Wednesday, 23 July 2014

Dari gelap ke terang

Rencana "From darkness to light" oleh Peggy Loh bertarikh 20 Julai 2014 terbit di nst



Chef buta Allan Fraude memasak dengan begitu bersemangat sehinggakan orang celik pun akan iri hati, tulis Peggy Loh

Apabila seorang rakan memberitahu saya tentang Allan Fraude, bintang siri TV 13 episod Cooking in the Dark, (masih dalam pasca produksi), saya tertarik untuk berkongsi cerita beliau. Ini kerana Allan seorang buta dan keterujaannya memasak akan memberi inspirasi kepada mereka yang sedang melalui cabaran hidup.

Berbekalkan sikap yang positif, Allan yang berusia 53 tahun itu telah mengatasi banyak halangan dengan penuh azam. Bertemu beliau boleh diumpamakan seperti satu perjumpaan semula kerana pada tahun-tahun 1950-an, ibu bapa saya dan ibu Allan pernah bekerja bersama-sama di Hospital Besar Johor Bahru (kini dikenali sebagai Hospital Sultanah Aminah).

Sementara ibu-ibu kami berbual-bual, saya menyertai Allan di dapur yang hendak memulakan demonstrasi masakan beliau. Allan selesa di dapur kerana isterinya, Wong Man Chen, telah menguruskan ruang tersebut sebegitu rupa supaya Allan tahu di mana segala-galanya berada dan boleh mencapai barang-barang itu secara intuitif. Sinki berkembar, ruang penyaliran yang sempit serta dapur gas dengan empat alat pemanas adalah daerahnya.

Allan begitu mesra berceloteh sementara beliau memasak tujuh hidangan untuk makan tengah hari kami. Sepanjang masa tersebut, Allan bergerak dengan tangkas di antara sinki, dapur serta peti sejuk dan saya berhati-hati tidak menghalang pergerakannya.

PENGARUH AWAL

Allan, anak keenam dalam sebuah keluarga dengan lima orang kakak dan seorang adik lelaki, secara beransur-ansur hilang penglihatannya pada tahun 1990 akibat glaukoma. Mendiang bapanya, Kalliff Paul Fraude, seorang Serani keturunan Scotland dan Thai dilahirkan di Ipoh dan datang ke Johor untuk bekerja di Kulai Palm Oil Estate. Neneknya dari Thailand selalu menyediakan hidangan pedas dan bapa beliau serasi dengan masakan berempah itu, begitu juga Allan dan adik-beradiknya. Allan mengimbas kembali bagaimana dia sering membantu neneknya membeli bahan-bahan masakan dan mungkin ini mencetuskan minatnya memasak.

CILI PADI

Cili padi memang banyak dalam resipi yang diperturunkan daripada nenek Thai beliau kepada bapanya. Bapa Allan mempunyai beberapa kegemaran seperti kari Devil, kway teow goreng dan nasi goreng yang selalu dimasak untuk keluarga, serta banyak melibatkan cili padi. Beliau masih ingat betapa menariknya kari Devil bapanya kerana tidak kira seberapa pedas, mereka akan memberanikan diri memakannya.

Di estet, mereka tinggal di sebuah banglo dan melalui zaman kanak-kanak yang menggembirakan, merayau-rayau di serata estet dan bergaul bebas dengan jiran pelbagai budaya. Allan berkata mereka menemui keenakan makanan tradisional Melayu dan India serta didedahkan dengan pelbagai masakan dan budaya terutama sekali pada musim perayaan.

FUSION RASA

Salah satu imej yang masih diingat dengan baik dari zaman kanak-kanak adalah bagaimana ibunya akan mengisar pes cili sendiri menggunakan batu giling atau batu pengisar, untuk kari beliau yang terkenal dan masakan pedas lain. Ibunya keturunan Teochew dan di antara resipi Cina beliau dan hidangan Serani bapanya, mereka mencipta beberapa kegemaran keluarga yang unik, yang paling popular adalah satu bentuk Roti John yang mereka namakan Roti Babi kerana ia adalah sandwich yang diisi daging babi cincang, dicelup dalam adunan telur sebelum digoreng dan kemudian dinikmati dengan sos celup pedas.

Pada masa itu, peniaga yang berulang alik akan mendirikan satu pasar malam yang kecil di dalam estet pada hari-hari pembayaran upah untuk menjual makanan dan pakaian. Allan berkata ini masa yang dinanti-nantikan setiap hujung bulan bagi seisi keluarga kerana bapanya sering membeli mereka sate dan ketupat. Beliau berkata mereka jarang makan di luar dan satu-satunya masa mereka boleh makan di restoran adalah apabila dijemput untuk sesuatu majlis perkahwinan.

TITIK PERUBAHAN

Isterinya, Man Chen, adalah bekas rakan sekolah yang menjadi kekasihnya dan mereka berkahwin pada tahun 1989. Selama 10 tahun Allan bekerja di sebuah bank di Kulaijaya dan selama itu, beliau sering mengalami tekanan mata yang teruk dan kemudian disahkan menghidap glaukoma. Dia tidak sedar bahawa kerosakan saraf optik berlaku secara beransur-ansur dalam matanya dan penglihatannya telah semakin merosot perlahan-lahan. Man Chen mengimbas kembali rasa cemas apabila dipanggil ke bank pada satu hari apabila Allan tiba-tiba berdarah pada mata kirinya.

Dia bergegas ke hospital tetapi selepas rawatan, kerosakan kekal pada saraf optik menyebabkan beliau beransur-ansur hilang penglihatan pada mata kirinya. Man Chen tidak akan lupa satu malam pada tahun 1990 semasa dia mengandung dan air tubannya pecah di penghujung waktu kehamilan. Beliau berkata ia adalah satu keajaiban Allan berjaya memandu dengan selamat ke hospital di Johor Bahru pada jam 2 pagi apabila dia mempunyai kurang daripada 10 peratus penglihatan pada mata kanannya.

Penglihatan Allan merosot dengan pantas dan apabila anak perempuan mereka, Rebecca, hanya berusia dua bulan, beliau menjadi buta. Pada tahun 1993, Allan menyertai Pusat Latihan Gurney di Kuala Lumpur di mana dia belajar membaca Braille dan kemahiran yang lain untuk hidup dengan kecacatannya. Walaupun Allan mengambil kursus latihan dalam terapi urut, beliau tidak menjadikannya sebagai kerjaya.

Man Chen menjadi pencari nafkah tunggal keluarga dan oleh kerana dia tidak mempunyai masa untuk memasak, mereka makan di rumah mertua atau di restoran-restoran yang berdekatan. Oleh kerana ibunya semakin berumur dan kurang memasak, beliau mengambil keputusan mencuba memasak sendiri.

Ini merupakan titik perubahan untuk Allan apabila dia membuat keputusan untuk memasak hidangan kegemaran keluarganya. Jika beliau tidak pasti tentang sesuatu resipi, dia akan menelefon ibunya. Dia sedar bahawa jika dia tidak belajar memasak hidangan kegemaran keluarga, dia mungkin tidak akan lagi merasainya kerana adik-beradik beliau tidak pernah menguasai resepi keluarga mereka.

