Wednesday, 6 August 2014

Atlet angkat berat Australia yang buta Malek Chamoun bukan sahaja mahu menang, tetapi juga memberi inspirasi

Rencana "'Blind Australian weightlifter Malek Chamoun wants to win, but also inspire " oleh Jon Ralph bertarikh 27 Julai 2014 terbit di foxsports



Atlet berusia 25 tahun itu akan mencipta sejarah apabila dia mengambil bahagian dalam kelas 85kg lelaki, dengan dipimpin naik ke pentas oleh bapa merangkap jurulatihnya George.

Bekas atlet angkat berat Australia George terkenal kerana membeli platform angkat berat Sukan Olimpik 2000 dengan harga A$500 dalam satu lelongan untuk melatih anaknya.

Pada masa itu Malek yang cintakan ragbi telah didiagnosis dengan retinitis pigmentosa, satu keadaan yang akan menyaksikan dia diisytiharkan sah buta ketika berumur 15 tahun.

Kini menyertai Sukan Komanwelnya yang pertama selepas tidak berpeluang di Delhi akibat kecederaan, Malek mahu melakar sejarah dalam banyak perkara.

"Ini adalah satu peristiwa yang besar bagi saya. Saya gembira memberi inspirasi kepada orang lain. Saya memang sentiasa hendak pergi ke Sukan Komanwel senenjak kanak-kanak kecil lagi dan peluang melakukannya dalam keadaan yang sukar, adalah satu perkara yang baik,'' katanya kepada News Corp Australia.

"Saya sangat teruja, sangat gembira berada di sini. Saya memberi tumpuan pada pertandingan dan berharap semua berjalan lancar pada hari tersbut.

"Saya telah menjalani latihan dengan baik, peserta lain juga berlatih keras dan oleh kerana itu pertandingan akan menjadi sengit. Kita lihat sejauh mana pencapaian saya pada hari tersebut."

Bapanya George telah diberi kelulusan sebagai jurulatih Australia supaya dia boleh memimpin anaknya sehingga ke platform selepas kebimbangan awal berhubung peraturan yang ada di Glasgow.

Dia pada mulanya akan dipilih sebagai anggota kakitangan sokongan yang tinggal di kampung sukan tetapi akhirnya telah terpilih sebagai salah seorang jurulatih rasmi Australia.

"Saya akan memimpin dia ke platform, rasanya tidak akan menjadi masalah, semuanya telah diatur,'' kata George Chamoun.

"Saya amat berbangga dengan dia, sangat teruja. Ini adalah kali pertama di sini dan kami amat teruja.

"Kita berharap dia mencipta sejarah, harap-harap dia mendapat pingat."

Malek berkata, dia tidak dapat berbuat semua ini tanpa bapanya.

Setiap pengalaman baru, setiap cabaran dilihat melalui mata bapanya.

"Boleh dikatakan ayah bersama-sama saya ke mana-mana sahaja serta membimbing saya ke merata-rata tempat dan menerangkan segala-galanya kepada saya, Begitulah cara kami bekerja sepanjang masa,'' katanya.

"Dia melakukan kerjanya, saya buat kerja saya pula dan apabila saya di atas platform itu semuanya saya. Saya perlu mengangkat berat tetapi ayah di situ membimbing saya. Dia seperti mata saya.

"Setiap bar mempunyai alur jadi saya gunakan untuk kepentingan saya. Saya rasa cengkaman dan belajar di mana letak sepatutnya dengan sentuhan. "

Chamoun tidak akan bermain lagi untuk kumpulan ragbi Canterbury Bulldogs yang disayanginya tetapi dia mungkin melakukan sesuatu yang lebih penting: menjadi contoh yang cemerlang bagi orang kurang upaya dan kurang bernasib baik.

Tuesday, 5 August 2014

Kecantikan di mata mereka yang melihat

Rencana "'Beauty in the Eye of the Beholder" oleh Laura Wolk bertarikh 25 Julai 2014 terbit di verilymag





Dalam beberapa minggu dan bulan yang lepas ini serentetan video muzik dan iklan telah tersebar luas mempromosikan idea kecantikan "semula jadi" atau "sebenar". Video-video oleh John Legend dan Colbie Caillat, misalnya, mencabar standard kecantikan dengan menampilkan wanita yang tidak menepati acuan seorang supermodel bersama-sama mesej memperkasakan kecantikan dalam.

Mungkin kelihatan agak mengejutkan bagi seseorang seperti saya yang sama sekali tidak dapat melihat untuk memberikan komen tentang kecantikan dalam pengiklanan. Pada tanggapan ramai orang yang boleh melihat, konsep hidup dalam dunia tanpa penglihatan namun yang masih dipenuhi kecantikan seolah-olah satu ilusi, jika tidakpun sesuatu yang sama sekali mustahil. Kenalan-kenalan sering mengatakan bahawa saya bernasib baik kerana tidak terjejas oleh imej terkini yang dianggap boleh diterima apabila memperkatakan tentang bentuk badan seorang wanita, dan komen saya bahawa sesuatu itu adalah "cantik" sering menemui cubaan yang membingungkan dalam usaha memahami apalah erti perkataan itu kepada orang yang buta.

Tetapi hakikatnya, dalam banyak aspek, pengalaman saya dengan kecantikan tidak berbeza daripada mana-mana wanita muda biasa. Seperti mana-mana teman wanita saya yang telah menjadi mangsa kepada sesi foto rambut pada pukul 5:30 pagi atau percubaan yang tidak berjaya merakam video diri sendiri dari belakang boleh membuktikan, saya, seperti ramai yang lain, sudah lama ingin merasa dan dilihat cantik. Dan, seperti terlalu ramai wanita lain, saya juga telah mengalami sisi buruk daripada budaya yang mengutamakan kesempurnaan lebih daripada realiti. Saya menjadi buta akibat satu bentuk kanser retina yang menyebabkan mata saya terlalu kecil, terlalu jauh ke belakang, dan terlalu berkilau untuk dianggap sebagai wajah yang "cantik" oleh standard pengiklanan massa.

