta mengagak kedudukan tiang gol. Jurulatih menyelaraskan pembentukan permainan para pemain, penjaga gol menyelaras pertahanan dan bola itu sendiri penuh dengan galas untuk mendedahkan pergerakannya. Pemandu, jurulatih dan penjaga gol tidak dibenarkan untuk memberi arahan di luar kawasan mereka yang telah diperuntukkan, iaitu bahagian sepertiga masing-masing di padang permainan.

Halangan yang adapun - yang digunakan terutamanya untuk menjaga bola dalam permainan - berperanan sebagai poket bunyi untuk pemain mengagak kedudukan mereka di atas padang. Bola dan bunyi sama-sama melantun daripada halangan ini, menjadikan pemain peka tentang hantaran bola atau kehadiran pemain lain.

Keajaiban otak

Hasil yang dipamerkan adalah sangat menakjubkan dan satu faktor utama yang menyumbang kepadanya ialah penggunaan neuroplasticity. Ikut kata mudah, neuroplasticity ditakrifkan sebagai perubahan di dalam otak yang memenuhi tabiat seseorang. Satu kajian terkenal yang menjelaskan tentang neuroplasticity menunjukkan bahawa pemandu teksi di London mempunyai hippocampi lebih besar dalam otak mereka berbanding penduduk umum. Hippocampus adalah sebahagian daripada otak yang memproses memori dan navigasi spatial.

Dalam perkembangan yang sama, para penyelidik Jerman mendapati bahawa orang buta memahami ucapan dua kali lebih cepat berbanding orang yang boleh melihat. Dalam kes ini, imbasan menunjukkan bahawa bahagian-bahagian yang biasanya digunakan untuk penglihatan sedang digunakan semula untuk mengendalikan tugas-tugas yang berkaitan dengan ucapan. Sudah tentu, ia juga bergantung kepada aktiviti-aktiviti yang dilakukan oleh orang itu apabila bersangkutan dengan evolusi otak.

Tetapi walaupun dengan deria yang peka, kemalangan berlaku juga dan perlanggaran kerap terjadi, terutamanya apabila berlari pada kelajuan tinggi. Walau bagaimanapun, terdapat langkah berjaga-jaga yang diambil untuk mengelakkan kemalangan ini, serta mewujudkan persekitaran yang selamat untuk para peserta.

Sebagai pendatang baru dalam sukan ini, Malaysia telah membangun dengan pesat, dan berharap untuk mengekalkan trend ini. "Ketika pertama kali bertanding pada tahun 2009, Iran menewaskan kita 8-0. Empat tahun selepas itu, mereka terpaksa bermatian-matian dalam kemenangan 2-0 ke atas kita. Ini menunjukkan bahawa kerja keras kita sudah mula berbaloi. Kami memberi tumpuan untuk menjadi yang terbaik di Asia. Selepas itu, kami merancang untuk mengambil bahagian dalam Piala Dunia, yang diadakan setiap empat tahun, "kata Sunny, penuh bersemangat.

Dia menyatakan bahawa dalam Sukan Paralimpik Asean, ranking pertama, kedua, dan ketiga masing-masing dipegang oleh Thailand, Malaysia dan Myanmar.

Kehidupan di luar dan di atas padang

Setiap pemain membawa pengalaman sendiri ke padang dan sebagai pemain akan mengakui, ia bukan satu sukan yang mudah untuk latihan. Azwan berkongsi: "Saya memang berminat bermain bola sepak. Saya menghadapi beberapa detik yang sukar dalam kehidupan dan futsal adalah satu cara melepaskan tekanan untuk saya. Dari satu segi, ia adalah cara saya mengingatkan diri sendiri bahawa saya boleh mengatasi sebarang halangan."

Azwan tidak dilahirkan buta. Dalam suatu kemalangan yang tidak dijangka, mata Azwan telah tercucuk, menyebabkan trauma dan kecederaan saraf yang tidak dapat dipulihkan, yang perlahan-lahan meragut penglihatannya Beliau mengakui bahawa tempoh penyesuaian itu merupakan masa yang sukar dalam hidupnya.

