Saturday, 14 June 2014

Islam yang seragam? Lupakanlah!

Rencana asal "A monolithic Islam? Forget about it! " oleh Ro Waseem, bertarikh 13 Jun 2014 terbit di quranalyzeit



Kadang-kadang, orang di sekeliling merisaukan saya. Mengapa orang sering menghukum, saya sering tertanya-tanya diri sendiri? Mungkin, kerana hati yang sering menghukum tidak mempunyai pertimbangan jiwa. Saya rasa itu sahaja. Ya, kurang muhasabah!

Salah satu trend paling merisaukan yang saya lihat dalam masyarakat Islam adalah betapa banyaknya rasa benci dan syak wasangka terhadap orang Islam yang mengamalkan pendekatan dan tafsiran yang berbeza tentang Islam. Seiring dengan ideologi Takfiri yang semakin meningkat, hampir setiap orang Islam menganggap dirinya sebagai "mengikut jalan yang benar" dan yang lain-lain, walaupun mereka berbeza pendapat tentang isu-isu kecil, sebagai "terpedaya oleh syaitan" atau "Fitnah", banyak menghalang kehidupan bersama dan saling menghormati di kalangan umat Islam. Oleh kerana itulah sikap berpuak-puak, yang amat tidak digalakkan dalam Al-Quran, telah menyebabkan masyarakat Islam tidak stabil dari dalam kelompoknya sendiri, dan akibatnya setiap kumpulan gembira dengan versi mereka sambil memandang rendah terhadap yang lain.

Kita mesti sedar bahawa Islam bukanlah bentuk yang sama kepada semua, dan adalah mustahil untuk hampir 2 bilion umat Islam berkongsi tafsiran yang sama tentangnya. Saya berpandangan tidak ada Islam "benar". Sebaliknya, kita menghayati Islam. Kemungkinan terbaik, Islam yang "benar", pada pendapat saya, adalah berkaitan dengan seseorang itu dan merupakan tafsiran yang membolehkan anda membesar dan berkembang secara paling baik sebagai seorang manusia, dengan syarat - satu perkara penting yang perlu diingat - teras Al-Quran tidak diubahsuai. Al-Quran menekankan hal ini berdasarkan ayat-ayat berikut:

….”Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya (pada segi hukum ugama); mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna.” Al-Quran, 39:18

….."Dan turutlah - Al-Quran - sebaik-baik. (panduan hidup) yang diturunkan kepada kamu dari Tuhan kamu, sebelum kamu didatangi azab secara mengejut, sedang kamu tidak menyedarinya.” Al-Quran 39:55

Ayat-ayat ini, yang pasti menuntut perhatian dan pemikiran yang lebih daripada umat Islam arus perdana; bercakap menentang Islam yang seragam, diinstitusikan oleh kerana pembaca diminta mengikuti yang "terbaik" dari apa yang telah diwahyukan. Jika sepatutnya terdapat hanya satu "tafsiran rasmi", tidak ada gunanya meminta kita mengikut yang terbaik di dalamnya. Lagipun, bagaimana anda mengikuti yang terbaik daripada apa yang sudahpun terbaik?

Kebanyakan orang tidak menyedari hal ini, tetapi Al-Quran itu sendiri bercakap tentang kejamakan laluan menuju Islam:

….Dengan (Al-Quran) itu Allah menunjukkan jalan-jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredaanNya, dan (dengannya) Tuhan keluarkan mereka dari gelap-gelita (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang-benderang, dengan izinNya; dan (dengannya juga) Tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus. Al-Quran 5:16

Ini adalah kerana Tuhan mengakui kepelbagaian kita, menyatakannya sebagai satu daripada tanda-tanda-Nya (30:22); dan tidak seperti para ulama, tidak mahu kita semua menjadi robot yang serupa.

Menggabungkan semua perkara ini bersama-sama, Al-Quran memberikan penafian yang komprehensif kepada idea bahawa terdapat satu Islam yang "benar" yang sepatutnya dikongsi bersama oleh semua penganutnya

Mengurus perbezaan

Sememangnya, apabila kita bercakap tentang hampir 2 bilion orang Islam, akan terdapat perbezaan teologi. Walau bagaimanapun, apa yang penting, adalah bagaimana kita menangani perbezaan ini. Kita mungkin mempunyai perbezaan pendapat intelektual dalam pemikiran Islam yang pelbagai, tetapi kita seharusnya tidak memupuk kebencian terhadap kepelbagaian ini. Sama ada kita boleh mengakui perbezaan kita dan menerimanya untuk kebaikan bersama, menumpukan perhatian kepada nilai-nilai asas yang diajar Islam kepada kita, atau kita boleh terus dengan ideologi "cara saya atau nyah kamu dari sini" yang merupakan punca utama sikap berpuak-puak, sekali lagi - yang amat tidak digalakkan dalam Al-Quran.

Tidak jujur dan benar kepada diri kita sendiri, saya percaya, adalah punca sikap berpuak-puak. Kita mengutuk orang lain kerana pandangan mereka, menyedari sepenuhnya bahawa ada masanya apabila kita, diri kita sendiri, tidak tahu apa yang kita tahu hari ini. Masalahnya, adalah kita terlalu kritikal tentang orang lain, dan agak pasif berkaitan diri kita sendiri, walhal seharusnya diterbalikkan! Kita cepat menghukum orang lain kerana kita hanya melihat sesuatu perkara dari satu perspektif- iaitu perspektif kita -yang terhad dan berat sebelah. Kita tidak cuba menganalisis sebab-sebab mengapa orang itu begitu kerana itu adalah satu tugas yang sukar, yang memerlukan usaha dan fikiran yang terbuka.

Pada masa ini, ada orang yang mempunyai idea pelik bahawa berterus-terang samalah seperti menjadi provokatif, menghina, dan merendahkan martabat orang lain. Sesetengah orang, yang gemar menganggap diri mereka sebagai suka "berterus-terang" percaya yang bercakap "benar" kepada orang yang berbeza pandangan tidak memerlukan anda bersikap sopan, memahami, dan munasabah. Tidak, ciri-ciri ini dilihat sebagai cubaan "menggula" atau menjadi "diplomatik" (seolah-olah itu adalah satu perkara yang tidak baik). Nah, cuba teka? Walaupun anda betul, tidak ada siapa yang akan ingin mendengar dengan ikhlas jika anda dilihat meninggi diri dan memandang rendah terhadap orang lain. Tidakkah itu membatalkan seluruh tujuan dialog? Jika anda begitu berminat hendak menyebarkan kebenaran yang anda yakini, janganlah bermula hanya untuk menjulang ego sendiri dan membodohkan orang lain. Akhirnya, anda hanya memperbodohkan diri sendiri!

