Saturday, 6 September 2014

Permainan 3D 'tanpa video' dibangunkan untuk pemain buta

Rencana "'Video-less' 3D games developed for blind players" oleh Claire Brennan bertarikh 18 Ogos 2014 terbit di bbc




Mewujudkan permainan video yang tidak mempunyai video mungkin kelihatan seperti idea yang luar biasa.

Tetapi konsep itu sedang diguna pakai oleh semakin banyak pereka permainan, untuk membantu menjadikan industri itu lebih mesra untuk orang buta dan cacat penglihatan.

Permainan "tanpa video" menggunakan teknik pengeluaran yang dikenali sebagai rakaman binaural, untuk membina dunia audio sahaja.

Teknik ini melibatkan pemasangan dummy dengan mikrofon kondenser kecil yang meniru cara telinga kita mendengar bunyi secara semula jadi. Setiap adegan dalam permainan direkodkan menggunakan kaedah ini dan hasilnya adalah suatu pengalaman tiga dimensi yang lebih realistik.

Apakah teknologi binaural?

Ia adalah satu teknik pengeluaran bunyi yang meniru isyarat pendengaran semula jadi yang dihasilkan oleh telinga kita

Ia menangkap bunyi menggunakan dua mikrofon untuk merakam audio stereo "3D"

Bunyi binaural sendiri bukanlah idea baru - satu bentuk asas stereo binaural telah wujud sejak tahun 1881.

Penggunaan teknologi ini yang paling terkenal ialah video penggunting rambut atau Barber's Haircut, yang dicipta oleh pemaju perisian audio QSound Labs pada tahun 1996

Oleh kerana tiada grafik, pemain perlu bergantung kepada deria aural mereka untuk mengemudi tahap-tahap permainan.

Permainan terkini dalam genre ini baru sahaja dilancarkan oleh sepasukan pemaju kreatif di Perancis. Mereka menggunakan kempen crowdfunding untuk mendapatkan dana lebih daripada 40,000 euro (£ 31,000) untuk mengubah demo sedia ada kepada prototaip yang berfungsi.

"Ia projek yang menarik dan mengujakan," Nordine Ghachi memberitahu BBC.

Ahli teknologi yang kreatif itu adalah sebahagian daripada satu pasukan tiga orang di studio Dowino di Lyon, yang membangunkan permainan "Blind Legend" untuk peranti yang boleh dipegang dengan tangan.

"Kami mahu meletakkan pemain buta dan orang kurang upaya dalam keadaan yang sama kualitinya dengan pemain yang boleh melihat. Itu adalah matlamat utama kami. Itu adalah cabaran utama kami," katanya.

"Pierre-Alain Gagne, Ketua Eksekutif Dowino, mencadangkan idea kempen crowdfunding dan menguruskannya untuk beberapa bulan. Jerome Cattenot adalah pengarah seni kami dan dia menjadikan seluruh permainan serta semua persekitaran di dalamnya amat menarik. "

'Gunakan imaginasi anda

Blind Legend mengikuti kisah seorang kesatria, yang telah kehilangan penglihatan dan perjalanannya melalui hutan untuk membebaskan isterinya daripada penculik yang ganas.

Permainan yang intuitif ini membuatkannya benar-benar sebati dengan jiwa pemain. Pergerakan watak utama dikawal menggunakan skrin sentuh, oleh itu pemain menggerakkan kaki atau pedang watak-watak itu menggunakan gerakan swipe yang mudah pada telefon mereka. Skrin tetap gelap sepanjang masa bermain.

"Anda pasti perlu memakai fon kepala untuk mendapatkan manfaat sepenuhnya. Anda boleh mendengar apa yang berlaku di sekeliling anda," kata Nordine.

"Bunyi di dalam hutan, burung-burung yang berterbangan dan air sungai yang mengalir. Anda dengar semua bunyi ini, dan maklumat tersebut membantu peminat permainan video menempatkan diri mereka dalam persekitaran tadi.