"Berkenaan sukan ini pula, saya terpaksa perlahan-lahan membiasakan diri mengemudi melalui bunyi. Ia mengambil masa dua tahun sebelum saya boleh mula berlari dengan bola. Sebelum itu, saya berasa kekok dan tidak dapat menggelecek bola serta menendang seperti yang lazim dilakukan dahulu. Tetapi saya terus berusaha, disamping latihan keras dan pada hari ini, saya boleh melakukan semuanya dengan selesa, "tambah beliau.

Seorang lagi pemain, Ahmad Hairul Amidi, berkongsi bahawa bermain dengan cemerlang dalam futsal orang buta membantu derianya lebih peka dalam situasi lain kehidupan. "Oleh kerana pendengaran saya telah dilatih sebegitu banyak untuk permainan, saya menyedari bahawa kemahiran ini mula membantu dalam aktiviti-aktiviti seharian yang lain juga. Saya rasa lebih sedar tentang persekitaran saya."

Menetapkan cita-cita untuk menjadi seorang pensyarah, Hairul mengimbangi waktu belajar dan latihan futsal, menghadkan masa untuk aktiviti-aktiviti lain. Dia berkata: "Sekarang, saya memberi tumpuan kepada dua perkara utama dalam hidup saya. Tentang latihan pula, kekurangan kemudahan yang terdapat di luar stadium menjadikannya sukar bagi saya untuk melakukan latihan futsal yang berkaitan, itulah sebabnya saya tumpukan perhatian kepada kecergasan am ketika latihan sendiri. " Kedua-dua pemain menggalakkan mereka yang cacat penglihatan untuk mencuba sukan itu. Ia mungkin kelihatan menakutkan pada mulanya, kata Hairul, tetapi memang seronok.

Juara yang berbeza

Kemudahan-kemudahan itu memerlukan masa dan usaha untuk menjadi kenyataan dan banyak pihak perlu bersama-sama membantu memacu perkembangan ini. Columbia Asia adalah salah satu kumpulan yang memperjuangkan pertumbuhan sukan paralimpik dalam negara. Ketua Pegawai Eksekutif Asia Tenggara kumpulan itu, Kelvin Tan, berkata bahawa rancangan awal adalah untuk mewujudkan kesedaran tentang manfaat kehidupan yang sihat. Beliau percaya bahawa hidup sihat perlu merangkumi aktiviti sukan dan itulah rancangan awal pembekal penjagaan kesihatan ini.

"Dalam proses itu, peluang terbuka bagi kami untuk menyokong pasukan Badminton Paralimpik dan Bola Sepak Orang Buta Kebangsaan. Kami mengambil peranan ini dengan serius. Sebagai satu-satunya kumpulan hospital di negara ini yang menyokong usaha tersebut, ia merupakan satu kebetulan dan kami gembira kerana diberi peluang untuk membantu mereka yang kurang upaya dan diharapkan mampu membuat perbezaan dalam kualiti usaha mereka yang bercita-cita menjadi juara dalam acuan mereka sendiri," katanya.

Cabaran

Tetapi menjana kesedaran di bidang yang tidak diketahui ramai ini terbukti suatu tugas yang sukar. Pucuk pangkalnya, faktor yang paling penting adalah menggalakkan penyertaan berterusan pemain supaya mendaftar. Bakat tempatan untuk sukan ini sukar didapati. Kejayaan awal sukan itu akan terbantut jika atlet baru tidak berminat dalam sukan tersebut.

Sumber-sumber seperti masa dan wang juga merupakan aspek penting dalam pembangunan, terutamanya untuk mewujudkan persekitaran yang sesuai untuk pemain berlatih. Seperti yang dinyatakan Hairul, pemain mendapati sukar berlatih khusus untuk sukan itu apabila di luar stadium. Ini adalah kesulitan yang besar kepada atlet yang ingin memperbaiki diri mereka sendiri.

