Showing posts with label The Malaysian Insider. Show all posts
Showing posts with label The Malaysian Insider. Show all posts

Wednesday, 9 July 2014

Mengapa mengancam pembunuhan beramai-ramai di Malaysia?

Rencana "Why threaten a Malaysian genocide?" oleh Hafidz Baharom bertarikh 8 Julai 2014 terbit di themalaysianinsider




Terdapat satu kepercayaan yang menebal apabila setiap kali sekelompok rakyat Malaysia bercakap, kita perlu diingatkan tentang 13 Mei 1969, buat sekian kalinya. Bagi pembaca yang tidak mengetahui apa-apa dan yang tidak menonton filem Tanda Putera, tarikh ini adalah titik hitam untuk generasi rakyat Malaysia yang lebih tua yang hidup semasa rusuhan kaum di beberapa tempat di Malaysia.

Puncanya? Menurut sesetengah orang, kejadian ini berpunca daripada perarakan kemenangan politik yang tidak mengikut laluan yang telah dipersetujui disemarakkan pula dengan gerombolan pengacau yang tahu isu apa yang akan menaikkan darah pihak lawan. Menurut orang lain, ia adalah akibat keangkuhan, pembunuhan, hukum rimba dan parang.

Kesannya? Wajah Tunku Abdul Rahman sedang menangis meletakkan jawatan, keperluan menangani ketidakseimbangan ekonomi antara kaum melalui Dasar Ekonomi Baru dan peringatan sepanjang waktu bahawa kita perlu ingat tarikh itu sebagai petanda bagaimana sesuatu kejadian boleh menjadi begitu buruk..

Hakikatnya, saya seorang lelaki 80-an; lebih tepat lagi tahun 1983. Saya tidak mempunyai pengalaman hidup dalam kengerian pendudukan Jepun, Pemberontakan Komunis atau rusuhan kaum tahun 1969. Dan berterus-teranglah, tidak juga majoriti penduduk Malaysia masa ini.

Adakah anda tahu kengerian apa yang dihadapi hari ini?

Tidak dapat mencari pekerjaan, tidak dapat memiliki sebuah rumah, tidak dapat memberi makan keluarga kita tanpa pekerjaan tambahan, mengeluarkan anak-anak dari sekolah kerana kita tidak mampu, melihat lembu dan kepala babi, ayam yang telah mati dan itik disembelih setengah mati yang digunakan untuk mengancam orang lain.

Kengerian lain termasuklah "ungkapan" mengancam pemenggalan leher dalam menghormati agama yang mendukung keamanan, menghapuskan soup kitchen untuk gelandangan dan membayar denda RM150 jika anda didapati memberi sedekah kepada orang miskin di Kuala Lumpur.

Dan ini, sudah tentu, tanpa membaca berita bagaimana remaja dipukul sehingga mati oleh bapanya, kanak-kanak terbiar di pangsapuri yang tidak terurus oleh ibunya yang menghadapi pelbagai masalah dan ibu bapa yang tidak ambil endah meninggalkan anak-anak dalam kereta dengan enjin yang masih hidup tanpa bimbang sedikitpun bahawa mereka mungkin diculik dalam rompakan kereta yang tidak diduga.

Inilah kebimbangan generasi 80-an, manakala generasi 90-an kini melihat peningkatan kos hidup dan ketidakupayaan untuk mendapat pekerjaan sepenuh masa yang bermakna sambil membaca di akhbar-akhbar bagaimana pembaziran dana awam melibatkan berbilion-bilion ringgit.

Namun,bukannya kerajaan yang diketuai oleh mereka yang waras dan terpilih menangani isu-isu ini yang kita perolehi, kini kita terpaksa pula berhadapan dengan ancaman pembunuhan beramai-ramai di Malaysia?

Itulah yang benar-benar diperkatakan, jangan silap. Ancaman-ancaman yang disifatkan oleh sesetengah menteri sebagai "peringatan" tidak begitu banyak persamaan dengan 13 Mei tetapi lebih kepada kejadian di Rwanda.

Sebab saya katakan demikian adalah mudah: Laporan berita jelas menunjukkan bahawa hanya satu kumpulan etnik telah bertindak seperti samseng sejak 2008. Selain daripada perhimpunan Hindraf, tidak ada kejadian yang membabitkan kumpulan etnik lain di Malaysia serta yang mengambil bahagian dalam satu gerombolan yang berakhir dengan ancaman atau keganasan.