"Wira itu dibantu oleh anak perempuannya. Anda berhubung dengan dia dan mengekorinya. Anda menggunakan imaginasi sendiri untuk menghasilkan kesan yang diinginkan."

Ia telah diuji dengan beberapa pemain yang mempunyai penglihatan yang sedikit atau tidak langsung boleh melihat, dan telah mendapat sokongan daripada badan-badan amal seperti Valentin Haüy Association.

Cerita thriller

Ini bukan kali pertama teknologi binaural telah digunakan dalam kapasiti sedemikian.

Pada tahun 2010 studio permainan British Somethin 'Else, melancarkan Papa Sangre - satu thriller yang menggunakan audio sahaja, dan tidak mempunyai apa-apa grafik di dalam permainan. Ia terbukti amat popular, terutamanya dengan pemain OKU penglihatan, dan syarikat itu terus mengeluarkan beberapa permainan susulan.

Robin Spinks, dari Royal National Institute of Blind People, berkata pembangunan permainan seperti itu adalah satu peluang masuk ke dalam satu "pasaran besar". Terdapat dua juta OKU penglihatan di UK - dan 285 juta di seluruh dunia.

Pengalaman permainan seperti ini mengenepikan halangan yang dihadapi oleh OKU penglihatan setiap hari," katanya.

"Ia begitu inklusif. Kebanyakan OKU penglihatan terhalang daripada mengakses banyak kandungan permainan. Permainan seperti ini menetapkan tahap yang perlu dicapai oleh pemaju-pemaju permainan yang lain.

"Kami telah menghabiskan banyak masa cuba menggalakkan pemaju app mewujudkan aplikasi yang boleh diakses. Ini sebenarnya sangat mudah.

"Salah satu sebab utama ini tidak berlaku adalah kekurangan kesedaran. Pemaju tidak berhubungan dengan OKU penglihatan yang menggunakan aplikasi dan permainan mereka. "

'Mengasingkan dunia

Kekurangan keterangkuman adalah masalah yang amat biasa kepada Nathan Edge.

Peminat permainan video yang berusia 20 tahun dari Mansfield cacat penglihatan sejak kecil, tetapi kehilangan penglihatan sepenuhnya dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Beliau memberitahu BBC: "Ia kadang-kadang boleh menjadi dunia yang sangat mengasingkan. Anda juga mahu melakukan perkara yang orang lain lakukan. Ia memberikan anda sesuatu untuk dikongsi dengan rakan-rakan.

"Saya tidak boleh bermain mana-mana permainan video berasaskan teks yang pernah ditemui sebelum ini. Saya amat kecewa dalam usaha mencari permainan yang boleh digunakan. "

Nathan merasa begitu terkilan sehinggakan dia menulis kepada sebuah syarikat permainan terkenal mengadu tentang kurangnya pilihan permainan yang boleh digunakan olehnya. Beliau berkata dia gembira syarikat-syarikat bebas yang lebih kecil telah mengisi jurang tersebut.

"Saya terserempak Papa Sangre II pada hujung minggu dan tidak boleh berhenti bermain.

"Saya biasanya tidak berkongsi perkara-perkara seperti itu di Facebook atau Twitter, tetapi saya telah memberitahu semua orang mengenainya.

"Memang satu berita besar mendengar pemaju-pemaju permainan yang lain membuat perkara yang sama. Semakin banyak pemaju yang melakukannya lebih baik. Amat melegakan nanti."

Nordine mendakwa orang seperti Nathan berada di barisan hadapan fikirannya apabila membangunkan Blind Legend.

"Kebanyakan studio membangunkan permainan dahulu dan kemudian cuba membuatnya mudah digunakan," katanya.

"Tetapi membuatnya supaya mudah digunakan oleh OKU penglihatan adalah keutamaan kami. Kami ingin membangunkan permainan yang mengubah tingkah laku dan sikap ramai terhadap subjek seperti kecacatan.

