Showing posts with label New Straits Times. Show all posts
Showing posts with label New Straits Times. Show all posts

Sunday, 13 July 2014

Lihat mereka beraksi

Rencana "See them in action" oleh Stuart Danker bertarikh 12 Julai 2014 terbit di nst




Dengan semua tumpuan pada perlawanan akhir Piala Dunia, Stuart Danker mengalihkan pandangan beliau pada sukan yang kurang dikenali tetapi sedang membangun - futsal orang buta

Orang ramai senyap menjangkakan sesuatu. Seorang pembantu berjalan ke sebelah tiang gol dan menjerit, "Kiri!" sebelum mengetuknya dengan sebatang logam. Dia berlari ke arah yang bertentangan, melakukan perkara yang sama, sambil menjerit, "Kanan!" Kemudian dia berjalan ke tengah dan bertepuk tangan. Dengan menggunakan petunjuk bunyi, Mohd Azwan Azhar membentuk imej mental tentang sasaran beliau. Ia adalah tendangan penalti penentu dalam permainan. Menggosok peluh daripada penutup mata beliau, Azwan melangkah dan membuat sepakan.

Bola melayang melepasi penjaga gol, menepati sasaran menyentuh jaring gol. Permainan telah dimenangi dan Azwan berlari ke arah rakan sepasukan untuk meraikannya. Masuklah ke alam futsal orang buta, di mana pemain mengatasi kekurangan penglihatan mereka untuk meneruskan minat dalam sukan. Jika anda tidak pernah mendengar tentang sukan ini, ia mungkin kerana futsal orang buta agak baru menurut piawaian antarabangsa, dengan pertandingan peringkat dunia yang pertama berlangsung pada tahun 1998. Ketua jurulatih Sunny Salesh berkata pasukan kebangsaan mempunyai peluang menjadi juara dunia jika ia terus meningkat pada tahap yang ditunjukkan ini.

"Kami mula bertanding pada tahun 2009. Kami tidak menang tetapi ia merupakan satu pengalaman yang baik untuk kami. Kami sedar bahawa kami mempunyai peluang dalam sukan ini dan sejak kekalahan itu, kami telah berlatih dengan lebih keras, "katanya.

Kaedah latihan untuk futsal orang buta memerlukan lebih daripada kecergasan fizikal. Pemain perlu mengasah deria pendengaran mereka, dan cukup yakin untuk bertindak balas dengan sewajarnya. Sunny melatih pemainnya dengan latihan mendengar sebanyak yang ditumpukan dalam mempertingkatkan ketahanan mereka.

"Kami melakukan banyak latihan mendengar. Permainan ini amat bergantung pada pendengaran sehingga ia biasanya dimainkan dalam keadaan yang senyap. Sehingga penonton pun dikehendaki tidak membuat bising. Mereka hanya boleh bersorak apabila bola di luar permainan atau selepas gol dijaringkan. Ini adalah untuk menghalang mereka daripada mengganggu pemain," tambah beliau.

Aapabila semakin banyak permainan dipertontonkan sepanjang hari, adalah jelas bahawa suasana yang senyap menjadikan persekitaran lebih kondusif. Walaupun stadium sarat dengan bunyi, kebanyakannya datang daripada jurulatih, pembantu atau penjaga gol. Kepada mereka yang belum mengenalinya, ia mungkin seperti jaringan bunyi biasa dalam pertandingan futsal tetapi bagi para peserta, setiap bunyi memberikan mereka satu set khusus isyarat-isyarat.

Pembantu membantu peserta mengagak kedudukan tiang gol. Jurulatih menyelaraskan pembentukan permainan para pemain, penjaga gol menyelaras pertahanan dan bola itu sendiri penuh dengan galas untuk mendedahkan pergerakannya. Pemandu, jurulatih dan penjaga gol tidak dibenarkan untuk memberi arahan di luar kawasan mereka yang telah diperuntukkan, iaitu bahagian sepertiga masing-masing di padang permainan.

