Showing posts with label The Malay Mail. Show all posts
Showing posts with label The Malay Mail. Show all posts

Friday, 25 July 2014

Sebuah negara 'pendatang'

Rencana "A nation of ‘pendatang’" oleh Azrul Mohd Khalib bertarikh 25 Julai 2014 terbit di themalaymailonline



Saya rasa sakit dan bosan dengan orang yang melabelkan rakyat Malaysia sebagai "pendatang".

Lazimnya, istilah ini yang menggambarkan masyarakat yang telah berhijrah ke negara yang baru tidaklah dianggap meremehkan atau menghina. Di Amerika Syarikat dan United Kingdom, walaupun masih ada perdebatan berterusan mengenai imigresen dan pendatang di negara-negara ini, sumbangan pendatang telah diiktiraf sebagai sesuatu yang menjadikan negara tersebut lebih gah. Malahan John F. Kennedy menyatakan Amerika sebagai "sebuah negara pendatang."

Di Malaysia, istilah itu kadang-kadang digunakan untuk meremehkan dan menindas serta menunjukkan keunggulan atau penguasaan ke atas yang lain.

Masalahnya, selain daripada Orang Asal yang mungkin mempunyai tuntutan paling sah sebagai penduduk asli tanah ini yang dianggap sebagai tanah air kita, semua orang lain adalah pendatang dari satu-satu tempat. Jawa, Kepulauan Maluku, Filipina, Sri Lanka, Thailand, Sumatera, China, India malahan Portugal!

Sebut sahaja nama sesuatu tempat di Asia Tenggara, dan anda boleh bertaruh bahawa moyang seseorang kemungkinan besar datang dengan perahu dari sana membina kehidupan yang lebih baik untuk diri mereka dan keluarga di tanah ini.

Tidak ada bahagian dalam negara ini yang belum disentuh oleh pengalaman pendatang kita. Malah kerajaan Melayu boleh mengesan asal-usul awal daripada seorang Hindu dari Sumatera, Parameswara, seorang pelarian yang melarikan diri daripada peperangan dan penganiayaan. Saya fikir dia berjaya dalam hidupnya, bukan begitu?

Negara ini telah dan sedang dibina hasil usaha rakyatnya, termasuk komuniti pendatang. Sumbangan mereka boleh dilihat dalam setiap aspek kehidupan kita.

Ia boleh dilihat dalam politik, agama, perniagaan, undang-undang dan pendidikan. Pertimbangkan hakikat bahawa Islam adalah agama asing yang dibawa ke negara kita oleh pendatang dan pedagang dari negara-negara lain.

Sama seperti pembiakbakaan bukanlah idea yang baik kerana akan meningkatkan kemungkinan gangguan genetik dalam populasi, wadah tumpuan kepelbagaian yang wujud di dalam masyarakat Malaysia hari ini adalah apa yang memastikan kita belajar, berinovasi dan mencapai kemajuan. Penglibatan dan penerimaan, dan bukannya toleransi semata-mata, adalah penting kepada kepelbagaian sosial dan pluralisme yang menjadikan Malaysia lebih kukuh dan makmur.

Penerimaan nilai-nilai inilah yang memungkinkan seorang anak dengan bapa yang asalnya berhijrah dari negeri di selatan India Kerala, melalui kerja keras, komitmen dan pengorbanan, kemudian menjadi perdana menteri keempat Malaysia.

Ini telah menjadi rahsia kemajuan dan kejayaan Malaysia selama ini. Penerimaan kepelbagaian masing-masing menerusi pengalaman pahit dan gelap masa lalu.

Apabila lebih daripada satu juta orang telah diberikan kewarganegaraan dan menjadi anggota sebuah negara baharu pada tahun 1957, tindakan itu bukanlah unutk membantu mereka, seperti yang selalu difikirkan atau diketengahkan oleh segelintir masyarakat.

Ia merupakan pengiktirafan yang jelas, pandangan jauh dan wawasan oleh pengasas seperti Tunku Abdul Rahman bahawa pembinaan negara memerlukan lebih daripada kemerdekaan. Ia memerlukan yang terbaik dan cemerlang, yang rajin dan komited, pengumpulan tenaga kerja dan kebijaksanaan. Ia memerlukan lebih daripada apa yang sudah sedia ada. Darah, peluh, air mata dan pengorbanan daripada orang yang sudah menjadi warganegara dari semua segi kecuali nama. Oleh itu, negara ini dibina berdasarkan janji apa yang kita boleh capai, dan apa yang akan menjadi jika semua berganding bahu.

Memanggil mereka "pendatang" bukan sahaja akan menolak dan tidak mengiktiraf semua orang yang membina negara ini sebelum kita melalui pengorbanan, kerja keras dan nyawa masing-masing.

Tindakan itu merupakan satu pendedahan terhadap kejahilan dan keangkuhan, serta kurangnya rasa terima kasih, penghargaan dan pemahaman wawasan besar yang dikemukakan oleh wanita dan lelaki yang mengasaskan negara ini.

Tahun ini menandakan tahun ke-57 semenjak Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Marilah kita menghabiskan bulan seterusnya merancang dan berbahas tentang 57 tahun yang akan datang di negara bertuah ini. Kita tidak harus lupa bahawa kita semua menjadi lebih baik dan makmur jika percaya serta berusaha ke arah takdir dan masa akan datang yang dikongsi bersama. Bersama-sama.

Pada satu ketika dalam sejarah, kita semua adalah pendatang. Ya, memang benar, tetapi hari ini, kita semua rakyat Malaysia.


Friday, 18 July 2014

Perkauman Makanan: Masih berbau!

Rencana “Food racism: It still stinks!” oleh Hafiz Noor Shams bertarikh 17 Julai 2014 terbit di themalaymail




Saya rasa ramai daripada kita rakyat Malaysia telah terlibat dalam perbahasan yang tidak berkesudahan tentang perkauman sebelum ini. Masalah dengan perbahasan ini ialah ia dirangka dalam konteks rakyat Malaysia dan lebih kerap tidak mengendahkan nilai sejagat kesaksamaan seluruh umat manusia.

Ini menimbulkan sifat hipokrit di kalangan orang yang percayakan kesaksamaan di kalangan rakyat Malaysia. Mereka tidak bersetuju dengan perkauman terhadap rakyat Malaysia, tetapi tidak mempunyai masalah mengamalkannya terhadap warga asing.

Saya menulis rencana ini sebagai reaksi terhadap cadangan di Pulau Pinang untuk mengharamkan orang asing daripada menjadi tukang masak di negeri itu. Saya dapati rasional di sebalik cadangan itu sangat rapuh: kerajaan negeri mahu mengekalkan keaslian makanan. Ia adalah tentang melindungi warisan Pulau Pinang.

Cadangan ini menganggap gaya masakan dan resipi tidak boleh dipelajari, oleh kerana memasak adalah keupayaan khas semula jadi. Ia menganggap ada sesuatu yang istimewa tentang anak negeri Pulau Pinang yang memasak masakan Pulau Pinang.