Terdapat beberapa etika dialog, dan Al-Quran menjelaskannya dengan amat baik:

….Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk. Al-Quran 16:125

Socrates pernah berkata, "Apabila kalah perdebatan, fitnah menjadi alat yang kalah." Dalam erti kata lain, apabila tidak ada titik intelektual yang tinggal untuk diketengahkan, orang mengambil jalan keluar dengan serangan ad-hominem untuk memberi gambaran lebih unggul. Sekali lagi, kita mesti mengingatkan diri kita tujuan Islam. Ia bukan untuk memandang rendah terhadap orang lain, tetapi untuk membimbing diri ke tahap yang lebih tinggi. Ia bukan untuk mengkritik orang lain, tetapi yang utama diri sendiri. Islam cuba menundukkan ego, bukan untuk membesar-besarkannya. Malahan, Al-Quran berkali-kali mengingatkan pembacanya bahawa dia tidak dihantar sebagai “pengawal” atau “pemerhati” ke atas orang lain (6:107, 88:22). Kenapa fokus tidak kepada diri sendiri tetapi pada orang lain?

Kesimpulan

Walaupun beransur-ansur, saya sedar sepanjang perjalanan sebagai seorang Islam bahawa terdapat banyak laluan rohani yang membawa kepada destinasi yang sama: keamanan dan ketenangan.

Hanya kerana saya tidak bersetuju dengan X dan Y dalam beberapa perkara, tidak bermakna saya menolak perjalanan rohani mereka sebagai "tidak sah", atau saya mula memanggil mereka dengan label menghina yang lain. Apa yang penting, sebaliknya, adalah anda terus melangkah melalui laluan yang telah anda pilih untuk diri sendiri, maju dengan setiap langkah. Pertumbuhan harus menjadi keutamaan, bukan cara mana anda berkembang. Ya, kita semua boleh membantu dalam membetulkan antara satu sama lain dengan berdialog mengenai pelbagai aspek teologi dan rohani, tetapi orang yang benar-benar membuang masa hanyalah dia yang tidak mahu bergerak, tetapi menyekat jalan orang lain; menyatakan yang lain telah mengambil jalan yang salah.

Al-Quran menyatakannya dengan begitu indah:

…..Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya; oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. Al-Quran 2:148





Islam yang seragam? Lupakanlah!

Islam yang inklusif dan majmuk? Ya! Dan lebih banyak sudut pandangan Islam akan menyerlah kepada anda dengan cara itu!


Friday, 13 June 2014

Janganlah buat andaian saya bekerja secara percuma

Rencana asal "Don't expect me to work for free" oleh Carly Findlay, bertarikh 10 Jun 2014 terbit di abc.net.au



Orang kurang upaya sering diminta bersama di dalam sesebuah jawatankuasa, memberi sumbangan kepada projek-projek dan menceritakan tentang kisah hidup kita. Tetapi, seperti yang ditulis Carly Findlay, jarang sekali yang mahu membayar untuk masa yang telah diambil oleh kita.

Saya percaya ada perasaan saling merasai di antara masyarakat yang pelbagai, walaupun perbezaan kita tidak sama. Saya dapati diri saya mengangguk-angguk bersetuju apabila mendengar cerita-cerita daripada rakan-rakan Orang Asli juga yang gay dan lesbian.

Pada bulan Mac saya mendengar kawan saya Anita Heiss berucap di pelancaran bukunya. Dia seorang pengarang Orang Asli, bijak, menarik dan menawan. Banyak yang dikatakannya dapat saya rasakan sama.

Anita bercakap tentang minda 'bekerja secara percuma' yang mengarah ke masyarakat yang pelbagai. "Semua orang mahukan orang Asli melakukan sesuatu, tetapi mereka tidak dihargai di pasaran," katanya.

Anita menceritakan tentang bagaimana dia telah diminta untuk bercakap pada suatu majlis awam. Beliau menghantar invois, tetapi penganjur meminta jumlahnya dikurangkan kerana mereka telahpun menderma kepada badan amal. "Saya mengusahakan satu perniagaan kecil, bukannya badan amal," katanya, dan memberitahu mereka dia akan menderma wang kepada badan amal jika kakitangan organisasi melakukan perkara yang sama. Para peserta menarik nafas terkejut.

Saya dapati ini berlaku juga kepada orang kurang upaya. Komitmen untuk melibatkan orang kurang upaya sering dibuat tanpa bayaran, inipun tidak mengambil kira bahawa kita perlu mengambil masa dari pekerjaan tetap atau sukarela sendiri untuk memberi nasihat percuma ini. Seolah-olah seperti kita diberikan peluang tanpa bayaran ini sebagai tanda inklusif, atau lebih teruk lagi, bahawa kelayakan, pendapat dan pengalaman kita tidak mempunyai nilai dari segi wang ringgit.

Nampaknya ada yang percaya bahawa kita harus bersyukur untuk peluang yang diberi, bahawa sekurang-kurangnya ia sesuatu untuk kita lakukan. Saya rasa ada satu pemikiran bahawa kerana kita mendidik secara kebetulan dalam kehidupan, kita tidak keberatan mendidik penonton yang lebih besar dengan bayaran yang rendah atau secara percuma.

Lawrence Carter Long, jurucakap tentang hak-hak orang kurang upaya Amerika, berkata "Jika anda menghargai wawasan dan kemahiran orang itu, cara terbaik menunjukkan penghargaan adalah membayar untuk apa yang anda sedang belajar. Mengubah dunia tidak perlu dengan bersumpah kekal miskin. Saya bukannya badan bukan keuntungan atau NGO. Hakikatnya? Jika anda menghargai apa yang saya beri kepada anda, maka bayarlah saya. Jika anda tidak mahu, maka itu petunjuk yang jelas tentang apa yang anda fikir tentang nilai masyarakat kita. "

Baru-baru ini saya menjadi perunding kepada dua organisasi secara percuma – memberi mereka maklumat secara langsung tentang hidup dengan pemandangan yang berbeza. Saya menghabiskan masa lima jam di satu organisasi dan tiga jam di organisasi yang kedua. Saya mengambil cuti dari kerja harian saya untuk melakukan kerja ini. Saya menerima makanan ringan dan minuman dari setiap satu organisasi, dan tambang teksi, tetapi tiada pembayaran.

Bukannya saya tidak bersyukur. Saya mempunyai pekerjaan sepenuh masa dengan gaji yang baik. Pendapatan saya adalah daripada penulisan bebas dan ceramah awam, juga mengajar. Saya juga bekerja secara percuma untuk badan amal dan sekolah. Saya pernah berucap di majlis-majlis di mana saya telah menderma bayaran penceramah yang diterima untuk perkara-perkara yang saya percayai. Saya telah meluangkan masa untuk projek filem tentang pendermaan organ. Saya berkerja secara sukarela di hospital memberi bimbingan kepada anak-anak muda. Saya menulis tanpa bayaran untuk blogger lain dan majalah dalam talian yang khusus. Dan saya bangga dan komited menyokong inisiatif seperti ini.

Tetapi apabila saya menjadi perunding untuk sesebuah organisasi swasta atau awam, saya mengharapkan bayaran. Jika sebuah syarikat meminta nasihat saya tentang kecacatan, terutama sekali apabila mereka biasanya akan membayar perunding untuk perkhidmatan tersebut, tentulah saya berharap akan dibayar. Begitu juga, jika sebuah penerbitan atau organisasi meminta saya menulis untuk mereka secara percuma walhal mereka membayar kakitangan sendiri untuk menulis, dan jika itu menjana pendapatan, sayapun mahu dibayar. Saya juga ingin pautan kembali ke blog saya - terutamanya jika saya telah melakukan kerja secara percuma.