"Kami juga mahu memastikan alam sekitar dan atmosfera permainan berada pada tahap yang sama seperti yang diharapkan oleh pemain yang melihat. Ia benar-benar adalah permainan untuk semua orang. "

Blind Legend adalah percuma untuk dimuat turun - sama ada dalam bahasa Perancis atau Bahasa Inggeris - di iTunes pada tahun depan.

Friday, 5 September 2014

Pelatih OKU penglihatan meninggalkan kesan di BiblioTech

Rencana "Visually impaired intern makes an impact at BiblioTech" oleh Vincent T Davis bertarikh 17 Ogos 2014 terbit di mysanantonio




San Antonio - Apabila Christian Sanchez melaporkan diri ke BiblioTech Bexar County sebagai pelatih pada bulan Jun, dia serta merta meninggalkan kesan.

Dalam masa beberapa hari, anak muda berusia 16 tahun itu telah belajar setiap aspek perpustakaan awam digital tersebut yang terletak di 3505 Pleasanton Road. Tugas remaja celik teknologi ini meliputi bekerja di meja peredaran sehinggalah sesi satu sama satu dengan pelanggan OKU penglihatan.

Sanchez amat mahir dengan tugas keduanya kerana dia sendiri OKU penglihatan tetapi berbuat lebih daripada itu semasa latihan beliau, kata pegawai perpustakaan.

Dengan menggunakan tangan dan tongkat putihnya, dia memandu pelawat-pelawat dalam lawatan di perpustakaan, di mana pelanggan boleh mengakses internet dan memuat turun mana-mana daripada lebih 20,000 ebuku dan buku-buku audio.

Beliau membantu pelanggan daripada semua peringkat umur, cacat penglihatan dan berpenglihatan normal, menggunakan komputer yang terletak berderet di bawah rasuk sokongan berwarna oren di ruang yang kelihatan seperti dek sebuah kapal angkasa.

"Ia adalah satu langkah besar, mendapat kerja dan kemahiran hidup," kata Sanchez pada hari terakhir. "Kami telah membuat kehidupan seseorang lebih mudah sedikit apabila dapat membantu pelanggan dengan kecacatan yang sama menggunakan peralatan."

Sanchez bekerja 16 jam seminggu sebagai sebahagian daripada inisiatif Department of Assistive and Rehabilitative Services Division for Blind Services peringkat negeri . Rancangan itu meletakkan lapan pelajar yang diberi gaji dalam latihan di lokasi-lokasi yang berbeza.

"Christian benar-benar gembira semasa di BiblioTech," kata Myra Garza, penyelaras program. "Tempat itu memang secucuk untuk dia, dan mudah baginya kerana ia tidak terlalu jauh dari rumahnya."

Ada ketikanya dia mendengar kanak-kanak berbisik kepada ibu bapa mereka menyatakan keraguan tentang kemahiran beliau. Dia meneruskan kerja, menguasai tugas-tugas beliau dengan bantuan rakan sekerja yang bercerita tentang pengetahuannya, budi perkerti yang sopan dan kesediaannya untuk membantu. Sanchez berkata dia menghayati rasa berkhidmat untuk masyarakat daripada ibu bapanya, Maria dan Andrew Garza.

Tidak seperti kebanyakan pelatih, Sanchez mengajar sebanyak mana yang dia belajar. Dia mencipta risalah untuk paparan Braille tanpa wayar dan mencipta buku panduan berkaitan cara menggunakan peralatan yang sesuai termasuklah peranti akses suara atau voiceover accessibility devices.

Ketua Pustakawan Ashley Eklof berkata dari hari pertama, Sanchez beria-ia belajar berkenaan tugasnya.

"Dia sesuai di sini," katanya. "Dia memang mempunyai bakat semula jadi. Saya gembira bekerja dengan dia."