Saya tidak akan melupakan hari apabila seorang profesional yang berniat baik memberitahu ketika saya berumur enam belas tahun bahawa saya mungkin patut mempertimbangkan menyembunyikan mata saya di sebalik cermin mata hitam kerana ia akan membuat saya lebih mudah mendapat pasangan, atau semasa seorang wanita mabuk di satu majlis memberitahu saya bahawa adalah tidak adil bahawa badan seperti saya telah dibazirkan ke atas seseorang yang tidak akan pernah boleh menggunakan atau menghargainya-bahawa jika wujudlah Tuhan, Dia akan menukarkan muka kami. Seperti ramai wanita yang akan berasa empati setelah berhadapan dengan isu kecantikan, tidaklah menghairankan bahawa dalam saat paling lemah, di mana keyakinan diri yang paling diperlukan tetapi hadir hanya sekejap, pengalaman ini, dan bukan pelbagai contoh-contoh balas daripada rakan-rakan dan keluarga, mengancam dialog dalaman saya.

Saya merenung kecantikan daripada sudut ini dan, khususnya, bagaimana pengiklanan boleh menunjukkan kecantikan sebenar orang lain dengan badan yang berbeza bentuk.

Saya perhatikan usaha artis-artis seperti Legend dan Caillat serta kempen pengiklanan seperti Dove's Real Beauty terpuji, dan saya tidak ragu-ragu bahawa bintang-bintang yang terlibat-Caillat khususnya-mempunyai niat yang terbaik untuk projek-projek ini. Pada saya, bagaimanapun, pendekatan semua-atau-tiada-apa-apa langsung ini, di mana sama ada status quo glamor masih utuh atau video menampilkan secara eksklusif wanita "yang secara semula jadi cantik", melahirkan risiko yang hanya menyerlahkan satu lagi bentuk pecah belah di bidang yang sudah memang berpuak-puak.

Ia secara tersirat mengadu domba wanita "semula jadi" dengan mereka yang benar-benar menikmati ekspresi diri melalui solekan, pakaian, kasut, dan aksesori. Ia terlepas pandang hakikat bahawa wanita yang mungkin kelihatan menarik, cantik dari segi konvensional, walaupun dalam keadaan "semula jadi" mereka, mungkin bergelut dengan rasa tidak yakin yang sama mendalam sebagaimana seorang wanita biasa. Dan ia gagal menangani hakikat bahawa memandang rendah seseorang kerana bentuk badannya dialami oleh wanita yang memang kurus mahupun yang lain. Jika ada satu perkara yang tidak dingini oleh mereka yang terjejas oleh industri fesyen, ialah kewujudan satu lagi klasifikasi "dalam kumpulan berbanding luar kumpulan" bagi menentukan siapa yang mempunyai tuntutan yang sahih terhadap gelaran "cantik."

Tetapi, lebih daripada itu, saya tertanya-tanya sama ada mesej ini mengalami masalah mengulangi apa - kita semua cantik - tanpa mengambil kira mengapa. Kenapa, mengambil kata-kata Caillat, kita tidak perlu mencuba? Tanpa jawapan yang lebih mendalam ini, mesej-mesej tadi menjadi kenyataan cetek semata-mata, kemungkinan besar akan terus tewas kepada imej negatif yang jauh lebih kuat dan meluas yang bukan sahaja memberitahu apa kekurangan kita, tetapi mengapa kita harus berasa tidak berpuas hati sehingga kita memilikinya.

Asal bermulanya soalan mengapa, walaupun ia hanya suatu pemerhatian saya terletak pada yang berikut: saya telah nyatakan sebelum ini bahawa saya mengalami keindahan dalam banyak cara sama seperti orang yang boleh melihat. Walau bagaimanapun, satu perbezaan dasar telah memberi kesan besar terhadap idea-idea saya tentang kecantikan, dan ini adalah apa yang ingin saya kongsi bersama. Kerana, apabila anda renungkan, jika kecantikan adalah di mata yang melihat, maka saya mempunyai keistimewaan yang berbeza dan menarik kerana hamparan hidup saya dilukis oleh beratus-ratus orang yang membantu saya melihatnya, semuanya cuba menerangkan kepada saya dengan perkataan pemandangan yang paling menarik kepada mereka.

Mereka yang melihat adalah daripada semua lapisan masyarakat, dengan pelbagai idea tentang apa itu kecantikan. Tetapi dalam setiap kes, mereka yang melihat nampaknya terperangkap oleh keinginan serentak untuk menerangkan dan kesedaran bahawa apa yang dia terangkan kepada saya tidak akan memadai. Ayat-ayat dibiarkan tergantung, yang akan diganggu dan terganggu sekali lagi. Kata sifat yang dipilih, direnung kembali, dan dibuang digantikan dengan ayat-ayat yang sama-sama memualkan. Kadang-kadang kata-kata terhenti sama sekali dan yang melihat tidak boleh berbuat apa-apa selain daripada memekik, menggenggam tangan saya dengan kuat, tanpa disedari menjentik jari, atau menyerah kalah terus, diam sahaja. Pengalaman ini telah mengajar saya bahawa asas melihat sesuatu objek yang cantik adalah satu pengiktirafan keseluruhan keunikannya - bagi yang melihat, ia tidak boleh ditukar ganti, tidak berulang lagi, tidak boleh dikurangkan, dan tidak terkongkong dalam kotak konsep linguistik yang terbatas.

Maka amat berbeza sama sekali dengan cara mereka yang membantu saya melihat melakarkan potret diri sendiri. Tanpa bergelut dengan lakaran yang tepat, mereka sering bergerak dari kepala ke kaki, dengan bersahaja menyusun kata-kata sifat seperti membosankan, kempis, besar, pendek dan gemuk, berserabut, satu di atas yang lain seolah-olah melibatkan diri dalam masalah campur tolak gergasi di mana jumlah semua ciri-ciri yang biasa atau negatif adalah bersamaan dengan segala sesuatu yang menonjolkan mereka sebagai seorang manusia. Tanpa bergelut dengan perkataan yang tepat, mereka menggunakan kata sifat dan kata nama yang boleh digunakan untuk menggambarkan apa sahaja daripada sebuah gudang sehinggalah ke ladang rumput. Benar, kebiasaan akan membawa rasa jelek, tetapi mesti ada sesuatu yang lebih tentang cerita ini.