Jax Jacki Brown, seorang aktivis orang kurang upaya berpendidikan tinggi dan berpengalaman hidup dalam alam itu, bersetuju. "Terdapat andaian bahawa orang kurang upaya tidak mempunyai hidup yang sibuk dan kita harus bersyukur dengan apa-apa peluang untuk mendidik berhubung isu-isu ini. Walaupun memang saya bersyukur, dan saya serius tentang kerja pendidikan yang dilakukan, ia mengambil masa, perjalanan dan wang saya untuk melakukannya, "kata beliau.

Saya percaya kerja-kerja yang dilakukan oleh orang seperti saya dan Jax dalam mendidik masyarakat adalah penting dalam usaha perubahan dan meningkatkan akses dan rasa bersama, dan ia selayaknya menerima pampasan. Kerja kami tidaklah diberikan secara percuma.

Carly Findlay ialah seorang penulis, penceramah dan aktivis. Blognya adalah di carlyfindlay.blogspot.com dan bertweet dengan nama @carlyfindlay

Wednesday, 11 June 2014

Surat terbuka kepada PM berhubung kewarganegaraan untuk kanak-kanak tanpa taraf kerakyatan yang telah menjadi anak angkat rakyat Malaysia

Rencana asal "Open letter to the PM on citizenship for stateless children adopted by Malaysians" oleh Kim Tiruchelvam, bertarikh 11 Jun 2014 terbit di akhbar themalaymailonline



Ke hadapan Perdana Menteri yang dihormati

Semalam saya menerima sepucuk surat daripada Kementerian Dalam Negeri, menolak permohonan kewarganegaraan. anak perempuan saya. Apa yang paling membingungkan dan mengecewakan adalah kerana permohonan kami yang dikemukakan dua tahun yang lalu kepada KDN, adalah juga atas arahan KDN. Malahan pegawai anda membantu kami mengisi borang permohonan!

Pada bulan Mac 2010, kami telah ditanya sama ada ingin menimbangkan mengambil seorang kanak-kanak pelarian sebagai anak angkat, yang telah ditinggalkan di hospital Kuantan dan berada di bawah jagaan JKM. Sedar bahawa kanak-kanak ini tidak mempunyai taraf kerakyatan dan oleh kerana kedua-dua kami datang dari latar belakang undang-undang, kami tahu bahawa ia bukanlah perjalanan yang mudah. Jika difikir kembali, kewarganegaraan di Malaysia adalah menurut budi bicara mutlak Menteri Dalam Negeri. Namun begitu, kami meneruskan niat, kerana merasakan kami berada pada kedudukan yang lebih baik daripada kebanyakan ibu bapa untuk menangani cabaran masa hadapan. Dan kami tidak menyesal. Anak kami Alaani, ialah anak yang cantik, yang tidak lama lagi akan menyambut ulang tahun keempatnya.

Walau bagaimanapun, pada hari ini apabila ditanya jika saya akan mempertimbangkan mengambil seorang lagi kanak-kanak tanpa taraf kerakyatan sebagai anak angkat, jawapan saya adalah "tidak." Ini kerana di Malaysia - walaupun kedua-dua ibu bapa merupakan rakyat Malaysia - tidak ada proses yang jelas atau tempoh masa tertentu yang membawa kepada taraf kewarganegaraan, apabila ia bersangku-paut dengan anak angkat anda.

Kami adalah sebahagian daripada sekumpulan ibu bapa Malaysia dari pelbagai lapisan masyarakat, yang telah meringankan beban sistem kebajikan Kerajaan dan memikul tanggungjawab yang mencabar apabila dengan sengaja memelihara dan menjaga kanak-kanak tanpa taraf kerakyatan. Berikutan laporan media tentang pengambilan anak angkat secara haram, kami telah melakukan segala-galanya menurut undang-undang.

Apabila kami mula-mula diraikan dalam majlis pertemuan anjuran JPM dan KDN di Putrajaya pada tahun 2011, apa yang mengagumkan saya adalah hakikat bahawa kumpulan ibu bapa ini datang dari semua kaum dan lapisan masyarakat. Ada pegawai tentera, penoreh getah, pastor, pekerja sosial, pembantu rumah dan peguam. Diketuai oleh Dr Hartini Zainudin dari Yayasan Nur-es-salam, kami telah dijanjikan bahawa agensi-agensi Kerajaan yang berkaitan akan membantu menyelesaikan isu-isu sijil kelahiran, pengambilan anak dan proses kewarganegaraan.

Namun begitu saya terpaksa empat kali ke Putrajaya sebelum akhirnya berjaya mendapatkan sijil kelahiran merah Alaani pada tahun 2012. Setelah kami menerima sijil kelahiran, kami sekali lagi bertemu dengan pegawai-pegawai KDN untuk mengisi permohonan kewarganegaraan, dan diberitahu hendaklah dikemukakan sebelum mereka akan membantu kami dengan proses penerimaan anak angkat secara rasmi.

Tahun lepas, kami membuat keputusan akan menggunakan Mahkamah untuk proses pengambilan anak angkat. Ia mengambil masa hanya tiga bulan untuk JKM dan mahkamah meluluskan perintah itu dan kami tertanya-tanya bahawa walaupun kami berpendidikan, mengapa tidak melakukan ini semua lebih awal.

Selepas dua tahun menunggu permohonan kewarganegaraan untuk diproses, kami menerima surat penolakan ini semalam. Ketika membacanya, saya tertanya-tanya jika pegawai yang berkuasa mempunyai sebarang rasa tanggungjawab moral tentang kesannya terhadap kehidupan orang lain apabila keputusan sewenang-wenangnya telah dibuat. Adakah orang ini mempunyai anak? Adakah orang ini sedar sebagai contoh bahawa apabila membawa anak saya ke Taman Burung saya perlu membayar yuran asing bagi beliau kerana dia tidak mempunyai MyKid? Atau bahawa setiap kali kami ke luar negara, ibu bapa saya yang hampir menyentuh umur 80-an perlu datang dan menjaga Alaani kerana dia tidak mempunyai pasport dan tidak boleh bersama-sama kami? Sehinggalah beliau menerima sijil kelahirannya, kami tidak boleh terbang ke sesuatu destinasi, jadi kami memandu ke semua destinasi percutian tempatan. Namun begitu ia adalah "Cuti-cuti" Semenanjung Malaysia sahaja, kerana dia memerlukan MyKid untuk ke Sabah dan Sarawak. Apa yang akan berlaku apabila kami perlu mencari sekolah untuk dia?

Tuan Perdana Menteri, adakah adil apabila dua orang ibu bapa warga Malaysia, yang telah melalui jentera dan proses kerajaan menurut undang-undang , diberitahu bahawa permohonan anak mereka untuk kewarganegaraan tidak berjaya, tanpa apa-apa penjelasan diberi? Dan apalah yang difikirkan oleh pegawai yang berkuasa apabila menamatkan suratnya dengan ... "jika tuan masih berminat, tuan boleh mengemukakan permohonan yang baru ...." Bolehkah dipakai"Jika"?