"Isteri dan anak perempuan saya menjadi bahan uji saya," kata Allan. Keberanian isterinya menyokong usaha memasak beliau meraih manfaat bersama kerana Allan mendapat keyakinan baru, dan dapat pula menikmati hidangan zaman kanak-kanak beliau dan berkongsi dengan keluarga dan rakan-rakan.

MEMASAK DALAM GELAP

Perubahan diri Allan menarik perhatian anak saudara beliau, Sonia Chall, yang memperkenalkan dia kepada sebuah syarikat penerbitan tempatan, Crooked Mirror Productions. Penerbit menjadikan dia bintang siri TV 13 episod Cooking in the Dark di mana beliau berkongsi rahsia resipi keluarganya.

Dalam program 30 minit yang dihoskan oleh personaliti TV Malaysia, Jay Menon, Allan menunjukkan kebolehannya memasak dalam gelap. Siri TV ini bertujuan memberi inspirasi kepada orang kurang upaya dengan semangat "boleh-buat" Allan dan menggunakan masakan sebagai analogi hidup untuk menunjukkan bagaimana kita boleh mengatasi halangan-halangan hidup.

Beliau mengimbas kembali pengalaman penggambaran yang menarik di Kuala Lumpur dan cabaran memasak di dapur yang belum biasa digunakan. Tetapi, beliau berkata, adalah menyeronokkan menyediakan lebih daripada 20 resipi keluarganya untuk siri ini. Selain kari Devil bapanya, Allan juga memasak hidangan kegemaran tempatan seperti popiah, nasi lemak, sambal petai dan juga kari ikan India.

"Saya tidak pernah terluka setakat ini," kata Allan dengan senyuman puas ketika dia menggunakan pisau dengan tepat memotong timun untuk digoreng bersama-sama udang kering dan bawang putih. Menggunakan deria sentuh dan rasa, Allan membubuh udang kering dan bawang putih ke dalam lesung dan ditumbuk dengan alu.

Saya terpesona melihat Allan membasuh dan mengukur terung serta bendi dan dengan cekap memotongnya dalam ukuran panjang yang sama untuk ditambah ke dalam kari ikan yang sedang menggelegak. Dia mendengar detaran dan menghidu bau aroma bahan-bahan yang ditumis untuk menentukan setakat mana lauk itu telah dimasak. Semua ini dilakukan serentak dengan pergerakannya mengalih periuk dan kuali di dapur dan sinki dengan kemahiran yang menakjubkan.

Apabila kami duduk untuk menikmati makanan, saya berasa rendah diri. Kekaguman terhadap Allan meningkat dengan setiap suap kari Devil, kari ikan, kentang lecek masala, omelet telur, goreng timun dengan udang kering dan bawang putih, ayam rebus dalam sos hitam dan taugeh goreng dengan ikan masin.

Azamnya untuk hidup lebih berdikari dan menyumbang kepada kesejahteraan keluarganya, sesungguhnya adalah satu inspirasi. Sementara Rebecca membantu menghidangkan makanan di meja dan Man Chen mengemas di dapur, saya dapat merasakan rasa bangga mereka yang tidak diucapkan terhadap Allan.

Tuesday, 22 July 2014

Kegembiraan mengembara bagi mereka yang cacat penglihatan

Rencana "The joy of travelling for the visually impaired" oleh Chester Chin bertarikh 19 Julai 2014 terbit di thestar



Kurangnya pilihan bersiar-siar tidak menghalang orang buta dan cacat penglihatan daripada melancong.

Selepas pendakian yang lama dan sukar pada satu hari di bulan Disember 1981, Liza Maria Beh mendapati dirinya di atas Ayers Rock di Australia. Walaupun pejalan kaki lain menikmati pandangan indah MacDonnell Ranges, ia adalah satu pengalaman yang sangat berbeza untuk Beh. Rasa panas, angin dan bunyi memberikan sensasi yang mendebarkan bagi wanita yang dilahirkan buta itu.

"Anda kehilangan input penglihatan, tetapi anda masih menerima input lain, seperti bunyi dan rasa di persekitaran," kata Beh.

"Melancong adalah sangat baik, sama ada anda buta atau tidak. Anda belajar tentang budaya penduduk tempatan dan berpeluang mencuba makanan di tempat-tempat yang anda lawati," dia menambah.

Mendengar pengalaman wanita berusia 57 tahun ini, kita dapat rasakan bahawa selain daripada bersiar-siar, mengembara benar-benar tidak banyak bezanya untuk orang buta dan cacat penglihatan jika dibandingkan dengan mereka yang boleh melihat.

Walau bagaimanapun, Beh - yang telah mengembara ke tempat-tempat seperti Boston, Massachusetts di Amerika Syarikat dan England - cepat menyatakan bahawa pemandu celik sebagai aspek penting dalam perjalanan orang buta itu.

Bekas Timbalan Pengarah Eksekutif Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) Godfrey Ooi, 65, bersetuju dengan Beh.

"Bagi orang buta, pengembaraan boleh menjadi masalah, jadi kita memerlukan bantuan daripada sukarelawan. Oleh kerana kita tidak dapat melihat sesuatu dengan mata kita sendiri, kita perlu orang lain untuk menggambarkan pemandangan yang dilihat bagi pihak kami," kata Ooi.

Ahli majlis MAB K. Sundralingam, 78, adalah salah seorang sukarelawan tersebut. Lelaki yang telah membantu Ooi dalam perjalanannya ke beberapa tempat menarik di negara ini mengatakan bahawa nisbah yang terbaik pemandu celik untuk pengembara buta adalah 1:1 kerana ini membolehkan pemandu memberi perhatian penuh kepada teman perjalanan beliau.

Apabila menggambarkan pemandangan kepada orang buta atau cacat penglihatan, Beh menekankan bahawa adalah penting untuk memberitahu apa sebenarnya, supaya mereka tidak terlepas pengalaman yang sepenuhnya.

Bagi membimbing orang buta, teman yang celik harus membiarkan orang buta memegang siku mereka atau meletakkan tangan mereka di bahu dan berjalan ke hadapan selangkah-selangkah pada satu masa dan bukannya menolak orang buta dari belakang.

Manakala mempunyai teman yang celik adalah tidak ternilai, perjalanan solo juga boleh dicapai bagi orang buta dan cacat penglihatan. Dr Tan Tok Shiong, 56, adalah salah seorang individu yang berdikari itu.

Lelaki itu melancong hanya dengan tongkat, beg sandang dan sedikit wang tunai.

Tan, dengan cacat penglihatan yang berpunca daripada mutasi genetik yang berkembang sejak lahir, menikmati perjalanan dengan berjalan jauh.

"Satu-satunya benda yang boleh saya lihat dengan jelas adalah garis putih di jalan raya. Dengan mengikuti garis putih, saya boleh pergi dari bandar ke bandar, "jelas bekas pensyarah itu. Antara tempat-tempat yang telah dilawatinya termasuklah Brunei, Thailand dan Pulau Samosir di Indonesia.

"Kegembiraan berjalan sahaja sudah membuatkan saya ingin mengembara. Apabila saya memulakan perjalanan saya, saya rasa begitu gembira dan saya berjalan selama beberapa hari. Hanya apabila saya mula berasa bosan atau apabila kaki saya mula tidak larat baharulah saya mengakhiri perjalanan dan pulang ke rumah," kata Tan.

