Thursday, 28 August 2014

People Mover Anchorage menyiasat kekecohan yang melibatkan penumpang buta

Rencana "Anchorage's People Mover investigating disturbance involving blind passenger" oleh Devin Kelly bertarikh 9 Ogos 2014 terbit di adn.




Pegawai-pegawai perkhidmatan bas Anchorage telah meminta maaf dan sedang menyiasat gangguan fizikal di dalam sebuah bas yang melibatkan seorang pemandu bas dan seorang penumpang cacat penglihatan yang berkata beliau telah ditolak oleh pemandu tersebut.

Kejadian itu berlaku kira-kira 10 petang pada 1 Ogos, apabila polis menyiasat satu laporan kekecohan yang berlaku di dalam bas People Mover di Northwood Street dan Strawberry Road. Pemandu bas itu menghubungi polis dan berkata seorang penumpang telah menyerangnya dan enggan turun dari bas, jurucakap polis Anchorage Jennifer Castro memberitahu melalui e-mel.

Pegawai-pegawai yang tiba mendapati pemandu dan penumpang diasingkan dan duduk diam di dalam bas, tulis Castro. Pemandu memberitahu polis penumpang itu menaiki bas dan cuba memasukkan wang ke dalam slot yang salah pada mesin, dan dia telah cuba membantu dengan mengalihkan tangannya ke slot yang betul.

Pemandu juga memberitahu polis penumpang tadi "menggunakan penumbuk menghentak tangan pemandu ke atas mesin wang itu," menurut Castro. Tetapi penumpang, William Toliver II, memberitahu polis bahawa dia hanya menepis tangan pemandu itu.

"Saya bersuara dengan nada biasa, 'saya boleh buat sendiri," Toliver, yang berumur 70 tahun dan telah hampir buta sepenuhnya sejak tujuh tahun lepas, berkata dalam satu temu bual.

Pemandu itu memberitahu polis bahawa dia menyuruh Toliver turun dari bas, dan apabila Toliver enggan berbuat demikian, pemandu itu cuba menolak dia keluar, kata Castro. Toliver berkata pemandu itu berdiri dan menolaknya.

Baik pemandu mahupun Toliver tidak mahu membuat dakwaan pada masa kejadian itu tetapi Toliver menghubungi polis dua hari kemudian meminta untuk berbuat demikian, kata Castro. Pegawai polis membantu Toliver mengisi borang penangkapan awam, dan kes itu telah dikemukakan kepada pejabat pendakwa perbandaran untuk semakan, menurut Castro.

Lance Wilber, pengarah People Mover, enggan mengulas secara khusus tentang kes itu. Tetapi dia berkata rakaman video kejadian itu sedang diteliti, dan jabatan sedang menjalankan siasatan berdasarkan interaksi antara Toliver dan pemandu berkenaan.

"Ia bukanlah jenis pendekatan menurut standard yang kami tetapkan dan perkhidmatan pelanggan yang ditekankan," kata Wilber dalam satu wawancara.

Wilber berkata beliau secara peribadi memanggil Toliver sebaik sahaja dia tahu tentang kejadian itu dan meminta maaf atas apa yang telah berlaku. Katanya beliau juga telah bercakap kepada pemandu, yang tidak dinamakan.

Wilber berkata apa-apa tindakan disiplin selanjutnya akan ditentukan semasa penyiasatan.

Toliver ialah naib presiden Alaska Independent Blind, sebuah pertubuhan advokasi pengguna bukan keuntungan. Beliau berkata, dia telah tinggal di Anchorage selama 30 tahun, dan People Mover setakat ini "baik kepada saya."

"Saya bukan orang yang berfkiran negatif. Saya bukan cuba untuk mendapatkan pengiktirafan," kata Toliver. Dia menyatakan bahawa dengan bersuara, dia berharap memberi sokongan bagi pihak orang lain yang buta atau orang kurang upaya.

Regan Mattingly, pengarah pemulihan penglihatan pertubuhan bukan keuntungan Alaska Center for the Blind and Visually Impaired, berkata beliau belum mendengar tentang kejadian berhubung People Mover dan tidak mengenali Toliver secara peribadi. Tetapi secara umum, beliau berkata, orang ramai tidak selalu tahu apa yang perlu dilakukan apabila mereka bertemu atau berdepan dengan orang buta.