Saya berharap Tuan Perdana Menteri akan meneliti perkara ini dan mengambil tindakan yang betul.

Yang mati milik siapa

Rencana asal "Who do the dead belong to" oleh Erna Mahyuni, bertarikh 11 Jun 2014 terbit di akhbar themalaymailonline

Hanya di Malaysia: Pihak berkuasa agama tidak ragu-ragu menyerbu upacara perkahwinan atau pengebumian anda. Mereka yang melantik diri sendiri sebagai pemelihara jiwa kita, seolah-olah percaya bahawa adalah tugas Tuhan menjaga golongan miskin, tua dan lemah manakala tugas mereka adalah untuk memastikan bahawa orang ramai tidak berkahwin atau dikebumikan tanpa kelulusan daripada mereka..

Sekarang saya akan melangkah ke wilayah teologi yang penuh liku. Adakah pihak berkuasa agama lebih berhak ke atas mayat seseorang daripada, katakanlah, keluarga si mati? Adakah Tuhan benar-benar menghantar anda ke neraka jika badan anda tidak dikebumikan mengikut cara yang "betul" atau "teologi yang diutamakan"?

Pengebumian bukan untuk orang mati. Pengebumian adalah untuk yang hidup. Pengebumian adalah untuk yang hidup meratapi mereka yang telah meninggal pada; untuk bersedih, untuk mengingati dan mengucapkan selamat tinggal kepada orang yang disayangi.

Apa yang saya percaya? Tidak ada badan agama yang berhak merampas mayat atau melupuskannya, kecuali si mati telah meninggalkan arahan khusus untuk dikebumikan dengan cara yang tertentu.

Tidak ada pihak berkuasa agama yang lebih utama daripada kehendak keluarga. Tetapi itulah masalahnya dengan pihak berkuasa agama kita – percaya penuh bersemangat dan berapi-api bahawa mereka sedang melaksanakan kerja-kerja Tuhan, bahawa apa yang mereka lakukan direstui Tuhan.

Hakikatnya, kita tidak akan benar-benar tahu.

Anda tidak akan benar-benar tahu jika Tuhan memang wujud sehinggalah anda mati nanti. Anda tidak boleh 100 peratus yakin bahawa anda melakukan perkara yang betul di sisi Tuhan tanpa restuNya.

Iman termasuk di dalam ruang kepercayaan. Apa yang anda percaya mungkin benar atau tidak dan apa yang anda percayai tentang sesuatu tidak menjadikannya benar.

Saya cadangkan pihak berkuasa agama secara sukarela pergi ke syurga dan bertanya pada Tuhan jika apa yang mereka lakukan mendapat persetujuan-Nya.

Itu tak mungkin? Benar? Kalau dilihat cara mereka bertindak, anda akan beranggapan mereka mempunyai talian terus dengan Tuhan

Saya tidak bermasalah dengan Tuhan. Saya bermasalah dengan orang yang menggunakan namanya menyebabkan penderitaan, memisahkan ahli keluarga, menghalang perkahwinan dan mencuri mayat.

Pada masa yang sama, kejadian merampas mayat dan menyerbu perkahwinan ini adalah berbahaya bukanlah kerana secara terang-terangan terserlah kurangnya belas kasihan dan penyalahgunaan kuasa yang melampau.

Salah satu pembohongan paling besar di Malaysia ialah agama dan bangsa minoriti dilindungi. Di bawah Perlembagaan, memang benar. Tetapi di mata pihak berkuasa agama kita, tidak ada Perlembagaan kecuali yang ada di hati (mungkin tidak ada langsung) mereka.

Marilah kita menjadi penjaga kepercayaan kita sendiri, yang kita pegang dalam hati kita sendiri.

Wang cukai kita tidak sepatutnya untuk membayar orang menjadi polis kepada jiwa kita.

Saturday, 7 June 2014

Bisnis dengan tujuan yang lebih murni

Rencana asal "Business with a higher cause" oleh Lim Wing Hooi bertarikh 5 Jun 2014 terbit di akhbar thestar

Syarikat cuba memperkembangkan penggunaan anjing pemandu untuk mereka yang cacat penglihatan.

Adalah dipercayai bahawa ketika zaman ais lebih kurang 19,000 ke 32,000 tahun dulu, manusia telah membuat hubungan yang berkekalan dengan serigala. Serigala tadi melalui proses evolusi menjadi anjing yang jinak pada hari ini.

Semenjak itu, anjing merupakan teman kita di dalam pelbagai kegiatan termasuklah ketika berperang. Penggunaan terawal anjing untuk peperangan yang diketahui adalah pada 600SM dan digunakan oleh “Attila the Hun” dan juga “Frederick the Great”. Malahan anjing telah digunakan oleh Kesatuan Soviet dalam Peperangan Dunia ke Dua untuk menentang kereta kebal Jerman yang menyerang negara mereka.

Dalam waktu terdekat, ketua-ketua sindiket dadah Colombia telah menawarkan US10,000 kepada sesiapa yang berjaya membunuh seekor anjing polis Colombia yang merosakkan perniagaan mereka.

Selain daripada berkhidmat dalam tentera, anjing juga dilatih menjadi anjing pemandu untuk membantu anggota tentera yang buta dalam Perang Dunia I. Inilah sebab kenapa sekolah latihan anjing pemandu yang pertama telah ditubuhkan di Jerman.

Di dalam negara, Stevens Chan Kum Fai, pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Dialogue in the Dark (DiD) Sdn Bhd dan Save Ones Sight Mission Bhd (SOSM), memperkenalkan anjing pemandu pertama di Malaysia, bernama LaShawn Chan, sebagai sebahagian daripada Kempen Anjing Untuk Penglihatan (Dogs For Sight Campaign).

"Saya berharap, dengan anjing pemandu, mereka yang cacat penglihatan lebih berdikari dalam pergerakan mereka, dan menikmati kehidupan yang lebih baik,” dia memberitahu Metrobiz.

LaShawn, Labrador jantan berkulit kuning air, telah dibawa ke Malaysia, pada awal Mei. Anjing itu adalah sebahagian daripada memorandum persefahaman yang ditandatangani di antara sebuah organisasi yang bukan membuat keuntungan, SOSM dengan Akademi Polis Nanjing China.

Cahaya harapan

Chan, bekas perunding perniagaan bagi syarikat-syarikat jualan langsung tempatan dan luar negara, mengambil keputusan memulakan perusahaan sosial yang memperjuangkan keperluan mereka yang cacat penglihatan selepas dia kehilangan penglihatannya pada tahun 2007 akibat glaukoma.

Beliau memulakan Dialogue In The Dark, pertubuhan bukan membuat keuntungan yang menjalankan pameran dan bengkel perniagaan untuk membantu orang buta mencari pekerjaan pada akhir 2012 selepas memperolehi hak pelesenan dari Dialogue Social Enterprise, Jerman.

"Ia adalah kepingan jigsaw terakhir menyokong kepentingan kesihatan mata untuk mencegah kejadian buta yang tidak perlu di kalangan rakyat Malaysia," kata Chan tentang anjing pemandu.