Anda boleh lihat peristiwa rusuhan Ibu Pejabat DAP, serangan ke atas dewan perhimpunan negeri Pulau Pinang, jeritan di Ibu Pejabat di PKR oleh ahli-ahlinya sendiri, perarakan kepala lembu di Shah Alam, Bersih semasa benteng dijatuhkan, serangan ke atas penunjuk perasaan Lynas di Kuantan - lihat setiap contoh sejak enam tahun yang lalu dan katakan saya salah.

Dan apa yang paling dahsyat tentang semua ini adalah - dan memang menakutkan saya untuk mengakuinya - jika apa yang dipanggil ancaman ini diteruskan, majoriti senyap akan sama ada berdiam diri atau turut serta. Sementara itu, mereka yang menunjukkan kemungkinan ancaman seperti itu dianggap ahli teori konspirasi, pengkhianat bangsa atau pemaaf berdarah campuran.

Perasaan takut inilah yang mendorong saya untuk menulis bahawa masyarakat Melayu perlu bersuara terhadap pelampau-pelampau tersebut. Dan walaupun ramai orang Melayu mungkin merasakan ini satu surat meminta maaf kepada masyarakat bukan Melayu tanpa sokongan kumpulan kaum saya sendiri, saya benar-benar tidak peduli.

Kerana ia perlu diperkatakan. Kerana menentang ancaman pembunuhan beramai-ramai di Malaysia perlu diucapkan. Seperti apa yang dikatakan dengan begitu tepat oleh seorang bapa saudara saya, tidak akan ada yang menang sekiranya ancaman satu lagi 13 Mei terjadi, kerana kita semua akan menjadi mangsa.

Dan sekarang sekurang-kurangnya satu lagi lelaki Melayu bersuara pada masa ini, yang saya anggap satu misi yang telah tercapai.


Sunday, 15 June 2014

Surat kepada anak perempuanku yang bukan Bumiputra

Rencana asal "Letter to my non-Bumi daughter" oleh Abdar Rahman Koya, bertarikh 14 Jun 2014 terbit di themalaysianinsider



Salma

Ayah masih ingat hari pertama kamu di taman didikan kanak-kanak. Kami berdiri di luar bilik darjah kamu, melihat hidung mancungmu yang terserlah di antara semua yang ada di situ. Ayah tahu bagaimana perasaan mempunyai hidung seperti itu berbanding yang tidak langsung seperti itu.

Kamu kemudian bertanya ayah, “Kenapa semua kawan saya matanya kecil-kecil?” Kami memberitahu, “Jangan cakap macam tu depan orang, terutama sekali mak cik yang kamu selalu jumpa di luar.” Tetapi kami tidak dapat menahan ketawa. Kamu mesti bingung ketika itu.

Kemudian pada satu hari ketika ayah mengambil kamu dari sekolah, cikgu kamu bertanya, “Boleh saya tahu, encik ni bangsa apa? Kami sedang menjalankan satu aktiviti kelas dan saya tidak pasti hendak bubuh bangsa apa untuk anak encik.”

Ayah beritahu “India”. Tetapi kamu tidak pernah bertanya tentang kejadian itu.

Ayah pulang ke rumah hari itu, terkenangkan hari ayah mendaftarkan kelahiran kamu di Jabatan Pendaftaran Negara. Pegawai bertugas bertanya tentang bangsa apa yang harus diletakkan untuk kamu. Orang tidak bertanya tentang itu di negara-negara lain. Jika ibu bapa seseorang itu berbangsa India, tentulah anaknya pun India.

Mungkin kerani itu menjangkakan ayah meminta kamu didaftarkan sebagai Melayu. Seperti yang dillakukan oleh ibu bapa sepupu-sepupu kamu. Seperti yang dilakukan oleh ramai kawan-kawan Islam bukan Melayu kita.

Setengah-setengahnya berkulit gelap, tetapi adalah Melayu. Sesetengah masih melawat keluarga mereka di India tetapi adalah Melayu. Ada juga seorang dua yang tidak mahu ke JPN mendaftarkan bayi mereka yang baru lahir.