Ketika diminta mengulas tentang keperluan sukan itu, Tan berkata bahawa sokongan yang lebih besar daripada media, institusi nasional dan rakan kongsi korporat adalah penting dalam meningkatkan tahap kemajuan.

"Mendapatkan media untuk melakukannya adalah satu cabaran. Majoriti media arus perdana sering keberatan untuk meliputi topik berkenaan sukan paralimpik. Tanpa sokongan daripada media, penulis blog dan media sosial, tidak akan ada keterlihatan, jadi kami berharap untuk menjana lebih kesedaran melalui saluran ini. " Tan menambah orang ramai perlu menunjukkan kepercayaan bahawa mencapai kecemerlangan adalah milik yang upaya dan juga kurang upaya.

Sunny menggesa lebih ramai sukarelawan mengambil bahagian dalam acara-acara ini. "Walaupun sokongan kewangan adalah penting, sumbangan tidak semestinya semua berbentuk wang. Terdapat juga keperluan membantu membawa air, persediaan semasa pertandingan, membawa pemain, menyokong permainan dan membantu menjana kesedaran, semua ini memainkan peranan yang sama penting dalam sumbangan terhadap sukan itu. "

Semangat waja atlet ini ditambah pula dengan sifat tidak mementingkan diri daripada pihak yang terlibat bertindak sebagai peringatan untuk kita terus berusaha mencapai matlamat dan mengambil risiko. Tetapi mungkin pelajaran yang lebih penting ialah kita perlu mengambil masa untuk menghargai perkara-perkara yang ada dalam kehidupan dan berusaha menghadapi sebarang cabaran yang mendatang.

Peraturan

• Futsal orang buta dimainkan dengan bola yang mengandungi galas supaya pemain dapat mengesan kedudukannya.

• Sukan ini dibahagikan ke dalam tiga kategori: B1, B2, dan B3. B1 meliputi pemain yang buta sepenuhnya, sementara gred B2 dan B3 berbeza tahap kebutaan.

• Permainan ini dimainkan dengan empat pemain bagi setiap pasukan, tidak termasuk penjaga gol.

• Penjaga gol boleh melihat, dan terhad kepada ruang kecil di antara tiang gol.

• Pemain B1 dikehendaki memakai penutup mata.

• Pemain tanpa bola dikehendaki menjerit "voy" apabila berhampiran bola. Ini supaya pemain yang memiliki bola boleh berhati-hati daripada berlanggar.

• Jurulatih berada di tengah-tengah padang di bangku pemain pengganti.

• Pemandu dibenarkan berdiri di belakang tiang gol pasukan lawan.

• Penjaga gol memberi panduan kepada pemain pertahanan, tetapi mereka hanya boleh berbuat demikian di dalam kawasan yang diperuntukkan.

• Satu sistem makluman awam adalah penting dalam sukan ini, membolehkan pemain tahu perkembangan permainan seperti penggantian, foul dan time-out.

• Penonton dan orang ramai dinasihatkan senyap untuk mengelakkan mengganggu isyarat pendengaran pemain.

Kejohanan dunia

Futsal orang buta juga dimainkan di peringkat antarabangsa, dengan Kejohanan IBSA (Persatuan Sukan Antarabangsa Orang Buta) Futsal Orang Buta Dunia melihat pasukan seperti Korea, Jepun, Greece, dan Colombia bersaing untuk tempat teratas.

Berikut adalah pertandingan yang telah diadakan setakat ini:

Tahun, Pemenang, Tempat Pertandingan

1998, Brazil, Brazil

2000, Brazil, Sepanyol

2002, Argentina, Brazil

2006, Argentina, Argentina

Saturday, 12 July 2014

Membantu gelandangan mendapat kerja

Rencana "Helping the homeless secure jobs" oleh Brenda Ch'ng bertarikh 11 Julai 2014 terbit di thestar



Hayati Ismail ialah seorang sukarelawan yang bukan sahaja memberi makan kepada gelandangan.