Tan membuat semua persiapan logistik yang diperlukannya sendiri dan mengemudi jalan dengan bertanyakan penduduk tempatan.

"Apabila ada orang yang memotong saya, ia juga merupakan satu peluang untuk berbual-bual. Saya pun akan bertanya kepada mereka bagaimana hendak sampai ke tempat-tempat tertentu atau sama ada saya bergerak ke arah yang betul," jelas Tan.

Beliau menambah bahawa orang yang tidak dikenali yang ditemuinya memang bertolak ansur. Walau bagaimanapun, keadaan boleh menjadi rumit sedikit di negara-negara dengan penduduk yang lebih ramai memandu kenderaan, seperti di Brunei, kerana kurang pejalan kaki yang boleh diminta bantuan. Pada masa ini, Tan mengambil bahagian dalam pengembaraan yang dianjurkan oleh MAB.

Pilihan terhad

Apabila memperkatakan tentang pusat pelancongan tempatan, pilihan untuk orang buta adalah terhad. Muzium-muzium di Malaysia, kata pembantu penglihatan rendah MAB Barnarbas Lee, agak tidak mesra orang buta dan cacat penglihatan.

"Di muzium tempatan, mereka sangat takut apabila orang buta menyentuh apa yang dipaparkan. Apabila anda mahu sentuh paparan, anda biasanya mendapat jawapan seperti 'Ia akan pecah', 'Ia akan kotor' atau 'Anda akan meninggalkan cap jari," kata Lee. Untuk satu aktiviti yang mudah seperti membeli-belah, beliau berkata, kebanyakan pekedai biasanya sangat berhati-hati kerana mereka takut orang buta akan terlanggar barang-barang yang dipamerkan.

Walaupun Lee memahami kegusaran beberapa pegawai tersebut, dia berkata bahawa orang buta dan cacat penglihatan juga inginkan pengalaman melancong di Malaysia.

Ooi mengatakan bahawa adalah penting untuk menggabungkan sentuhan yang meningkatkan pengalaman keseluruhan. Beliau mencadangkan bahawa muzium-muzium menyediakan penerangan dalam Braille dan model paparan yang boleh dirasai oleh orang buta dengan tangan mereka.

Lee mengatakan bahawa industri pelancongan tempatan perlu mencontohi beberapa rakan mereka di luar negara. "Apabila anda pergi ke Eropah atau Australia, pertunjukan pentas dan persembahan disertakan bersama dengan audio deskriptif yang membantu orang buta," katanya.

Beliau menambah bahawa adalah agak sukar juga untuk berurusan dengan syarikat pelancongan tempatan.

"Saya agak kebanyakan syarikat pelancongan tempatan rasa bimbang. Saya tidak menyalahkan mereka. Mungkin mereka tidak mengetahui keperluan orang buta apabila kita mengembara, "kata Lee.

Apa-apapun, kekurangan pengetahuan adalah salah satu daripada halangan terbesar yang mencegah industri pelancongan daripada benar-benar boleh diakses oleh orang buta.

Lapangan terbang adalah salah satunya, menurut Beh, tempat wujudnya kekurangan kesedaran menyebabkan orang buta dan cacat penglihatan secara tidak sengaja dipandang rendah.

"Anda meminta bantuan, dan mereka membawa keluar kerusi roda pula. Entah bagaimana, orang cenderung menganggap bahawa orang kurang upaya memerlukan kerusi roda. Orang buta boleh berjalan jadi kami tidak memerlukan kerusi roda. Apa yang kami perlukan adalah pemandu celik untuk membantu kami," kata Beh.

Walau bagaimanapun, Beh tidak kesal dengan pengalaman pahit itu kerana dia tahu bahawa mendidik orang awam tentang kebutaan adalah proses yang berterusan.

Pasaran yang belum diterokai

Perkara yang pokok ialah orang buta dan komuniti OKU tetap disisih oleh masyarakat. Ini secara tidak sengaja menjadikan mereka peluang pasaran baru dalam industri pelancongan.

Ini tidak mengambil kira hakikat bahawa ia masih pasaran yang mempunyai potensi besar, kata Sia Siew Chin, 47, pengarah eksekutif Beautiful Gate Foundation for the Disabled . Yayasan ini telah menganjurkan persidangan di peringkat negara dan serantau untuk menggalakkan pelancongan yang boleh diakses orang kurang upaya.

Sia berkata industri pelancongan perlu sedar akan ada lebih ramai orang yang tidak mempunyai penglihatan penuh akibat bilangan warga emas yang kian meningkat sejajar dengan kualiti penjagaan kesihatan umum yang semakin baik.

Walaupun memang ada potensi yang belum diterokai dalam pelancongan untuk orang buta, pengarah urusan Cherry Bird Travel & Tours George Woo berkata permintaannya masih rendah. Agensi pelancongan itu pernah mengendalikan pelancongan dan pemindahan untuk orang buta dan kurang upaya.

"Apa yang dilakukan ialah kita akan meninjau tempat penginapan dan tempat-tempat yang menarik untuk memastikan ia sesuai dan mesra orang kurang upaya," kata Woo.

"Mengendalikan lawatan untuk orang buta dan orang kurang upaya memerlukan lebih banyak persiapan daripada lawatan biasa. Ia mencabar tetapi tidak mustahil," tambah beliau.

Walaupun kekurangan kemudahan yang sepatutnya tidak menghalang orang buta dan cacat penglihatan daripada mengembara, Beh berkata adalah lebih baik jika lebih ramai orang bersedia membantu masyarakat buta.

"Orang buta perlu diberi kuasa untuk pergi menikmati pengembaraan mereka sendiri," dia membuat kesimpulan.

Friday, 18 July 2014

Perkauman Makanan: Masih berbau!

Rencana “Food racism: It still stinks!” oleh Hafiz Noor Shams bertarikh 17 Julai 2014 terbit di themalaymail




Saya rasa ramai daripada kita rakyat Malaysia telah terlibat dalam perbahasan yang tidak berkesudahan tentang perkauman sebelum ini. Masalah dengan perbahasan ini ialah ia dirangka dalam konteks rakyat Malaysia dan lebih kerap tidak mengendahkan nilai sejagat kesaksamaan seluruh umat manusia.

Ini menimbulkan sifat hipokrit di kalangan orang yang percayakan kesaksamaan di kalangan rakyat Malaysia. Mereka tidak bersetuju dengan perkauman terhadap rakyat Malaysia, tetapi tidak mempunyai masalah mengamalkannya terhadap warga asing.

Saya menulis rencana ini sebagai reaksi terhadap cadangan di Pulau Pinang untuk mengharamkan orang asing daripada menjadi tukang masak di negeri itu. Saya dapati rasional di sebalik cadangan itu sangat rapuh: kerajaan negeri mahu mengekalkan keaslian makanan. Ia adalah tentang melindungi warisan Pulau Pinang.

Cadangan ini menganggap gaya masakan dan resipi tidak boleh dipelajari, oleh kerana memasak adalah keupayaan khas semula jadi. Ia menganggap ada sesuatu yang istimewa tentang anak negeri Pulau Pinang yang memasak masakan Pulau Pinang.