Sebaliknya, rakan-rakan Melayu diwakilkan melakukannya untuk mereka, bimbang wajah bukan Melayu mereka akan mengurangkan peluang anak didaftarkan sebagai Melayu

Begitulah takutnya mereka tentang apa yang akan berlaku sebagai bukan Melayu. Saya tahu bahawa ada yang berulang kali menunaikan haji di Mekah, namun kembali tanpa petunjuk tentang tanda-tanda Allah. Tetapi Malcolm X hanya pergi sekali sahaja ke Mekah untuk mengubah keseluruhan perspektif beliau tentang bangsa dan kesaksamaan

Ayah juga seorang Melayu mengikut definisi Perkara 160. Ayah dilahirkan di Malaysia dan seorang Muslim -. Dan seorang Muslim Shafi'i pula - sama seperti orang Melayu lain.

Ayah lazimnya bercakap bahasa Melayu dengan loghat yang boleh menyebabkan orang Melayu yang makan petai dan fobia terhadap kari pun berasa malu. Dan ayah mengamalkan – katakanlah lebih kurang - adat resam Melayu.

Malahan ayah juga suka belacan dan semua lauk-pauk yang baunya semacam. Apa yang menonjol ialah ayah suka sangat makan kambing, dan tidak menonton filem Melayu (tetapi, difikir-fikirkan, begitu juga ramai kawan-kawan berkulit sawo matang ayah yang lain).

Salma, ayah tahu semua ini membingungkan kamu. “Jadi, apa masalahnya?” kamu mungkin bertanya. Tetapi kamu di Malaysia. Kamu perlu tahu karut-marut yang berhubung dengan bangsa. Mereka akan memberitahu, ini berkaitan dengan masa hadapan kamu.

Tahun hadapan kamu akan ke Sekolah Rendah. Ayah tidak mampu menghantar kamu ke sekolah swasta (kamu harus sedar, ayah bekerja di The Malaysian Insider). Di sekolah, akan ada tekanan supaya sama dengan yang lain.

Ayah telah mengalami semua itu. Dalam pemahaman ayah yang terhad ketika itu, ayah telah cuba menerangkan kepada rakan-rakan Melayu bahawa ayah bukan Melayu, namun ayah masih Islam.

Mereka keliru. "Bagaimana kamu boleh menjadi 'Islam' tetapi tidak 'Melayu'?" Mereka tidak dapat menerima penjelasan ayah. Akhirnya, ayah terima saja menjadi Melayu.

Tahun dahulu, apabila adik-adik kembar kamu dilahirkan, ayah terpaksa membuat perjalanan itu lagi. Pegawai itu memberitahu ayah, "Jadi saya letak Melayu ya, sebab emak diorang Melayu kan."

Itulah jenis tindak balas yang hanya boleh diimpikan oleh ramai ibu bapa bukan Melayu Islam. Oh, betapa berusahanya mereka, untuk mendapatkan pengiktirafan itu pada sijil kelahiran anak-anak mereka!

Dan siapa yang boleh menyalahkan mereka? Lagipun, ia datang dengan banyak faedah. Hak istimewa, saham yang telah diperuntukkan secara khusus, pendidikan universiti, biasiswa.

Di JPN, ayah teringat bahawa bangsa kamu telah didaftarkan sebagai India. Jadi bagi adik-adik kamu, ayah meminta mereka melakukan yang serupa. Bagaimana boleh ayah tidak melakukannya? Adakah ayah mahu mereka membesar sebagai Melayu dan kamu sebagai India? Bagaimana ayah akan menjelaskan kepada kamu semua kekeliruan ini?

Ayah tak kisah kamu membesar sebagai apa, tetapi kamu berada di Malaysia, tanah pelbagai kaum. Di sinilah di mana keadilan Tuhan diuji, dan di mana hujah seorang ateis mungkin bermakna: sekiranya Tuhan wujud, bagaimana Dia boleh menjadi begitu kejam membuat saya dilahirkan seorang bukan Melayu tanpa keistimewaan?

Ayah tidak mahu menjadi sebahagian daripada sistem hodoh ini. Ayah menentang layanan istimewa kerana bangsa atau agama seseorang, itulah sebabnya ayah tidak ragu-ragu membenci Zionisme, tidak kisahlah semua hujah-hujah oleh bangsa lain yang mengatakan ia bukan perkauman atau apartheid.