Sanchez menggunakan kemahiran yang dipelajarinya di Texas School for the Blind and Visually Impaired di Austin. Pada usia 11 bulan, beliau telah disahkan menghidap glioma optik, yang perlahan-lahan mengurangkan penglihatannya sehinggalah dia hilang penglihatan sepenuhnya pada tahun lepas. Sebelum kehilangan penglihatannya sepenuhnya, dia berlatih menggunakan peralatan adaptif dan bersedia untuk menggunakan tongkat dengan memakai penutup mata semasa berjalan.

Selepas dia lulus dari sekolah di Austin itu, Sanchez merancang untuk belajar di University of Texas di Austin dan berharap untuk bekerja dengan komputer atau dalam bidang perubatan.

Apabila dia tidak bekerja, dia suka mendengar muzik, dari Lynyrd Skynyrd hinggalah James Brown, dan menjadi sukarelawan dengan badan bukan keuntungan. Beliau memberitahu rakan sekerja bahawa beliau ingin kembali dan bekerja dengan mereka apabila dia pulang pada hujung minggu dan hari cuti.

"Saya rasa sedih meninggalkan tempat ini," kata Sanchez pada hari terakhir. "(Tetapi) bila-bila masa mereka perlukan bantuan, saya boleh datang."

Thursday, 4 September 2014

Presiden menggantikan kenderaan DJ OKU penglihatan

Rencana "Presidency replaces vehicle of visually impaired DJ" bertarikh 16 Ogos 2014 terbit di ghanaweb




Pejabat Presiden telah menyampaikan kenderaan mesra orang kurang upaya kepada seorang DJ OKU penglihatan di Ghana Broadcasting Corporation (GBC) berikutan rayuan beliau kepada Presiden.

Encik Sellasie Sikanku, yang lebih dikenali sebagai DJ Odo, cuba mendapatkan kelulusan untuk kereta yang dihantar kepadanya oleh kawan-kawannya di Amerika Syarikat tetapi telah dihalang berbuat demikian oleh Kementerian Kewangan kerana undang-undang tidak membenarkan orang buta memandu kereta seperti itu.

Dalam usaha mendapatkan kelulusan untuk kereta itu di pelabuhan, beliau berkata, "Kementerian Kewangan enggan meluluskan dokumen itu, dan menjelaskan bahawa kereta tersebut tidak mesra kepada orang yang cacat penglihatan seperti saya".

Dia berkata, rakan-rakannya di Amerika Syarikat menyumbangkan dana membeli kereta itu untuknya sebagai cara mereka menunjukkan penghargaan untuk kerja-kerja yang dilakukannya.

Rayuan kepada Presiden

Enam bulan selepas gagal mendapat kelulusan untuk keretanya, beliau berkata, kereta itu telah diperuntukkan oleh pegawai-pegawai pelabuhan kepada orang lain pada Januari 2014.

Menurut beliau, layanan yang diberikan kepadanya oleh Kementerian Kewangan memaksa dia merayu kepada Presiden.

Pejabat Presiden memberi jaminan kepadanya bahawa kereta beliau akan diganti, dan jaminan itu telah dipenuhi dengan pemberian kenderaan mesra OKU.

Reaksi Media

Halangan yang dihadapi oleh Encik Selassie ketika dia cuba mendapatkan kelulusan untuk keretanya dari pelabuhan menjadi isu hangat dalam media, terutamanya di radio.

Encik Yaw Boadu-Ayeboafoh, pengarah yang bertanggungjawab bagi surat khabar di Graphic Communications Group Limited, mengambil berat tentang perkara itu dan menganjurkan bahawa Sellasie diberikan kelulusan untuk keretanya dari pelabuhan.

Encik Sikanku menyatakan rasa tidak puas hati dengan layanan yang diberikan kepadanya oleh pegawai pelabuhan dan menyifatkan keadaan itu sebagai tidak adil.