Beliau berkata tindakan terbaik adalah tidak menarik atau menyentuh seseorang yang buta apabila hendak memberi bantuan, tetapi bertanya terlebih dahulu.

"Anda perlu menghampiri dan bertanya dengan sopan - bertanya terlebih dahulu," kata Mattingly. "Dan kadang-kadang orang inginkan bantuan, dan kadang-kadang tidak. Ia merupakan satu pilihan individu. "

Ahli-ahli Alaska Independent Blind mengadakan mesyuarat hari ini untuk membincangkan insiden People Mover, dan mereka merancang untuk memberi keterangan bagi menyokong Toliver di mesyuarat bulanan Americans with Disabilities Act Advisory Commission pada hari Rabu, kata presiden organisasi, Richard Gardenhire.

Wednesday, 27 August 2014

Banduan melatih anak anjing untuk membantu orang buta

Rencana "Prisoners helping to train puppies to help the blind" oleh Grace Petersen bertarikh 8 Ogos 2014 terbit di norfolkdailynews




Berbuat baik kepada orang buta.

Itulah kata-kata Helen Keller, pada tahun 1923, kepada Kelab Lions di konvensyen antarabangsanya di Dallas, Texas.

"Kami bersetuju," kata Frank Tucker, ahli Norfolk Lions Club. "Dan sejak itu, kami telah melakukan sesuatu untuk membantu orang yang cacat penglihatan di Amerika Syarikat."

Salah satu program sokongan Lions ialah Leader Dogs for the Blind Rochester Hills, Mich. Three Lions memulakan sekolah anjing pemandu pada tahun 1939 dan meneruskan usaha tersebut langkah demi langkah semenjak itu.

"Saya fikir ia adalah salah satu program Lions yang terbaik pernah dijalankan bersama-sama dan kami telah menyokongnya selama bertahun-tahun," kata Tucker.

Di dalam satu mesyuarat Lions baru-baru ini di Norfolk, Dr David Johnson Blair berkongsi pengalamannya dengan Leader Dogs for the Blind. Johnson mengendalikan Blair Small Animal Clinic dan juga apa yang dikenali sebagai pembela anjing jarak jauh selama 17 tahun.

"Tidak lama selepas saya lulus dari sekolah vetirinar, saya mendapat seorang pelanggan buta dengan Leader Dogs for the Blind. Saya terfikir ia adalah sesuatu yang boleh menjadi sebahagian daripada hidup saya," kata Johnson. "Bapa mertua saya ialah presiden Blair Lions Club ketika isteri saya berusia 12 tahun. Isteri Johnson masih ingat dengan jelas ayahnya membantu orang buta di Blair untuk mendapatkan anjing pemimpin. Beliau juga sentiasa mahu menjadi sebahagian daripada program itu. Saya rasa apabila kami berdua bertemu memang ditakdirkan kami akan memelihara anak-anak anjing ini. "

Beliau kini sedang melatih anjing ke-17 beliau, Mack, dan berbuat demikian sejak Labrador Retriever hitam itu berusia 7 minggu.

"Anjing tersebut menunjukkan prestasi yang baik dalam latihan setakat ini," kata Johnson. "Masa kami bersama-sama semakin pendek kerana saya perlu memulangkan dia pada hujung minggu Hari Buruh supaya dia boleh meneruskan latihan dan menjadi mata pembantu untuk seseorang yang kurang upaya penglihatan."

Anak anjing yang melalui program ini diajar ketaatan asas, tali pemegang kiri yang longgar untuk membantu pergerakan, latihan di rumah menurut perintah, kesedaran tentang keadaan trafik, keyakinan dan adab sosial yang baik.

Selepas kira-kira setahun latihan, anak anjing itu kembali selama 5-9 bulan untuk latihan formal sebelum diberi kpada rakan mereka yang buta. Pasangan anjing pemandu kemudian berlatih bersama-sama di kampus Leader Dogs for the Blind selama kira-kira sebulan. Beliau berkata kira-kira 400 pasangan anjing pemandu lulus dari Leader Dogs for the Blind setiap tahun.