Halangan yang adapun - yang digunakan terutamanya untuk menjaga bola dalam permainan - berperanan sebagai poket bunyi untuk pemain mengagak kedudukan mereka di atas padang. Bola dan bunyi sama-sama melantun daripada halangan ini, menjadikan pemain peka tentang hantaran bola atau kehadiran pemain lain.

Keajaiban otak

Hasil yang dipamerkan adalah sangat menakjubkan dan satu faktor utama yang menyumbang kepadanya ialah penggunaan neuroplasticity. Ikut kata mudah, neuroplasticity ditakrifkan sebagai perubahan di dalam otak yang memenuhi tabiat seseorang. Satu kajian terkenal yang menjelaskan tentang neuroplasticity menunjukkan bahawa pemandu teksi di London mempunyai hippocampi lebih besar dalam otak mereka berbanding penduduk umum. Hippocampus adalah sebahagian daripada otak yang memproses memori dan navigasi spatial.

Dalam perkembangan yang sama, para penyelidik Jerman mendapati bahawa orang buta memahami ucapan dua kali lebih cepat berbanding orang yang boleh melihat. Dalam kes ini, imbasan menunjukkan bahawa bahagian-bahagian yang biasanya digunakan untuk penglihatan sedang digunakan semula untuk mengendalikan tugas-tugas yang berkaitan dengan ucapan. Sudah tentu, ia juga bergantung kepada aktiviti-aktiviti yang dilakukan oleh orang itu apabila bersangkutan dengan evolusi otak.

Tetapi walaupun dengan deria yang peka, kemalangan berlaku juga dan perlanggaran kerap terjadi, terutamanya apabila berlari pada kelajuan tinggi. Walau bagaimanapun, terdapat langkah berjaga-jaga yang diambil untuk mengelakkan kemalangan ini, serta mewujudkan persekitaran yang selamat untuk para peserta.

Sebagai pendatang baru dalam sukan ini, Malaysia telah membangun dengan pesat, dan berharap untuk mengekalkan trend ini. "Ketika pertama kali bertanding pada tahun 2009, Iran menewaskan kita 8-0. Empat tahun selepas itu, mereka terpaksa bermatian-matian dalam kemenangan 2-0 ke atas kita. Ini menunjukkan bahawa kerja keras kita sudah mula berbaloi. Kami memberi tumpuan untuk menjadi yang terbaik di Asia. Selepas itu, kami merancang untuk mengambil bahagian dalam Piala Dunia, yang diadakan setiap empat tahun, "kata Sunny, penuh bersemangat.

Dia menyatakan bahawa dalam Sukan Paralimpik Asean, ranking pertama, kedua, dan ketiga masing-masing dipegang oleh Thailand, Malaysia dan Myanmar.

Kehidupan di luar dan di atas padang

Setiap pemain membawa pengalaman sendiri ke padang dan sebagai pemain akan mengakui, ia bukan satu sukan yang mudah untuk latihan. Azwan berkongsi: "Saya memang berminat bermain bola sepak. Saya menghadapi beberapa detik yang sukar dalam kehidupan dan futsal adalah satu cara melepaskan tekanan untuk saya. Dari satu segi, ia adalah cara saya mengingatkan diri sendiri bahawa saya boleh mengatasi sebarang halangan."

Azwan tidak dilahirkan buta. Dalam suatu kemalangan yang tidak dijangka, mata Azwan telah tercucuk, menyebabkan trauma dan kecederaan saraf yang tidak dapat dipulihkan, yang perlahan-lahan meragut penglihatannya Beliau mengakui bahawa tempoh penyesuaian itu merupakan masa yang sukar dalam hidupnya.

"Berkenaan sukan ini pula, saya terpaksa perlahan-lahan membiasakan diri mengemudi melalui bunyi. Ia mengambil masa dua tahun sebelum saya boleh mula berlari dengan bola. Sebelum itu, saya berasa kekok dan tidak dapat menggelecek bola serta menendang seperti yang lazim dilakukan dahulu. Tetapi saya terus berusaha, disamping latihan keras dan pada hari ini, saya boleh melakukan semuanya dengan selesa, "tambah beliau.