Apakah mungkin kita, sebagai satu budaya, telah kehilangan pemandangan yang cuba dilakarkan oleh mereka yang membantu saya melihat, kita semua tidak boleh ditukar ganti, tidak boleh diulang lagi, tidak boleh dikurangkan, dan tidak terkongkong dalam konsep linguistik yang terbatas? Bahawa walaupun dengan usaha yang terbaik, sebahagian daripada kita akan sentiasa tidak mengikut definisi, kekal selama-lamanya di luar pemahaman walaupun rakan yang paling intim atau kekasih? Apakah mungkin kita terlupa bahawa intipati kita sebagai individu tidak boleh dihadkan hanya kepada badan kita (mudah digambarkan dengan beberapa kata sifat) tetapi juga merangkumi minda, pengalaman, perjuangan, dan kegembiraan kita-setiap satu dibentuk oleh pengalaman hidup yang unik kasih sayang dan kekecewaan yang tidak pernah terjadi dan yang tidak akan wujud lagi? Pendek kata, pada saya seolah-olahnya perkara paling semula jadi tentang setiap daripada kita, dan apa yang membuatkan setiap daripada kita begitu cantik, adalah hakikat mudah yang kita semua hidup penuh keindahan, tragedi dan misteri.

Jadi bagaimana kita mengambil kira semua ini? Bagaimana kita menggabungkan idea ini ke dalam bidang pengiklanan? Pertama sekali, tentulah kita boleh belajar untuk mengakui dan menerima andaian, bahawa oleh kerana pengalaman hidup kita berlaku bukan sahaja terhadap minda kita tetapi juga kepada badan kita, adalah amat "semula jadi" badan kita akan mengingati sekurang-kurangnya beberapa butir-butir naratif kehidupan unik yang tidak dapat berulang lagi. Kita boleh belajar menerima andaian bahawa wanita yang secara semula jadi cantik berhak dipanggil cantik dengan pendekatan yang sama seperti Grand Canyon; yang wujud megah dan menakjubkan kerana dan bukan berkurang keindahannya, dengan batu-batu yang berbongkol, belukar kering, dan tebing curam yang membahayakan. Kita boleh menerima andaian bahawa wanita yang secara semula jadi cantik tepat dipanggil cantik dengan pendekatan yang sama seperti puncak Gunung Fuji, dengan sumber kemegahan dan penderitaan yang satu dan sama. Sama ada kesan lebam bayi selepas lahir, beg kolostomi, pam insulin, parut kanser payudara, atau manifestasi luaran cubaan bunuh diri, badan kita mencerminkan perjuangan untuk menjadi dan mencari dan hidup dan memahami kehidupan kita, mengubah kesakitan menjadi kegembiraan dan kegembiraan menjadi identiti diri yang kekal.

Kita boleh mengajar diri menjadi orang yang melihat kecantikan, dalam diri kita dan di antara satu sama lain, dengan belajar melihat satu sama lain sebagai orang yang kukuh, lengkap, dan unik. Kecantikan tidak berpunca semata-mata daripada sama ada nilai badan atau minda kita, tetapi dari fakta misteri dan unik manusia bahawa kita memiliki kedua-duanya, setiap satu dipengaruhi dan diubah suai oleh yang lain.

Dan kemudian kita boleh meminta pengiklan melakukan yang sama. Mungkin ini kedengaran idealistik, tetapi hal yang lebih aneh pernah berlaku. Wang punya kuasa, dan pengiklan telah mendekati, walaupun perlahan-lahan, pasaran-pasaran yang terpinggir kerana terbukti telah berkembang popular. Jika pengguna boleh memberi tekanan supaya membuang fruktosa tinggi sirap jagung dan sulfat syampu, sesungguhnya kita juga boleh menekankan hasrat untuk hidup dengan gaya hidup yang bebas daripada tumpuan kepada badan sahaja. Saya fikir bahawa kekuatan kita yang ramai bilangannya memang boleh digunakan untuk menyampaikan mesej bahawa kita mahu iklan yang bertindak sebagai peringatan bahawa, seperti yang dinyatakan oleh satu video yang tersebar meluas baru-baru ini, "Kecantikan adalah lebih daripada apa yang kita lihat dengan mata. Kita lebih daripada itu. "

Iklan Nordstrom dan Dove Campaign for Real Beauty yang memaparkan orang kurang upaya merupakan satu langkah ke arah yang betul yang perlu disokong dan diharapkan akan diperluaskan. Walaupun saya tidak begitu bersetuju dengan penggunaan perkataan "sebenar" oleh Dove untuk menggambarkan pendekatannya, saya masih percaya strategi ini, secara tidak langsung, berusaha untuk mewujudkan satu konsep yang lebih holistik tentang kecantikan yang meliputi kehidupan, bukan hanya badan seseorang - semua bentuk rupa wanita dan untuk semua rupa paras wanita. Saya berharap gerakan-gerakan ini akan membantu menyediakan momentum bagi cita-cita baru dan memberi inspirasi kepada lebih ramai wanita untuk menambah suara mereka terhadap panggilan untuk perubahan.


Laura Wolk adalah pelajar undang-undang tahun kedua di University of Notre Dame.

Pelari buta merancang berlari 50 batu dalam 12 jam

Rencana "'Legally blind runner to tackle 50 miles in 12 hours" oleh Matthew Chase bertarikh 25 Julai 2014 terbit di wakefield



Wakefield, Massachusetts

Kebanyakan pelari berlatih menamatkan larian maraton sejauh 26.2 batu, tetapi Kyle Robidoux masih mempunyai janji-janji untuk ditepati dan berbatu-batu lagi yang hendak ditamatkan sebelum dia tidur.

Robidoux, dari Roxbury, akan mengambil bahagian dalam Ultra Around the Lake di Lake Quannapowitt Wakefield pada hari Sabtu 26 Julai, dan dia merancang berlari sekurang-kurangnya 50 kilometer dalam 12 jam.

Malah atlet bertaraf dunia akan menghadapi masalah dengan jarak dan masa sedemilkian, tetapi keadaan Robidoux ini agak berbeza. Robidoux disahkan buta di sisi undang-undang, setelah mewarisi penyakit yang dikenali sebagai Retinitis Pigmentosa, penyakit keturunan di mana pigmen retina menghakis retina itu sendiri. Robidoux didiagnosis ketika berumur 11 tahun, dan pada masa dia berusia 18 tahun, beliau telah diisahkan buta.