Memetik statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia, Chan berkata, setakat Oktober 2013, 80% daripada 285 juta kes cacat penglihatan di seluruh dunia boleh dielakkan jika kesedaran mengenai pelbagai jenis gangguan mata dan pemeriksaan mata lebih baik

Beliau berkata ramai orang mempunyai sikap endah tak endah terhadap kesihatan mata.

"Saya mencari idea mengadakan pameran untuk mewujudkan kesedaran tentang penglihatan. Saya telah mencari maklumat dan terjumpa DiD, yang kemudiannya menjemput saya ke Itali untuk satu persidangan. Selebihnya adalah sejarah, "katanya.

Dengan RM180, 000, jumlah yang dipinjam daripada rakan kongsi perniagaannya, Chan menubuhkan sebuah syarikat dan memperoleh francais untuk latihan korporat.

"Kami mengendalikan pembangunan berpasukan di dalam gelap. Ini memberikan perspektif baru dalam komunikasi di kalangan peserta, "katanya.

Selepas itu, beliau bertemu dengan seorang dermawan tempatan yang memberi pinjaman sebanyak RM200, 000 bagi syarikat itu membayar yuran francais ditambah dengan pengubahsuaian yang diperlukan untuk menyediakan satu pameran "perjalanan pengalaman" di kawasan seluas 5,000 kaki persegi di Pusat Petrosains di KLCC.

Pameran ini mempunyai pemandu yang buta membawa kumpulan pelawat melalui bilik gelap untuk mengalami apa yang dirasakan oleh mereka yang buta.

Para pelawat, dalam kumpulan sehingga lapan orang, diberi taklimat dan diperkenalkan kepada penggunaan tongkat sebelum memulakan perjalanan mereka dalam kegelapan.

Diiringi pemandu, pengunjung menghabiskan masa di antara 45 dan 60 minit meneroka galeri gelap, replika persekitaran harian seperti pasar, taman, atau kafe.

Beliau memberitahu bahawa di seluruh dunia, lebih daripada tujuh juta pelawat telah mengambil bahagian dalam perjalanan seperti itu dalam tempoh 25 tahun yang lalu.

Lebih daripada 6,000 rakyat Malaysia telah berpeluang merasai pengalaman berjalan dalam gelap sejak pameran DiD yang pertama diadakan pada Disember 2013.

"Mendengar pengunjung berkata mereka tidak akan mengambil enteng mata mereka selepas melalui pengalaman itu membuat kerja-kerja kami berbaloi," katanya.

Dengan kejayaan tersebut, syarikat itu akan berpindah ke pusat membeli-belah Jaya One, menyewa ruang seluas 7,000 kaki persegi. Sebagai sebuah perusahaan sosial, ia juga memberi tumpuan terhadap isu menangani halangan sosial dan ekonomi yang dialami oleh golongan cacat penglihatan.

"Melalui DiD, kita mengambil khidmat, membolehkan dan memberi kuasa kepada mereka yang cacat penglihatan untuk menyumbang kepada masyarakat," katanya.

Tujuan yang baik

Bagi tahun pertama, mereka melaporkan pendapatan sebanyak RM500, 000, yang mampu mengekalkan kerja-kerja komuniti mereka yang dirancang untuk tahun ini.

Melangkah ke hadapan, mereka mahu meningkatkan hasil sebanyak 50% setiap tahun

Wang itu, selain membayar gaji 10 pekerja sepenuh masa dan separuh masa, disalurkan kepada kegiatan bermanfaat yang lain termasuk sebuah sekolah latihan anjing pemandu.

Sebagai sebahagian daripada Memorandum Persefahaman itu, beliau berkata akademi polis di China akan menyediakan sehingga lima anjing pemandu dalam jangka waktu tiga tahun.

"Mereka juga akan melatih jurulatih kami selama setahun di Nanjing," kata beliau sambil menambah yang ia akan menelan belanja sebanyak RM250, 000 untuk melatih anjing-anjing tadi. Anjing-anjing akan diberikan kepada mereka yang cacat penglihatan tanpa kos

"Anjing pemandu bertindak sebagai mata bagi mereka yang cacat penglihatan, yang juga perlu tahu berkenaan tanggungjawab yang terlibat dalam menjaga 'mata' mereka, yang ditekankan semasa latihan bagi kedua-dua anjing dan pemilik. Mempunyai anjing pemandu adalah sama seperti menjaga seorang anak, "katanya.

Selain daripada tanah dan modal yang diperlukan membina infrastruktur yang terlibat, beliau berkata jurulatih, doktor haiwan dan penternak juga dikehendaki.

"Cabaran yang sentiasa wujud adalah mencari dan memilih jurulatih yang sesuai. Mereka perlu dilatih oleh sekolah-sekolah anjing pemandu sekurang-kurangnya selama satu tahun sebelum boleh disahkan sebagai pelatih anjing pemandu, "katanya.

Anjing-anjing dilatih berhenti di lampu isyarat, simpang jalan dan lintasan zebra. Haiwan itu juga dilatih berhenti di tangga, eskalator dan lif untuk menunjukkan kepada pemilik apa yang ada di hadapan. Chan berkata, di China, anjing pemandu dilatih berjalan di kaki lima atau laluan pejalan kaki. Walau bagaimanapun, dia menyatakan terdapat cabaran menggunakan laluan pejalan kaki di sini kerana sebahagian daripadanya telah hilang penutup lubang dan mempunyai bahaya-bahaya lain.

"Kami sebaliknya merasakan adalah lebih selamat berjalan di atas jalan sampingan. Kami masih melatih LaShawn tentang bentuk rupa bumi di sini. Beliau juga sedang menyesuaikan diri dengan cuaca di Malaysia, "katanya.

Mensasarkan kejayaan dalam tempoh tiga tahun akan datang, Chan berkata, ada juga halangan kawal selia untuk diatasi. Beliau berkata agensi-agensi awam dan kerajaan yang terlibat perlu memahami bahawa anjing pemandu bukan haiwan kesayangan, ia adalah haiwan perkhidmatan untuk membantu mereka yang cacat penglihatan.

"Selain berbincang dengan pihak berkuasa yang berkaitan bagi meningkatkan akses untuk orang kurang upaya dan juga membenarkan anjing pemandu dan pemiliknya menggunakan pengangkutan awam dan kawasan awam, kami juga merancang pameran bergerak untuk mewujudkan kesedaran mengenai anjing pemandu," katanya.

Friday, 6 June 2014

Keganasan seksual dan hubungan jantina di Kelantan

Rencana asal "Sexual violence and gender relations in Kelantan" oleh Pauline Fan bertarikh 4 Jun 2014 terbit di themalaymailonline

Pada 20 Mei, seorang gadis berumur 15 tahun telah dirogol beramai-ramai diberitakan oleh sehingga 38 lelaki di sebuah rumah tertinggal di Ketereh, Kelantan. Laporan menyatakan bahawa mangsa telah diperdaya oleh seorang rakan perempuan untuk pergi ke Ketereh dari Kuala Krai yang terletak lebih kurang 30 kilometer jauhnya.