Beliau mengesyorkan bahawa undang-undang yang menyekat orang kurang upaya daripada mendapat kelulusan untuk kereta mereka dari pelabuhan perlu dikaji semula bagi membolehkan kumpulan itu menikmati keistimewaan yang sama seperti rakyat lain.

Wednesday, 3 September 2014

Syarikat baru di India melancarkan kasut yang menunjukkan arah jalan

Rencana "Indian start-up launches shoes that show you the way" bertarikh 31 Ogos 2014 terbit di thestar




New Delhi: Heroin "Wizard of Oz" Dorothy hanya perlu menghentak kedua-dua belah kasut beliau yang berwarna delima ​​merah bersama-sama dan kasut itu akan membawanya pulang ke rumahnya di Kansas.

Sekarang, sebuah syarikat permulaan India berteknologi tinggi berjanji untuk melakukan perkara yang sama dalam kehidupan sebenar dengan sepasang kasut sukan pintar yang mempunyai GPS dan bergetar memberi arahan kepada pemakainya.

Kasut berwarna merah menyala, yang juga akan mengira berapa langkah yang telah diambil, jarak perjalanan dan kalori yang dibakar, akan mula dijual pada bulan September di bawah nama LeChal, yang bermaksud "bawa saya bersama-sama" dalam bahasa Hindi.

Kasut itu disertakan bersama penerima Bluetooth yang boleh ditanggalkan dan dihubungkan ke aplikasi telefon pintar untuk mengarahkan pemakainya yang menggunakan peta Google, menghantar isyarat getaran menunjukkan arah ke kiri atau kanan.

Kasut itu adalah idea Krispian Lawrence berusia 30 tahun dan Anirudh Sharma, 28, dua graduan kejuruteraan yang mengasaskan syarikat teknologi mereka Ducere di sebuah apartmen kecil pada tahun 2011 dengan sokongan daripada pelabur dan kini mempunyai 50 orang pekerja.

"Kami mendapat idea ini dan sedar ia benar-benar akan membantu OKU penglihatan, berfungsi tanpa sebarang gangguan audio atau fizikal," kata Lawrence dalam temu bual dengan AFP.

"Tetapi kami sendiri mencubanya dahulu dan tiba-tiba terfikir, 'tunggu sekejap, sayapun mahu kasut ini,' kerana terasa begitu bebas tidak perlu tunduk ke bawah melihat telefon atau terikat dengan apa-apa."

"Kasut ini berfungsi secara intuitif. Bayangkan jika seseorang menepuk bahu kanan anda, badan anda secara semula jadi bertindak balas mengarah ke kanan, dan itulah cara LeChal berfungsi. "

Sektor yang sedang berkembang

Kasut pintar untuk pasaran demografi tertentu - seperti penghidap demensia dan kanak-kanak dengan ibu bapa yang mahu menjejaki pergerakan mereka - sudah boleh didapati secara komersial.

Tetapi Lawrence dan Sharma percaya rekaan mereka akan menjadi yang pertama seumpamanya mensasarkan pengguna pasaran massa, dan telah memberi tumpuan mewujudkan rekaan yang bergaya dan bukannya kasut yang berfungsi semata-mata.

Selain sneaker berwarna merah itu, syarikat tersebut memasarkan insole yang membolehkan pengguna memasukkan teknologi tadi ke dalam kasut mereka sendiri.

"Sebelum ini, teknologi boleh pakai sentiasa dilihat lebih seperti mesin, kaca mata atau jam tangan yang tidak menarik, tetapi sekarang telah berubah," kata Lawrence.

Mereka mengatakan bahawa sudah ada 25,000 pesanan awal untuk kasut itu yang akan dijual pada harga antara $100 dan $150.

Permintaan setakat ini kebanyakannya dari mulut ke mulut dan melalui laman web lechal.com. Tetapi syarikat itu sedang berunding dengan peruncit untuk menyediakan stok kasut menjelang musim cuti di India dan Amerika Syarikat.