Ayah meyakini al-Quran, yang menyatakan bahawa manusia adalah hanya satu negara (2:213), tetapi yang dicipta Allah dalam pelbagai warna, yang bertutur pelbagai bahasa untuk menunjukkan tanda-tanda kekuasaanNya (30:22) dan yang Allah menciptakan berbagai bangsa dan suku-suku supaya kita mengenali di antara satu sama lain (49:13).

Oleh itu adakah betul untuk ayah, sebagai seorang Muslim, meraih manfaat daripada sistem yang tidak bertuhan ini? Bagaimana ayah boleh membenarkan kamu mendapat biasiswa apabila ayah tahu ia menyebabkan bebanan kepada pelajar bukan Islam miskin yang lulus cemerlang dengan ibu bapa kelas pertengahan yang terpaksa membiayai semula rumah mereka bagi membolehkan anak dihantar ke kolej-kolej swasta atau ke luar negara?

Bagaimana pula mereka yang bukan kelas menengah? Sentiasa menyanyikan Negaraku dan mengibarkan Jalur Gemilang tetapi kehidupan mereka tidak tentu arah.

Beberapa saudara-mara kita tidak percaya apabila mereka mendapat tahu bahawa ayah mendaftarkan kamu sebagai India. "Dia akan menghadapi banyak kesukaran satu hari nanti." Ayah tidak peduli. Tetapi ayah faham perasaan mereka.

Hanya bulan lepas, salah seorang sepupu kamu yang berjaya mendapat semua A dalam SPM telah tidak diterima masuk ke sebuah universiti awam. Semuanya kerana 18 tahun lalu, ibu bapanya gagal mendaftarkan dia sebagai Melayu.

Sesetengah orang mengulangi cerita ini kepada ayah dengan nada menghina, seolah-olah untuk mengingatkan tentang kebodohan ayah, ayah memusnahkan masa depan kamu dengan tidak mahu berbohong bahawa kamu adalah Melayu.

Malah rakan-rakan bukan Islam ayahpun terkejut. Walaupun penuh kebencian kerana tidak dilayan dengan adil, ayah mengesyaki mereka juga jika diberikan separuh peluang, akan bersemangat untuk meraih hak keistimewaan.

Salma, ayah tidak menyesal dengan apa yang telah dilakukan. Ayah berharap suatu hari nanti kamu akan berterima kasih bahawa bapa kamu tidak memulakan hidup kamu dengan satu pembohongan.

Ayah berharap suatu hari nanti kamu akan berjaya, atau kurang berjaya (terpulang bagaimanapun kamu menentukannya), kerana kerja keras sendiri, dan bukan kerana sistem yang tidak adil mengiktiraf status kaum kamu sebagai yang terunggul. Tuhan bersama kamu. Beliau melihat kebenaran, tetapi menunggu.

Ayah mungkin mementingkan diri sedikit berbuat begini. Tetapi ini yang ayah akui: Ayah tidak mahu satu hari nanti berdiri di hadapan Allah yang akan mempersoalkan mengapa ayah, walaupun Islam, telah bersetuju untuk menjadi sebahagian daripada sistem yang tidak adil ini.

Ayah boleh lebih praktikal dan pragmatik dan tidak membenarkan kamu mengalami kehidupan yang tidak menentu. "Jadi apa masalahnya? Bubuh je dia sebagai Melayu. Kamu tidak rugi apa-apa malah semakin untung."

Terima kasih banyak-banyak sajalah. Kamu boleh ambil semua keistimewaan dan kuota.

Jadi Salma, bukan niat ayah menyukarkan hidup kamu. Ayah yakin kamu akan bekerja keras satu masa kelak untuk menjadi manusia yang baik.

Malah, ayah pasti kamu akan bekerja lebih keras, dan kejayaan kamu bukan kerana sesiapa tetapi hasil keimanan kepada Allah.

Sementara itu, ayah berharap kamu boleh belajar satu dua perkara daripada rakan-rakan kamu yang bermata kecil. Tetapi jangan tinggalkan kari daging kambing. Itu adalah warisan kamu yang tidak boleh dipisahkan.