Seorang lagi pemain, Ahmad Hairul Amidi, berkongsi bahawa bermain dengan cemerlang dalam futsal orang buta membantu derianya lebih peka dalam situasi lain kehidupan. "Oleh kerana pendengaran saya telah dilatih sebegitu banyak untuk permainan, saya menyedari bahawa kemahiran ini mula membantu dalam aktiviti-aktiviti seharian yang lain juga. Saya rasa lebih sedar tentang persekitaran saya."

Menetapkan cita-cita untuk menjadi seorang pensyarah, Hairul mengimbangi waktu belajar dan latihan futsal, menghadkan masa untuk aktiviti-aktiviti lain. Dia berkata: "Sekarang, saya memberi tumpuan kepada dua perkara utama dalam hidup saya. Tentang latihan pula, kekurangan kemudahan yang terdapat di luar stadium menjadikannya sukar bagi saya untuk melakukan latihan futsal yang berkaitan, itulah sebabnya saya tumpukan perhatian kepada kecergasan am ketika latihan sendiri. " Kedua-dua pemain menggalakkan mereka yang cacat penglihatan untuk mencuba sukan itu. Ia mungkin kelihatan menakutkan pada mulanya, kata Hairul, tetapi memang seronok.

Juara yang berbeza

Kemudahan-kemudahan itu memerlukan masa dan usaha untuk menjadi kenyataan dan banyak pihak perlu bersama-sama membantu memacu perkembangan ini. Columbia Asia adalah salah satu kumpulan yang memperjuangkan pertumbuhan sukan paralimpik dalam negara. Ketua Pegawai Eksekutif Asia Tenggara kumpulan itu, Kelvin Tan, berkata bahawa rancangan awal adalah untuk mewujudkan kesedaran tentang manfaat kehidupan yang sihat. Beliau percaya bahawa hidup sihat perlu merangkumi aktiviti sukan dan itulah rancangan awal pembekal penjagaan kesihatan ini.

"Dalam proses itu, peluang terbuka bagi kami untuk menyokong pasukan Badminton Paralimpik dan Bola Sepak Orang Buta Kebangsaan. Kami mengambil peranan ini dengan serius. Sebagai satu-satunya kumpulan hospital di negara ini yang menyokong usaha tersebut, ia merupakan satu kebetulan dan kami gembira kerana diberi peluang untuk membantu mereka yang kurang upaya dan diharapkan mampu membuat perbezaan dalam kualiti usaha mereka yang bercita-cita menjadi juara dalam acuan mereka sendiri," katanya.

Cabaran

Tetapi menjana kesedaran di bidang yang tidak diketahui ramai ini terbukti suatu tugas yang sukar. Pucuk pangkalnya, faktor yang paling penting adalah menggalakkan penyertaan berterusan pemain supaya mendaftar. Bakat tempatan untuk sukan ini sukar didapati. Kejayaan awal sukan itu akan terbantut jika atlet baru tidak berminat dalam sukan tersebut.

Sumber-sumber seperti masa dan wang juga merupakan aspek penting dalam pembangunan, terutamanya untuk mewujudkan persekitaran yang sesuai untuk pemain berlatih. Seperti yang dinyatakan Hairul, pemain mendapati sukar berlatih khusus untuk sukan itu apabila di luar stadium. Ini adalah kesulitan yang besar kepada atlet yang ingin memperbaiki diri mereka sendiri.

Ketika diminta mengulas tentang keperluan sukan itu, Tan berkata bahawa sokongan yang lebih besar daripada media, institusi nasional dan rakan kongsi korporat adalah penting dalam meningkatkan tahap kemajuan.

"Mendapatkan media untuk melakukannya adalah satu cabaran. Majoriti media arus perdana sering keberatan untuk meliputi topik berkenaan sukan paralimpik. Tanpa sokongan daripada media, penulis blog dan media sosial, tidak akan ada keterlihatan, jadi kami berharap untuk menjana lebih kesedaran melalui saluran ini. " Tan menambah orang ramai perlu menunjukkan kepercayaan bahawa mencapai kecemerlangan adalah milik yang upaya dan juga kurang upaya.