Ia meramalkan akan menjual lebih daripada 100,000 pasang kasut, yang dibuat di China, pada April depan.

Teknologi boleh pakai adalah sektor global yang semakin berkembang. Pemerhati pasaran IDC meramalkan pada bulan April bahawa jualan akan meningkat tiga kali ganda tahun ini kepada 19 juta unit di seluruh dunia, dan terus meningkat kepada 111.9 juta pada 2018.

Pertumbuhan pesat industri ini telah menimbulkan kebimbangan berkaitan privasi, walaupun Ducere berkata ia tidak akan merekodkan apa-apa data pengguna dan mengekalkan keselamatan yang teguh.

Syarikat itu masih berharap produknya akan berguna bagi OKU penglihatan, dan pakar-pakar di LV Prasad Eye Institute di bandar selatan Hyderabad sedang menguji kesesuaiannya.

"Ia adalah item yang boleh digunakan secara intuitif yang sempurna. Anda mungkin terlupa memakai tali pinggang atau topi keledar, tetapi anda tidak boleh meninggalkan rumah tanpa kasut, "kata Anthony Vipin Das, seorang doktor di institut itu.

"LeChal menyelesaikan masalah orientasi dan hala tuju, ia adalah pembantu yang baik untuk tongkat."

Masalah yang mungkin timbul termasuklah kegagalan bateri atau kehilangan sambungan Bluetooth, dan Das mengatakan boleh diperbaiki dengan menyediakan maklumat secara langsung tentang kedudukan pengguna kepada rakan atau saudara, dengan persetujuan mereka terlebih dahulu.

Syarikat itu berkata ia boleh menggunakan sebahagian daripada apa-apa keuntungan masa depan untuk memberi subsidi kasut kepada pengguna kurang upaya.

Di antara semua ciri-ciri kasut 'berteknologi tinggi itu, perkara yang paling digemari Lawrence adalah hakikat bahawa dia tidak lagi kehilangan telefon beliau - jika pemakainya bergerak terlalu jauh dari telefon beliau, kasut itu akan bergetar untuk memberi amaran kepada mereka.

"Saya seorang yang pelupa dan apa yang amat baik ialah kasut itu tidak akan membiarkan anda terlupa telefon anda," katanya.

Kumpulan kurang upaya penglihatan memenangi hadiah perarakan

Rencana "Visually impaired pull off prize-winning march" oleh Tapasya Mitra Mazumder bertarikh 15 Ogos 2014 terbit di bangaloremirror




Maruthi KN berumur 11 tahun ketika serangan demam kepialu meragut penglihatannya. Pembedahan yang dijalankan beberapa kali tidak dapat mengembalikan cahaya ke dunia gelapnya. Sekarang berumur 23 tahun, beliau kelihatan begitu teruja sambil bersedia untuk mengambil bahagian dengan pasukan dari Shree Ramana Maharishi Akademy for the Blind di JP Nagar, dalam perarakan Hari Kemerdekaan yang diadakan di kawasan Manekshaw Parade. Berpakaian seragam pasukan yang berwarna merah dan kuning, beliau berkata, "Saya tahu pandangan orang ramai yang kagum apabila mereka melihat perarakan kerana saya telah melihatnya sebelum ini. Tetapi bagi saya sekarang, kepuasan adalah mendengar tepukan gemuruh penonton apabila kami berarak di hadapan mereka. "