Johnson berkata anak anjing ke-18 beliau telahpun lahir dan akan diambil apabila dia berusia kira-kira 6 sehingga 7 minggu.

Lebih menarik lagi dalam mesyuarat itu, Johnson bercakap tentang inisiatif baru Leader Dogs for the Blind - pembela anak anjing di penjara.

Pada masa lalu, anak-anak anjing dibesarkan oleh pembela anjing tempatan atau jarak jauh seperti Johnson. Model membesarkan anak anjing yang agak baru ini - pembela anak anjing di penjara - mempunyai matlamat yang sama dan objektif seperti pembela anak-anak anjing yang lain tetapi dilakukan oleh banduan penjara kawalan sederhana dan tinggi di Fort Dodge, Iowa. Pada masa ini, terdapat 115 anak anjing di penjara itu.

"Apabila saya melihat video itu, kali pertama saya melihatnya saya benar-benar ternganga kehairanan kerana tidak tahu mereka telah melakukan perkara-perkara seperti itu," kata Tucker. "Saya fikir ia adalah satu program yang hebat. Ia adalah satu program yang hebat untuk penghuni, juga anjing-anjing serta semua orang yang berkenaan. "

Johnson bersetuju.

"Banduan mempunyai banyak masa terluang dan boleh menumpukan hampir setiap waktu untuk melatih anjing," kata Johnson. "Selepas satu tahun, mereka mengembalikan anak anjing yang terlatih kepada Leader Dogs for the Blind ."

Banduan-banduan itu, kata Johnson, mungkin buat pertama kali dalam hidup mereka, mengalami perasaan kasih sayang.

"Mereka menjaga serta membela anjing itu dan kemudian merasakan peritnya berpisah apabila masa setahun itu berlalu. Perasaan itu tidak lama kemudian diikuti pula dengan kepuasan mengetahui bahawa anda telah membantu meningkatkan kualiti hidup orang lain - orang yang buta, "kata Johnson. "Ia memulihkan tahanan ini menjadi manusia yang lebih penyayang dan bertimbang rasa."

"Kemenangan" yang tidak dijangka adalah kesan menenangkan anak anjing tersebut ke atas banduan, kata Johnson.

"Ketegangan sesama banduan dan juga di antara banduan dan pengawal berkurangan," kata Johnson. "Warden sukakan program ini kerana peningkatan secara keseluruhan suasana yang lebih baik di penjara."

Anjing-anjing itu juga mendapat manfaat. Johnson berkata peratusan yang lebih tinggi anjing yang dilatih banduan lulus latihan berbanding dengan yang dibela di tempat lain.

Sebabnya? Johnson berkata ia adalah kerana anjing-anjing itu menerima lebih banyak perhatian daripada pembela anjing di penjara berbanding apa yang dapat dicapai dengan pembela tempatan atau jarak jauh.

"Peningkatan bilangan anak anjing membolehkan Leader Dogs for the Blind memberi khidmat kepada lebih ramai pelanggan buta yang mahu berdikari, melalui pergerakan dan kebebasan yang diberikan oleh anjing pemandu," kata Johnson.

Ini merpakan situasi menang-menang untuk orang buta juga, kata Johnson.

"Mereka juga telah berada dalam sebuah penjara. Kurang upaya penglihatan seolah-olah penjara yang merampas kebebasan dan mobiliti mereka, "kata Johnson. "Klien menerima anjing pemandu yang membuka pintu ke satu perjalanan yang lebih selamat dan bebas juga meluaskan pandangan serta menimbulkan perasaan yang hampir mustahil untuk diungkap dengan kata-kata. Melalui pemberian Leader Dogs for the Blind mereka dibebaskan dari penjara peribadi masing-masing. "

Tuesday, 26 August 2014

Nasib mereka yang buta di Liberia

Rencana "The plight of Liberia's blind" bertarikh 7 Ogos 2014 terbit di dw




Orang buta di Liberia menghadapi banyak cabaran, termasuk tidak mempunyai pendapatan yang cukup untuk meneruskan hidup dan tinggal di kediaman sementara. Kumpulan hak asasi manusia telah menggambarkan keadaan hidup orang buta di Liberia sebagai mengerikan.