Tetapi hujah itu perlu dipecahkan sehingga ke penghujung yang logik, sehingga ke asas pembentukannya. Jika kita bimbang tentang warisan makanan, maka mungkin ada rakyat Malaysia yang harus dilarang daripada memasak beberapa makanan Malaysia.

Tukang masak Cina tidak harus dibenarkan memasak makanan Melayu. Tukang masak Melayu tidak harus dibenarkan menyediakan makanan India. Gunakan logik keupayaan memasak semula jadi untuk setiap kumpulan etnik dan lihat jika anda menyukai keputusannya.

Perbezaan yang dibuat di antara tukang masak Malaysia dan asing hanyalah untuk mengabui sikap prejudis. Seseorang mungkin berhujah terdapat perbezaan di antara perkauman dan sentimen anti-pendatang: kita tidak mengamalkan diskriminasi terhadap sesuatu kaum tetapi terhadap pendatang amnya.

Tetapi jauh di lubuk hati tanpa pengkelasan tiruan, benarkah wujud perbezaan antara perkauman dan xenofobia? Kedua-dua definisi mempunyai lebih daripada tanda-tanda prasangka di dalamnya. Xenofobia sama sepertti perkauman cuma dengan nama yang berbeza, masih busuk.

Selain itu, larangan yang dicadangkan mungkin akan memberi kesan kepada pekerja asing dari negara-negara miskin. Bagaimana jika tukang masak itu berasal dari Eropah? Adakah kita akan menyembah mereka sebagai tuhan bukan? Garis yang memisahkan perkauman daripada xenofobia adalah nipis dan kabur, jika adalah garis pada asalnya.

Selain itu, di internet, persoalan kebersihan ditimbulkan yang mengandaikan pekerja asing adalah orang yang kotor dan tidak sihat, menyokong larangan yang dicadangkan dan yang lebih penting, mendedahkan bentuk perkauman yang lebih teruk.

Hujah bertentangan tentang kebersihan adalah apabila anda telah pergi ke mana-mana gerai di Pulau Pinang yang dikendalikan oleh penduduk tempatan, anda akan membuat satu kesimpulan bahawa kebersihan bukanlah satu keutamaan bagi mereka. Saya memang membuat kesimpulan itu apabila makan mi dan cendol di Jalan Macalister George Town baru-baru ini.

Saya bukanlah tukang masak yang baik tetapi telah cuba memasak ketika bergelar seorang pelajar di luar negara. Apa yang saya perhatikan ialah kita boleh belajar memasak dan apa yang membuatkan ia bagus adalah latihan.

Saya tidak memasak selalu tetapi agak yakin jika kita belajar dan berlatih berbuat sesuatu, kita akan mahir melakukannya. Jika anda bercadang hendak bekerja sebagai tukang masak, maka anda perlu bekerja lebih keras untuk menjadi mahir.

Lagipun, kita mempunyai tukang masak Malaysia berbangsa Cina membuat roti canai yang agak baik di Goulburn Street Sydney. Adakah itu menjadikan ia kurang tulen? Saya makan sahaja roti canai itu dan memesan sekeping lagi.

Saya pasti terdapat lebih banyak contoh seperti itu di Malaysia dan di seluruh dunia. Jika kita benar-benar menitikberatkan kesahihan makanan dan warisan, maka rakyat Malaysia ini patut dikutuk kerana memasak sesuatu yang bukan milik warisan etnik mereka. Tetapi kita tidak.

Malah, ramai yang berbangga dengan mereka kerana menyebarkan budaya Malaysia di luar negara. Dan bagi kita yang mengembara, kadang-kadang kita rindukan makanan dari rumah dan bersyukur boleh mencari makanan Pulau Pinang di Chicago, misalnya.

Sesetengah daripada kita tidak boleh makan apa-apa selain makanan Malaysia walaupun selepas bertahun-tahun tinggal di luar negara, bergaul hanya di Kampung Malaysia di London dan di tempat-tempat lain, keadaan yang agak membimbangkan tetapi kita tidak akan memperkatakannya buat masa ini.

Oleh itu, mengapa rakyat Malaysia dibenarkan memasak makanan Malaysia tetapi tidak orang asing? Mudah. Kita menyokong kesaksamaan di kalangan rakyat Malaysia, tetapi pergi jahanam dengan orang lain. Dalam perkiraan saya prejudis itu rapat sekali dengan perkauman.

Apa-apapun, penentunya adalah pelanggan. Jika mereka sukakan masakan anda, mereka akan mengunjungi gerai-gerai atau restoran anda, membayar untuk makanan yang enak. Jika anda seorang tukang masak yang tidak mahir, walau siapapun anda, rakyat Malaysia ataupun tidak, mereka yang kelaparan dan mengambil foto tidak akan terlalu kerap berkunjung ke tempat anda. Kita tidak perlukan kerajaan untuk memberitahu bahawa kita tidak boleh membeli makanan daripada pihak-pihak tertentu. Kita boleh membuat keputusan itu sendiri.

Cadangan negeri Pulau Pinang bukanlah satu-satunya contoh perkauman seperti itu. Apabila Menteri Wilayah Persekutuan hendak mengharamkan gelandangan dan soup kitchen dari pusat bandar Kuala Lumpur, masyarakat awam menentangnya dan semua jentera-jentera kerajaan di bawah kawalannya. Dalam mempertahankan cadangan tersebut, antara lain, menteri itu berkata kebanyakan gelandangan dan pengemis adalah warga asing (tidak benar kerana berdasarkan laporan berita, Dewan Bandaraya "memindahkan" 965 orang gelandangan pada tahun 2013, dengan kira-kira 13 peratus daripada mereka warga asing).

Pada pandangan beliau, ini membuatkan cadangan tersebut lebih diterima. Oleh kerana gelandangan adalah warga asing, dia ingatkan bolehlah melakukan apa sahaja yang dia mahu, lupa bahawa warga asing adalah manusia juga.

Dan ini tidak berhenti di situ sahaja. Sesetengah daripada kita berfikir pendatang adalah makhluk yang rendah martabatnya. Oleh sebab itulah kita menyalahgunakan mereka. Berapa kali kita mendengar tentang pembantu rumah asing didera di Malaysia? Sesetengah daripada kita mahu mereka keluar, menyalahkan pendatang tentang pelbagai perkara, tidak kira sama ada ia benar atau tidak. Gaji yang rendah? Pendatang! Tiada kerja? Pendatang! Kenaikan kadar jenayah? Pendatang! Kadar penyertaan buruh wanita yang rendah? Pendatang!

Sudah tentu, benar sekali, mereka tidak maksudkan semua pendatang dan pasti bukan yang di bawah program Malaysia Rumah Kedua. Oh tidak, bukan yang dikenali sebagai pekerja berkemahiran tinggi. Hanya pendatang dari negara-negara miskin yang tertentu.

Kewarganegaraan memberi kita hak-hak tertentu, tetapi itu tidak bermakna yang bukan warganegara kurang sifat manusianya. Mereka berdarah merah juga, seperti rakyat Malaysia.

Tuesday, 15 July 2014

Mengagungkan Hitler tidak akan membantu Gaza!