"Saya mempunyai kira-kira 5 hingga 7 peratus daripada apa yang dianggap sebagai penglihatan tradisional," kata Robidoux, "Saya tidak mempunyai penglihatan malam dan penglihatan periferal sangat terhad. Penglihatan saya boleh diibaratkan sebagai bulatan yang sama saiznya dengan bahagian dalam satu gelung kertas tandas. "

Lama kelamaan, Robidoux belajar menyesuaikan diri dengan kebolehan yang masih ada. Robidoux telah terlibat dalam beberapa pertubuhan masyarakat untuk kanak-kanak cacat penglihatan dan baru-baru ini dilantik sebagai ahli Suruhanjaya bagi Orang Kurang Upaya Bandar Boston oleh Datuk Bandar Marty Walsh.

"Saya menghabiskan waktu remaja dengan tidak menghiraukan perkara itu dan sering rasa marah mengenainya," kata Robidoux. "Tetapi sesi terapi bertahun-tahun dan kematangan membantu saya menerima hakikat."

Selepas mengatasi perasaan benci yang menular dalam diri dan menerima keadaannya, Robidoux menukarkannya menjadi suatu kekuatan. Beliau telah menyertai empat maraton sebelum tahun lepas, tetapi Maraton Boston sentiasa menimbulkan isu.

"Semua orang bertanya bila saya akan menyertai Maraton Boston. Hakikatnya, saya tidak tahu jika saya boleh berlatih di musim sejuk, "kata Robidoux.

Kesukaran berlari dengan kekurangan penglihatan beliau bertambah rumit di musim sejuk apabila faktor salji diambilkira.

"Tetapi, saya lihat semakin ramai atlet cacat penglihatan menyertai Maraton Boston, jadi saya tidak boleh menggunakannya sebagai alasan lagi," katanya.

Selepas berlatih di antara waktu bekerja, Robidoux menamatkan Maraton Boston 2014. Cabaran seterusnya bagi Robidoux iallah larian Ultra-Maraton mengelilingi Tasik Quannapowitt.

"Saya mahu melihat sejauh mana saya boleh menolak diri saya, jadi saya akan cuba menamatkan seluruh 12 jam larian," kata Robidoux. "Saya merancang berlari sekurang-kurangnya 50 batu, dan dengan masa latihan yang telah dilakukan, saya mungkin boleh berlari kira-kira 57 batu dalam tempoh 12 jam."

Latihan Robidoux memang intensif. Ultra-maraton, memerlukan sejenis latihan yang dipanggil 'latihan sandwic'.

"Matlamatnya adalah melakukan dua larian yang mengambil masa lama dua hari berturut-turut," kata Robidoux. "Untuk beberapa minggu yang lalu, saya telah melakukan larian tiga jam pada hari Sabtu dan larian empat jam pada hari Ahad."

Motivasi adalah kebimbangan utama yang dikaitkan dengan larian selama itu. "Saya akan mempunyai satu siri pemandu yang berlari bersama-sama dengan saya sepanjang jangka masa larian," kata Robidoux, "Tugas mereka adalah membantu saya mengemudi perjalanan dan memberikan sokongan. Laluan larian yang merupakan satu bulatan adalah elok kerana saya akan dapat melihat muka-muka biasa yang memberi motivasi kepada saya setiap tiga hingga empat batu."

"Saya telah belajar menerima dan menyesuaikan diri dengan keadaan saya sebanyak mungkin," kata Robidoux. "Saya diberitahu bahawa saya merupakan pelari cacat penglihatan pertama menyertai Maraton Ultra."

Monday, 4 August 2014

Program musim panas mencerahkan masa depan mereka yang cacat penglihatan

Rencana "'Summer program brightens future for visually impaired" bertarikh 25 Julai 2014 terbit di usatoday




Langit indah biru, rumput hijau terang, dan bunga yang berwarna-warni. Ini semua adalah pemandangan musim panas yang dianggap biasa oleh ramai orang. Ernesto Menendez dipaksa "melihat" dengan cara yang sangat berbeza: Dengan tangannya.

Menendez mula kehilangan penglihatannya ketika dia berumur kira-kira 11 tahun. Sekarang pada usia 18 tahun, dia buta sepenuhnya.

Andrew Briscoe berperasaan sama; dia sah di sisi undang-undang buta pada mata kirinya.

"Saya mempunyai penglihatan 20/200," jelas Briscoe. "Retina saya tercerai ketika masih bayi."

Tetapi kedua-dua lelaki muda ini tidak membiarkan keadaan tersebut mengongkong mereka. Terima kasih kepada Dallas Regional Employment Meet, atau "DREAM", program, anak-anak muda yang cacat penglihatan diberi pengalaman bekerja. DREAM bekerjasama dengan syarikat-syarikat seperti CVS, Albertsons dan syarikat-syarikat Dallas yang lain membantu menjayakan program selama lima minggu itu.

"Hanya kerana ada kecacatan tidak menjadikan mereka kurang apa-apapun sebagai seorang pekerja yang rajin atau boleh dipercayai," kata Jennifer Svelan dari Texas Department of Assistive and Rehabilitation Services..

Program ini bukan sahaja menawarkan pengalaman kerja, tetapi juga pelajaran tentang hidup. Para peserta belajar membeli-belah di kedai runcit, mengendalikan belanjawan, membasuh baju, bercukur dan banyak lagi.

"Saya benar-benar mendapat pengalaman yang baik dengan berjalan ke kedai runcit, membuat senarai membeli-belah, menguruskan buku cek saya, yang benar-benar 'membuka mata' - bukan jenaka ya - bagi saya," kata Menendez dengan senyuman.

Nampaknya bukan sahaja program ini membantu mengajar kemahiran hidup, ia juga menawarkan harapan untuk masa depan.

"Ada banyak jenis pekerjaan yang tidak ditawarkan kepada orang buta kerana ramai beranggapan mereka tidak boleh melakukan perkara-perkara tertentu," kata Briscoe. "Tetapi jika anda menunjukkan kepada mereka bahawa andaian itu salah, saya amat yakin bahawa dalam tahun-tahun akan datang keadaan benar-benar boleh berubah."

Sunday, 3 August 2014

Buta tidak menghalang kejayaan adik beradik

Rencana "'Brothers not held back by blindness" oleh Karen Morrison bertarikh 25 Julai 2014 terbit di producer



Keusahawanan luar bandar – kembar dua beradik mengendalikan perniagaan komputer dan memasak dari rumah di Swan River, Manitoba, Kanada

Menghadapi virus komputer dan selera makan yang menggoda adalah kejayaan yang bukan kecil maknanya bagi kembar dua beradik dari Sungai Swan.