Tetapi hujah itu perlu dipecahkan sehingga ke penghujung yang logik, sehingga ke asas pembentukannya. Jika kita bimbang tentang warisan makanan, maka mungkin ada rakyat Malaysia yang harus dilarang daripada memasak beberapa makanan Malaysia.

Tukang masak Cina tidak harus dibenarkan memasak makanan Melayu. Tukang masak Melayu tidak harus dibenarkan menyediakan makanan India. Gunakan logik keupayaan memasak semula jadi untuk setiap kumpulan etnik dan lihat jika anda menyukai keputusannya.

Perbezaan yang dibuat di antara tukang masak Malaysia dan asing hanyalah untuk mengabui sikap prejudis. Seseorang mungkin berhujah terdapat perbezaan di antara perkauman dan sentimen anti-pendatang: kita tidak mengamalkan diskriminasi terhadap sesuatu kaum tetapi terhadap pendatang amnya.

Tetapi jauh di lubuk hati tanpa pengkelasan tiruan, benarkah wujud perbezaan antara perkauman dan xenofobia? Kedua-dua definisi mempunyai lebih daripada tanda-tanda prasangka di dalamnya. Xenofobia sama sepertti perkauman cuma dengan nama yang berbeza, masih busuk.

Selain itu, larangan yang dicadangkan mungkin akan memberi kesan kepada pekerja asing dari negara-negara miskin. Bagaimana jika tukang masak itu berasal dari Eropah? Adakah kita akan menyembah mereka sebagai tuhan bukan? Garis yang memisahkan perkauman daripada xenofobia adalah nipis dan kabur, jika adalah garis pada asalnya.

Selain itu, di internet, persoalan kebersihan ditimbulkan yang mengandaikan pekerja asing adalah orang yang kotor dan tidak sihat, menyokong larangan yang dicadangkan dan yang lebih penting, mendedahkan bentuk perkauman yang lebih teruk.

Hujah bertentangan tentang kebersihan adalah apabila anda telah pergi ke mana-mana gerai di Pulau Pinang yang dikendalikan oleh penduduk tempatan, anda akan membuat satu kesimpulan bahawa kebersihan bukanlah satu keutamaan bagi mereka. Saya memang membuat kesimpulan itu apabila makan mi dan cendol di Jalan Macalister George Town baru-baru ini.

Saya bukanlah tukang masak yang baik tetapi telah cuba memasak ketika bergelar seorang pelajar di luar negara. Apa yang saya perhatikan ialah kita boleh belajar memasak dan apa yang membuatkan ia bagus adalah latihan.

Saya tidak memasak selalu tetapi agak yakin jika kita belajar dan berlatih berbuat sesuatu, kita akan mahir melakukannya. Jika anda bercadang hendak bekerja sebagai tukang masak, maka anda perlu bekerja lebih keras untuk menjadi mahir.

Lagipun, kita mempunyai tukang masak Malaysia berbangsa Cina membuat roti canai yang agak baik di Goulburn Street Sydney. Adakah itu menjadikan ia kurang tulen? Saya makan sahaja roti canai itu dan memesan sekeping lagi.

Saya pasti terdapat lebih banyak contoh seperti itu di Malaysia dan di seluruh dunia. Jika kita benar-benar menitikberatkan kesahihan makanan dan warisan, maka rakyat Malaysia ini patut dikutuk kerana memasak sesuatu yang bukan milik warisan etnik mereka. Tetapi kita tidak.

Malah, ramai yang berbangga dengan mereka kerana menyebarkan budaya Malaysia di luar negara. Dan bagi kita yang mengembara, kadang-kadang kita rindukan makanan dari rumah dan bersyukur boleh mencari makanan Pulau Pinang di Chicago, misalnya.

Sesetengah daripada kita tidak boleh makan apa-apa selain makanan Malaysia walaupun selepas bertahun-tahun tinggal di luar negara, bergaul hanya di Kampung Malaysia di London dan di tempat-tempat lain, keadaan yang agak membimbangkan tetapi kita tidak akan memperkatakannya buat masa ini.

Oleh itu, mengapa rakyat Malaysia dibenarkan memasak makanan Malaysia tetapi tidak orang asing? Mudah. Kita menyokong kesaksamaan di kalangan rakyat Malaysia, tetapi pergi jahanam dengan orang lain. Dalam perkiraan saya prejudis itu rapat sekali dengan perkauman.

Apa-apapun, penentunya adalah pelanggan. Jika mereka sukakan masakan anda, mereka akan mengunjungi gerai-gerai atau restoran anda, membayar untuk makanan yang enak. Jika anda seorang tukang masak yang tidak mahir, walau siapapun anda, rakyat Malaysia ataupun tidak, mereka yang kelaparan dan mengambil foto tidak akan terlalu kerap berkunjung ke tempat anda. Kita tidak perlukan kerajaan untuk memberitahu bahawa kita tidak boleh membeli makanan daripada pihak-pihak tertentu. Kita boleh membuat keputusan itu sendiri.

Cadangan negeri Pulau Pinang bukanlah satu-satunya contoh perkauman seperti itu. Apabila Menteri Wilayah Persekutuan hendak mengharamkan gelandangan dan soup kitchen dari pusat bandar Kuala Lumpur, masyarakat awam menentangnya dan semua jentera-jentera kerajaan di bawah kawalannya. Dalam mempertahankan cadangan tersebut, antara lain, menteri itu berkata kebanyakan gelandangan dan pengemis adalah warga asing (tidak benar kerana berdasarkan laporan berita, Dewan Bandaraya "memindahkan" 965 orang gelandangan pada tahun 2013, dengan kira-kira 13 peratus daripada mereka warga asing).

Pada pandangan beliau, ini membuatkan cadangan tersebut lebih diterima. Oleh kerana gelandangan adalah warga asing, dia ingatkan bolehlah melakukan apa sahaja yang dia mahu, lupa bahawa warga asing adalah manusia juga.

Dan ini tidak berhenti di situ sahaja. Sesetengah daripada kita berfikir pendatang adalah makhluk yang rendah martabatnya. Oleh sebab itulah kita menyalahgunakan mereka. Berapa kali kita mendengar tentang pembantu rumah asing didera di Malaysia? Sesetengah daripada kita mahu mereka keluar, menyalahkan pendatang tentang pelbagai perkara, tidak kira sama ada ia benar atau tidak. Gaji yang rendah? Pendatang! Tiada kerja? Pendatang! Kenaikan kadar jenayah? Pendatang! Kadar penyertaan buruh wanita yang rendah? Pendatang!

Sudah tentu, benar sekali, mereka tidak maksudkan semua pendatang dan pasti bukan yang di bawah program Malaysia Rumah Kedua. Oh tidak, bukan yang dikenali sebagai pekerja berkemahiran tinggi. Hanya pendatang dari negara-negara miskin yang tertentu.

Kewarganegaraan memberi kita hak-hak tertentu, tetapi itu tidak bermakna yang bukan warganegara kurang sifat manusianya. Mereka berdarah merah juga, seperti rakyat Malaysia.