Dia memberi gelandangan penyelesaian jangka panjang dengan membantu mereka mendapatkan pekerjaan tetap.

"Ramai gelandangan yang mahu bekerja tetapi mereka tidak diberi peluang kerana faktor keadaan," kata Hayati.

Ibu kepada dua orang anak ini, yang mengendalikan perniagaan katering, mula mendapat tahu tentang gelandangan apabila dia terlibat mengedarkan makanan kepada mereka beberapa bulan yang lalu.

"Kebanyakan mereka adalah rakyat Malaysia. Adalah menyedihkan melihat rakyat kita menganggur dan hidup di jalan-jalan apabila warga asing boleh mencari kerja di sini dan diberikan penginapan," katanya.

Dia mendapat tahu bahawa ramai hidup di jalan-jalan selepas ditipu oleh majikan mereka dan ada yang tidak dibayar gaji selama beberapa bulan.

Hayati mendapat idea mengadakan temu duga pekerjaan di jalan-jalan dengan bantuan dua kumpulan sukarelawan lain, Religion of Love dan Al-Waasi.

Temu bual jalanan

Misi Al-Waasi adalah untuk membantu mencari pekerjaan bagi yang kurang bernasib baik dan gelandangan. Sehingga kini, ia telah membantu membawa masuk tiga syarikat yang berminat untuk dua temu duga pekerjaan jalanan atau "pop-up" bulan lalu.

Sesi temu duga kali pertama melibatkan kira-kira 14 pemohon dengan tiga disenarai pendek dan satu diberi kerja oleh sebuah syarikat kawalan serangga perosak di Shah Alam.

Sesi yang paling baru-baru ini pada 27 Jun menyaksikan 16 calon dengan dua orang disenarai pendek untuk bekerja di sebuah restoran manakala selebihnya sedang dikaji semula oleh pemilik sebuah kilang.

Sukarelawan dari Al-Waasi berada di situ untuk menjalankan temu bual dan menyaring pemohon sebelum memperkenalkan mereka kepada majikan, yang juga akan hadir pada hari tersebut.

Calon-calon yang disenarai pendek akan dimaklumkan dalam masa satu atau dua hari.

"Salah seorang daripada mereka begitu terdesak, sehinggakan beliau bersedia untuk memulakan kerja di tengah-tengah malam," katanya.

Hayati berkata lelaki itu kemudian telah mendapat kerja di sebuah restoran di Taman Dagang Ampang, termasuk penginapan percuma.

"Syarikat-syarikat perlu memenuhi dua syarat; iaitu menyediakan tempat penginapan dan juga menyumbang kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)," katanya.

Mereka bercadang untuk menjalankan temu bual jalanan sekurang-kurangnya sekali setiap bulan dan Hayati menggesa lebih banyak syarikat seperti pasar raya besar dan rantaian makanan segera untuk menjadi sebahagian daripada inisiatif ini.

Mereka memastikan bahawa yang menghadiri sesi temuduga di Jalan Tuanku Abdul Rahman diberi makan.

Oleh itu, mereka tidak terjejas dengan pengharaman memberi makan kepada gelandangan dalam radius 2 km dari Lot 10, yang diumumkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Hayati juga mengedarkan pakaian dan kelengkapan peribadi hasil sumbangan orang ramai untuk gelandangan yang menghadiri temuduga pop-up.

"Ini bagi memastikan mereka berpakaian kemas dan bersih semasa temuduga kerja pada masa akan datang.''

Satu kaunter bantuan

Satu kumpulan yang lain, Religion of Love, telah menyediakan sebuah kaunter untuk membantu gelandangan dua kali sebulan sejak bulan April.

Diasaskan oleh Aminuddin Ab Kadir dan beberapa orang lain, mereka membantu gelandangan dalam mendapatkan bantuan.

"Kami membawa mereka ke Jabatan Kebajikan Masyarakat dan agensi-agensi lain untuk mendapatkan bantuan kerana kebanyakan mereka mempunyai masalah memahami proses."