Oleh kerana cabaran setiap hari yang dihadapi, ditambah dengan ketidaktentuan di mana sesuap nasi seterusnya akan diperolehi, ramai orang buta di ibu negara Liberia, Monrovia terpaksa mengemis untuk terus hidup. Antaranya ialah Flomo Jallah berusia 19 tahun.

"Bagi saya, sebenarnya saya hidup di jalanan, kerana setiap hari kita datang ke sini meminta bantuan orang ramai untuk terus hidup serta membayar yuran sekolah dan sewa," kata Flomoh.

Orang buta di Monrovia sering menggunakan kanak-kanak sebagai pembantu apabila mereka keluar mengemis, walaupun ini tidak digalakkan oleh pihak berkuasa.

Tetapi tidak semua yang buta mengemis untuk terus hidup. Ada yang menjadi penghibur. Abraham Kamara, 25 tahun ialah penyanyi utama dalam satu kumpulan pengemis buta di Monrovia. Mesej kumpulan itu dalam lagu-lagu mereka bertemakan harapan dan diselitkan dengan ayat-ayat Alkitab serta didendangkan kepada sesiapa yang mahu mendengar

Di penghujung hari kumpulan itu berkongsi apa sahaja yang telah dikumpulkan dalam kotak yang diletakkan di hadapan mereka dan pulang ke rumah. Abraham tidak gembira bahawa mereka perlu melalui semua ini setiap hari, sama ada ketika hujan atau panas.

"Bagi meneruskan hidup, saya pergi ke jalan-jalan dan meminta bantuan daripada orang ramai. Saya tidak suka mengemis di jalan-jalan tetapi tidak mempunyai pilihan lain. Kami tidak mendapat sokongan daripada mana-mana pihak, "katanya.

Lebih banyak sumbangan diperlukan

Untuk menangani beberapa cabaran yang dihadapi oleh orang buta, Christian Association of the Blind (CAB), sebuah pertubuhan bukan kerajaan tempatan, memainkan peranan sebagai penasihat dan mencuba memastikan bahawa terdapat peluang yang sama untuk mereka di Liberia.

Beyan Kota, ketua CAB dan dirinya sendiri buta, berkata organisasi mereka komited untuk memperjuangkan hak-hak mereka yang cacat penglihatan kerana sering didiskriminasikan dan dihina. CAB belum mampu berdikari sepenuhnya dan bergantung kepada dana daripada penderma untuk menjalankan aktivitinya.

"Operasi kami bergantung kepada sokongan kemanusiaan, derma daripada individu, perkongsian - kadang-kadang sokongan dari luar negara," katanya. "Ia menjadi semakin sukar apabila sokongan dari luar negara tidak diterima."

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Liberia mempunyai anggaran 35,000 orang yang hidup dengan pelbagai bentuk kurang penglihatan. Ramai mengalami katarak pada satu atau kedua-dua belah mata, yang jika tidak dibedah membawa kepada kecacatan penglihatan dan buta.

Terdapat gambar seorang kanak-kanak membimbing orang buta di dalam rencana tadi dengan kapsyen "orang buta mengatakan kekurangan sokongan memaksa mereka untuk keluar mengemis"

Monday, 25 August 2014

App membantu mereka yang cacat penglihatan apabila menggunakan pengangkutan awam

Rencana "App helps guide visually impaired on public transport" bertarikh 6 Ogos 2014 terbit di optometry




Satu app telefon pintar baharu boleh membantu OKU penglihatan mencari jalan melalui stesen-stesen kereta api dan tiub.

Aplikasi wayfindr, yang dibangunkan dengan kerjasama Royal Society of London Blind People (RLSB) dan studio reka bentuk digital, ustwo, direka untuk membantu orang buta dan cacat penglihatan mengemudi rangkaian pengangkutan awam.

Aplikasi ini berfungsi dengan mengambil isyarat daripada beacon yang boleh diletakkan di sekitar terminal pengangkutan, seperti stesen tiub. Menggunakan teknologi Bluetooth, beacon ini mengeluarkan satu denyutan biasa yang dikesan oleh telefon pintar pengguna, di mana pengguna boleh menerima maklumat audio berkenaan tanda-tanda dan arah.