Tuesday, 15 July 2014

Cintakan Hitler dan membenci orang Yahudi

Rencana “Loving Hitler and hating Jews” oleh Zurairi AR bertarikh 13 Julai 2014 terbit di themalaymailonline




Bagi sesetengah rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa, tweet Wakil Rakyat Barisan Nasional Bung Mokhtar Radin memberi hormat kepada diktator Nazi Adolf Hitler selepas Jerman memenangi perlawanan separuh akhir Piala Dunia merupakan pendedahan pertama tentang sanjungan pelik terhadap Hitler yang menular di dalam masyarakat Melayu.

Walaupun Bung telah meminta maaf selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyatakan bahawa Bung bukanlah mewakili suara Malaysia, hakikat sebenar jauh berbeza.

Penghormatan bagi Hitler bukan hanya telah lama wujud, tetapi seolah-olah meningkat berikutan serangan yang tidak seimbang oleh Angkatan Pertahanan Israel di Semenanjung Gaza.

Pada hari Jumaat, penyanyi popular Melayu Shila Amzah menulis tweet bahawa dia "ingin sekali Hitler masih hidup", sebelum menarik balik dan menghapuskan tweet beliau berikutan kemarahan orang ramai. Dia mengalah, tetapi tidak sebelum mendakwa bahawa mereka yang mencercanya kerana menyokong seorang pembunuh besar-besaran adalah "fanatik" semata-mata.

Pada hari yang sama, bekas Menteri Penerangan dan bekas ketua editor harian berbahasa Melayu Utusan Malaysia Zainuddin Maidin juga memuji Bung dengan "Bravo" kerana menyanjung Hitler, dan berkata ia adalah sesuai memandangkan serangan baru-baru ini.

Satu sebab utama di sebalik sanjungan yang tidak masuk akal terhadap Hitler berpunca daripada hakikat bahawa dia dianggap sebagai pembasmi orang Yahudi paling “hebat”, membasmi berjuta-juta kaum tersebut di kem-kem tahanan semasa Holocaust.

Malahan terdapat satu ungkapan yang terkenal menjadi buah mulut orang beragama Islam untuk membuktikan bagaimana “betul”nya Hitler:

"Saya boleh membunuh semua orang Yahudi di dunia, tetapi saya biarkan sebahagian daripada mereka hidup supaya anda akan tahu mengapa saya membunuh mereka."

Seolah-olah Hitler bersifat "baik" apabila dia membiarkan beberapa orang Yahudi hidup selepas membunuh berjuta-juta yang lain sewenang-wenangnya.

Ungkapan ini telah beredar dalam talian sejak permulaan Internet, dan malah pernah dipaparkan di muka depan Utusan pada satu ketika.

Petikan ini juga palsu. Tidak ada bukti yang menunjukkan bahawa Hitler pernah mengatakannya. Tetapi sudah tentu ini tidak akan menghentikan orang Islam daripada mengongsinya, kerana ia mengesahkan keyakinan mereka menentang orang Yahudi.

Sesetengah umat Islam juga percaya bahawa Hitler sangat mengagumi Islam dan penganutnya.

Pada tahun 2010, terdapat surat rantaian bertajuk "penghormatan saya kepada seorang lelaki yang hebat, Hitler" yang mengatakan bahawa Hitler sering bertemu ulama Islam untuk belajar tentang iman, dan bagaimana dia melayan tentera Islamnya dengan baik.

Surat itu juga mendakwa Hitler telah terdorong membunuh orang Yahudi selepas dia diilhamkan oleh al-Quran, dan memasukkan ikrar kepada Allah untuk tenteranya.

Ini juga tidaklah benar walau sedikitpun. Saya masih tertanya-tanya bagaimana contoh sejarah yang dioleh semula sebegitu rupa dan tidak masuk akal secara terang-terangan boleh dipercayai oleh ramai orang Melayu dan umat Islam.

Perasaan cintakan Hitler ini hampir seiring dengan berapa ramai orang Melayu yang tanpa ragu-ragu membenci orang Yahudi sebagai satu bangsa.

Pada bulan Mei, satu kajian oleh NGO Yahudi Anti-Defamation League mendapati hampir dua dalam tiga rakyat Malaysia cenderung mempunyai sifat anti-Semitik, jauh melebihi purata global sebanyak 24 peratus serta 22 peratus di seluruh negara lain di Asia. Malaysia juga adalah yang ke-19 dalam senarai 102 negara, di belakang negara-negara yang paling anti-Semitik dari Timur Tengah dan Afrika Utara. Ia juga adalah negara Asia yang paling prejudis terhadap orang Yahudi.

Sebahagian daripada kebencian ini datang daripada sokongan umat Islam bagi saudara-saudara Palestin mereka dalam konflik yang tidak berkesudahan dengan Israel.

Tetapi walau sekeras mana mereka mungkin cuba menafikan, faktor penyumbang yang besar perasaan anti-Semitisme adalah kerana hampir semua orang Melayu di negara ini telah dididik dengan orang Yahudi sebagai momok mereka, musuh orang Islam.

Rujukan tentang orang Yahudi di dalam kitab suci Al-Quran kebanyakannya negatif, dan adalah suatu perkara biasa mendengar penghinaan terhadap Yahudi semasa khutbah Jumaat.

Orang Yahudi begitu mudah dijadikan kambing hitam, dipersalahkan untuk hampir segala-galanya daripada keruntuhan moral masyarakat menerusi apa yang dikatakan penjajahan budaya mereka, sehinggalah membiayai pembangkang di negara ini untuk menggulingkan pentadbiran pemerintah.

Apabila bersangkutan dengan orang Yahudi, orang Melayu seolah-olah dengan senang membuang otak mereka keluar tingkap. Hanya kebencian mendorong mereka.

Tidak ada sesiapa yang boleh menafikan kekejaman yang dilakukan oleh tentera Israel terhadap rakyat Palestin, tetapi saya tidak selesa sedikitpun apabila mengetahui bahawa jawapan rakan-rakan Melayu saya 'kepada kemusnahan rakyat Palestin ialah dengan kemusnahan orang Israel pula.

Tidak ramai yang berminat dalam penyelesaian dua negara. Hanya penghapusan Israel sepenuhnya akan memberi kepuasan kepada mereka.

Ini juga dapat dilihat dalam banyak jawapan yang saya temui berikutan serangan ke atas Semenanjung Gaza. Banyak kenyataan adalah berbentuk "Yahudi laknatullah" (orang Yahudi yang terkutuk oleh Allah) dan berdoa semoga Tuhan "memusnahkan" orang Yahudi.

Nampaknya tidak banyak perbezaan antara orang Yahudi, Israel, dan Zionis. Mereka semua dengan mudah digabungkan ke dalam satu kelompok bersama-sama sebagai musuh yang perlu dihancurkan, tidak kiralah bahawa terdapat ramai orang Yahudi yang menentang kekejaman itu sendiri.