Aminuddin berkata kebanyakan gelandangan keliru dengan konsep hak-hak mereka atau bagaimana untuk memohon bantuan.

"Mereka tidak tahu bagaimana hendak mengisi borang dan tidak mempunyai wang untuk mengambil gambar bagi tujuan permohonan.

"Ramai juga yang tidak dilayan kerana mereka tidak mempunyai dokumen yang diperlukan,'' katanya.

Mereka yang mencari pekerjaan dirujuk ke sesi temuduga pop-up.

Ketiga-tiga kumpulan ini bersama-sama sedang berusaha mengumpul data berkaitan dengan gelandangan.

Hayati bercita-cita membuka sebuah pusat yang tetap untuk membantu gelandangan dan juga menawarkan penginapan dari pukul 5:00 petang ke 7:00 pagi.

Pusat ini juga akan memberi bimbingan dan kaunseling serta menjadi tempat perlindungan untuk kanak-kanak yang mempunyai ibu bapa gelandangan.

"Mereka boleh tinggal di sana sepanjang hari dijaga oleh penjaga manakala ibu bapa kanak-kanak tadi di tempat kerja.

"Orang dewasa hanya dibenarkan mendaftar masuk selepas jam 5 petang dan akan keluar pada pukul 7 pagi, sebaik-baiknya untuk pergi ke tempat kerja," katanya.

Beliau berkata kemudahan seperti itu adalah penting kerana kebanyakan gelandangan yang mempunyai pekerjaan hanya berpendapatan kira-kira RM10 hingga RM20 sehari dan tidak mampu menyewa.

Beliau juga sedang memohon kelulusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk penggunaan dua buah kontena untuk mengajar kemahiran vokasional kepada gelandangan.

"Sebagai permulaan, kami merancang untuk mengajar mereka kemahiran memasak seperti menggoreng pisang goreng, menjual nasi lemak malahan membaiki roda motosikal" katanya.

Setelah mereka dapat berdikari, gelandangan tadi boleh meminjam peralatan yang diperlukan dan akhirnya membelinya sekali apabila perniagaan mereka bertambah maju.

"Kami juga berharap DBKL akan bekerjasama dengan kami untuk membantu memberikan mereka tempat mengusahakan sebuah gerai dan menjual makanan atau menjalankan lain-lain jenis perniagaan," katanya.

Untuk maklumat lanjut, layari laman-laman Facebook ini, https://www.facebook.com/alwaasikl, https://www.facebook.com/rolpages atau e-mel kepada hayaaty.ismail @ gmail.com atau aminuddin.abkadir @ gmail.com.

Thursday, 10 July 2014

Didorong untuk membantu

Rencana "Company taps niche for patients needing transport" oleh Nevash Nair bertarikh 9 Julai 2014 terbit di thestar



Syarikat mengambil pengkhususan membantu pesakit yang memerlukan pengangkutan

Rakyat Malaysia cepat menerima teknologi apabila ia berkaitan dengan pengangkutan awam. Warga kota yang perlu berurusan dengan sistem pengangkutan awam yang separuh masak pantas menerima penyelesaian berasaskan aplikasi apabila hendak mendapatkan teksi.

Aplikasi telefon pintar seperti Uber dan MyTeksi telah melihat perkembangan pesat di rantau ini dalam tempoh 24 bulan yang lalu.

MyTeksi - diasaskan oleh dua graduan Harvard Business School - adalah tempahan telefon pintar automatik dan platform penghantaran yang telah menjadi penyelamat bagi ramai pengguna.

Dilihat sebagai pesaing untuk MyTeksi, Easy Taxi, aplikasi e-pemanggil mudah alih yang ditubuhkan di Brazil mempunyai pelabur yang termasuk syarikat telekomunikasi dan media Sweden, Millicon dan iMENA, sebuah firma pelaburan berpangkalan di Dubai dan Jordan.

Uber yang berasal dari Amerika Syarikat melancarkan aplikasinya pada tahun lepas di Singapura dan dengan cepat berkembang ke Bangkok, Manila dan Kuala Lumpur.