Rencana "Glorifying Hitler will not help Gaza!" oleh Rana Saadullah Khan bertarikh 14 Julai 2014 terbit di The Express Tribune



Angka kematian operasi terbaru tentera Israel di Gaza Palestin telah meningkat kepada 121 rakyat Palestin. Rakyat Palestin ini bukanlah 'pengganas' yang menjadi sasaran Israel; salah satu serangan udara Israel terkena sebuah kumpulan NGO yang bekerja untuk rakyat Palestin yang cacat, membunuh tiga pesakit kurang upaya dan seorang jururawat.

Walaupun, sudah tentu, Israel akan menghalalkan jenayah terbaru ini dengan mendakwa ia hanya 'bertindak balas' terhadap 680 roket yang dikatakan telah ditembak dari Gaza. Malah, kelihatan pula satu tahap baru politik yang diputarbelit, apabila Perdana Menteri Britain, David Cameron, dan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, telah membuat kenyataan sokongan tidak berbelah bahagi menyokong operasi Israel, dengan hanya Venezuela dan Scotland dua negara di Barat yang telah secara terbuka mengutuk tindakan Israel.

Organisasi antarabangsa yang begitu menonjol seperti Liga Arab dan PBB telah benar-benar diabaikan dalam rayuan mereka untuk menghentikan keganasan oleh Israel dan Barat, walaupun sekiranya PBB yang sama menerbitkan satu laporan tentang pencabulan hak asasi manusia di Iran Amerika Syarikat akan tiba-tiba mula mendesak republik Islam itu mematuhi permintaan organisasi yang pada hakiktanya amat lemah ini.

Sudah tentu, semua negara-negara ini lupa bahawa krisis di Gaza telah mencetuskan gelombang emosi di kalangan seluruh masyarakat Islam di peringkat global, dan 'tindakan balas' umat Islam bukan sahaja akan menjadi lebih luas dan besar daripada roket letupan yang ditembak ke sempadan bandar-bandar Israel, tetapi juga menjadi lebih berbahaya untuk kita semua.

Dalam satu tindakan bersatu, beberapa negara Islam yang mempunyai akses ke Gaza telah berikrar memberi bantuan dalam pelbagai cara. Malaysia menghantar 40 doktor sebagai bantuan perubatan yang amat diperlukan bagi 920 yang tercedera, Emiriah Arab Bersatu telah menjanjikan 100 juta Dirham untuk Gaza dan Mesir kini sedang membantu rakyat Palestin yang terdesak untuk melarikan diri ke dalam wilayah Mesir.

Sementara itu di Facebook, ramai rakyat Pakistan sibuk memuliakan Hitler, satu-satunya orang Eropah yang memuaskan hati Pakistan. Pelik sekali, bukan kerana Hitler entah bagaimana mencipta khalifah Islam yang ideal. Sanjungan itu kerana Hitler telah membunuh orang Yahudi, "dan akan membunuh mereka semua" jika dia memenangi Perang Dunia Kedua.

Sudah tentu, kita semua boleh mudah lupa bahawa Holocaust di tangan Hitler adalah sebab utama orang Yahudi melarikan diri jauh dari Eropah dan terpaksa mencari ketenangan di tanah air mereka yang tidak pernah didiami selama beratus-ratus tahun. Kita boleh juga dengan mudah lupa bahawa Hitler membunuh 11 juta orang, termasuklah enam juta orang Yahudi. Ideologi Nazi tidak bangkit untuk melindungi kepentingan Islam atau Palestin pada tahun 1940-an, seperti yang ingin dipercayai oleh sebahagian daripada kita; ideologi beliau mahukan bangsa Aryan menjadi satu-satunya bangsa yang masih hidup di dunia dan mewujudkan ketulenan kaum.

Itu bermakna membunuh semua yang bukan Aryan - Aryan yang sempurna. Orang Rusia, pekerja China dan Afrika, orang kurang upaya dan mental, Turki dan Mongol, homoseksual dan komunis semua adalah di antara mereka yang diserang dengan gas beracun di kem-kem tahanan Nazi. Walaupun ya, kita orang Asia Selatan dan saudara-saudara kita orang Parsi bernasib baik diklasifikasikan sebagai 'Aryan', masyarakat Arab dan Melayu kita, kumpulan kaum Muslim yang terbesar, adalah sebahagian daripada 'sampah' Hitler.

Malahan sebahagian besar Pakistan moden akan dihapuskan, kerana hanya etnik Tajik telah diberi rahmat Aryan oleh Nazi manakala rakyat utara selebihnya, termasuk Pakhtuns, akan mati hari ini.

Kita semua merasa jijik melihat senarai korban di Gaza dengan nama dan usia mereka didedahkan oleh Al Jazeera. Adakah kita begitu tidak berperikemanusiaan sehinggakan kita tidak dapat merasakan yang sama untuk mangsa Hitler? Sehinggakan kita harus menyanjung pembunuh menjadikannya orang yang mati syahid? Bagaimana pula dengan dua wanita Bosnia yang membantu orang Yahudi melarikan diri dari Eropah dan cengkaman Hitler kerana pertalian darah mereka? Bagaimana pula dengan diplomat Turki di Rhodes yang cuba menyelamatkan 5000 bukan Aryan dari dilenyapkan, tetapi terpaksa melihat isterinya sendiri yang sedang hamil, Mihrinissa, mati akibat tindakan balas dendam Nazi?

Amatlah memalukan manakala dunia Islam membandingkan tindakan Israel terhadap rakyat Palestin dengan Hitler terhadap orang Yahudi, kita semua, sebagai rakyat model negara Islam yang pertama, seolah-olah hanya memuliakan tindakan yang sama dengan lebih teruk lagi dan memalukan nurani Islam di hadapan dunia.

Amatlah memalukan bahawa kita memuji orang yang hari ini memberi inspirasi kepada serangan neo-Nazi terhadap umat Islam di seluruh Eropah. Jika benar-benar tindakan Hitler yang dipuji dalam perspektif Pakistan, maka kita perlu memakai label media yang menyatakan kita sebagai pengganas antarabangsa dengan bangga.

Dan ingat rakan-rakan senegara saya - menyukai status Nazi tidak akan meringankan penderitaan Palestin. Sebanyak manapun kita merungut tentang negara-negara Teluk Arab yang kaya serta Malaysia dan Turki yang terlalu liberal, jangan lupa bahawa mereka telah melakukan lebih untuk Gaza daripada yang pernah dilakukan oleh gambar profil anda.

Cintakan Hitler dan membenci orang Yahudi

Rencana “Loving Hitler and hating Jews” oleh Zurairi AR bertarikh 13 Julai 2014 terbit di themalaymailonline




Bagi sesetengah rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa, tweet Wakil Rakyat Barisan Nasional Bung Mokhtar Radin memberi hormat kepada diktator Nazi Adolf Hitler selepas Jerman memenangi perlawanan separuh akhir Piala Dunia merupakan pendedahan pertama tentang sanjungan pelik terhadap Hitler yang menular di dalam masyarakat Melayu.

Walaupun Bung telah meminta maaf selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyatakan bahawa Bung bukanlah mewakili suara Malaysia, hakikat sebenar jauh berbeza.