Logik menetapkan bahawa jika seseorang tidak menyokong pembersihan etnik umat Islam Palestin, maka seseorang itu perlu juga bersuara menentang penindasan terhadap orang Yahudi. Anda tidak boleh membenarkan pembunuhan seseorang dengan menyokong pembunuhan yang lain.

Tetapi sebab yang munasabah tidak mempunyai tempat manakala kebencian yang telah lama dipegang kukuh dalam sanubari. Tidaklah menghairankan bagaimana ini membawa kepada sekumpulan yang menyokong Hitler dan inginkan dia menghapuskan orang Yahudi dari muka Bumi, walaupun Hitler akan melakukan perkara yang sama terhadap umat Islam jika dia masih hidup.

Sunday, 6 July 2014

Satu peperangan yang senyap dan kejam sedang diperjuangkan

Rencana “A silent and cruel war is being waged” oleh Azrul Mohd Khalib bertarikh 5 Julai 2014 terbit di themalaymailonline




Setiap tahun, tanpa gagal, Ramadan di Malaysia adalah waktu apabila pelbagai kejadian berlaku di mana keupayaan kita diuji untuk bertoleransi, untuk menunjukkan kasih sayang, untuk bersabar dan memaafkan, untuk menerima satu sama lain dan menunjukkan sifat belas kasihan.

Berpuasa sepanjang bulan ini sepatutnya satu cara bagi kita untuk lebih dekat kepada Tuhan menerusi rasa prihatin dengan mereka yang kurang bernasib baik, mengingatkan diri sendiri bahawa sementara kita hidup selesa, masih ramai orang lain yang tidak begitu bernasib baik dan tidak berupaya bangun semula. Ia bukanlah hanya tentang berlapar dan berasa lebih kudus daripada orang lain.

Ia adalah berkenaan membantu mereka yang miskin, hidup dalam kesusahan dan memerlukan. Itulah sebabnya dalam tempoh ini, umat Islam digalakkan menderma masa dan wang mereka beramal dan terlibat dalam khidmat masyarakat, kerana idea disebaliknya ialah bahawa dengan melakukan yang baik kepada orang lain dan masyarakat, kita semua boleh menjadi orang yang lebih baik.

Mungkin Menteri Wilayah Persekutuan dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Datuk Rohani Abdul Karim masing-masing perlu diingatkan tentang ini.

Atas sebab-sebab tertentu, kedua-duanya telah memutuskan untuk menentang gelandangan, orang miskin, penganggur dan yang memerlukan berdasarkan kepercayaan yang silap dan menyimpang daripada hakikat sebenar bahawa majoriti kumpulan ini memilih untuk menjadi begitu dan adalah pemalas.

Kononnya hakikat bahawa soup kitchen dan organisasi yang memberi makanan dan bantuan kepada mereka memburukkan keadaan kerana ia menggalakkan dengan sengaja tabiat menjadi gelandangan, penganggur dan oleh itu miskin. Menteri-menteri yang mulia itu telah berulang kali memberi kenyataan sedemikian sehingga mereka tidak boleh mendakwa telah disalaherti.

Mungkin hanya apabila bayi seorang ibu gelandangan ditemui terkujur, barulah pihak berkuasa akan sedar bahawa terdapat sekumpulan besar orang yang terdedah kepada bahaya tinggal di bawah jambatan, di sepanjang tebing sungai, di lorong-lorong gelap, beralas kotak kadbod, kepingan kayu dan kain terpal di bangunan-bangunan terbengkalai. Orang beginilah yang Tengku Adnan tidak ingin dilihat di bandar "beliau".

Sejak beberapa tahun kebelakangan, usaha-usaha gigih pertubuhan sukarela bukan berkeuntungan seperti Food Not Bombs KL, Kechara Soup Kitchen, Pertiwi dan banyak kumpulan berasaskan agama yang lain telah bersama-sama setiap hari dan minggu, selalunya pada waktu malam menyediakan makanan, tempat tinggal sementara , pakaian dan bantuan perubatan kepada kelompok tersebut.

Mereka mengisi jurang kritikal dalam perkhidmatan kerajaan yang penting. Mereka memberi bantuan kepada yang telah terlepas pandang oleh pihak berwajib. Mereka melakukan apa yang kita sendiri kalau boleh mahu mengelak daripada dilihat atau ditangani.

Saluran yang wajar untuk bantuan? Walaupun birokrasi kerajaan sering mengharapkan orang yang memerlukan supaya pergi kepada mereka di pejabat, berpakaian sempurna dan berpenampilan baik, berbau wangi, celik huruf, mempunyai kad pengenalan, mempunyai alamat rumah dan berada di sana sebelum pejabat ditutup pada pukul 5 petang, soup kitchen sering tdak menyoal, tidak menghukum, mempamerkan wajah yang lebih menerima untuk menunjukkan bahawa ada yang mengambil berat dan berbuat demikian dalam keselamatan relatif waktu malam.

Gelandangan dan yang memerlukan memiliki sedikit sekali dan sekarang inipun mahu diambil daripada mereka? Jika kamu mahu bertindak, biarlah ke atas kemiskinan itu sendiri. Ambil kesempatan ini untuk meningkatkan kualiti dan liputan perkhidmatan yang sedia ada dan bantuan sukarela kepada gelandangan, yang memerlukan dan terabai, bukan menghukum mereka.

Jangan aniaya mereka yang tidak dapat meluahkan perasaan sendiri, mangsa kemiskinan dan kesusahan, dan mereka yang mahu membantu kelompok ini. Operasi "Ops Qaseh" jauh panggang dari api. Demi Allah, tunjukkan belas kasihan dan hayati Fardhu Kifayah.

Menggubal undang-undang dan menjalankan operasi menolak gelandangan dan pengemis ke tepi dan berpura-pura mereka tidak wujud tidak akan menyelesaikan masalah ini juga tidak akan membantu mereka. Apa yang lebih dahsyat adalah tindakan mahu menghukum orang dan organisasi yang ingin memberikan bantuan. Sama ada dalam bulan Ramadan atau mana-mana bulan yang lain, tidak salah membantu orang lain. Memberi makan dan membantu mereka yang memerlukan bukanlah satu jenayah!

Di manakah rasa belas kasihan kita sebagai manusia? Bukankah satu perkara yang baik bahawa rakyat Malaysia membantu orang lain dan mereka yang memerlukan? Masyarakat apakah ini jika kita lupa mereka yang kurang bernasib baik dan telah ketinggalan di dalam arus pembangunan?

Kewujudan soup kitchen tidak harus dilihat sebagai kritikan terhadap kerajaan. Orang ramai faham bahawa kerajaan tidak boleh berada di serata tempat setiap masa. Terlalu banyak keperluan dan banyak yang perlu dilakukan. Sebagai ahli masyarakat yang bertanggungjawab, kita juga perlu menjalankan kewajipan.