Apabila mangsa tiba, setelah memujuk seorang rakan lelaki membawanya menggunakan motosikal lelaki tadi, gadis itu dibawa ke sebuah rumah tertinggal di Kampung Huta Pasir, di mana sekumpulan lelaki memerangkap, merogol dan meliwat budak sekolah itu berjam-jam sehingga dia pengsan sementara rakan lelakinya dipaksa memerhatikan kejadian. Rakan perempuan mangsa juga mungkin telah dirogol. Kebanyakan atau mungkin kesemua perogol sedang khayal kesan pengambilan dadah dan ramai di antara mereka yang mempunyai hubungan keluarga, termasuklah seorang bapa dan dua orang anak lelakinya.

Kejadian dirogol beramai-ramai di Ketereh bukan sekadar satu tindakan kejam keganasan seksual, ia juga merupakan simptom status wanita dan hubungan jantina yang semakin meruncing di Kelantan. Melewati kengerian insiden tersebut, kes ini menimbulkan persoalan penting tentang perubahan sikap di antara jantina, dan juga hubungan antara kealiman agama dan sifat degil yang belum pernah berlaku yang melanda masyarakat Kelantan dan Malaysia secara keseluruhannya.

Walaupun kes rogol beramai-ramai ini amat mengejutkan, ia juga bukanlah perkara baru. Apa yang membimbangkan ialah kes rogol yang semakin meningkat di Kelantan sejak sekurang-kurangnya lima tahun yang lalu, dan banyak kes yang melibatkan kanak-kanak di bawah umur. Statistik menunjukkan bahawa Kelantan berulang kali menunjukkan kadar tertinggi kes rogol, penyalahgunaan dadah dan kes-kes HIV positif di negara ini

Pada 2012, Bernama melaporkan bahawa kes rogol di Kelantan telah meningkat setiap tahun. Dua ratus dua puluh lapan kes dilaporkan pada 2007, meningkat kepada 563 pada 2008 dan 656 pada 2010. Ini belum lagi mengambil kira kes yang tidak dilaporkan. Lebih teruk lagi, ramai mangsa adalah kanak-kanak berusia seawal 12 tahun.

Memandangkan kedudukan penting wanita dalam masyarakat tradisional Kelantan, kekerapan dan peningkatan kekejaman keganasan gender di negeri ini mendedahkan corak keruntuhan sosial yang amat tidak menyenangkan yang perlu diselidik dengan serius dan ditangani pada akar umbinya.

Wanita yang kuat dalam masyarakat tradisional

Pentingnya wanita di dalam masyarakat Kelantan tradisional ini terbukti daripada kehadiran wanita yang berkuasa dalam mitologi Kelantan dan juga ekonomi tempatan.

Landskap mitos Kelantan-Pattani dihuni tokoh-tokoh wanita, terutamanya permaisuri dan puteri yang merupakan pemerintah yang berkuasa dalam kerajaan mereka. Ratu legenda Kelantan, Che Siti Wan Kembang, dikatakan telah memerintah pada abad ke-14, terkenal dengan kecantikannya, kebijaksanaan dan kemahiran sebagai pahlawan. Dia dan anak angkat perempuannya Puteri Saadong - yang kemudian dinobatkan sebagai Raja Kelantan - juga dipercayai mempunyai kuasa mistik.

Terdapat juga legenda Empat Permaisuri Pattani - tiga saudara perempuan diraja bernama Raja Hijau (Hijau), Raja Biru (Biru) dan Raja Ungu (Ungu), yang memerintah kerajaan dari 1584-1635 dan telah digantikan oleh Raja Kuning (Kuning), puteri Raja Ungu. Pemerintahan Empat Permaisuri adalah era gemilang kestabilan dan kemakmuran Kerajaan Pattani

Siti Dewi - heroin tradisi Wayang Kulit Kelantan - adalah salah satu watak yang paling dikagumi dan dihargai, lebih digemari sebenarnya daripada suaminya yang besar kepala, Putera Seri Rama.

Di dunia nyata, peranan tradisional wanita di Kelantan adalah sebagai salah seorang yang berkuasa di rumah dan dalam bidang ekonomi. Semasa pelayaran ke Kelantan pada tahun 1837, Munsyi Abdullah memerhatikan bahawa wanita Kelantan menguasai perdagangan di pasaran dan menyentuh tentang kerajinan mereka. Malah pada hari ini, wanita lebih banyak menonjolkan diri dan kuasa berbanding lelaki di pasaran tempatan di Kelantan dan sering menguruskan perbelanjaan keluarga. Walau bagaimanapun, semangat waja wanita Kelantan itu sendiri seolah-olah semakin lama semakin kurang jelas di kalangan wanita muda yang telah melalui sistem sekolah dan persekitaran sosial pada masa ini.

Dalam bukunya, Visible Women in East Coast Malay Society: On the Reproduction of Gender in Ceremonial, School and Market (Scandinavian University Press, 1994), Prof. Ingrid Rudie melakar perubahan status dan peranan wanita di Kelantan, membandingkan penemuan kerja lapangan beliau pada 1986-88 dengan kajian awalnya yang dijalankan pada 1964-1965.

Rudie mendapati bahawa wanita Kelantan mempunyai kebebasan yang lebih besar, skop dan kuasa dalam rumahtangga dan kehidupan ekonomi pada tahun-tahun 1960-an, sedangkan di akhir 1980-an, kebangkitan semula Islam di seluruh Malaysia telah mempengaruhi dengan ketara peranan gender di Kelantan. Retorik nilai-nilai Islam menyaksikan pentakrifan semula secara beransur-ansur tentang tugas dan kedudukan wanita dalam keluarga - termasuk ketaatan kepada lelaki yang menjadi ketua dalam keluarganya.

Pandangan ini nampaknya sama dengan Prof Wazir Jahan Karim yang menegaskan dalam buku beliau, Women and Culture: Between Malay Adat and Islam (Westview Press, 1992), bahawa adat Melayu (undang-undang adat) memberi wanita satu saluran kebebasan dan penyertaan yang telah dilemahkan oleh kekuasaan ortodoks Islam di Malaysia dalam dekad kebelakangan ini.

Semua ini membuktikan penurunan secara keseluruhan status wanita sejak beberapa dekad yang lalu di Kelantan (dan juga bahagian-bahagian lain di negara ini), dan membataskan kuasa tradisional wanita dalam ruang awam dan swasta. Tidaklah perlu dinyatakan, penurunan dalam status wanita sering seiring dengan peningkatan dalam sikap gender yang secara tidak sengaja menyokong keganasan terhadap wanita, termasuk rogol

Bayang-bayang Puritanisme

Ramai yang menuding jari ke arah sistem pendidikan kita yang lemah sebagai punca kepada kejadian rogol beramai-ramai yang begitu kejam di Ketereh. Sementara itu beberapa pemimpin agama, termasuk Naib Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man, telah mencadangkan bahawa kes ini hanya membuktikan perlunya pelaksanaan undang-undang hudud.

Kedua-dua pandangan ini seolah-olah tidak memahami bahawa keganasan seksual yang semakin kerap di Kelantan dan tempat lain di Malaysia berakar umbi dalam dilema sosio-budaya-psikologi yang tidak mudah diselesaikan dengan pembaharuan dalam sistem luaran seperti pendidikan atau undang-undang.