Sunny menggesa lebih ramai sukarelawan mengambil bahagian dalam acara-acara ini. "Walaupun sokongan kewangan adalah penting, sumbangan tidak semestinya semua berbentuk wang. Terdapat juga keperluan membantu membawa air, persediaan semasa pertandingan, membawa pemain, menyokong permainan dan membantu menjana kesedaran, semua ini memainkan peranan yang sama penting dalam sumbangan terhadap sukan itu. "

Semangat waja atlet ini ditambah pula dengan sifat tidak mementingkan diri daripada pihak yang terlibat bertindak sebagai peringatan untuk kita terus berusaha mencapai matlamat dan mengambil risiko. Tetapi mungkin pelajaran yang lebih penting ialah kita perlu mengambil masa untuk menghargai perkara-perkara yang ada dalam kehidupan dan berusaha menghadapi sebarang cabaran yang mendatang.

Peraturan

• Futsal orang buta dimainkan dengan bola yang mengandungi galas supaya pemain dapat mengesan kedudukannya.

• Sukan ini dibahagikan ke dalam tiga kategori: B1, B2, dan B3. B1 meliputi pemain yang buta sepenuhnya, sementara gred B2 dan B3 berbeza tahap kebutaan.

• Permainan ini dimainkan dengan empat pemain bagi setiap pasukan, tidak termasuk penjaga gol.

• Penjaga gol boleh melihat, dan terhad kepada ruang kecil di antara tiang gol.

• Pemain B1 dikehendaki memakai penutup mata.

• Pemain tanpa bola dikehendaki menjerit "voy" apabila berhampiran bola. Ini supaya pemain yang memiliki bola boleh berhati-hati daripada berlanggar.

• Jurulatih berada di tengah-tengah padang di bangku pemain pengganti.

• Pemandu dibenarkan berdiri di belakang tiang gol pasukan lawan.

• Penjaga gol memberi panduan kepada pemain pertahanan, tetapi mereka hanya boleh berbuat demikian di dalam kawasan yang diperuntukkan.

• Satu sistem makluman awam adalah penting dalam sukan ini, membolehkan pemain tahu perkembangan permainan seperti penggantian, foul dan time-out.

• Penonton dan orang ramai dinasihatkan senyap untuk mengelakkan mengganggu isyarat pendengaran pemain.

Kejohanan dunia

Futsal orang buta juga dimainkan di peringkat antarabangsa, dengan Kejohanan IBSA (Persatuan Sukan Antarabangsa Orang Buta) Futsal Orang Buta Dunia melihat pasukan seperti Korea, Jepun, Greece, dan Colombia bersaing untuk tempat teratas.

Berikut adalah pertandingan yang telah diadakan setakat ini:

Tahun, Pemenang, Tempat Pertandingan

1998, Brazil, Brazil

2000, Brazil, Sepanyol

2002, Argentina, Brazil

2006, Argentina, Argentina

Tuesday, 1 July 2014

Gelandangan: Perangi kemiskinan bukan orang miskin

Surat kepada editor "Homelessness: Wage war against poverty, not the poor" oleh Wong Ee Lynn bertarikh 30 Jun 2014 terbit di nst



Kenyataan tangkap muat Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim tentang gelandangan malas dan dimanjakan (NST, 23 Jun), menunjukkan kurangnya rasa belas kasihan dan pemahaman pihak kementerian terhadap salah satu kumpulan yang paling terpinggir dalam masyarakat kita.

Ini merupakan petanda malang keadaan masyarakat kita apabila mereka yang bertanggungjawab untuk kebajikan rakyat lebih senang menyalahkan sukarelawan dan pertubuhan bukan kerajaan bagi keadaan individu yang miskin dan tiada tempat tinggal.