Saya menyeru para pembaca ruangan ini menyumbangkan masa dan tenaga mereka bersama-sama soup kitchen dan kumpulan berasaskan agama di Kuala Lumpur. Jumlahnya banyak. Cari satu dan daftarlah untuk satu sesi hujung minggu ini, pada malam Isnin atau sebanyak mana yang mungkin hingga ke akhir Ramadan. Saya sendiri akan melakukannya.

Tunjukkan bahawa mereka mendapat sokongan kita dalam kerja-kerja membantu orang lain! Pertubuhan-pertubuhan ini, dan komuniti yang bergantung kepadanya, perlu tahu bahawa kita mengambil berat dan berdiri teguh bersama-sama mereka.

Thursday, 26 June 2014

Perbezaan di antara sikap bertolak-ansur dan pengecut

Rencana "The difference between compromise and cowardice" oleh Erna Mahyuni bertarikh 25 Jun 2014 terbit di themalaymailonline




Ada yang berkata kepada saya, lupakan saja isu Allah . "Akhirnya, apabila kita berada di hadapan-Nya, semua ini tidak ada makna."

Memang terserlah inilah cara Malaysia melihat sesuatu perkara. Jangan bercakap tentang perkara ini - terlalu sensitif. Jangan pentaskan pertunjukan atau buat filem tentang itu – berapi nanti.

Kita amat berhati-hati sepanjang masa, sedaya upaya tidak mahu orang itu atau orang ini marah.

Tetapi biarlah kita berterus-terang di sini; seolah-olah hanya ada satu bangsa yang kita takut rasa tersinggung manakala tiada masalah mengheret kepala lembu merata-rata atau melontar koktel Molotov ke gereja.

Kita tidak boleh terus-menerus mengenepikan masalah yang timbul kerana takut akan berlaku rusuhan awam. Kita tidak boleh berterusan mengharamkan buku-buku dan filem-filem serta memberitahu penganut agama minoriti supaya berhenti "mengancam" kepercayaan majoriti.

Memang benar, wujud orang yang berbahaya. Orang bersenjata, memiliki bom, mereka yang sama sekali tidak ragu-ragu membunuh hanya untuk meneruskan impian mereka.

Tetapi sekarang, lebih daripada sebelumnya, kita perlu berdialog. Kita perlu berbincang sesama sendiri tentang perkara-perkara yang paling menakutkan kita; kita perlu mula mendengar pendapat-pendapat yang mengganggu cara kita sendiri melihat sesuatu perkara.

Yang paling penting, rakyat Malaysia perlu belajar bersetuju untuk tidak bersetuju. Namun apa yang kita perhatikan ialah perbuatan mengejek-ejek seperti di zaman sekolah di mana kita menghina satu sama lain dan bukannya cuba memahami pandangan pihak yang bertentangan.

Saya sudah benar-benar bosan apabila orang mengatakan bahawa jelaslah bahawa hidaup saya yang kekurangan seks yang menyebabkan saya tidak tahu berdiam tentang hal ehwal semasa. Jangan libatkan badan saya dalam perbincangan. Di manapun kepala saya, sudah pasti bukan di situ tempatnya.

Yang lebih membimbangkan, saya sentiasa disoal bagaimana hendak "menyatukan" Timur dan Barat Malaysia. Jawapan pendek: api dan darah. Apabila ada kuasa asing yang mengisytiharkan perang terhadap kita, saya pasti semangat patriotik akan mencapai tahap yang epik.

Jawapan panjang ialah perpaduan, kawan-kawan, diberi penekanan yang melampau. Perpaduan adalah impian palsu, kepercayaan yang bermasalah bahawa semua rakyat harus dan mesti mahu perkara yang sama. Amatlah sangat jelas bahawa saya mahu sebuah negara sekular dan adalah sangat jelas pula bahawa PAS mahukan sebuah negara Islam.

Semua warganegara harus menghormati undang-undang negara dan juga mempunyai hak untuk membantah pelaksanaan satu set undang-undang yang kedua. Semua warganegara perlu mempunyai akses kepada hak asasi dan dapat mempersoalkan arahan kerajaan tanpa dihumban ke dalam tahanan.

Lawan perpaduan bukanlah anarki; tetapi kewujudan pilihan. Satu keadaan di mana perbezaan diterima, di mana kita tidak secara paksa diminta mentaati kerajaan atau pemerintah.

Kepelbagaian dan perbezaan bukanlah perkara-perkara yang perlu ditakuti, tetapi ketakutan seolah-olah menjadi satu-satunya alat tawar-menawar yang digunakan oleh kerajaan kita tanpa batasan. Undi kami atau negara ini akan runtuh. Undi kami atau minoriti akan mengambil-alih semua hak-hak anda. Undi kami kerana pihak lawan adalah penyokong LGBT yang hedonistik dan penyembah syaitan.

Kita perlu berhenti menjadi begitu takut sepanjang masa tetapi kita kadang-kadang terlampau pengecut, hingga hampir memalukan hendak mengaku rakyat Malaysia. Sedarlah, ini Malaysia. Tiada ada skuad pembunuh berkeliaran di jalan-jalan. Anda tidak akan ditembak di katil anda oleh penguatkuasa kerajaan kerana mempunyai sesuatu pendapat. Memanglah satu perasaan biasa jika hendak menumbuk jiran anda yang begitu fanatik, tetapi adalah salah jika benar-benar mahu bertumbuk.

Bercakaplah tentang perkara-perkara yang menakutkan anda. Bercakap. Fikirkan. Baca. Fahami. Hanya cahaya yang akan menerangi kegelapan dan membiarkan orang (dan isu-isu) dalam kegelapan tidak membantu sesiapa.

Saya tahu ini satu permintaan yang besar tetapi apabila ada orang yang pada masa depan memberitahu saya supaya berdiam diri untuk "menjaga keamanan", saya mungkin akan mencadangkan pemindahan tulang belakang adalah amat perlu. Kita tidak dapat mencari tulang belakang kerajaan jadi mungkin lebih elok kita sendiri berusaha memilikinya.

Wednesday, 11 June 2014

Surat terbuka kepada PM berhubung kewarganegaraan untuk kanak-kanak tanpa taraf kerakyatan yang telah menjadi anak angkat rakyat Malaysia

Rencana asal "Open letter to the PM on citizenship for stateless children adopted by Malaysians" oleh Kim Tiruchelvam, bertarikh 11 Jun 2014 terbit di akhbar themalaymailonline



Ke hadapan Perdana Menteri yang dihormati

Semalam saya menerima sepucuk surat daripada Kementerian Dalam Negeri, menolak permohonan kewarganegaraan. anak perempuan saya. Apa yang paling membingungkan dan mengecewakan adalah kerana permohonan kami yang dikemukakan dua tahun yang lalu kepada KDN, adalah juga atas arahan KDN. Malahan pegawai anda membantu kami mengisi borang permohonan!