Pelajar-pelajar di SRMAB berlatih selama lebih sebulan untuk hari itu. Jurulatih mereka, Thimmaiah yang juga guru mobiliti dan pendidikan jasmani mereka, menghabiskan sekurang-kurangnya tiga jam bersama mereka setiap hari, mengajar mereka perkara-perkara seperti berarak dengan seragam dan berpusing arah sebanyak 90 darjah - perkara-perkara asas untuk yang berpenglihatan normal. Thimmaiah berkata, "Oleh kerana kebanyakan pelajar tidak dapat melihat, kami meletakkan mereka yang berpenglihatan separa di hadapan memegang tongkat panjang yang boleh dipegang dalam satu garisan hingga ke belakang. Dengan cara ini, pelajar-pelajar di belakang tahu bila hendak bertukar arah. Kemudian kita perlu mengajar mereka mengangkat lengan dan kaki serentak dengan seluruh kontinjen pada sudut tertentu. Tetapi amatlah menggembirakan melihat pelajar menghayati aktiviti itu secepat pelajar yang berpenglihatan normal, dan sudah tentu ia adalah suatu perkara yang membanggakan melihat mereka melakukannya dengan baik dalam perarakan Hari Kemerdekaan. "

Thimmaiah telah bersama sekolah tersebut sejak tahun 1992 dan mereka telah mengambil bahagian dalam perarakan semenjak 22 tahun yang lalu. "Kecuali tiga kali - apabila kami mendapat tempat kedua sebanyak dua kali dan tempat ketiga sekali - kita telah berjaya meraih tempat pertama 41 kali termasuk di perarakan Hari Republik. Ini adalah kali ke-41 kami telah menerima trofi dan ini adalah kejayaan yang bukan kecil maknanya," kata Thimmaiah memegang trofi untuk tempat pertama dalam kategori kurang upaya.

S Eshwarappa, 18 tahun, dilahirkan buta dan tidak pernah melihat pelbagai warna yang terserlah semasa sambutan Hari Kemerdekaan. Dia berkata, "Saya buta sejak lahir dan walaupun tidak tahu bagaimana rupa perayaan, saya suka bunyi tepukan. Itu menggalakkan saya untuk mengambil bahagian dalam perarakan tahun demi tahun. Apabila cikgu Thimmaiah meminta saya mengambil bahagian dalam perarakan buat kali pertama, saya terfikir ia adalah satu tugas yang amat sukar. Tetapi dia telah menunjukkan kepada kami caranya dan pencapaian setakat ini adalah hasil usaha beliau. Saya tidak dapat membayangkan OKU penglihatan mengambil bahagian dalam perayaan itu, tetapi cikgu Thimmaiah dan seluruh pasukan di SRMAB telah memungkinkannya berlaku."

Tuesday, 2 September 2014

Kajian: Doktor Keluarga Boleh Membantu Mencegah Buta akibat Glaukoma

Rencana "Study: Family Doctors Can Help Prevent Blindness from Glaucoma" bertarikh 14 Ogos 2014 terbit di bignewsnetwork




Glaukoma merupakan salah satu daripada sebab-sebab yang paling utama kejadian kebutaan yang tidak dapat dipulihkan di dunia.

Selalunya tidak dikesan sehinggalah ia mencapai peringkat akhir, kejadian buta akibat glaukoma pada mulanya merompak penglihatan sisi anda, yang merupakan sebahagian daripada sebab ia tidak disedari untuk tempoh yang lama.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, walaupun 70 juta orang di seluruh dunia mengalami glaukoma, ia boleh dirawat jika dikesan lebih awal, yang bermakna bahawa mereka yang menghidap penyakit ini boleh mengekalkan penglihatan.

Glaukoma sebenarnya istilah menyeluruh untuk sekumpulan penyakit yang memberi kesan kepada saraf optik, dan menyebabkan kerosakan progresif. Terdapat dua jenis utama: lebar (sudut terbuka) dan tertutup (sudut sempit).

Walaupun nama-nama ini digunakan untuk menggambarkan anatomi mata itu, akibatnya adalah sama. Kedua-duanya menyebabkan cecair terlalu banyak mengumpul di dalam mata. Jika tidak dirawat, mata akhirnya tidak dapat membawa maklumat visual ke otak.

Para penyelidik sedang mencari cara yang lebih baik untuk mengesan, merawat dan mencegah kehilangan penglihatan pada orang yang menghidap glaukoma. Dr Robert Weinreb Pakar Mata University Of California memimpin satu kajian yang meneliti semula makalah perubatan berhubung dengan mengesan dan merawat penyakit ini.