Usahawan-usahawan berusia 29 tahun ini kedua-duanya sah buta di sisi undang-undang.

Christopher Yelinek membaiki, menjual dan memasang sistem di Cat 'N' Mouse Computers, manakala Devon menyediakan pelbagai jenis biskut hasil pesanan pelanggan di Devon's Cookies.

Mereka membesar di sebuah ladang gandum berdekatan Minitonas, tetapi meneruskan usaha keluarga bukanlah satu pilihan untuk pasangan kembar ini, yang telah berkongsi sebuah rumah di bandar selama lebih daripada sedekad.

Christopher memegang telefon bimbit rapat ke muka beliau, sambil menunjukkan bagaimana dia mengatasi cabaran penglihatan dengan menggunakan monitor komputer yang lebih besar, pembesar dan pembaca skrin.

"Saya sudah tahu apa yang perlu dilakukan dalam banyak perkara dan tidak memerlukan skrin," kata Christopher, yang belajar tentang sains komputer melalui program atas talian Athabasca University.

Beliau berhenti belajar di pertengahan tempoh pengajian selepas sukar mendapatkan bahan-bahan yang boleh diakses.

Christopher mempunyai visi separa pada sebelah mata, manakala adiknya adalah buta dan autistik.

Devon mengadun dan menyukat bahan-bahan dalam membuat biskut, muffin dan kek beliau, dengan menggunakan puluhan buku masakan dan resepi keluarga.

"Saya suka memasak sejak masih kanak-kanak," katanya.

Ibunya, Evelyn, berkata biskut yang merangkumi pinwheel sehinggalah mentega kacang telah menerima anugerah di pameran tempatan.

"Seseorang hanya perlu makan biskut beliau sekali dan mereka akan ingat selama-lamanya," katanya.

Devon berkata ibunya membantunya menubuhkan perniagaan di rumah, mendapatkan bekalan dari penjual yang lebih besar untuk mengurangkan kos. Pekerja sokongan beliau membantu membuat biskut.

Devon, yang sukar duduk diam lama-lama, pernah membuat seramik, tetapi sekarang membuat biskut sahaja.

"Dengan autisme, adalah lebih mudah untuk memberi tumpuan kepada satu-satu perkara," kata Evelyn.

Orang kurang upaya bukan sahaja menghadapi banyak cabaran mereka sendiri tetapi juga yang ditimbulkan oleh orang lain.

"Anda dinilai sebelum kebolehan terbukti," kata Christopher.

"Saya seorang mekanik. Tetatpi saya jenis yang berbeza," katanya tentang kerja yang dilakukannya, yang pada masa lalu termasuklah menghasilkan permainan untuk orang buta.

"Saya sentiasa suka membantu orang," katanya.

Beliau bekerja melalui telefon, atas talian dan secara peribadi apabila dia menyelesaikan masalah kegagalan perkakasan dan serangan virus. Beliau mengemaskini pelbagai peralatan khusus dan menjual peralatan menurut permintaan pelanggan.

"Tidak berbaloi jika ada timbunan komputer di atas rak. Kami memesan apa yang diperlukan bukan menjual secara pukal," katanya.

"Oleh kerana kami tinggal di luar bandar, perlulah melakukan sedikit sebanyak segala-galanya."

Christopher juga meluangkan masa untuk hobi terbaru beliau iaitu radio amatur.

Beliau terkenangkan waktu dia diminta membantu seorang pelajar memulihkan komputer riba yang rosak teruk dengan tesis kolej yang terperangkap di dalamnya.

"Anak-anak muda sekarang sering tidak membuat salinan kerja mereka," katanya.

Apabila memulakan sesuatu projek, Christopher bertanya dahulu tentang keperluan pelanggan dan kemudian cuba memberikan perisian yang sesuai.

"Kami memberi apa yang anda perlukan sahaja," katanya. "Kebanyakan orang tidak perlu perisian tambahan, kerana semua itu hanya melambatkan proses sistem komputer."

Devon dan Christopher berkata ramai tidak sanggup membayar kos pembaikan dan berasa lebih mudah menggantikan sahaja komputer mereka.

"Seperti sebuah kereta, lebih baik anda beli yang baru," kata Devon.

Christopher menjalankan perniagaan dari rumah dan juga dari pejabat kecil di Be Seeing You Vision Centre Main Street, di mana pelbagai peranti tetikus, monitor dan lain-lain peralatan komputer memenuhi ruang kerja dan rak.

Optometrist Dr Michele Marshall memberi ruang sewa percuma, dan dia memperbaiki komputer-komputer di pejabat dan rumahnya.

"Jika komputer tidak berfungsi, dia ada membantu," kata Dr Michele.

"Saya tidak tahu siapa lagi akan kami panggil di sekitar sini. Dia akan membantu lebih daripada apa yang diperlukan semasa memperbaiki sesuatu. "

Evelyn berkata kekuatan Christopher itu terletak pada keupayaannya memberitahu dengan jelas bagaimana hendak menyelesaikan masalah komputer kepada pelanggan dan bukan hanya menunjukkannya kepada mereka.

"Dia memberi arahan yang sempurna," tambah Evelyn.

Falsafah keibubapaan beliau termasuklah menerapkan etika kerja, mengingat kembali tentang bagaimana kembar dua beradik itu pernah membersihkan salji dan mengangkut kayu.

"Saya percaya anak-anak mempunyai tanggungjawab dalam keluarga," kata Evelyn, dengan anak ketiga, Paul, 19, bekerja sebagai pemandu truk di Winnipeg.

"Jika mereka mahu benda-benda lain, mereka bekerja ke arah itu."

Evelyn bekerja di ladang dan juga menjalankan perniagaan buku skrap di rumah dipanggil Scraps of Love sementara suaminya, Larry, bekerja sepenuh masa dengan kerajaan Manitoba.

Pelekat, pewarna dan folder cetak timbul kepunyaan Evelyn mengisi sebuah bilik di rumah kembar dua beradik itu dari lantai ke siling.

"Saya di sini bukan untuk menyapu kaviar di atas roti, jem OKlah," katanya tentang matlamat perniagaannya yang sederhana.

Larry berkata kehidupan di bandar adalah kurang terpencil berbanding di ladang, dan akses kepada perkhidmatan dan pekerjaan adalah lebih baik.