Penghormatan bagi Hitler bukan hanya telah lama wujud, tetapi seolah-olah meningkat berikutan serangan yang tidak seimbang oleh Angkatan Pertahanan Israel di Semenanjung Gaza.

Pada hari Jumaat, penyanyi popular Melayu Shila Amzah menulis tweet bahawa dia "ingin sekali Hitler masih hidup", sebelum menarik balik dan menghapuskan tweet beliau berikutan kemarahan orang ramai. Dia mengalah, tetapi tidak sebelum mendakwa bahawa mereka yang mencercanya kerana menyokong seorang pembunuh besar-besaran adalah "fanatik" semata-mata.

Pada hari yang sama, bekas Menteri Penerangan dan bekas ketua editor harian berbahasa Melayu Utusan Malaysia Zainuddin Maidin juga memuji Bung dengan "Bravo" kerana menyanjung Hitler, dan berkata ia adalah sesuai memandangkan serangan baru-baru ini.

Satu sebab utama di sebalik sanjungan yang tidak masuk akal terhadap Hitler berpunca daripada hakikat bahawa dia dianggap sebagai pembasmi orang Yahudi paling “hebat”, membasmi berjuta-juta kaum tersebut di kem-kem tahanan semasa Holocaust.

Malahan terdapat satu ungkapan yang terkenal menjadi buah mulut orang beragama Islam untuk membuktikan bagaimana “betul”nya Hitler:

"Saya boleh membunuh semua orang Yahudi di dunia, tetapi saya biarkan sebahagian daripada mereka hidup supaya anda akan tahu mengapa saya membunuh mereka."

Seolah-olah Hitler bersifat "baik" apabila dia membiarkan beberapa orang Yahudi hidup selepas membunuh berjuta-juta yang lain sewenang-wenangnya.

Ungkapan ini telah beredar dalam talian sejak permulaan Internet, dan malah pernah dipaparkan di muka depan Utusan pada satu ketika.

Petikan ini juga palsu. Tidak ada bukti yang menunjukkan bahawa Hitler pernah mengatakannya. Tetapi sudah tentu ini tidak akan menghentikan orang Islam daripada mengongsinya, kerana ia mengesahkan keyakinan mereka menentang orang Yahudi.

Sesetengah umat Islam juga percaya bahawa Hitler sangat mengagumi Islam dan penganutnya.

Pada tahun 2010, terdapat surat rantaian bertajuk "penghormatan saya kepada seorang lelaki yang hebat, Hitler" yang mengatakan bahawa Hitler sering bertemu ulama Islam untuk belajar tentang iman, dan bagaimana dia melayan tentera Islamnya dengan baik.

Surat itu juga mendakwa Hitler telah terdorong membunuh orang Yahudi selepas dia diilhamkan oleh al-Quran, dan memasukkan ikrar kepada Allah untuk tenteranya.

Ini juga tidaklah benar walau sedikitpun. Saya masih tertanya-tanya bagaimana contoh sejarah yang dioleh semula sebegitu rupa dan tidak masuk akal secara terang-terangan boleh dipercayai oleh ramai orang Melayu dan umat Islam.

Perasaan cintakan Hitler ini hampir seiring dengan berapa ramai orang Melayu yang tanpa ragu-ragu membenci orang Yahudi sebagai satu bangsa.

Pada bulan Mei, satu kajian oleh NGO Yahudi Anti-Defamation League mendapati hampir dua dalam tiga rakyat Malaysia cenderung mempunyai sifat anti-Semitik, jauh melebihi purata global sebanyak 24 peratus serta 22 peratus di seluruh negara lain di Asia. Malaysia juga adalah yang ke-19 dalam senarai 102 negara, di belakang negara-negara yang paling anti-Semitik dari Timur Tengah dan Afrika Utara. Ia juga adalah negara Asia yang paling prejudis terhadap orang Yahudi.

Sebahagian daripada kebencian ini datang daripada sokongan umat Islam bagi saudara-saudara Palestin mereka dalam konflik yang tidak berkesudahan dengan Israel.

Tetapi walau sekeras mana mereka mungkin cuba menafikan, faktor penyumbang yang besar perasaan anti-Semitisme adalah kerana hampir semua orang Melayu di negara ini telah dididik dengan orang Yahudi sebagai momok mereka, musuh orang Islam.

Rujukan tentang orang Yahudi di dalam kitab suci Al-Quran kebanyakannya negatif, dan adalah suatu perkara biasa mendengar penghinaan terhadap Yahudi semasa khutbah Jumaat.

Orang Yahudi begitu mudah dijadikan kambing hitam, dipersalahkan untuk hampir segala-galanya daripada keruntuhan moral masyarakat menerusi apa yang dikatakan penjajahan budaya mereka, sehinggalah membiayai pembangkang di negara ini untuk menggulingkan pentadbiran pemerintah.

Apabila bersangkutan dengan orang Yahudi, orang Melayu seolah-olah dengan senang membuang otak mereka keluar tingkap. Hanya kebencian mendorong mereka.

Tidak ada sesiapa yang boleh menafikan kekejaman yang dilakukan oleh tentera Israel terhadap rakyat Palestin, tetapi saya tidak selesa sedikitpun apabila mengetahui bahawa jawapan rakan-rakan Melayu saya 'kepada kemusnahan rakyat Palestin ialah dengan kemusnahan orang Israel pula.

Tidak ramai yang berminat dalam penyelesaian dua negara. Hanya penghapusan Israel sepenuhnya akan memberi kepuasan kepada mereka.

Ini juga dapat dilihat dalam banyak jawapan yang saya temui berikutan serangan ke atas Semenanjung Gaza. Banyak kenyataan adalah berbentuk "Yahudi laknatullah" (orang Yahudi yang terkutuk oleh Allah) dan berdoa semoga Tuhan "memusnahkan" orang Yahudi.

Nampaknya tidak banyak perbezaan antara orang Yahudi, Israel, dan Zionis. Mereka semua dengan mudah digabungkan ke dalam satu kelompok bersama-sama sebagai musuh yang perlu dihancurkan, tidak kiralah bahawa terdapat ramai orang Yahudi yang menentang kekejaman itu sendiri.

Logik menetapkan bahawa jika seseorang tidak menyokong pembersihan etnik umat Islam Palestin, maka seseorang itu perlu juga bersuara menentang penindasan terhadap orang Yahudi. Anda tidak boleh membenarkan pembunuhan seseorang dengan menyokong pembunuhan yang lain.

Tetapi sebab yang munasabah tidak mempunyai tempat manakala kebencian yang telah lama dipegang kukuh dalam sanubari. Tidaklah menghairankan bagaimana ini membawa kepada sekumpulan yang menyokong Hitler dan inginkan dia menghapuskan orang Yahudi dari muka Bumi, walaupun Hitler akan melakukan perkara yang sama terhadap umat Islam jika dia masih hidup.