Kecenderungan ke arah keganasan seksual seperti ini menyemarak dan semakin merebak di bawah bayang-bayang Puritanisme yang meresapi semua aspek kehidupan sosial di Kelantan. Penguatkuasaan fatwa yang, antara lain, menyeru pengasingan jantina di tempat-tempat awam, telah memburukkan nama tradisi budaya lama seperti Wayang Kulit dan Mak Yong, dan malahan cubaan melarang pendandan rambut wanita daripada melayan pelanggan lelaki, hanya berfungsi menekankan perbezaan di antara politik moral yang berpura-pura suci dengan dinamik kehidupan masyarakat sebenar.

Walaupun amalan agama di Kelantan sejak dahulu memang bersifat konservatif, ia juga wujud bersama-sama dengan nilai-nilai sosial tradisional dan pandangan dunia tempatan, di mana wanita memainkan peranan yang dominan dan sering dilihat dalam kehidupan masyarakat. Sebaliknya, kebangkitan Islam yang meningkat populariti dan pengaruhnya di Malaysia sejak akhir 1980-an telah diiringi dengan pendekatan Puritanisme baru yang menyisihkan kedua-dua wanita dan lelaki Kelantan daripada identiti budaya mereka dan jati diri sendiri.

Daripada pengalaman kerja bertahun-tahun yang rapat dengan tradisi budaya di Kelantan, saya perhatikan bahawa generasi lama rakyat Kelantan seolah-olah tidak terjejas oleh politik dan persekitaran Puritan berbanding generasi muda. Generasi orang Kelantan yang tua lebih ketara yakin siapa diri mereka dan, tetap meneruskan semangat Kelantan yang bebas, tidak akan mengendahkan atau mengabaikan terus fatwa yang tidak masuk akal kepada kehidupan mereka.

Generasi muda kurang mempunyai pegangan seperti itu. Dengan amlan budaya yang telah terpisah dari diri mereka dan peluang meningkatkan mobiliti sosial yang kurang, mereka tidak punya apa-apa untuk dilakukan, tidak ada tempat untuk dituju, dan tidak ada cara meluahkan tenaga muda yang tidak terhad itu ke arah yang baik. Tidaklah begitu mengejutkan mereka cenderung ke arah perlumbaan motosikal, dadah, dan melibatkan diri dalam kegiatan membuli dan keganasan? Pengasingan jantina dan ditambah dengan penyisihan daripada diri mereka sendiri, hairankah kita anak-anak muda di Kelantan telah kehilangan seni berkomunikasi dan berinteraksi dengan wanita?

Larangan terhadap tradisi kebudayaan seperti Wayang Kulit, Mak Yong, Manora, dan Main Puteri dengan ketara menyumbang terhadap gejala hakisan jati diri rakyat Kelantan, dan kemerosotan hubungan jantina terutamanya di kalangan anak-anak muda.

Tradisi Mak Yong yang berkisar pada peranan wanita sebenarnya adalah ruang untuk anak-anak muda didedahkan kepada kuasa dan pelbagai sudut seorang wanita. Dengan menyaksikan dan menghayati kuasa dan pelbagai emosi watak wanita Mak Yong, lelaki dan wanita muda belajar bagaimana menyelami pelbagai hakikat diri masing-masing.

Semua tradisi ini juga menawarkan strategi budaya di mana anak-anak muda mengetahui bahawa keghairahan adalah sebahagian daripada keperibadian manusia dan merupakan dimensi semulajadi dan bersahaja dalam kehidupan bermasyarakat.

Jika semua kesan keghairahan dan gurauan dibuang dari persekitaran dan pengalaman anak-anak muda, mereka akan membesar menjadi malu dan membenci naluri semulajadi mereka, dan akan berakhir menghampiri seks menerusi keganasan atau perasaan takut.

Pendidikan moral bukanlah punca mahupun penawar gejala sosial di kalangan golongan muda di Kelantan. Pelaksanaan hudud pun tidak akan menyelesaikan peningkatan keganasan seksual dan keruntuhan masyarakat.

Mungkin langkah pertama menangani masalah-masalah ini adalah dengan mengakui bahawa ia berasal dari dalam diri sosio-budaya dan jiwa yang telah didera, dimanipulasi dan beralih arah akibat aliran Puritanisme berdekad-dekad dan politik moral yang berkeras memaksa kita menelannya.

Thursday, 5 June 2014

Orang yang berbau dan orang ramai yang tertawa

Rencana asal "Smelly People and the Laughing Crowd" oleh Raudah Mohd Yunus dalam bahasa Inggeris bertarikh 29 Mei 2014 terdapat di onislam


'Tengok la Bangla tu dengan pakaiannya yang teruk! Dia orang ni menyakitkan mata. Tinggal kat rumah entah berapa orng dan bau pulak semacam!'



Hilai ketawa.....



Saya sedang menikmati secawan kopi berhampiran sebatang jalan yang sibuk di Kuala Lumpur, terdengar perbualan tadi yang sudah menjadi lumrah. Saya terpaku sejenak mengenangkan kata-kata yang menyakitkan itu sementara mungkin kebanyakan orang terutama sekali yang duduk di belakang saya mengiakan bahawa apa yang diutarakan adalah satu jenaka.



Perbualan pun diteruskan.



'Ada mamat Afrika tu baru pindah ke kawasan kami. Dan ada pulak sekumpulan pekerja India yang pulang dari tempat kerja mereka berbasikal setiap hari. Bawakla kereta! I kalau boleh duduk jauh-jauh dari dia orang. Bukan saja kerana dia orang ni nampak berbahaya. Dia orang ni macam berpeluh sepanjang masa dan tak pakai deodrant. Dia orang ni ada lebih kilang peluh ke dari kita.'



Ketawa berderai lagi.......



Saya memejamkan mata cuba membayangkan seorang lelaki muda, harapannya yang telah berkecai kerana dia tidak mampu mendapatkan pendidikan yang sewajarnya, tidak mendapat pekerjaan, tidak berjaya mendapatkan wang yang cukup untuk memberi makan kepada adik-beradik atau membayar bil perubatan ibu bapa yang sakit. Saya terfikir bagaimana terdesak perasaannya, dan apa jalan keluar yang terakhir. Pergi ke negara lain di mana beliau boleh mencari sedikit wang mungkin amat bermakna kepadanya.



Saya pernah mendengar cerita seorang gadis warga asing yang pada awalnya hidup biasa. Kemudian dia bekerja sebagai pembantu rumah, didera dan dieksploitasi, setelah bapanya menjual semua hartanya untuk membayar perbelanjaan perubatan ibunya yang sakit tenat.



Saya pernah disapa oleh seorang remaja Mesir ketika berjalan bersama teman-teman di taman Maamoura di Alexandria beberapa tahun dulu. Dengan wajah berseri-seri dia bertanya sama ada kami dari Malaysia. Mungkin dia dapat menerka daripada cara kami berpakaian. Dia tak sabar-sabar memberitahu kami bahawa dia telah mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke Universiti Teknologi Petronas (UTP). Dia memang terdesak hendak meninggalkan negaranya.