"Ia memberikan mereka lebih banyak peluang bersama dengan orang ramai. Hidup ini lebih bermakna di Swan River," katanya.

"Adalah sihat bagi seseorang berupaya melakukan sesuatu."

Ketiga-tiga perniagaan dari rumah menggunakan laman web untuk memasarkan perkhidmatan mereka dan adalah ahli Swan River Chamber of Commerce.

Heather Nielsen, presiden pertubuhan, berkata perniagaan di bandar ini menyediakan pelbagai barangan dan perkhidmatan untuk memenuhi keperluan tempatan.

Beliau berkata kelebihan keahlian pertubuhan adalah bertambahnya pendedahan melalui direktori telefon, laman web, promosi placemat dan akses ke pameran perdagangan dan mesyuarat-mesyuarat pertubuhan.

"Ia berkisar pada keadaan tempatan dan berasaskan pertemuan muka ke muka," katanya

Saturday, 2 August 2014

Australia membangun telefon yang jauh lebih pintar untuk orang buta

Rencana "'Australia develops much smarter phone for the blind" bertarikh 25 Julai 2014 terbit di cntv



Telefon pintar mudah alih untuk orang buta dan cacat penglihatan - sehingga sekarang - bergantung hampir sepenuhnya kepada teknologi suara-ke-teks yang tidak begitu mesra pengguna, tetapi dengan pelancaran telefon bimbit braille pertama di dunia pada hari Khamis baru-baru ini, semua itu mungkin berubah.

Akibat evolusi teknologi skrin sentuh, orang buta telah begitu ketinggalan dengan perkembangan teknikal yang luar biasa peranti-peranti mudah alih.

Menurut Brad Scoble, Pengarah OwnFone Australia, pintu itu kini telah dibuka dengan "telefon braille pertama yang boleh didapati secara komersial di dunia."

"Teknologi skrin sentuh adalah bermasalah ... "kata Scoble.

"OwnFone, hasil rundingan bersama masyarakat orang buta dan cacat penglihatan, membangunkan telefon mudah alih yang mudah tanpa skrin sentuh dan yang boleh diperibadikan dengan butang braille.

Ini bukan kali pertama pereka peranti mudah alih telah mencuba merapatkan jurang teknologi bagi yang cacat penglihatan.

Walaupun telefon ini menyokong panggilan, teks, navigasi GPS, pengenalan objek, dan hampir 100,000 buku audio, Tom Sunderland, pencipta OwnFone, mengatakan bahawa mengubahsuai peranti itu menurut citarasa peribadi merupakan masa depan teknologi untuk mereka yang cacat penglihatan.

"Butang braille dihasilkan menggunakan percetakan 3D dan disesuaikan untuk setiap pelanggan, yang menjadikan telefon braille OwnFone ini yang pertama seumpamanya di dunia."

Sunderland, yang berpangkalan di UK berkata, "OwnFone adalah yang pertama di dunia yang menjual telefon braille yang peribadi untuk setiap pengguna. "

Menurut Sunderland, kos membangunkan telefon braille berbanding saiz pasaran telah sebelum ini menjadi penghalang menghasilkan versi komersial.

"Percetakan 3D menyediakan cara yang cepat dan mampu untuk mengatasi halangan ini," katanya.

Vision Australia menganggarkan kini terdapat 357,000 orang di Australia yang buta atau mempunyai penglihatan yang rendah. Menyediakan perkhidmatan yang memenuhi keperluan segmen yang bukan sedikit ini telah menjadi keutamaan kerajaan.

Skim National Disability Insurance Scheme (NDIS) yang menimbulkan kontroversi dan dilaksanakan pada tahun lepas (yang memberikan sokongan kepada mereka dengan tahap kurang upaya ketara) mencerminkan komitmen untuk memastikan perkhidmatan bagi mereka yang kurang bernasib baik dengan kecacatan menjadi keutamaan dasar.

Pelancaran telefon ini akan membolehkan pengguna mereka bentuk telefon braille peribadi mereka di laman web jenama peranti tersebut.

Menurut laman web ini, pemohon akan memasukkan tiga nama kenalan, yang kemudiannya secara automatik ditukar menjadi braille. Nama-nama ini kemudian dicetak di bahagian depan telefon dalam braille.

Scoble berkata, "OwnFone memenuhi keperluan untuk telefon bimbit asas yang memudahkan pengguna terus berhubung. Telefon pintar sering terlalu rumit, dan bagi orang buta, tidak mesra pengguna. "

Apabila Kerajaan Australia mengeluarkan Website Accessibility National Transition Strategy pada tahun 2010, ia menyatakan bahawa "teknologi baru mempunyai potensi yang besar menjadikan kehidupan orang kurang upaya lebih baik, tetapi kita perlu memastikan bahawa ia adalah semudah mungkin untuk digunakan bagi semua ahli masyarakat kita. "

Manakala akses digital telah menyumbang kepada penciptaan WCAG 2.0. (Versi terbaru amalan terbaik global Web Accessibility Guidelines), keupayaan untuk mewujudkan komputer riba yang memuatkan kandungan braille mungkin masih jauh.

"Telefon braille OwnFone amat mudah untuk direka bentuk dan digunakan. Terdapat pendail satu butang mudah, dan butang braille dipra-programkan untuk memanggil orang yang dipilih pengguna, seperti keluarga, rakan-rakan atau penjaga.


Scoble berkata, "telefon braille melengkapkan OwnFone yang sedia ada untuk kanak-kanak dan warga tua. Satu-satunya perbezaan adalah dalam reka bentuk telefon. Kanak-kanak dan warga tua mempunyai pilihan perkataan atau imej untuk butang, manakala orang yang buta mempunyai braille. "

Pengguna hanya boleh membuat dan menerima panggilan telefon, dan Triple Zero (000) sentiasa dimasukkan sebagai pilihan, jika berlaku kes kecemasan.

Friday, 1 August 2014

Mata saya berada di tangan saya: sentuhan ajaib si tukang buta George Wurtzel

Rencana "'My eyes are in my hands: Blind craftsman George Wurtzel's magic touch" oleh Kristin Tillotson bertarikh 25 Julai 2014 terbit di thestar



Tukang kayu buta George Wurtzel mengatakan bahawa seseorang boleh belajar melihat dengan tangan mereka.

