Showing posts with label Australian Broadcasting Corporation. Show all posts
Showing posts with label Australian Broadcasting Corporation. Show all posts

Friday, 25 July 2014

Jurugambar yang buta

Rencana "The photographer who is blind" oleh Don Battley bertarikh 23 Julai 2014 terbit di abc



Brenden Borellini dilahirkan pekak seratus peratus dan dengan penglihatan terhad yang berterusan menjadi buta penuh. Kecacatannya membangkitkan banyak halangan semasa beliau membesar tetapi dengan kerja keras dan bantuan daripada Unit Pendidikan Khas Cavendish Road State School di Brisbane, beliau menjadi pelajar pekak dan buta yang pertama menamatkan pendidikan sekolah tinggi dan masuk ke universiti.

Pada tahun 1989 beliau telah diiktiraf dan memenangi anugerah Australian of the Year untuk pencapaian akademik. Tetapi Brenden tidak berhenti di situ sahaja.

Perubahan bermula selepas berpindah dari Brisbane ke Mackay apabila Brenden bertemu Steve Mayer-Miller, pengarah seni Crossroad Arts, sebuah pertubuhan tempatan yang membangunkan peluang-peluang bagi orang kurang upaya mengakses dan mengambil bahagian dalam seni.

Steve mengatakan bahawa idea keseluruhan fotografi untuk seseorang yang pekak dan buta adalah baru kepadanya. Beliau telah bekerja dengan orang pekak sebelumnya dan orang buta juga, tetapi, gabungan kedua-duanya adalah sesuatu yang belum pernah diterokai.

Selepas menunjukkan Brenden butang pada kamera, dia dengan cepat mengambil inisiatif dan mula mengambil gambar.

Seorang jurugambar buta ... Bagaimana?

Steve mahu bermula dengan memberikan maklum balas secara objektif, teknikal dan subjektif kepada Brenden tentang gambar yang telah diambil .

Menggunakan peranti yang menukarkan teks kepada Braille, mereka yang bekerja dengan Brenden dapat memberi pandangan yang objektif dengan menjelaskan gambar tersebut secara terperinci.

Brenden kemudian menerima maklum balas teknikal menggunakan bahasa fotografi seperti komposisi, cahaya, kesan shutter dan kedalaman.

Kemudian dia menerima tafsiran subjektif gambar dan emosi yang dirasai setiap orang, memberikan sejumlah tiga sudut pandangan yang berbeza.

Apa yang Brenden lihat?

Soalan ini menyebabkan kumpulan seni tadi meneliti peranti yang membolehkan imej dua dimensi menjadi tiga dimensi supaya Brenden juga boleh mentafsirkan tekstur dalam gambar.

Estetik fotografi tidak pernah menjadi matlamat sebenar. Ini lebih kepada pengalaman mengambil gambar dan bukan gambar yang dihasilkan itu sendiri.

Proses ini membantu menghilangkan rasa terasing Brenden akibat kecacatannya dan menghubungkan dia dengan masyarakat di sekitar.

Friday, 13 June 2014

Janganlah buat andaian saya bekerja secara percuma

Rencana asal "Don't expect me to work for free" oleh Carly Findlay, bertarikh 10 Jun 2014 terbit di abc.net.au



Orang kurang upaya sering diminta bersama di dalam sesebuah jawatankuasa, memberi sumbangan kepada projek-projek dan menceritakan tentang kisah hidup kita. Tetapi, seperti yang ditulis Carly Findlay, jarang sekali yang mahu membayar untuk masa yang telah diambil oleh kita.

Saya percaya ada perasaan saling merasai di antara masyarakat yang pelbagai, walaupun perbezaan kita tidak sama. Saya dapati diri saya mengangguk-angguk bersetuju apabila mendengar cerita-cerita daripada rakan-rakan Orang Asli juga yang gay dan lesbian.

Pada bulan Mac saya mendengar kawan saya Anita Heiss berucap di pelancaran bukunya. Dia seorang pengarang Orang Asli, bijak, menarik dan menawan. Banyak yang dikatakannya dapat saya rasakan sama.

Anita bercakap tentang minda 'bekerja secara percuma' yang mengarah ke masyarakat yang pelbagai. "Semua orang mahukan orang Asli melakukan sesuatu, tetapi mereka tidak dihargai di pasaran," katanya.

Anita menceritakan tentang bagaimana dia telah diminta untuk bercakap pada suatu majlis awam. Beliau menghantar invois, tetapi penganjur meminta jumlahnya dikurangkan kerana mereka telahpun menderma kepada badan amal. "Saya mengusahakan satu perniagaan kecil, bukannya badan amal," katanya, dan memberitahu mereka dia akan menderma wang kepada badan amal jika kakitangan organisasi melakukan perkara yang sama. Para peserta menarik nafas terkejut.