Saya bertanya kenapa dan senyumnya memudar. 'Tengoklah macam mana kami dilayan di sini.' dia merintih. 'Saya tidak punya harapan dan masa depan di negara ini.'



Saya sedar wujud berjuta-juta orang yang terdesak di luar sana, tua dan muda, dengan hak asasi mereka yang dinafikan oleh tidak lain daripada kerakusan kumpulan yang bergelumang dengan rasuah dan eksploitasi serta ketidakadilan yang dikenakan oleh pihak pemerintah. Malangnya, nasib mereka lebih kurang sama di mana sahaja mereka pergi dan berhijrah menerima ejekan, diskriminasi dan layanan buruk.



Adakah apartheid wujud di Malaysia? Tentu sekali tidak! Ramai yang akan naik darah jika mereka mendengar perkataan itu. Hakikatnya, ada berjuta-juta rakyat Malaysia, penganut agama Islam atau bukan Islam yang dengan bangga mengakui diri mereka sebagai pejuang menentang dasar perkauman, ketidaksamaan dan diskriminasi. Mereka mahu hak sama rata. Mereka jijik dengan layanan yang tidak adil.



Ironinya, prinsip yang sama seolah-olah tidak terpakai apabila bercakap tentang orang asing. Pada saya orang asing tidak bermakna pelancong Eropah yang kelihatan mewah-atau pelawat Arab yang kaya yang tinggal di hotel-hotel lima bintang dan berkeliaran di sekitar Kuala Lumpur dengan kamera mahal dan peralatan yang canggih. Saya bercakap tentang pekerja asing, dari Indonesia, Bangladesh, Pakistan, Myanmar, Cambodia dan negara-negara lain.



Mereka yang bekerja siang dan malam dan menerima kurang daripada separuh apa yang diterima oleh rakyat Malaysia sendiri. Mereka yang berpeluh dan berbau semacam. Mereka yang berbasikal dan tinggal di rumah-rumah yang penuh sesak. Mereka yang dilihat memang bersalah dari awal lagi oleh masyarakat sehinggalah dibuktikan tidak bersalah. Mereka yang menjadi bahan jenaka rakyat Malaysia.



Tidak ramai yang sedar tentang sumbangan pekerja asing dan kesan ekonomi yang dibawa oleh mereka. Pandangan orang ramai agak terpengaruh oleh dakwaan mengatakan bahawa warga asing yang 'tidak keruan ' ini kebanyakannya penjenayah. Bukan sahaja laporan sering berat sebelah, media juga cenderung memberikan lebih perhatian kepada jenayah yang dilakukan oleh orang asing berbanding penduduk tempatan. Adakah benar bahawa kebanyakan jenayah dilakukan oleh mereka? Tiada siapa yang boleh mengatakan dengan pasti. Kekurangan statistik yang dipercayai, peranan politik dan pasukan keselamatan yang tidak konsisten semuanya perlu dipertimbangkan dengan teliti sebelum kesimpulan dicapai.



Sesetengah penganut agama Islam tidak dianggap sama



Memang mudah menarik perhatian ramai orang beragama Islam apabila acara kebajikan dan ceramah diadakan tentang isu-isu berkaitan Palestine, Syria dan Mesir. Oleh kerana sebab-sebab komitmen moral dan/atau agama, orang ramai bersatu dan bertekad menunjukkan perpaduan dengan mereka yang teraniaya di sana. Walau bagaimanapun, amat menghairankan apabila pekerja asing di Malaysia tidak dilihat sebagai saudara seagama yang sama. Mereka lebih dianggap pengacau dan mengganggu. Mereka kelihatan 'kurang layak' kerana sebab-sebab tertentu.



Bukan sesuatu yang luar biasa melihat ada yang menangis mengenangkan rakyat Palestin di masjid pada satu hari dan mengutuk beberapa 'Bangla' atau 'Indon' di jalan pada hari berikutnya. Masyarakat kita juga penuh dengan wira yang secara terbuka bercakap menentang penindasan orang Islam Rohingya di Myanmar, tetapi amat marah apabila melihat pengemis Rohingya di kawasan kejiranan mereka. Seolah-olah kita sudah bersedia mati untuk Islam, tetapi kita tidak sanggup melihat orang Islam yang serba kekurangan dan berpeluh.



Majoriti pekerja asing di mana-mana, adalah orang yang tidak mempunyai banyak pilihan dalam hidup, atau mungkin tiada pilihan sama sekali. Mereka datang bukan untuk berekreasi atau bersiar-siar tetapi untuk terus hidup. Mereka teragak-agak meninggalkan keluarga yang menaruh harapan dapat mencapai kehidupan yang lebih baik, dan kenangan yang menghantui mereka setiap hari. Jika kita boleh melihat mereka sebagai manusia yang sama dan saudara-saudara seagama, struktur masyarakat manusia secara umum, dan umat Islam khususnya, akan diperkukuhkan.



Rasulullah (saw) tidak pernah dalam hidupnya membezakan antara sahabat yang datang dari latar belakang keluarga yang kaya dan elit berbanding mereka yang teraniaya seperti Bilal (seorang hamba hitam) atau Salman (warga asing). Beliau menerima semua serta menunjukkan kasih sayang yang sama dan mengambil berat terhadap semua. Mengapa pula kita, walaupun lantang mengisytiharkan diri pengikut setia Nabi, lebih memilih orang Islam berkulit putih berbanding yang hitam, kaya berbanding miskin, dan yang dihormati berbanding yang serba kekurangan? Kita memang tidak memahami semangat sebenar ajaran Nabi.



Ketika saya berkira-kira melangkah pergi dari orang ramai yang ketawa di belakang saya, saya menarik nafas panjang dan memandang ke arah bangunan pencakar langit yang tersergam, bersinar di sekitar yang menjadikan ibu negara Malaysia begitu bersemangat. Semua telah dibina hasil 'peluh dan bau semacam' pekerja asing yang menjengkelkan ', yang tidak dihargai sesiapa. Adakah masyarakat Malaysia pernah peduli untuk tahu berapa ramai yang jatuh, cedera dan meninggal dunia dalam proses tersebut? Tiada siapa yang tahu. Tiada siapa peduli.



Tiba-tiba telefon bimbit saya berdering. Panggilan rakan dari Malaysia yang baru-baru ini berpindah ke Singapura mencari wang yang lebih banyak dan kehidupan yang lebih baik



'Tau tak?' Beliau menjerit. Mereka (rakyat Singapura) memandang rendah terhadap kami di sini! Mentang-mentang kita datang ke sini untuk bekerja, tidak bermakna status kita lebih rendah, atau penjenayah! '



Oh, oh!. Bunyi macam pernah dengar.



Saya berpaling melihat orang ramai yang sedang ketawa. Sekumpulan lelaki dan wanita muda yang kelihatan golongan-kelas menengah, berpendidikan dan jelas beragama Islam. Sekiranya mereka pernah mengalami rasa lemah dan teraniaya, mungkin mereka tidak akan ketawa sebegitu. Atau mungkin bau semacam itu tidaklah selucu mana.