George Wurtzel bersiul lagu Camptown Races sementara pelarik berkuasa tinggi berputar suku inci dari ibu jari dan jari telunjuk beliau. Arus habuk kayu senipis benang bertaburan seperti bunga api meletup daripada seketul kecil kayu pain yang sedang dibentuknya menjadi penyumbat botol wain berbentuk sombrero, sesetengahnya jatuh ke janggut penuh beliau. "Apabila kita memutar sebatang kayu, bunyinya berubah secara mendadak menurut bentuknya," kata George. "Anda boleh tahu apa yang berlaku daripada bunyi dan rasa getaran."

Tiba-tiba, penyumbat yang sudah separuh terbentuk itu terkeluar daripada genggaman ragum dan berguling ke bawah bangku kerja di studio selatan Minneapolis beliau. "Whoops," katanya, mematikan mesin dan membongkok meraba-raba di atas lantai mencari apa yang sedang dikerjakannya. Dia meraba-raba dengan satu tangan tetapi tidak menjenguk di bawah meja kerja. Itu tidak akan membantu, kerana George buta. Beliau secara beransur-ansur kehilangan penglihatannya sewaktu remaja akibat retinitis pigmentosa, penyakit mata degeneratif yang disebabkan oleh gen bermutasi.

"Ia amat jarang berlaku, tetapi kedua-dua ibu bapa saya juga mendapatnya," katanya. "Saya rasa mungkin nasib akan lebih menyebelahi saya pada masa akan datang."

Bersikap lucu, senang ketawa dan berpandangan luas adalah sebahagian daripada aura menawan George. Begitu juga cara dia yang lemah lembut berdepan dengan ketidakpercayaan kenalan baru yang kagum dengan keupayaannya bukan sahaja menghasilkan perabot dan seni objek indah bersendirian dalam gelap-gelita, tetapi melakukannya dengan gergaji gergasi yang sedang berputar dan lain-lain alat kuasa berbahaya. "Tangan yang melakukan kerja, bukan mata," katanya. "Dalam kerja kayu, visual sebenarnya adalah sebahagian kecil daripada keseluruhan usaha itu. Semuanya berkisar tentang ketangkasan manual. "

Melihatkan dia, kerja itu juga berkaitan dengan minda seni yang peka tentang bentuk wanita abstrak pada jalur kayu walnut hitam yang telah diricih, atau bagaimana tanda yang ditinggalkan oleh kulat di atas sekeping kayu birch boleh menjadi perhiasan yang sempurna untuk sebuah kotak barang kemas. Jurugambar terkenal Bandar Berkembar Alec Soth baru-baru ini telah memilihnya untuk bekerjasama dalam pameran di Museum of Contemporary Art Detroit. Pameran "People's Biennial" untuk tahun kedua ini mengiktiraf kerja oleh karyawan di luar dunia seni yang lazim dan melibatkan hasil kerja yang tidak begitu dikenali tetapi patut diberi perhatian.

George berpindah ke Minneapolis dari Michigan empat tahun lalu untuk mengajar kerja kayu kepada pelajar-pelajar di National Federation of the Blind, tetapi dipecat dua tahun kemudian berikutan perselisihan dengan majikannya dan mengambil keputusan menyambung semula kerjaya solonya.

Bengkel beliau terletak di belakang sebuah kedai yang cantik di kejiranan Whittier yang membolehkan beliau memaparkan ciptaan yang dihasilkan, dari penyumbat wain aneh berbentuk seperti topi dan mangkuk dengan gaya yang tersendiri sehinggalah meja kopi yang mudah selain rak dan kabinet yang muat ke dalam satu sama lain tanpa pengikat. "Datuk saya pernah membuat teka-teki kayu seperti ini," katanya. "Anda boleh merungkai atau menyusun semula perabot saya dalam beberapa minit, dan tidak ada selak yang jatuh dan hilang."

George pernah memikirkan sama ada beliau akan melakukan perkara yang berbeza jika dia dapat melihat. "Saya ingin membaca pelan induk dan membuat lakaran awal - Semua itu dilakukan dalam kepala saya," katanya. "Tetapi saya tidak fikir saya akan menjadi tukang yang lebih baik." Dan di sisi positifnya, "Saya tidak dibebankan oleh reka bentuk orang lain dalam kepala saya."

Malah, katanya berjenaka, sebahagian daripada sebab beliau mengambil keputusan untuk membela janggut adalah kerana saya dilabel sebagai 'lelaki yang buta itu' walaupun saya lebih suka disebut sebagai 'tukang kayu yang berjanggut'. Saya mahu dinilai oleh apa yang saya lakukan sebagai tukang, bukan diberitahu saya luar biasa kerana saya tidak dapat melihat. "

Jari hantu tangan kiri George adalah lebih pendek daripada yang di sebelah kanannya sebanyak kira-kira setengah inci, akibat kejadian tidak diingini yang berlaku lewat satu malam di bengkel tadi apabila dia bekerja membuat kira-kira 300 potongan berulang-ulang. "Ia tiada kaitan dengan tidak dapat melihat," katanya. "Saya teringat benar bahawa saya hanya tertidur. Memang ramai tukang kayu di luar sana dengan jari yang hilang. "

Kayu kegemaran George ialah kayu "jenis percuma", yang biasanya bermaksud menggeledah timbunan kayu api kawan-kawan seperti Lee Tourtelotte, yang juga seorang tukang kayu dengan timbunan di belakang rumahnya seolah-olah lombong emas untuk seorang lelaki seperti George. "Anda menghakimi kekayaan seseorang dengan saiz longgokan kayu itu," katanya ketika ke tempat Lee yang terletak berhampiran Tasik Nokomis. "Lee, anda seorang lelaki yang kaya."

Sambil kedua-dua mereka bercakap tentang ira pelbagai kepingan kayu, George menyentuh atas, bawah dan sekeliling kayu tersebut. Walaupun dia sering meminta pandangan kawan yang celik tentang perbezaan warna pada sesuatu kepingan kayu, dia telah belajar membezakan kayu tadi dengan memanaskan permukaannya dengan kain basah yang panas atau dalam ketuhar gelombang mikro, dan buat sementara waktu menimbulkan ira kayu, serta membolehkan dia merasa corak yang ada di situ. Beliau juga boleh mengenal pasti jenis kayu yang berbeza daripada baunya.