Saya telah menjadi sukarelawan organisasi yang terbabit dengan mereka yang tiada tempat tinggal selama beberapa tahun, dan saya menekankan bahawa pertubuhan-pertubuhan dan sukarelawan mereka tidaklah naif dan tidak pula bodoh, seperti yang digambarkan oleh kerajaan. Organisasi-organisasi itu menawarkan lebih daripada sekadar makanan. Hampir semua menawarkan perkhidmatan asas kaunseling, kaunseling pekerjaan dan rujukan, bantuan kepada keluarga dan individu yang tidak berdaya, nasihat dan bantuan guaman, perkhidmatan bantuan kecemasan dan bantuan perubatan, dan peluang untuk mereka mencari pekerjaan yang lebih baik dan berada semula dalam masyarakat arus perdana. Bagi kebanyakan daripada individu-individu yang paling tersisih dari segi sosial, bantuan praktikal yang diberi adalah cara kami memberitahu mereka: "Anda mempunyai rakan-rakan. Kami berada di sini untuk menyokong anda, dan membantu anda apabila anda sudah bersedia. Kita boleh berbual, apabila perut anda tidak lagi lapar. Ini sedikit makanan, dan anda tidak perlu mengambil langkah yang menyalahi undang-undang atau menjatuhkan maruah untuk mendapatkannya. "

Kebanyakan individu yang kehilangan tempat tinggal di negara ini tidak menganggur, tetapi bekerja dengan gaji yang rendah. Ada yang mempunyai penyakit mental atau kecerdasan sub-purata dan, dengan itu, tidak dapat bekerja. Ada yang kehilangan pekerjaan kerana keadaan ekonomi yang semakin buruk, masalah peribadi, kemurungan klinikal atau isu-isu perubatan yang lain. Ada yang menjadi mangsa jenayah, penderaan seksual atau keganasan rumah tangga. Ada yang telah ditipu gaji mereka oleh majikan atau telah berkongsi perniagaan yang gagal. Ada warga emas yang ditinggalkan oleh keluarga mereka dan tidak dapat mencari rumah kebajikan yang mahu menerima mereka. Tetapi, ramai cuma rakyat biasa yang bergelut untuk hidup dan menghantar wang kepada keluarga mereka di bandar-bandar dan kampung-kampung lain.

Sebab-sebab peningkatan bilangan gelandangan di jalan-jalan di Kuala Lumpur adalah sama seperti di mana-mana sahaja di dunia - penghijrahan ke bandar untuk mencari peluang ekonomi yang lebih baik, tiada kenaikan gaji dan kenaikan kos sara hidup. Kenaikan sewa, kos utiliti dan kos bahan api bermakna individu berpendapatan rendah yang sebelum ini dapat menyewa bilik di bandar kini tidak lagi mampu membayarnya.

Walaupun perumahan yang mampu dimiliki terdapat di pinggiran kawasan bandar, kos memiliki kenderaan persendirian dan kekurangan pengangkutan awam yang boleh diharapkan bermakna individu-individu ini tidak mempunyai pilihan perjalanan yang mudah untuk berulang-alik ke tempat kerja. Akibatnya, ramai memilih untuk tidur di kawasan awam tidak jauh dari tempat kerja mereka.

Saya menekankan sekali lagi bahawa tidak ada di kalangan mereka yang manja, malas atau menuntut hak yang bukan-bukan. Semua gelandangan yang kami temui berbangga memberitahu apabila mereka telah menemui bilik sewa, mendapat kerja yang lebih baik atau telah menabung secukupnya untuk kembali ke kampung masing-masing. Mereka sentiasa bersedia dan sanggup membantu satu sama lain dan pertubuhan-pertubuhan yang membantu mereka. NGO dan makanan yang kami beri bukan merupakan sebab orang tidur di jalan-jalan. Banyak yang dengan sopan menolak menerima makanan apabila mereka telahpun makan, dan meminta kami memberi makanan itu kepada orang lain yang lebih memerlukan. Ada juga yang menjaga binatang yang berkeliaran dan para sukarelawan kemudian membantu supaya binatang itu dikasi, diberi vaksin dan makan. Ada pula yang berjimat dalam soal sewa supaya mereka boleh menghantar pulang wang untuk membantu orang tua mereka atau adik-beradik bersekolah.