Dilancarkan pada tahun 2009, Uber hari ini boleh didapati di 70 bandar-bandar dan kehadiran globalnya yang berkembang pesat terus membawa penduduk dan bandar-bandar mereka lebih dekat di antara satu sama lain.

Cara kita memanggil teksi atau apa-apa bentuk pengangkutan awam seperti yang kita ketahui telah berubah.

Dari pintu ke pintu

Kini terdapat juga penyelesaian bagi mereka yang memerlukan bantuan dengan pengangkutan untuk temu janji perubatan.

Pengangkutan perubatan bukan kecemasan bertujuan untuk membantu individu, umumnya warga tua dan orang kurang upaya, yang tidak berada dalam keadaan kecemasan tetapi memerlukan lebih banyak bantuan daripada yang disediakan oleh perkhidmatan teksi.

Menurut laporan, bilangan warga emas dijangka meningkat 9.9% pada tahun 2020 dan dijangka bahawa pada tahun 2030, 15% daripada penduduk Malaysia adalah warga emas.

Selagi ini berterusan, warga yang lebih berumur akan memerlukan bantuan khas kerana mereka semakin tua. Bagi sesetengah orang, akan ada keperluan untuk lawatan ke hospital, sering membuat pemeriksaan dan perundingan dengan doktor.

Walau bagaimanapun, dengan kebanyakan rakyat Malaysia yang bekerja tetap tanpa waktu yang fleksibel, adalah hampir mustahil anak-anak boleh membawa ibu bapa mereka untuk pemeriksaan perubatan.

Keadaan ini adalah sama bagi yang bekerja di luar negara dengan ibu bapa mereka yang masih di Malaysia. Setelah melalui pengalaman pahit yang sama dengan bapanya, Dr Prathaban Raju membuat keputusan untuk memulakan perkhidmatan Door2Door Doctor melalui syarikatnya, Suria Medical Logistics.

"Ayah saya telah disahkan menghidap kanser dan ketika itu saya bekerja di sebuah hospital di negeri lain. Ia adalah masa yang sukar bagi keluarga kami, "kata Prathaban.

"Sebagai seorang doktor, anda hanya melihat pesakit yang dihantar kepada anda, tetapi pada masa bapa saya sakit saya mula menyedari betapa sukarnya untuk pesakit datang untuk temu janji perubatan," katanya.

Dr Prathaban kemudian mula bertanya pesakit tentang perjalanan mereka ke hospital dan mendapati bahawa sebahagian daripada mereka terpaksa mengambil beberapa keaedah pengangkutan awam yang berbeza untuk satu lawatan pendek dan pemeriksaan biasa.

Dia mula berfikir dan Dr Prathaban mengambil perhatian tentang hakikat bahawa sejumlah besar pesakit telah dibawa oleh ahli keluarga, memandu sendiri walaupun sakit atau mengambil teksi. Ditambah dengan kesesakan lalu lintas dan keadaan tempat letak kereta di kebanyakan hospital, lawatan ke hospital yang mudah, menjadi tugas yang sukar.

"Amatlah sedih melihat beberapa pesakit yang terpaksa meninggalkan rumah mereka pada pukul 6 pagi hanya untuk berjumpa doktor enam jam kemudian," katanya.

Ini mendorong beliau untuk mengkaji model perniagaan yang membolehkan pesakit pergi ke hospital pilihan mereka tanpa membebankan sesiapa atau bergantung kepada pengangkutan awam.

Beliau kemudian memutuskan untuk melaburkan RM200,000 untuk memulakan perkhidmatan Door2Door Doctor itu.

"Tidaklah mudah apabila saya memulakannya. Bertukar dari bidang perubatan untuk menjadi seorang usahawan adalah satu langkah besar bagi saya. Saya terpaksa mengajar diri saya segala-galanya, "kata Dr Prathaban.

"Model Door2Door Doctor adalah mudah. Kami menjemput pelanggan yang selalu membuat pemeriksaan di hospital berdasarkan jadual mereka dan menghantar mereka pulang ke rumah semula," jelas beliau.