Pada bulan Mac 2010, kami telah ditanya sama ada ingin menimbangkan mengambil seorang kanak-kanak pelarian sebagai anak angkat, yang telah ditinggalkan di hospital Kuantan dan berada di bawah jagaan JKM. Sedar bahawa kanak-kanak ini tidak mempunyai taraf kerakyatan dan oleh kerana kedua-dua kami datang dari latar belakang undang-undang, kami tahu bahawa ia bukanlah perjalanan yang mudah. Jika difikir kembali, kewarganegaraan di Malaysia adalah menurut budi bicara mutlak Menteri Dalam Negeri. Namun begitu, kami meneruskan niat, kerana merasakan kami berada pada kedudukan yang lebih baik daripada kebanyakan ibu bapa untuk menangani cabaran masa hadapan. Dan kami tidak menyesal. Anak kami Alaani, ialah anak yang cantik, yang tidak lama lagi akan menyambut ulang tahun keempatnya.

Walau bagaimanapun, pada hari ini apabila ditanya jika saya akan mempertimbangkan mengambil seorang lagi kanak-kanak tanpa taraf kerakyatan sebagai anak angkat, jawapan saya adalah "tidak." Ini kerana di Malaysia - walaupun kedua-dua ibu bapa merupakan rakyat Malaysia - tidak ada proses yang jelas atau tempoh masa tertentu yang membawa kepada taraf kewarganegaraan, apabila ia bersangku-paut dengan anak angkat anda.

Kami adalah sebahagian daripada sekumpulan ibu bapa Malaysia dari pelbagai lapisan masyarakat, yang telah meringankan beban sistem kebajikan Kerajaan dan memikul tanggungjawab yang mencabar apabila dengan sengaja memelihara dan menjaga kanak-kanak tanpa taraf kerakyatan. Berikutan laporan media tentang pengambilan anak angkat secara haram, kami telah melakukan segala-galanya menurut undang-undang.

Apabila kami mula-mula diraikan dalam majlis pertemuan anjuran JPM dan KDN di Putrajaya pada tahun 2011, apa yang mengagumkan saya adalah hakikat bahawa kumpulan ibu bapa ini datang dari semua kaum dan lapisan masyarakat. Ada pegawai tentera, penoreh getah, pastor, pekerja sosial, pembantu rumah dan peguam. Diketuai oleh Dr Hartini Zainudin dari Yayasan Nur-es-salam, kami telah dijanjikan bahawa agensi-agensi Kerajaan yang berkaitan akan membantu menyelesaikan isu-isu sijil kelahiran, pengambilan anak dan proses kewarganegaraan.

Namun begitu saya terpaksa empat kali ke Putrajaya sebelum akhirnya berjaya mendapatkan sijil kelahiran merah Alaani pada tahun 2012. Setelah kami menerima sijil kelahiran, kami sekali lagi bertemu dengan pegawai-pegawai KDN untuk mengisi permohonan kewarganegaraan, dan diberitahu hendaklah dikemukakan sebelum mereka akan membantu kami dengan proses penerimaan anak angkat secara rasmi.

Tahun lepas, kami membuat keputusan akan menggunakan Mahkamah untuk proses pengambilan anak angkat. Ia mengambil masa hanya tiga bulan untuk JKM dan mahkamah meluluskan perintah itu dan kami tertanya-tanya bahawa walaupun kami berpendidikan, mengapa tidak melakukan ini semua lebih awal.

Selepas dua tahun menunggu permohonan kewarganegaraan untuk diproses, kami menerima surat penolakan ini semalam. Ketika membacanya, saya tertanya-tanya jika pegawai yang berkuasa mempunyai sebarang rasa tanggungjawab moral tentang kesannya terhadap kehidupan orang lain apabila keputusan sewenang-wenangnya telah dibuat. Adakah orang ini mempunyai anak? Adakah orang ini sedar sebagai contoh bahawa apabila membawa anak saya ke Taman Burung saya perlu membayar yuran asing bagi beliau kerana dia tidak mempunyai MyKid? Atau bahawa setiap kali kami ke luar negara, ibu bapa saya yang hampir menyentuh umur 80-an perlu datang dan menjaga Alaani kerana dia tidak mempunyai pasport dan tidak boleh bersama-sama kami? Sehinggalah beliau menerima sijil kelahirannya, kami tidak boleh terbang ke sesuatu destinasi, jadi kami memandu ke semua destinasi percutian tempatan. Namun begitu ia adalah "Cuti-cuti" Semenanjung Malaysia sahaja, kerana dia memerlukan MyKid untuk ke Sabah dan Sarawak. Apa yang akan berlaku apabila kami perlu mencari sekolah untuk dia?

Tuan Perdana Menteri, adakah adil apabila dua orang ibu bapa warga Malaysia, yang telah melalui jentera dan proses kerajaan menurut undang-undang , diberitahu bahawa permohonan anak mereka untuk kewarganegaraan tidak berjaya, tanpa apa-apa penjelasan diberi? Dan apalah yang difikirkan oleh pegawai yang berkuasa apabila menamatkan suratnya dengan ... "jika tuan masih berminat, tuan boleh mengemukakan permohonan yang baru ...." Bolehkah dipakai"Jika"?

Saya berharap Tuan Perdana Menteri akan meneliti perkara ini dan mengambil tindakan yang betul.

Yang mati milik siapa

Rencana asal "Who do the dead belong to" oleh Erna Mahyuni, bertarikh 11 Jun 2014 terbit di akhbar themalaymailonline

Hanya di Malaysia: Pihak berkuasa agama tidak ragu-ragu menyerbu upacara perkahwinan atau pengebumian anda. Mereka yang melantik diri sendiri sebagai pemelihara jiwa kita, seolah-olah percaya bahawa adalah tugas Tuhan menjaga golongan miskin, tua dan lemah manakala tugas mereka adalah untuk memastikan bahawa orang ramai tidak berkahwin atau dikebumikan tanpa kelulusan daripada mereka..

Sekarang saya akan melangkah ke wilayah teologi yang penuh liku. Adakah pihak berkuasa agama lebih berhak ke atas mayat seseorang daripada, katakanlah, keluarga si mati? Adakah Tuhan benar-benar menghantar anda ke neraka jika badan anda tidak dikebumikan mengikut cara yang "betul" atau "teologi yang diutamakan"?

Pengebumian bukan untuk orang mati. Pengebumian adalah untuk yang hidup. Pengebumian adalah untuk yang hidup meratapi mereka yang telah meninggal pada; untuk bersedih, untuk mengingati dan mengucapkan selamat tinggal kepada orang yang disayangi.

Apa yang saya percaya? Tidak ada badan agama yang berhak merampas mayat atau melupuskannya, kecuali si mati telah meninggalkan arahan khusus untuk dikebumikan dengan cara yang tertentu.

Tidak ada pihak berkuasa agama yang lebih utama daripada kehendak keluarga. Tetapi itulah masalahnya dengan pihak berkuasa agama kita – percaya penuh bersemangat dan berapi-api bahawa mereka sedang melaksanakan kerja-kerja Tuhan, bahawa apa yang mereka lakukan direstui Tuhan.

Hakikatnya, kita tidak akan benar-benar tahu.