Bergelandangan bukanlah satu pilihan. Tidak ada kanak-kanak yang bermimpi menjadi orang yang tidur di jalan-jalan apabila mereka membesar. Ada sesuatu yang berlaku dalam perjalanan hidup mereka. Tugas kami ialah untuk mengetahui apa masalah itu dan mencari penyelesaian. Kita tidak boleh menghukum orang hanya kerana mereka miskin.

Langkah-langkah yang dicadangkan oleh kerajaan mungkin menghadapi halangan praktikal dalam pelaksanaannya. Kerajaan telah menyediakan pusat persinggahan dan tempat perlindungan sementara di mana gelandangan dan orang miskin di bandar boleh mendapatkan makanan dan mempunyai tempat untuk mandi dan berehat. Walau bagaimanapun, tempat perlindungan ini sering tidak beroperasi atau terbuka kepada gelandangan. Oleh itu, NGO dan sukarelawan berhak berasa bimbang bahawa pusat perlindungan kelolaan kerajaan yang dicadangkan dan dapur sup tidak dapat beroperasi secara konsisten atau boleh diakses oleh semua gelandangan.

Terdapat juga kebimbangan bahawa individu-individu yang paling lemah - yang didera, pesakit mental, yang kelainan upaya dan mangsa-mangsa keganasan jalanan - tidak akan dapat datang ke dapur sup dan tempat perlindungan untuk bantuan yang diperlukan.

Jika kerajaan ikhlas dalam usaha untuk menghapuskan kemiskinan dan gelandangan, ia mestilah membasmi rasuah dan kerenah birokrasi yang menjadikan akses ke tempat perlindungan dan rumah kebajikan satu cabaran yang besar. Mestilah ada undang-undang dan langkah-langkah yang sebenar untuk melaksanakan gaji minimum yang munasabah untuk hidup; melindungi hak-hak pekerja; meminda undang-undang kebankrapan dan perampasan; dan memperuntukkan peratusan tanah dan perumahan untuk golongan miskin dan kurang bernasib baik serta memastikan bahawa ini dikhaskan untuk rakyat berpendapatan rendah.

Penyelesaian jangka panjang juga boleh dilaksanakan dengan menyediakan pendidikan berkualiti tinggi dan latihan kemahiran yang dibiayai kerajaan, pinjaman kredit mikro untuk yang layak, rawatan dan bantuan kesihatan mental untuk mereka yang sakit mental dan penagih, asrama dan latihan kerja untuk bekas banduan dan bekas pengguna dadah, dan bantuan undang-undang dan rumah-rumah selamat untuk wanita yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga, pemerdagangan manusia atau yang terperangkap ke dalam perdagangan seks.

Siasatan perlu dijalankan tentang kes pengambilalihan tanah yang tidak adil, pencemaran air dan tanah serta lain-lain bentuk kemusnahan kawasan luar bandar yang mengancam kesinambungan ekonomi masyarakat luar bandar, menyebabkan penduduk luar bandar berhijrah ke bandar-bandar dan berakhir sebagai warga setinggan. Sebagai ganti melancarkan perang terhadap yang tiada tempat tinggal, undang-undang dan masyarakat perlu memerangi kemiskinan. Kerajaan tidak boleh mengatakan gelandangan menyalahi undang-undang melainkan terdapat sistem yang menjadikannya hampir mustahil untuk berlaku.

Thursday, 19 June 2014

Akta Keganasan Rumah Tangga: Lelaki juga, boleh menjadi mangsa penganiayaan mental, fizikal

Surat kepada editor "Domestic Violence Act: Men, too, can become victims of mental, physical abuse" oleh Dr Muzaffar Syah Mallow, bertarikh 18 Jun 2014 terbit di nst



Keganasan rumah tangga diakui sebagai satu isu penting di Malaysia. Pada tahun 1994, Akta Keganasan Rumah Tangga (Akta 521) telah akhirnya diluluskan oleh Parlimen, menjadikan Malaysia negara Asia dan Islam yang pertama menerima pakai undang-undang seperti itu.