Aplikasi ini boleh membandingkan kekuatan isyarat antara beacon, bekerja di luar lokasi mereka dan menghantar maklumat kepada pengguna melalui sepasang 'bone-conducting headphone', yang membolehkan mereka mengemudi dari beacon ke beacon dengan mentafsirkan kekuatan isyarat. 'Bone-conducting headphone' ini membolehkan pengguna mendengar arahan dari app tanpa menyekat pengumuman stesen dan bunyi latar belakang lain yang penting.

Konsep ini datang daripada Forum Belia RLSB, yang terdiri daripada anak-anak muda yang buta dan cacat penglihatan, berusia lingkungan 16-25 tahun. Salah satu daripada isu-isu yang dibangkitkan adalah masalah yang dihadapi oleh orang muda buta dan cacat penglihatan apabila menggunakan rangkaian pengangkutan seperti London Underground.

Courtney Nugent, ketua kumpulan kerja pengangkutan Forum Belia di RLSB, berkata: "wayfindr adalah bantuan praktikal dan berpatutan navigasi untuk mereka yang mempunyai penglihatan yang terjejas. Projek bersama kami dengan ustwo adalah contoh yang baik bagaimana badan amal dan sektor swasta boleh bekerja bersama-sama, menggunakan pendekatan terkini dalam reka bentuk digital untuk membuat perubahan, dengan cepat. "

Umesh Pandya, pengarah pengalaman pengguna di ustwo, menambah: "Kami telah menerima maklum balas yang luar biasa berhubung wayfindr dan kami juga RLSB sedang berbincang dengan pengendali pengangkutan tentang usaha menjalankan percubaan."

Saturday, 23 August 2014

Resipi sempurna untuk chef buta Sheffield

Rencana "Perfect recipe for blind Sheffield chefs" oleh Ellen Beardmore bertarikh 5 Ogos 2014 terbit di thestar.co.uk




Gossip dan kek terbukti resipi yang sempurna untuk tukang masak buta meningkatkan keyakinan mereka.

Mereka yang memang suka membuat roti - dan bercakap - memeriahkan suasana di kelas popular yang dianjurkan oleh Sheffield Royal Society for the Blind.

Dan, dengan bantuan bahan-bahan khas seperti gelombang mikro dan penimbang bersuara, mereka menghasilkan pelbagai hidangan daripada roti yang dibakar dengan sempurna, kek dan manisan lain untuk keluarga dan rakan-rakan.

Ivy Andrews yang sudah bergelar moyang, dari Stannington, mendedahkan kelas itu adalah kemuncak minggunya sementara beliau kagum dengan kek halia yang dibuat dengan sempurna.

Wanita Besi Sheffield yang berusia 90 tahun itu, merupakan seorang pemandu kren di English Steel semasa Perang Dunia Kedua dan mempunyai glaukoma, berkata: "Saya tidak boleh membakar di rumah sekarang, adalah sukar untuk menggunakan ketuhar tetapi di sini lebih mudah kerana kita diajar dan dijaga.

"Saya memberikan beberapa keping kek kepada dua orang lelaki di penginapan terlindung saya - mereka sentiasa menanti-nantikannya setiap hari Rabu.

"Kek kegemaran saya ialah kek halia dan kita telah membuat bun Bailey. Saya peminat Bailey dan mencampurkannya dalam kopi - mengapa tidak."

Bau tepung penaik yang segar memenuhi ibu pejabat persatuan itu di Mappin Street setiap hari Selasa dan Rabu.

Teknik membakar secara tradisional dari masa dahulu dikongsi, begitu juga berjenaka tentang roti lembut, sementara sukarelawan menyelia kumpulan pembuat roti itu menimbang berat adunan, mencampur dan menyajikan segala-galanya daripada kek lemon sehinggalah roti biasa.

Ketuhar di dapur juga dilengkapi dengan butang sentuhan khas yang menunjukkan tetapan yang betul.

Jean Linton, 75 tahun yang boleh dipanggil nenek, dari Wincobank, berkata: "Saya dapat melihat lebih baik sedikit daripada beberapa orang lain dalam kumpulan ini dan oleh kerana itu mereka mencetak resipi untuk kami selepas kelas berakhir.