Saya dapati ini berlaku juga kepada orang kurang upaya. Komitmen untuk melibatkan orang kurang upaya sering dibuat tanpa bayaran, inipun tidak mengambil kira bahawa kita perlu mengambil masa dari pekerjaan tetap atau sukarela sendiri untuk memberi nasihat percuma ini. Seolah-olah seperti kita diberikan peluang tanpa bayaran ini sebagai tanda inklusif, atau lebih teruk lagi, bahawa kelayakan, pendapat dan pengalaman kita tidak mempunyai nilai dari segi wang ringgit.

Nampaknya ada yang percaya bahawa kita harus bersyukur untuk peluang yang diberi, bahawa sekurang-kurangnya ia sesuatu untuk kita lakukan. Saya rasa ada satu pemikiran bahawa kerana kita mendidik secara kebetulan dalam kehidupan, kita tidak keberatan mendidik penonton yang lebih besar dengan bayaran yang rendah atau secara percuma.

Lawrence Carter Long, jurucakap tentang hak-hak orang kurang upaya Amerika, berkata "Jika anda menghargai wawasan dan kemahiran orang itu, cara terbaik menunjukkan penghargaan adalah membayar untuk apa yang anda sedang belajar. Mengubah dunia tidak perlu dengan bersumpah kekal miskin. Saya bukannya badan bukan keuntungan atau NGO. Hakikatnya? Jika anda menghargai apa yang saya beri kepada anda, maka bayarlah saya. Jika anda tidak mahu, maka itu petunjuk yang jelas tentang apa yang anda fikir tentang nilai masyarakat kita. "

Baru-baru ini saya menjadi perunding kepada dua organisasi secara percuma – memberi mereka maklumat secara langsung tentang hidup dengan pemandangan yang berbeza. Saya menghabiskan masa lima jam di satu organisasi dan tiga jam di organisasi yang kedua. Saya mengambil cuti dari kerja harian saya untuk melakukan kerja ini. Saya menerima makanan ringan dan minuman dari setiap satu organisasi, dan tambang teksi, tetapi tiada pembayaran.

Bukannya saya tidak bersyukur. Saya mempunyai pekerjaan sepenuh masa dengan gaji yang baik. Pendapatan saya adalah daripada penulisan bebas dan ceramah awam, juga mengajar. Saya juga bekerja secara percuma untuk badan amal dan sekolah. Saya pernah berucap di majlis-majlis di mana saya telah menderma bayaran penceramah yang diterima untuk perkara-perkara yang saya percayai. Saya telah meluangkan masa untuk projek filem tentang pendermaan organ. Saya berkerja secara sukarela di hospital memberi bimbingan kepada anak-anak muda. Saya menulis tanpa bayaran untuk blogger lain dan majalah dalam talian yang khusus. Dan saya bangga dan komited menyokong inisiatif seperti ini.

Tetapi apabila saya menjadi perunding untuk sesebuah organisasi swasta atau awam, saya mengharapkan bayaran. Jika sebuah syarikat meminta nasihat saya tentang kecacatan, terutama sekali apabila mereka biasanya akan membayar perunding untuk perkhidmatan tersebut, tentulah saya berharap akan dibayar. Begitu juga, jika sebuah penerbitan atau organisasi meminta saya menulis untuk mereka secara percuma walhal mereka membayar kakitangan sendiri untuk menulis, dan jika itu menjana pendapatan, sayapun mahu dibayar. Saya juga ingin pautan kembali ke blog saya - terutamanya jika saya telah melakukan kerja secara percuma.

Jax Jacki Brown, seorang aktivis orang kurang upaya berpendidikan tinggi dan berpengalaman hidup dalam alam itu, bersetuju. "Terdapat andaian bahawa orang kurang upaya tidak mempunyai hidup yang sibuk dan kita harus bersyukur dengan apa-apa peluang untuk mendidik berhubung isu-isu ini. Walaupun memang saya bersyukur, dan saya serius tentang kerja pendidikan yang dilakukan, ia mengambil masa, perjalanan dan wang saya untuk melakukannya, "kata beliau.

Saya percaya kerja-kerja yang dilakukan oleh orang seperti saya dan Jax dalam mendidik masyarakat adalah penting dalam usaha perubahan dan meningkatkan akses dan rasa bersama, dan ia selayaknya menerima pampasan. Kerja kami tidaklah diberikan secara percuma.

Carly Findlay ialah seorang penulis, penceramah dan aktivis. Blognya adalah di carlyfindlay.blogspot.com dan bertweet dengan nama @carlyfindlay