Keganasan rumah tangga adalah satu corak tingkah laku menganiaya dan mengancam termasuklah keganasan fizikal, emosi, ekonomi dan seksual serta ugutan, pengasingan dan paksaan.

Matlamat keganasan rumah tangga adalah untuk mewujudkan dan menggunakan kuasa dan kawalan ke atas orang lain. Keganasan rumah tangga, juga dikenali sebagai penganiayaan rumahtangga, penderaan pasangan, serangan atau keganasan keluarga, adalah corak tingkah laku yang melibatkan penderaan oleh satu pasangan terhadap yang lain dalam suatu hubungan intim, seperti perkahwinan

Pada masa ini, sistem keadilan jenayah terlalu memberi tumpuan kepada bukti fizikal jenayah ganas. Namun begitu, mengawal secara paksa dan ugutan emosi, tidak meninggalkan parut atau lebam – juga meninggalkan kesan yang buruk. Oleh itu, pada tahun 2012, pindaan telah dibuat terhadap Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 (Akta 521). Ia berkuat kuasa pada 20 Februari tahun itu.

Di bawah pindaan tersebut, keganasan rumah tangga diperluaskan merangkumi penderaan mental, emosi dan psikologi. Ia juga memberi asas berkanun kepada definisi kerajaan berhubung keganasan rumah tangga, menawarkan perlindungan yang lebih banyak kepada mangsa dan menjadikannya kewajipan pihak polis untuk menyiasat. Akta ini adalah "neutral jantina" dan bukan hanya meliputi pasangan tetapi juga bekas pasangan, kanak-kanak dan orang dewasa tak berkeupayaan atau mana-mana anggota keluarga yang lain.

Adalah penting mengubah anggapan bahawa Akta ini hanya melindungi wanita. Lelaki juga boleh menjadi mangsa keganasan rumah tangga.

Majoriti lelaki yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga enggan membuat laporan kerana beberapa sebab. Satu ialah rasa malu atau berfikiran mereka mungkin dapat menangani keadaan dengan lebih baik. Sesetengah mangsa lelaki bimbang bahawa mereka akan diejek kerana mengakui didera isteri.

Mungkin tidak mudah mengenali keganasan rumah tangga terhadap lelaki. Pada awal hubungan, pasangan mungkin kelihatan memberi penuh perhatian, murah hati dan melindungi yang kemudian berubah mengawal dan menakutkan.

Keganasan rumah tangga terhadap lelaki mungkin termasuk kejadian kedua-dua pasangan menampar atau menolak satu sama lain apabila mereka marah, dan setiap pasangan tidak melihatnya sebagai didera atau dikawal.

Tanda-tanda dan gejala keganasan rumah tangga, terutamanya terhadap lelaki, termasuklah diejek, penghinaan atau merendah-rendahkan mangsa secara emosi, menghalang mangsa daripada pergi bekerja, mennyekat mangsa daripada melihat keluarga atau rakan-rakan, kawalan ketat tentang cara mangsa membelanjakan wang mereka, ke mana dia pergi atau apa yang harus dipakainya, bertindak cemburu atau mengongkong atau sentiasa menuduh mangsa tidak setia dan mengancam mangsa dengan keganasan atau senjata, dan penganiayaan lain.

Ramai orang masih percaya bahawa pertikaian rumah tangga yang ganas perlu diselesaikan secara peribadi antara suami dan isteri atau dalam keluarga dan jika keadaan benar-benar seburuk yang dikatakan mangsa, maka mangsa yang didera hendaklah meninggalkan pasangan mereka dan bukannya terus tinggal bersama.

Adalah penting realiti keganasan rumah tangga difahami oleh orang yang bekerja di agensi-agensi yang diberi mandat untuk membantu dalam masalah mangsa keganasan rumah tangga. Ini termasuklah agensi kebajikan sosial, polis, organisasi undang-undang dan agama, agensi perubatan dan organisasi yang menyediakan tempat perlindungan atau perkhidmatan untuk semua mangsa keganasan rumah tangga tidak kira jantina mereka dalam sesuatu krisis.