"Berkumpul beramai-ramai adalah ciri istimewa kumpulan, kami berbual tentang semua perkara dan bagaimana sesuatu dilakukan pada masa lalu.

"Memang mengejutkan bagaimana kami berjaya ketika itu, tidak ada apa-apa seperti ketuhar gelombang mikro bersuara untuk membantu anda.

"Anda dapat belajar tentang pelbagai perkara yang berbeza, hari ini kita telah bercakap tentang pear advokat yang saya tidak pernah gunakan jadi saya fikir sekurang-kurangnya saya telah belajar sesuatu yang baru."

Kelas tersebut telah berjalan selama tiga tahun dan penganjur mengatakan ia membantu meningkatkan keyakinan pengguna dan kebebasan mereka.

Mereka mencari lebih ramai sukarelawan untuk membantu supaya jumlah sesi dapat dipertingkatkan.

Sukarelawan dan pelanggan Sue Walker, yang juga didaftarkan buta, berkata: "Saya berdaftar buta tetapi saya tidak pernah mengalah dan saya tidak bersedia untuk itu - anda perlu terus ke hadapan.

"Apabila anda kehilangan penglihatan anda, anda boleh kehilangan keyakinan jadi ini adalah tentang mendapatkan kembali semangat itu.

"Ia mungkin hanya sesi membuat kek tetapi ini seolah-olah telah mencetus perubahan besar-besaran."

Membantu kanak-kanak lelaki buta memberi tumpuan kepada impiannya di Turki

Rencana "Helping a blind boy to focus on his dreams in Turkey" bertarikh 4 Ogos 2014 terbit di unhcr




Kem Pelarian Midyat Turki, 4 Ogos (UNHCR) - Ashraf berkata semua orang yang dihalau dari rumah mereka dan terpaksa menjadi pelarian, mendapati hidup adalah satu perjuangan: "Apabila anda datang ke sebuah negara baharu, ia seolah-olah semua orang adalah buta."

Tidak semua orang ceria dan berdaya tahan seperti kanak-kanak berusia 15 tahun itu, yang terpaksa melarikan diri dari Aleppo di utara Syria ke Turki dengan enam anggota keluarganya hampir setahun yang lalu. Dalam kesnya, buta bukan sahaja metafora: Ashraf dan adiknya mempunyai masalah penglihatan.

Hakikat itu menjadikan perjalanan ke Midyat dan penyesuaian seterusnya untuk hidup dalam buangan lebih sukar bagi mereka daripada pelarian lain.

Semenjak tiba, Ashraf telah menghadiri sekolah di kem pelarian Midyat dan baru-baru ini tamat Gred Tujuh. Walaupun tiada bahan braille atau peralatan bertulis khusus untuk dia, dia adalah salah seorang yang mencapai prestasi terbaik.

"Saya hanya mendengar di dalam kelas dan belajar dengan mendengar dan menghafal," katanya. Untuk peperiksaan, pelajar yang lebih tua atau guru membaca soalan dan beliau menjawab secara lisan. Walau bagaimanapun, adalah jelas peralihan ke sekolah kem ini tidak sentiasa mudah.

"Saya pernah menghadiri sebuah sekolah untuk orang buta di Aleppo di mana kami belajar membaca braille. Di sana saya tidak berasa berbeza daripada orang lain," katanya. "Kami juga bermain bola sepak dengan bola khas yang mempunyai loceng supaya kami tahu di mana ia berada, tetapi di sini saya tidak mempunyai sesiapa untuk bermain."

Bekerja rapat dengan kerajaan Turki, agensi pelarian PBB telah membantu pelarian Syria dan menyediakan bahan dan sokongan teknikal bagi menolong pihak berkuasa berdepan dengan krisis dan mengurus peningkatan ketibaan. UNHCR menyokong program pendaftaran kerajaan untuk memastikan bahawa mereka yang mempunyai keperluan khas dikenal pasti lebih awal dan dirujuk kepada mekanisme yang sesuai.

Midyat bukanlah kem yang besar mengikut piawaian Turki, menempatkan lebih kurang 2,800 pelarian seperti Ashraf dan keluarganya. Terdapat sejumlah 22 kem pelarian dengan 220,000 pelarian Syria di Turki. Daripada lebih 1 juta pelarian Syria yang dianggarkan berada di negara ini, hanya 20 peratus yang berdaftar di kem-kem. Selebihnya tinggal di bandar-bandar.