Penyelidik yang berpangkalan di San Diego itu menerangkan bahawa mata adalah seperti satu sinki yang "mempunyai paip dan ... longkang." Dalam sudut terbuka, dia berkata, longkang tersumbat di dalam; dalam sudut tertutup, longkang ditutup dan disekat di luar.

Glaukoma memberi kesan kepada kumpulan-kumpulan kaum dan etnik tertentu, dan penyelidikan Weinreb ini menunjukkan bahawa orang berketurunan Amerika Latin lebih cenderung mendapat glaukoma sudut terbuka, seperti juga masyarakat kulit hitam Afrika. Orang keturunan Asia lebih berisiko mendapat glaukoma sudut sempit atau tertutup.

Faktor risiko lain termasuk umur, tekanan darah tinggi dan sejarah keluarga, tetapi mereka yang tidak mempunyai faktor-faktor ini juga boleh mendapat penyakit tersebut.

Rawatan yang boleh didapati termasuklah titis mata, pil atau pembedahan. Sehingga teknik klinikal yang lebih menyeluruh dibangunkan, matlamat rawatan adalah untuk mengekalkan penglihatan pesakit.

Selepas mengkaji makalah perubatan sedia ada, Weinreb membuat kesimpulan bahawa "pembekal penjagaan utama boleh memainkan peranan penting dalam mengesan, mengiktiraf dan merujuk pesakit yang mempunyai risiko yang paling tinggi mendapat glaukoma."

Sebagai contoh, doktor penjagaan primer boleh bertanya tentang sejarah keluarga pesakit glaukoma, bersama-sama dengan pemeriksaan saraf optik pesakit mereka untuk melihat jika rujukan kepada pakar mata diperlukan.

Dan manakala rawatan boleh didapati, Weinreb mengesyorkan pemeriksaan mata setiap tahun. Kajian beliau telah diterbitkan dalam Journal of the American Medical Association.

Monday, 1 September 2014

OKU penglihatan mendakwa telah mencipta rekod kelajuan 200bsj

Rencana "Blind man claims 200mph speed record" bertarikh 13 Ogos 2014 terbit di bbc









Seorang lelaki mendakwa telah memecahkan rekod kelajuan di darat bagi OKU penglihatan dengan memandu kereta pada kelajuan lebih daripada 200bsj (322km / j) di sebuah lapangan terbang di North Yorkshire.



Mike Newman, 52 tahun, dari Greater Manchester, berkata beliau mencapai kelajuan purata 200.9 bsj dalam dua percubaan.



Bapanya menyediakan panduan navigasi menggunakan talian radio di lapangan terbang Elvington, berhampiran York.



Maklumat berkenaan kelajuan yang dicapai beliau akan dihantar ke Guinness Book of Records untuk pengesahan.



'Menumpukan perhatian pada lantai kereta'



Kereta, LM1000 GT-R 1, telah dibuat khas oleh Litchfield Motors yang berpangkalan di Gloucestershire untuk percubaan mencipta rekod itu.



Encik Newman, dari Ashton-on-Mersey, berkata kelajuan terpantas yang dicapainya dalam percubaan berani di lapangan terbang pengebom Perang Dunia Kedua yang lama adalah 204bsj.



Beliau berkata: "Saya berasa gembira. Saya masih belum benar-benar percaya. Saya telah mengejar impian ini selama 11 tahun. "



Encik Newman, yang dilahirkan buta kerana glaukoma, sebelum ini bekerja untuk sebuah bank tetapi kini mengendalikan badan amal Speed of Sight beliau sepenuh masa.



Bapanya Michael berkata kerjanya adalah untuk "memberi tumpuan kepada butiran percubaan", supaya anaknya memandu lurus, menggalakkan dia "menetapkan kakinya di atas lantai kereta" dan memberitahunya bila hendak membrek.