Menggunakan model keahlian yang bermula daripada RM49, Door2Door Doctor membezakan diri mereka daripada teksi biasa dengan menyediakan akses kerusi roda di van mereka, seorang wakil perubatan yang terlatih untuk menyelia perjalanan dan perkhidmatan perundingan telefon 24 jam.

Door2Door Doctor juga membantu ahli membuat temujanji di hospital. Jururawat yang berkelayakan dan ahli fisioterapi juga boleh didapati jika pelanggan memutuskan mereka memerlukannya.

Prathaban menjelaskan bahawa harga perkhidmatan dikira berdasarkan kadar teksi dan bilangan perjalanan setiap minggu.

"Kami boleh menyesuaikan keahlian seseorang bergantung kepada keperluan mereka," kata Dr Prathaban.

"Kami bukan perkhidmatan ambulans. Kami tidak menjawab panggilan kecemasan. Kami memberi tumpuan memenuhi permintaan orang yang memerlukan perkhidmatan yang boleh dipercayai, selamat dan pengangkutan yang mengikut masa ke dan dari hospital, "katanya.

Rancangan besar

Walaupun sebuah syarikat baru, Door2Door Doctor merancang menambah lima lagi kenderaan untuk kumpulan perkhidmatannya dalam tempoh 12 bulan akan datang.

"Kami telah mendapat maklum balas yang hebat daripada orang ramai. Kami kini mengendalikan perkhidmatan di kawasan PJ / KL dan sedang mencari peluang untuk berkembang, "kata Dr Prathaban.

Syarikat itu juga aktif mencari pembiayaan awal dan pelabur. Syarikat itu juga sedang mengkaji untuk mengembangkan perkhidmatannya menggunakan telefon pintar melalui aplikasi.

"Pada masa ini, pelanggan kami kebanyakannya anak-anak yang mempunyai masa yang sangat terhad menghantar ibu bapa mereka untuk pemeriksaan biasa. Oleh kerana itu generasi muda menggunakan perkhidmatan kami untuk ibu bapa mereka, "kata Dr Prathaban.

Peranti jari MIT membaca untuk orang buta di dalam masa nyata

Rencana "MIT finger device reads to the blind in real time" oleh Rodrique Ngowi bertarikh 8 Julai 2014 terbit di ap



Para saintis di Massachusetts Institute of Technology sedang membangunkan peranti membaca audio untuk dipakai di jari telunjuk orang yang mempunyai masalah penglihatan, memberikan mereka akses kepada perkataan yang dicetak dengan harga yang berpatutan dan segera.

Apa yang dipanggil FingerReader, prototaip yang dihasilkan oleh pencetak 3-D ini, berperanan seperti cincin di jari pengguna, dilengkapi dengan kamera kecil yang mengimbas teks. Satu suara yang disintesis membaca perkataan dengan kuat, dan dengan cepat menyuarakan kandungan buku, menu restoran serta bahan-bahan lain yang diperlukan untuk kehidupan setiap hari, terutama di luar rumah atau pejabat.

Membaca menjadi semudah menunjuk jari pada teks. Perisian khas menjejaki pergerakan jari, mengenal pasti kata-kata dan memproses maklumat. Peranti itu mempunyai motor getaran yang memberi amaran kepada pembaca apabila mereka terpesong dari skrip, kata Roy Shilkrot, yang sedang membangunkan peranti tersebut di MIT Media Lab.

Bagi Jerry Berrier, 62, yang dilahirkan buta, daya penarik FingerReader adalah kerana ia mudah alih dan menawarkan fungsi masa nyata di sekolah, pejabat doktor dan restoran.

"Apabila saya pergi ke pejabat doktor, mungkin ada borang yang hendak dibaca dahulu sebelum saya mengisinya," kata Berrier.

Beliau berkata terdapat peranti-peranti lain yang boleh mengenali aksara optik di pasaran untuk mereka yang mempunyai masalah penglihatan, tetapi setakat apa yang diketahuinya tidak ada yang akan membaca dalam masa nyata.