Separuh daripada pelarian adalah kanak-kanak, beberapa daripada mereka dengan keperluan khas. Kementerian Pelajaran telah menubuhkan sekolah-sekolah di semua kem-kem pelarian yang diuruskan kerajaan di tenggara Turki, membolehkan kira-kira 61,000 kanak-kanak pelarian Syria menghadiri sekolah-sekolah yang dikendalikan oleh guru-guru sukarelawan Syria. UNHCR menyokong usaha-usaha ini dengan menyediakan bahan-bahan sokongan pendidikan mengikut permintaan.

Agensi itu baru-baru ini membeli sebuah penulis braille - sebuah mesin taip yang digunakan untuk menghasilkan dokumen braille - untuk kegunaan kanak-kanak dan orang dewasa yang cacat penglihatan sebagai sebahagian daripada sokongan agensi terhadap pendidikan untuk kanak-kanak pelarian Syria.

"Walaupun saya belajar membaca braille di Syria, saya tidak mempunyai banyak peluang untuk menggunakan penulis," kata Ashraf malu-malu. Tetapi jelas akses kepada penulis memperluaskan kemahirannya; dia teruja menunjukkan kepada kakitangan UNHCR bagaimana dia kini boleh menulis frasa dalam kedua-dua bahasa Arab dan abjad Turki.

Penulis braille adalah alat penting bagi seorang remaja cacat penglihatan seperti Ashraf, tetapi keperluan pendidikan pelarian adalah besar, manakala sumber adalah terhad. Satu-satunya bahan braille yang terdapat di kem yang boleh dbaca Ashraf ialah Al-Quran yang dibawa dari Syria.

Ini tidak menghalang impiannya untuk masa hadapan. "Saya ingin menjadi seorang ahli psikologi satu hari nanti," kata Ashraf. "Saya seorang pendengar yang baik dan selalu membantu orang mencari penyelesaian berkaitan masalah mereka."

Turki menjadi tuan rumah penduduk pelarian Syria yang kedua terbesar di rantau ini - selepas Lebanon - tetapi hanya menerima 17 peratus daripada pembiayaan yang diperlukan. Secara keseluruhan, UNHCR dan rakan-rakannya menyeru penderma untuk membiayai program bantuan sebanyak US$3.74 bilion di Lebanon, Jordan, Turki, Iraq dan Mesir untuk menyelamatkan nyawa, mencegah bahaya, melindungi golongan yang mudah terjejas dan mengukuhkan kapasiti dan daya tahan pelarian juga masyarakat tuan rumah manakala krisis yang terjadi telah melangkah ke tahun keempat.

Friday, 22 August 2014

Orang yang lahir buta menggunakan 'empati neural' untuk memahami situasi yang boleh dilihat oleh orang lain, menurut penyelidik

Rencana "People born blind use 'neural empathy' to understand situations others can see, researchers say" oleh Latarsha Gatlin bertarikh 4 Ogos 2014 terbit di jhu




Kajian menunjukkan persamaan dalam cara berfikir orang celik dan buta berfikir tentang dunia


Dengan menggunakan cerita-cerita lisan, penyelidik dari Johns Hopkins University telah mendapati bahawa otak orang yang dilahirkan buta bertindak balas kepada situasi sama seperti cara orang yang celik.

Marina Bedny, seorang saintis otak di Krieger School of Arts and Sciences Johns Hopkins University, mendapati bahawa orang yang buta sejak lahir mempunyai pengetahuan tentang keadaan yang dibayangkan dengan penglihatan dalam cara yang sama seperti orang celik. Beliau berkata keupayaan ini mungkin disebabkan oleh interaksi harian individu buta dengan yang boleh melihat. Keputusan kajian menonjolkan persamaan dalam cara orang buta dan celik berfikir tentang dunia.