Anda tidak akan benar-benar tahu jika Tuhan memang wujud sehinggalah anda mati nanti. Anda tidak boleh 100 peratus yakin bahawa anda melakukan perkara yang betul di sisi Tuhan tanpa restuNya.

Iman termasuk di dalam ruang kepercayaan. Apa yang anda percaya mungkin benar atau tidak dan apa yang anda percayai tentang sesuatu tidak menjadikannya benar.

Saya cadangkan pihak berkuasa agama secara sukarela pergi ke syurga dan bertanya pada Tuhan jika apa yang mereka lakukan mendapat persetujuan-Nya.

Itu tak mungkin? Benar? Kalau dilihat cara mereka bertindak, anda akan beranggapan mereka mempunyai talian terus dengan Tuhan

Saya tidak bermasalah dengan Tuhan. Saya bermasalah dengan orang yang menggunakan namanya menyebabkan penderitaan, memisahkan ahli keluarga, menghalang perkahwinan dan mencuri mayat.

Pada masa yang sama, kejadian merampas mayat dan menyerbu perkahwinan ini adalah berbahaya bukanlah kerana secara terang-terangan terserlah kurangnya belas kasihan dan penyalahgunaan kuasa yang melampau.

Salah satu pembohongan paling besar di Malaysia ialah agama dan bangsa minoriti dilindungi. Di bawah Perlembagaan, memang benar. Tetapi di mata pihak berkuasa agama kita, tidak ada Perlembagaan kecuali yang ada di hati (mungkin tidak ada langsung) mereka.

Marilah kita menjadi penjaga kepercayaan kita sendiri, yang kita pegang dalam hati kita sendiri.

Wang cukai kita tidak sepatutnya untuk membayar orang menjadi polis kepada jiwa kita.

Friday, 6 June 2014

Keganasan seksual dan hubungan jantina di Kelantan

Rencana asal "Sexual violence and gender relations in Kelantan" oleh Pauline Fan bertarikh 4 Jun 2014 terbit di themalaymailonline

Pada 20 Mei, seorang gadis berumur 15 tahun telah dirogol beramai-ramai diberitakan oleh sehingga 38 lelaki di sebuah rumah tertinggal di Ketereh, Kelantan. Laporan menyatakan bahawa mangsa telah diperdaya oleh seorang rakan perempuan untuk pergi ke Ketereh dari Kuala Krai yang terletak lebih kurang 30 kilometer jauhnya.

Apabila mangsa tiba, setelah memujuk seorang rakan lelaki membawanya menggunakan motosikal lelaki tadi, gadis itu dibawa ke sebuah rumah tertinggal di Kampung Huta Pasir, di mana sekumpulan lelaki memerangkap, merogol dan meliwat budak sekolah itu berjam-jam sehingga dia pengsan sementara rakan lelakinya dipaksa memerhatikan kejadian. Rakan perempuan mangsa juga mungkin telah dirogol. Kebanyakan atau mungkin kesemua perogol sedang khayal kesan pengambilan dadah dan ramai di antara mereka yang mempunyai hubungan keluarga, termasuklah seorang bapa dan dua orang anak lelakinya.

Kejadian dirogol beramai-ramai di Ketereh bukan sekadar satu tindakan kejam keganasan seksual, ia juga merupakan simptom status wanita dan hubungan jantina yang semakin meruncing di Kelantan. Melewati kengerian insiden tersebut, kes ini menimbulkan persoalan penting tentang perubahan sikap di antara jantina, dan juga hubungan antara kealiman agama dan sifat degil yang belum pernah berlaku yang melanda masyarakat Kelantan dan Malaysia secara keseluruhannya.

Walaupun kes rogol beramai-ramai ini amat mengejutkan, ia juga bukanlah perkara baru. Apa yang membimbangkan ialah kes rogol yang semakin meningkat di Kelantan sejak sekurang-kurangnya lima tahun yang lalu, dan banyak kes yang melibatkan kanak-kanak di bawah umur. Statistik menunjukkan bahawa Kelantan berulang kali menunjukkan kadar tertinggi kes rogol, penyalahgunaan dadah dan kes-kes HIV positif di negara ini

Pada 2012, Bernama melaporkan bahawa kes rogol di Kelantan telah meningkat setiap tahun. Dua ratus dua puluh lapan kes dilaporkan pada 2007, meningkat kepada 563 pada 2008 dan 656 pada 2010. Ini belum lagi mengambil kira kes yang tidak dilaporkan. Lebih teruk lagi, ramai mangsa adalah kanak-kanak berusia seawal 12 tahun.

Memandangkan kedudukan penting wanita dalam masyarakat tradisional Kelantan, kekerapan dan peningkatan kekejaman keganasan gender di negeri ini mendedahkan corak keruntuhan sosial yang amat tidak menyenangkan yang perlu diselidik dengan serius dan ditangani pada akar umbinya.

Wanita yang kuat dalam masyarakat tradisional

Pentingnya wanita di dalam masyarakat Kelantan tradisional ini terbukti daripada kehadiran wanita yang berkuasa dalam mitologi Kelantan dan juga ekonomi tempatan.

Landskap mitos Kelantan-Pattani dihuni tokoh-tokoh wanita, terutamanya permaisuri dan puteri yang merupakan pemerintah yang berkuasa dalam kerajaan mereka. Ratu legenda Kelantan, Che Siti Wan Kembang, dikatakan telah memerintah pada abad ke-14, terkenal dengan kecantikannya, kebijaksanaan dan kemahiran sebagai pahlawan. Dia dan anak angkat perempuannya Puteri Saadong - yang kemudian dinobatkan sebagai Raja Kelantan - juga dipercayai mempunyai kuasa mistik.

Terdapat juga legenda Empat Permaisuri Pattani - tiga saudara perempuan diraja bernama Raja Hijau (Hijau), Raja Biru (Biru) dan Raja Ungu (Ungu), yang memerintah kerajaan dari 1584-1635 dan telah digantikan oleh Raja Kuning (Kuning), puteri Raja Ungu. Pemerintahan Empat Permaisuri adalah era gemilang kestabilan dan kemakmuran Kerajaan Pattani

Siti Dewi - heroin tradisi Wayang Kulit Kelantan - adalah salah satu watak yang paling dikagumi dan dihargai, lebih digemari sebenarnya daripada suaminya yang besar kepala, Putera Seri Rama.

Di dunia nyata, peranan tradisional wanita di Kelantan adalah sebagai salah seorang yang berkuasa di rumah dan dalam bidang ekonomi. Semasa pelayaran ke Kelantan pada tahun 1837, Munsyi Abdullah memerhatikan bahawa wanita Kelantan menguasai perdagangan di pasaran dan menyentuh tentang kerajinan mereka. Malah pada hari ini, wanita lebih banyak menonjolkan diri dan kuasa berbanding lelaki di pasaran tempatan di Kelantan dan sering menguruskan perbelanjaan keluarga. Walau bagaimanapun, semangat waja wanita Kelantan itu sendiri seolah-olah semakin lama semakin kurang jelas di kalangan wanita muda yang telah melalui sistem sekolah dan persekitaran sosial pada masa ini.