Berrier menguruskan latihan dan penilaian untuk satu program persekutuan yang mengedarkan teknologi untuk rakyat berpendapatan rendah yang telah kehilangan penglihatan dan pendengaran mereka di Massachusetts dan Rhode Island. Dia bekerja dari Perkins School for the Blind di Watertown, Massachusetts.

"Ke mana sahaja kita pergi, bagi orang yang boleh melihat, ada perkara-perkara yang memberitahu kita tentang produk yang akan dihadapi. Saya juga mahu berinteraksi dengan produk-produk yang sama, tidak kiralah bagaimana saya lakukan, "kata Berrier.

Pattie Maes, seorang profesor MIT yang mengasaskan dan menerajui kumpulan penyelidikan Fluid Interfaces yang membangunkan prototaip itu, berkata bahawa FingerReader adalah seperti "membaca dengan hujung jari anda dan jauh lebih fleksibel, lebih cepat daripada apa-apa penyelesaian yang ada sekarang. "

Membangunkan alat itu telah mengambil masa tiga tahun dalam membentuk perisian pengekodan, bereksperimen dengan pelbagai reka bentuk dan bekerja berdasarkan maklum balas daripada kumpulan ujian orang cacat penglihatan. Masih banyak kerja yang harus dibuat sebelum ia bersedia untuk pasaran, Shilkrot berkata, termasuklah menjadikannya berfungsi pada telefon bimbit.

Shilkrot berkata pemaju percaya mereka akan dapat memasarkan FingerReader pada harga patut tetapi dia belum lagi dapat menganggarkan harganya. Pasaran yang berpotensi termasuklah sejumlah 11.2 juta orang di Amerika Syarikat yang mengalami masalah penglihatan, menurut anggaran Biro Bancian Amerika Syarikat.

Teknologi semasa yang digunakan di rumah dan pejabat menawarkan pengimbas yang tidak begitu mesra pengguna yang perlu memproses skrip yang dikehendaki sebelum ia boleh dibaca dengan kuat oleh perisian pengenalan aksara yang dipasang pada komputer atau telefon pintar, kata Shilkrot. FingerReader tidak akan menggantikan Braille - sistem titik timbul yang membentuk perkataan, yang ditafsirkan melalui sentuhan. Sebaliknya, Shilkrot berkata, peranti baru itu akan membolehkan pengguna mengakses sejumlah besar buku-buku dan bahan-bahan lain yang buat masa ini tidak boleh didapati dalam bentuk Braille.

Pemaju terpaksa mengatasi cabaran yang luar biasa untuk membantu orang dengan masalah penglihatan menggerakkan jari bacaan mereka sepanjang satu garis lurus teks bercetak yang tidak dapat dilihat mereka. Pengguna juga perlu dimaklumkan pada awal dan akhir bahan bacaan tersebut.

Penyelesaian mereka? Isyarat audio dalam perisian yang memproses maklumat dari FingerReader dan getaran motor di cincin yang dipakai.

FingerReader boleh membaca kertas, buku, majalah, surat khabar, skrin komputer dan peranti lain, tetapi ia mempunyai masalah dengan teks pada skrin sentuh, tambah Shilkrot.

Ini kerana menyentuh skrin dengan hujung jari itu akan menggerakkan teks di merata-rata skrin, satu hasil yang tidak diingini. Melumpuhkan fungsi skrin sentuh menghapuskan masalah ini, katanya.

Berrier berkata penetapan harga yang mampu dimiliki boleh membuat FingerReader alat utama untuk membantu orang dengan masalah penglihatan mengintegrasikan diri ke dalam ekonomi maklumat moden.

"Apa juga alat yang boleh diperolehi yang memberikan kami akses yang lebih baik kepada bahan bercetak membantu kami untuk hidup lebih bermakna, lebih berpengetahuan, dan menikmati kehidupan yang lebih produktif, kata Berrier.