Sunday, 13 July 2014

Lihat mereka beraksi

Rencana "See them in action" oleh Stuart Danker bertarikh 12 Julai 2014 terbit di nst




Dengan semua tumpuan pada perlawanan akhir Piala Dunia, Stuart Danker mengalihkan pandangan beliau pada sukan yang kurang dikenali tetapi sedang membangun - futsal orang buta

Orang ramai senyap menjangkakan sesuatu. Seorang pembantu berjalan ke sebelah tiang gol dan menjerit, "Kiri!" sebelum mengetuknya dengan sebatang logam. Dia berlari ke arah yang bertentangan, melakukan perkara yang sama, sambil menjerit, "Kanan!" Kemudian dia berjalan ke tengah dan bertepuk tangan. Dengan menggunakan petunjuk bunyi, Mohd Azwan Azhar membentuk imej mental tentang sasaran beliau. Ia adalah tendangan penalti penentu dalam permainan. Menggosok peluh daripada penutup mata beliau, Azwan melangkah dan membuat sepakan.

Bola melayang melepasi penjaga gol, menepati sasaran menyentuh jaring gol. Permainan telah dimenangi dan Azwan berlari ke arah rakan sepasukan untuk meraikannya. Masuklah ke alam futsal orang buta, di mana pemain mengatasi kekurangan penglihatan mereka untuk meneruskan minat dalam sukan. Jika anda tidak pernah mendengar tentang sukan ini, ia mungkin kerana futsal orang buta agak baru menurut piawaian antarabangsa, dengan pertandingan peringkat dunia yang pertama berlangsung pada tahun 1998. Ketua jurulatih Sunny Salesh berkata pasukan kebangsaan mempunyai peluang menjadi juara dunia jika ia terus meningkat pada tahap yang ditunjukkan ini.

"Kami mula bertanding pada tahun 2009. Kami tidak menang tetapi ia merupakan satu pengalaman yang baik untuk kami. Kami sedar bahawa kami mempunyai peluang dalam sukan ini dan sejak kekalahan itu, kami telah berlatih dengan lebih keras, "katanya.

Kaedah latihan untuk futsal orang buta memerlukan lebih daripada kecergasan fizikal. Pemain perlu mengasah deria pendengaran mereka, dan cukup yakin untuk bertindak balas dengan sewajarnya. Sunny melatih pemainnya dengan latihan mendengar sebanyak yang ditumpukan dalam mempertingkatkan ketahanan mereka.

"Kami melakukan banyak latihan mendengar. Permainan ini amat bergantung pada pendengaran sehingga ia biasanya dimainkan dalam keadaan yang senyap. Sehingga penonton pun dikehendaki tidak membuat bising. Mereka hanya boleh bersorak apabila bola di luar permainan atau selepas gol dijaringkan. Ini adalah untuk menghalang mereka daripada mengganggu pemain," tambah beliau.

Aapabila semakin banyak permainan dipertontonkan sepanjang hari, adalah jelas bahawa suasana yang senyap menjadikan persekitaran lebih kondusif. Walaupun stadium sarat dengan bunyi, kebanyakannya datang daripada jurulatih, pembantu atau penjaga gol. Kepada mereka yang belum mengenalinya, ia mungkin seperti jaringan bunyi biasa dalam pertandingan futsal tetapi bagi para peserta, setiap bunyi memberikan mereka satu set khusus isyarat-isyarat.

Pembantu membantu peserta mengagak kedudukan tiang gol. Jurulatih menyelaraskan pembentukan permainan para pemain, penjaga gol menyelaras pertahanan dan bola itu sendiri penuh dengan galas untuk mendedahkan pergerakannya. Pemandu, jurulatih dan penjaga gol tidak dibenarkan untuk memberi arahan di luar kawasan mereka yang telah diperuntukkan, iaitu bahagian sepertiga masing-masing di padang permainan.

Halangan yang adapun - yang digunakan terutamanya untuk menjaga bola dalam permainan - berperanan sebagai poket bunyi untuk pemain mengagak kedudukan mereka di atas padang. Bola dan bunyi sama-sama melantun daripada halangan ini, menjadikan pemain peka tentang hantaran bola atau kehadiran pemain lain.

Keajaiban otak

Hasil yang dipamerkan adalah sangat menakjubkan dan satu faktor utama yang menyumbang kepadanya ialah penggunaan neuroplasticity. Ikut kata mudah, neuroplasticity ditakrifkan sebagai perubahan di dalam otak yang memenuhi tabiat seseorang. Satu kajian terkenal yang menjelaskan tentang neuroplasticity menunjukkan bahawa pemandu teksi di London mempunyai hippocampi lebih besar dalam otak mereka berbanding penduduk umum. Hippocampus adalah sebahagian daripada otak yang memproses memori dan navigasi spatial.

Dalam perkembangan yang sama, para penyelidik Jerman mendapati bahawa orang buta memahami ucapan dua kali lebih cepat berbanding orang yang boleh melihat. Dalam kes ini, imbasan menunjukkan bahawa bahagian-bahagian yang biasanya digunakan untuk penglihatan sedang digunakan semula untuk mengendalikan tugas-tugas yang berkaitan dengan ucapan. Sudah tentu, ia juga bergantung kepada aktiviti-aktiviti yang dilakukan oleh orang itu apabila bersangkutan dengan evolusi otak.

Tetapi walaupun dengan deria yang peka, kemalangan berlaku juga dan perlanggaran kerap terjadi, terutamanya apabila berlari pada kelajuan tinggi. Walau bagaimanapun, terdapat langkah berjaga-jaga yang diambil untuk mengelakkan kemalangan ini, serta mewujudkan persekitaran yang selamat untuk para peserta.

Sebagai pendatang baru dalam sukan ini, Malaysia telah membangun dengan pesat, dan berharap untuk mengekalkan trend ini. "Ketika pertama kali bertanding pada tahun 2009, Iran menewaskan kita 8-0. Empat tahun selepas itu, mereka terpaksa bermatian-matian dalam kemenangan 2-0 ke atas kita. Ini menunjukkan bahawa kerja keras kita sudah mula berbaloi. Kami memberi tumpuan untuk menjadi yang terbaik di Asia. Selepas itu, kami merancang untuk mengambil bahagian dalam Piala Dunia, yang diadakan setiap empat tahun, "kata Sunny, penuh bersemangat.

Dia menyatakan bahawa dalam Sukan Paralimpik Asean, ranking pertama, kedua, dan ketiga masing-masing dipegang oleh Thailand, Malaysia dan Myanmar.

Kehidupan di luar dan di atas padang

Setiap pemain membawa pengalaman sendiri ke padang dan sebagai pemain akan mengakui, ia bukan satu sukan yang mudah untuk latihan. Azwan berkongsi: "Saya memang berminat bermain bola sepak. Saya menghadapi beberapa detik yang sukar dalam kehidupan dan futsal adalah satu cara melepaskan tekanan untuk saya. Dari satu segi, ia adalah cara saya mengingatkan diri sendiri bahawa saya boleh mengatasi sebarang halangan."

Azwan tidak dilahirkan buta. Dalam suatu kemalangan yang tidak dijangka, mata Azwan telah tercucuk, menyebabkan trauma dan kecederaan saraf yang tidak dapat dipulihkan, yang perlahan-lahan meragut penglihatannya Beliau mengakui bahawa tempoh penyesuaian itu merupakan masa yang sukar dalam hidupnya.