Dalam bukunya, Visible Women in East Coast Malay Society: On the Reproduction of Gender in Ceremonial, School and Market (Scandinavian University Press, 1994), Prof. Ingrid Rudie melakar perubahan status dan peranan wanita di Kelantan, membandingkan penemuan kerja lapangan beliau pada 1986-88 dengan kajian awalnya yang dijalankan pada 1964-1965.

Rudie mendapati bahawa wanita Kelantan mempunyai kebebasan yang lebih besar, skop dan kuasa dalam rumahtangga dan kehidupan ekonomi pada tahun-tahun 1960-an, sedangkan di akhir 1980-an, kebangkitan semula Islam di seluruh Malaysia telah mempengaruhi dengan ketara peranan gender di Kelantan. Retorik nilai-nilai Islam menyaksikan pentakrifan semula secara beransur-ansur tentang tugas dan kedudukan wanita dalam keluarga - termasuk ketaatan kepada lelaki yang menjadi ketua dalam keluarganya.

Pandangan ini nampaknya sama dengan Prof Wazir Jahan Karim yang menegaskan dalam buku beliau, Women and Culture: Between Malay Adat and Islam (Westview Press, 1992), bahawa adat Melayu (undang-undang adat) memberi wanita satu saluran kebebasan dan penyertaan yang telah dilemahkan oleh kekuasaan ortodoks Islam di Malaysia dalam dekad kebelakangan ini.

Semua ini membuktikan penurunan secara keseluruhan status wanita sejak beberapa dekad yang lalu di Kelantan (dan juga bahagian-bahagian lain di negara ini), dan membataskan kuasa tradisional wanita dalam ruang awam dan swasta. Tidaklah perlu dinyatakan, penurunan dalam status wanita sering seiring dengan peningkatan dalam sikap gender yang secara tidak sengaja menyokong keganasan terhadap wanita, termasuk rogol

Bayang-bayang Puritanisme

Ramai yang menuding jari ke arah sistem pendidikan kita yang lemah sebagai punca kepada kejadian rogol beramai-ramai yang begitu kejam di Ketereh. Sementara itu beberapa pemimpin agama, termasuk Naib Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man, telah mencadangkan bahawa kes ini hanya membuktikan perlunya pelaksanaan undang-undang hudud.

Kedua-dua pandangan ini seolah-olah tidak memahami bahawa keganasan seksual yang semakin kerap di Kelantan dan tempat lain di Malaysia berakar umbi dalam dilema sosio-budaya-psikologi yang tidak mudah diselesaikan dengan pembaharuan dalam sistem luaran seperti pendidikan atau undang-undang.

Kecenderungan ke arah keganasan seksual seperti ini menyemarak dan semakin merebak di bawah bayang-bayang Puritanisme yang meresapi semua aspek kehidupan sosial di Kelantan. Penguatkuasaan fatwa yang, antara lain, menyeru pengasingan jantina di tempat-tempat awam, telah memburukkan nama tradisi budaya lama seperti Wayang Kulit dan Mak Yong, dan malahan cubaan melarang pendandan rambut wanita daripada melayan pelanggan lelaki, hanya berfungsi menekankan perbezaan di antara politik moral yang berpura-pura suci dengan dinamik kehidupan masyarakat sebenar.

Walaupun amalan agama di Kelantan sejak dahulu memang bersifat konservatif, ia juga wujud bersama-sama dengan nilai-nilai sosial tradisional dan pandangan dunia tempatan, di mana wanita memainkan peranan yang dominan dan sering dilihat dalam kehidupan masyarakat. Sebaliknya, kebangkitan Islam yang meningkat populariti dan pengaruhnya di Malaysia sejak akhir 1980-an telah diiringi dengan pendekatan Puritanisme baru yang menyisihkan kedua-dua wanita dan lelaki Kelantan daripada identiti budaya mereka dan jati diri sendiri.

Daripada pengalaman kerja bertahun-tahun yang rapat dengan tradisi budaya di Kelantan, saya perhatikan bahawa generasi lama rakyat Kelantan seolah-olah tidak terjejas oleh politik dan persekitaran Puritan berbanding generasi muda. Generasi orang Kelantan yang tua lebih ketara yakin siapa diri mereka dan, tetap meneruskan semangat Kelantan yang bebas, tidak akan mengendahkan atau mengabaikan terus fatwa yang tidak masuk akal kepada kehidupan mereka.

Generasi muda kurang mempunyai pegangan seperti itu. Dengan amlan budaya yang telah terpisah dari diri mereka dan peluang meningkatkan mobiliti sosial yang kurang, mereka tidak punya apa-apa untuk dilakukan, tidak ada tempat untuk dituju, dan tidak ada cara meluahkan tenaga muda yang tidak terhad itu ke arah yang baik. Tidaklah begitu mengejutkan mereka cenderung ke arah perlumbaan motosikal, dadah, dan melibatkan diri dalam kegiatan membuli dan keganasan? Pengasingan jantina dan ditambah dengan penyisihan daripada diri mereka sendiri, hairankah kita anak-anak muda di Kelantan telah kehilangan seni berkomunikasi dan berinteraksi dengan wanita?

Larangan terhadap tradisi kebudayaan seperti Wayang Kulit, Mak Yong, Manora, dan Main Puteri dengan ketara menyumbang terhadap gejala hakisan jati diri rakyat Kelantan, dan kemerosotan hubungan jantina terutamanya di kalangan anak-anak muda.

Tradisi Mak Yong yang berkisar pada peranan wanita sebenarnya adalah ruang untuk anak-anak muda didedahkan kepada kuasa dan pelbagai sudut seorang wanita. Dengan menyaksikan dan menghayati kuasa dan pelbagai emosi watak wanita Mak Yong, lelaki dan wanita muda belajar bagaimana menyelami pelbagai hakikat diri masing-masing.

Semua tradisi ini juga menawarkan strategi budaya di mana anak-anak muda mengetahui bahawa keghairahan adalah sebahagian daripada keperibadian manusia dan merupakan dimensi semulajadi dan bersahaja dalam kehidupan bermasyarakat.

Jika semua kesan keghairahan dan gurauan dibuang dari persekitaran dan pengalaman anak-anak muda, mereka akan membesar menjadi malu dan membenci naluri semulajadi mereka, dan akan berakhir menghampiri seks menerusi keganasan atau perasaan takut.

Pendidikan moral bukanlah punca mahupun penawar gejala sosial di kalangan golongan muda di Kelantan. Pelaksanaan hudud pun tidak akan menyelesaikan peningkatan keganasan seksual dan keruntuhan masyarakat.

Mungkin langkah pertama menangani masalah-masalah ini adalah dengan mengakui bahawa ia berasal dari dalam diri sosio-budaya dan jiwa yang telah didera, dimanipulasi dan beralih arah akibat aliran Puritanisme berdekad-dekad dan politik moral yang berkeras memaksa kita menelannya.