"Saya mencari barangan yang berkerinting, ira kayu yang bengkok, atau simpulan yang menambah watak," katanya. "Saya agak yakin bahawa apabila saya meletakkan tangan pada kayu itu, imej yang saya dapat dalam kepala saya adalah hampir sama dengan apa yang Lee lihat dengan matanya."

George baru-baru ini menjual hasil karyanya yang bernilai hampir AS $ 10,000 (RM31, 677) melalui paparan di depan sebuah kedai kosong di pusat bandar, sebahagian daripada projek "Made Here" yang menonjolkan kerja artis-artis tempatan. Tetapi walaupun dia bercita-cita untuk hidup sepenuhnya bergantung pada hasil seninya, kerja seni bina beliaulah yang kini membayar bil. Beliau pakar dalam memulihkan atau menghasilkan semula pintu, tiang dan perapi yang mempunyai gaya tersendiri yang diketengahkan di dalam banyak rumah-rumah lama zaman Victoria.

Pemilik rumah Tamar Bagley di kejiranan Whittier mendapat tahu tentang George melalui persatuan kejiranan beliau dan memintanya untuk mengemukakan tawaran kerja membuat semula beberapa tiang oktagon untuk anjung dan tempat letak kereta di rumah miliknya yang dibina pada tahun 1906. "Kos boleh melambung naik jika anda mahu kerja dilakukan betul-betul seperti yang dikehendaki, tetapi anggaran beliau amat munasabah," kata beliau. "Dia datang ke sini, menyentuh permukaan kayu dengan tangannya dan membuat semula apa yang diminta dengan sempurna."

Selain pencapaian seni beliau, George yang berusia 60 tahun telah melalui kehidupan yang kaya dengan pelbagai pengembaraan.

Beliau dibesarkan di Traverse City, Michigan, di mana beliau membuka perniagaan kerja kayunya yang pertama sebaik menamatkan pengajian dari sekolah tinggi. Beliau telah menghadiri Michigan School for the Blind pada masa yang sama dengan penyanyi Stevie Wonder, dan membuatkannya replika kayu piano konsert Steinway berskala satu pertiga.

Beliau kemudiannya berpindah ke North Carolina, di mana perniagaannya membuat kes kayu segi tiga untuk bendera pengebumian tentera Amerika Syarikat amat berjaya sehinggakan dia menjualnya dan mampu mengembara selama beberapa tahun hasil jualan itu. Beliau pernah mengendalikan sebuah kem belia musim panas. ("Remaja seperti wayar," katanya. "Anda letak dua bersama-sama dan pasti ia menjadi kusut.")

Beliau pernah melatih kuda Arab, dan menunggang sejauh 80km dengan kuda kepercayaannya. Dia juga pemain ski merentas desa yang mahir dan menjadi ahli pasukan Paralimpik AS di tahun-tahun 1970-an, beliau telah berski di seluruh Lapland dan juga dari Fargo ke Tasik Superior pada tahun 1980. Pengarang buku yang terlaris, John Camp (lebih dikenali sebagai John Sandford) adalah sebahagian daripada kumpulan yang melakukan perjalanan beberapa hari dari Fargo.

"George adalah seorang lelaki yang kuat dan sukakan olahraga, dan dia kadang-kadang memeranjatkan saya di laluan-laluan yang sukar," kata John, yang ketika itu seorang wartawan untuk St Paul Pioneer Press. "Saya berada di belakang beliau memekik memberi panduan seperti 'belok kanan di hadapan' tetapi dia punya deria rasa alami tentang sesuatu laluan, dan selalu bersendirian di laluan tadi, malah menuruni bukit yang curam. Pada satu ketika kami berski menuruni bukit yang agak berbahaya apabila saya tiba-tiba melihat sebatang kayu melintang di laluan hadapan. Saya hanya sempat menjerit 'Hati-hati!' apabila salah satu skinya tergelincir di bawah kayu, sementara dia jatuh di atas, menyentap ski yang dipakainya. Nasib baik bukan kakinya. George jatuh beberapa kali, tetapi tidaklah lebih daripada kami yang lain."

George adalah pengunjung yang dikenali di banyak lokasi beriadah berdekatan, termasuk Black Forest and Eat Street Sosial, yang mempunyai kes berbentuk helix yang dibuat olehnya untuk memaparkan minuman buatan kedai itu. Seorang pengedar wain dari Perancis yang menemui dia di sana membeli kesemua stok penyumbat wain beliau. "George sangat berkarisma dan bercakap terus terang," kata Nick Kosevich, rakan kongsi di Eat Street. "Kami senang dengan kehadirannya. Dia ada sahaja sesuatu yang menarik untuk diperkatakan."

George bergerak sekitar kejiranan tempat tinggalnya menggunakan tongkat putih berlipat yang dimasukkan ke dalam salah satu poket kargo pakaian seragam hariannya, sepasang overall pudar jenama Liberty. Dia mengatakan anjing pemandu tidak sesuai untuknya: "Anda perlu menjaga anjing itu, dan terlalu banyak kerja yang perlu dilakukan."

Satu projek yang amat dekat di hati beliau adalah kapal layar pain kecil untuk seorang wanita muda yang sakit tenat yang ditemuinya tahun lepas bernama Maire Kent. Diilhamkan oleh buku yang diminatinya di zaman kanak-kanak beliau, Maire mahu abu beliau membuat perjalanan di atas bot kecil itu melalui Great Lakes dan kemudian ke laut. Beliau meninggal dunia akibat sarcoma jantung September lalu sebelum dia dapat melihat bot yang telah siap, tetapi George dan seorang rakan pembikin filem dokumentari - yang melakukan ujian percubaan di Tasik Calhoun - merancang memenuhi keinginan Maire dengan melancarkan bot tadi dalam perjalanan akhirnya dari Tasik Michigan di pertengahan bulan Julai.

Selain itu ada projek yang akan datang dengan Alec Soth untuk pameran di Detroit, yang dibuka pada 12 September. Beliau merancang membina satu siri kotak yang masing-masing akan mempamerkan aspek-aspek yang berbeza dalam hidupnya. "Apabila anda melihat di dalam kotak itu, masing-masing akan memberikan imbasan perkara-perkara yang membentuk saya menjadi siapa saya hari ini," katanya. Beliau tentu sekali perlu bermula sekarang. Dia akan memerlukan banyak kotak.