Bedny dan rakan-rakan penyelidik beliau - Jorie Koster-Hale dan Rebecca Saxe dari Department of Brain and Cognitive Science Massachusetts Institute of Technology - melaporkan penemuan mereka dalam satu kertas kajian baru-baru ini yang diterbitkan dalam jurnal Cognition. Tiga penyelidik itu mendapati bahawa orang buta menggunakan sejenis saraf empati untuk memahami situasi yang boleh dilihat oleh orang lain, tetapi yang mereka sendiri tidak pernah alami. Koster-Hale dan Saxe masing-masing merupakan penulis utama dan kanan kertas kajian itu .

"Persoalan yang mennarik minat kami adalah dari manakah pengetahuan itu datang? Sejauh mana pengetahuan kita tentang orang lain datang dari pengalaman sendiri? " kata Bedny, penolong profesor di Department of Psychological and Brain Sciences, John Hopkins University. "Kami memilih untuk bekerjasama dengan masyarakat yang buta dalam kajian ini kerana pengalaman deria individu buta berbeza secara dramatik daripada pengalaman orang celik. Sebaliknya, pengalaman sosial orang buta dan celik sebahagian besarnya adalah sama. "

Para penyelidik telah menulis tentang sama ada mendengar cerita di mana penglihatan memainkan komponen yang besar dalam penceritaan itu diproses secara berbeza oleh kumpulan yang buta sejak lahir berbanding kumpulan dengan penglihatan biasa. Salah satu contoh ialah melihat pasangan romantis dari jauh masuk ke dalam kereta dengan perempuan lain.

"Jelas sekali, orang dewasa yang buta akan memahami beban emosi menemui kemungkinan kecurangan seorang kekasih, tetapi bolehkah seseorang yang buta membuat kesimpulan yang sama tentang sumber visual penemuan itu?" lapor kertas kajian tadi. "Berapa banyak yang akan difahami oleh orang yang buta tentang pengalaman melihat orang yang dikenali bersama-sama seorang wanita yang tidak diketahui, dari jauh, dalam gelap?"

Walaupun kekurangan visi, ternyata otak orang buta boleh membuat banyak kesimpulan.

Penyelidik mengkaji dua kumpulan - orang yang celik dan mereka yang lahir tanpa penglihatan. Setiap kumpulan mendengar 32 cerita, setiap satu sepanjang 13 saat. Separuh daripada cerita-cerita itu menggunakan penglihatan sebagai suatu tindakan ("Gladys melihat nota di pintu rumahnya") manakala separuh lagi menggunakan pendengaran sebagai tindakan ("Gladys mendengar mesej telefon baru").

Setiap satu daripada cerita-cerita juga berakhir sama ada baik atau buruk bagi watak utama. Sebagai contoh, satu cerita menyebut, "Saya berharap untuk berjumpa kamu malam ini," sementara yang lain berkata, "Maaf, saya tidak dapat berjumpa malam ini." Peserta buta dan celik membayangkan bagaimana perasaan watak utama dalam sesuatu cerita - gembira, sedih, atau acuh tak acuh.

Dengan menggunakan mesin pengimejan resonans magnetik (fMRI) yang berfungsi mengukur tindak balas saraf, penyelidik mendapati tiada perbezaan ketara dalam cara bagaimana otak mengekod kombinasi cerita yang berbeza, bagi mereka yang celik atau buta.

Bedny berkata ada dua teori utama untuk memahami bagaimana orang memahami pengalaman. Salah satu daripadanya adalah melalui simulasi di mana seseorang membayangkan dirinya dalam situasi tertentu dengan menggunakan sesuatu peristiwa sebelum itu atau yang serupa daripada pengalaman hidupnya sendiri. Teori kedua dipanggil teori intuitif, yang mengambil satu siri tindakan dan maklum balas yang terdahulu yang tidak dialami secara peribadi dan mengandaikan bagaimana seseorang akan bertindak balas. Penemuan terkini menunjukkan bahawa kedua-dua orang buta dan celik bergantung kepada teori intuitif untuk memahami keadaan mental orang lain.

"Dengan memerhatikan variasi yang berlaku secara semula jadi dalam pengalaman seseorang, kita mendapat maklumat tentang asas-asas yang menjadikan kita semua manusia," kata Bedny. "Kita semua mempunyai kehidupan yang berbeza. Tugas kita sebagai ahli-ahli sains adalah untuk meneliti perbezaan sistematik yang boleh dipelajari. "