"Berkenaan sukan ini pula, saya terpaksa perlahan-lahan membiasakan diri mengemudi melalui bunyi. Ia mengambil masa dua tahun sebelum saya boleh mula berlari dengan bola. Sebelum itu, saya berasa kekok dan tidak dapat menggelecek bola serta menendang seperti yang lazim dilakukan dahulu. Tetapi saya terus berusaha, disamping latihan keras dan pada hari ini, saya boleh melakukan semuanya dengan selesa, "tambah beliau.

Seorang lagi pemain, Ahmad Hairul Amidi, berkongsi bahawa bermain dengan cemerlang dalam futsal orang buta membantu derianya lebih peka dalam situasi lain kehidupan. "Oleh kerana pendengaran saya telah dilatih sebegitu banyak untuk permainan, saya menyedari bahawa kemahiran ini mula membantu dalam aktiviti-aktiviti seharian yang lain juga. Saya rasa lebih sedar tentang persekitaran saya."

Menetapkan cita-cita untuk menjadi seorang pensyarah, Hairul mengimbangi waktu belajar dan latihan futsal, menghadkan masa untuk aktiviti-aktiviti lain. Dia berkata: "Sekarang, saya memberi tumpuan kepada dua perkara utama dalam hidup saya. Tentang latihan pula, kekurangan kemudahan yang terdapat di luar stadium menjadikannya sukar bagi saya untuk melakukan latihan futsal yang berkaitan, itulah sebabnya saya tumpukan perhatian kepada kecergasan am ketika latihan sendiri. " Kedua-dua pemain menggalakkan mereka yang cacat penglihatan untuk mencuba sukan itu. Ia mungkin kelihatan menakutkan pada mulanya, kata Hairul, tetapi memang seronok.

Juara yang berbeza

Kemudahan-kemudahan itu memerlukan masa dan usaha untuk menjadi kenyataan dan banyak pihak perlu bersama-sama membantu memacu perkembangan ini. Columbia Asia adalah salah satu kumpulan yang memperjuangkan pertumbuhan sukan paralimpik dalam negara. Ketua Pegawai Eksekutif Asia Tenggara kumpulan itu, Kelvin Tan, berkata bahawa rancangan awal adalah untuk mewujudkan kesedaran tentang manfaat kehidupan yang sihat. Beliau percaya bahawa hidup sihat perlu merangkumi aktiviti sukan dan itulah rancangan awal pembekal penjagaan kesihatan ini.

"Dalam proses itu, peluang terbuka bagi kami untuk menyokong pasukan Badminton Paralimpik dan Bola Sepak Orang Buta Kebangsaan. Kami mengambil peranan ini dengan serius. Sebagai satu-satunya kumpulan hospital di negara ini yang menyokong usaha tersebut, ia merupakan satu kebetulan dan kami gembira kerana diberi peluang untuk membantu mereka yang kurang upaya dan diharapkan mampu membuat perbezaan dalam kualiti usaha mereka yang bercita-cita menjadi juara dalam acuan mereka sendiri," katanya.

Cabaran

Tetapi menjana kesedaran di bidang yang tidak diketahui ramai ini terbukti suatu tugas yang sukar. Pucuk pangkalnya, faktor yang paling penting adalah menggalakkan penyertaan berterusan pemain supaya mendaftar. Bakat tempatan untuk sukan ini sukar didapati. Kejayaan awal sukan itu akan terbantut jika atlet baru tidak berminat dalam sukan tersebut.

Sumber-sumber seperti masa dan wang juga merupakan aspek penting dalam pembangunan, terutamanya untuk mewujudkan persekitaran yang sesuai untuk pemain berlatih. Seperti yang dinyatakan Hairul, pemain mendapati sukar berlatih khusus untuk sukan itu apabila di luar stadium. Ini adalah kesulitan yang besar kepada atlet yang ingin memperbaiki diri mereka sendiri.

Ketika diminta mengulas tentang keperluan sukan itu, Tan berkata bahawa sokongan yang lebih besar daripada media, institusi nasional dan rakan kongsi korporat adalah penting dalam meningkatkan tahap kemajuan.

"Mendapatkan media untuk melakukannya adalah satu cabaran. Majoriti media arus perdana sering keberatan untuk meliputi topik berkenaan sukan paralimpik. Tanpa sokongan daripada media, penulis blog dan media sosial, tidak akan ada keterlihatan, jadi kami berharap untuk menjana lebih kesedaran melalui saluran ini. " Tan menambah orang ramai perlu menunjukkan kepercayaan bahawa mencapai kecemerlangan adalah milik yang upaya dan juga kurang upaya.

Sunny menggesa lebih ramai sukarelawan mengambil bahagian dalam acara-acara ini. "Walaupun sokongan kewangan adalah penting, sumbangan tidak semestinya semua berbentuk wang. Terdapat juga keperluan membantu membawa air, persediaan semasa pertandingan, membawa pemain, menyokong permainan dan membantu menjana kesedaran, semua ini memainkan peranan yang sama penting dalam sumbangan terhadap sukan itu. "

Semangat waja atlet ini ditambah pula dengan sifat tidak mementingkan diri daripada pihak yang terlibat bertindak sebagai peringatan untuk kita terus berusaha mencapai matlamat dan mengambil risiko. Tetapi mungkin pelajaran yang lebih penting ialah kita perlu mengambil masa untuk menghargai perkara-perkara yang ada dalam kehidupan dan berusaha menghadapi sebarang cabaran yang mendatang.

Peraturan

• Futsal orang buta dimainkan dengan bola yang mengandungi galas supaya pemain dapat mengesan kedudukannya.

• Sukan ini dibahagikan ke dalam tiga kategori: B1, B2, dan B3. B1 meliputi pemain yang buta sepenuhnya, sementara gred B2 dan B3 berbeza tahap kebutaan.

• Permainan ini dimainkan dengan empat pemain bagi setiap pasukan, tidak termasuk penjaga gol.

• Penjaga gol boleh melihat, dan terhad kepada ruang kecil di antara tiang gol.

• Pemain B1 dikehendaki memakai penutup mata.

• Pemain tanpa bola dikehendaki menjerit "voy" apabila berhampiran bola. Ini supaya pemain yang memiliki bola boleh berhati-hati daripada berlanggar.

• Jurulatih berada di tengah-tengah padang di bangku pemain pengganti.

• Pemandu dibenarkan berdiri di belakang tiang gol pasukan lawan.

• Penjaga gol memberi panduan kepada pemain pertahanan, tetapi mereka hanya boleh berbuat demikian di dalam kawasan yang diperuntukkan.

• Satu sistem makluman awam adalah penting dalam sukan ini, membolehkan pemain tahu perkembangan permainan seperti penggantian, foul dan time-out.

• Penonton dan orang ramai dinasihatkan senyap untuk mengelakkan mengganggu isyarat pendengaran pemain.

Kejohanan dunia

Futsal orang buta juga dimainkan di peringkat antarabangsa, dengan Kejohanan IBSA (Persatuan Sukan Antarabangsa Orang Buta) Futsal Orang Buta Dunia melihat pasukan seperti Korea, Jepun, Greece, dan Colombia bersaing untuk tempat teratas.

Berikut adalah pertandingan yang telah diadakan setakat ini:

Tahun, Pemenang, Tempat Pertandingan

1998, Brazil, Brazil

2000, Brazil, Sepanyol

2002, Argentina, Brazil

2006, Argentina, Argentina